Wednesday 21 December 2011

Seindah Takdir (Part 16)


“Hai tuan puteri, termenung jauh nampak,” tegur Pak Su Idlan dari tanah.

Iman yang sedang duduk di beranda rumah tersenyum mendengar teguran itu. “Latihan sudah habis?” soalnya.

“Ya, baru sahaja habis,” jawab Pak Su Idlan sambil melabuhkan punggungnya di sebelah Iman. “Kenapa tak masuk gelanggang tadi?”

Iman mencebik. “Pak Su ni, buat-buat tanya pula.”

Pak Su Idlan ketawa. Sengaja mengusik anak saudaranya itu. Bukan dia tidak tahu, sejak kecil lagi Iman hanya suka melihat orang lain berlatih silat, tetapi dia tidak pernah menyertai mereka, apatah lagi mahu turun bersama-sama ke gelanggang. Kirim salam aje. Sebab itu dia sengaja meminta Iman membantunya, manalah tahu terbuka hati anak gadis itu untuk bersama-samanya menguruskan gelanggang silat peninggalan arwah Tok Hasan, bapanya.

“Pak Su nak kenakan Imankah?”

“Maksud?”

“Kenapalah tak beritahu malam ni sesi latihan lelaki. Penat Iman datang, tahu?” kata Iman tidak puas hati. 

Misinya untuk pulang setelah mengetahui hal itu terbantut kerana Mak Su mengajaknya singgah ke rumah dan berbual-bual dengannya. Maklumlah, sudah lama tidak bertemu.

“Siapa suruh tak tanya?” perli Pak Su. Tawanya masih belum habis.

Ceh..terkena lagi.

“Ramai juga anak buah Pak Su,” Iman mengubah topik. Tidak mahu dirinya terus menjadi bahan ketawa.

“Bolehlah,” jawab Pak Su Idlan ringkas. Pandangan matanya dihalakan kepada beberapa orang pemuda yang masih duduk di halaman rumahnya. Mungkin sedang bertukar-tukar cerita sebelum pulang ke rumah masing-masing.

“Itu orang barukah? Tak pernah nampak pun,” tanya Iman sambil memuncungkan mulut ke arah orang yang dimaksudkan.

Pak Su Idlan mengangguk. “Baru sebulan, tapi budak tu jenis yang cepat belajar. Sekali ajar je dah dapat tangkap,” puji Pak Su.

Iman gelak. “Budak? Dah gaya bapa budak dah Pak Su oii..”

Pak Su Idlan turut tergelak. Ada-ada je Iman ni. “Kamu tidur di rumah Pak Su malam ni?”

“Taklah, tidur di rumahlah. Kesian mak tinggal sorang-sorang.”

Dahi Pak Su Idlan berkerut. “Iman, tengok jam tu sudah pukul berapa? Kamu tak mahu balik lagi ke? Nanti risau pula mak kamu.”

Iman melihat jam tangannya. Alamak! Bagai terkena renjatan elektrik, dia terus bingkas bangun dan mencapai kunci motosikal yang diletakkan berhampiran pintu.

“Nasib baik Pak Su ingatkan, Iman betul-betul tak sedar hari sudah lewat,” kata Iman sambil bersalaman dengan bapa saudaranya itu.

“Hari sudah lewat ni, tidur di sini sajalah,” pelawa Pak Su. Risau pula ingin membiarkan Iman pulang sendirian malam-malam begini.

“Tak apalah Pak Su, kesian mak sudah menunggu.”

“Pak Su hantar, ya?”

Iman geleng. “Iman tak mahu susahkan Pak Su. Lagipun, bukannya lewat sangat ni. Iman masih boleh balik sendiri, InsyaAllah, tak ada apa-apa.”

Pak Su Idlan mengalah. “Hati-hati ya!”

Iman angguk. “Balik dulu, assalamualaikum.”

Waalaikumusalam.” Pak Su Idlan menghantar Iman melalui pandangan mata. Tetapi, mengapa dia seakan tidak sedap hati?

*****
Iman menunggang motosikalnya dengan kelajuan yang sederhana. Mulutnya terkumat-kamit membaca ayat-ayat suci Al-Quran untuk menenangkan diri. Iyalah, waktu malam-malam begini, di kampung yang sunyi-sepi pula, macam-macam perkara pelik mula bermain di fikirannya.

Motor Kriss berwarna merah yang menjadi penemannya itu tiba-tiba sahaja mati di tengah jalan. Iman mula kelam-kabut apabila motor itu tidak langsung menampakkan tanda untuk ‘hidup’ semula walaupun sudah penat dia cuba menghidupkannya. Dia meraup-raup mukanya beberapa kali. Nak buat apa? Sudahlah pengetahuannya fasal motor ni memang tahap ‘zero’, tiba-tiba buat hal pula. Waktu malam pula tu. Masa dia sendirian lagi. Aiseh..

Iman mengambil keputusan untuk menolak motor itu hingga sampai ke rumahnya. Mahu berpatah balik ke rumah Pak Su, sudah jauh benar. Mahu menelefon emak, telefonnya pula tertinggal tadi. Mahu menangis? Buang masa sahaja. Jadi, mahu tidak mahu dia terpaksa menolak motor itu. Apa yang boleh dilakukan hanyalah berdoa meminta perlindungan daripada Allah. Semoga dia selamat sampai ke rumah tanpa sebarang halangan. Ya Allah, lindungi hambaMu ini!

“Hai cik adik manis, seorang je ke? Nak kami temankan?” satu suara menegurnya dari depan. Langkah Iman terhenti mendengar teguran itu. Jantungnya mula berdegup kencang.

Dia menarik nafas dalam. Doa terus diutus di dalam hati memohon perlindungan Yang Kuasa. Tanpa menghiraukan pemilik suara yang menegur, dia terus mengatur langkah melepasi mereka.

“Jalan seorang diri malam-malam macam ni bahaya tau. Banyak hantu di depan tu. Tak takut?” tanya salah seorang daripada mereka sambil menghampiri Iman.

“Tak,” jawab Iman ringkas.

Terdengar gelak-tawa lima orang lelaki di sekelilingnya. “Amboi beraninya. Jomlah, abang-abang semua temankan balik.” Salah seorang daripada mereka mula memegang motor yang sedang ditolak oleh Iman.

Iman memandang muka salah seorang daripada mereka yang berada di depannya. “Boleh tepi sikit? Saya nak lalu ni.” kata Iman tegas.

Kata-kata Iman itu langsung tidak diendahkan, bahkan mereka ketawa terbahak-bahak pula.

Iman mendengus. ‘Mamat-mamat ni memang nak kena dengan aku agaknya,’ gumam Iman di dalam hati.

Salah seorang daripada mereka cuba menyentuh Iman, tetapi sempat ditepis kasar oleh Iman. Motornya sudah ditongkatkan. Iman mula bersedia untuk mempertahankan dirinya. Dia sudah nekad, apa nak jadi pun, jadilah.

“Garangnya dia.”

“Kamu semua nak apa sebenarnya?” tanya Iman geram.

“Kami nak awak! Boleh?”

Iman angkat kepala. Dia kenal suara itu.

“Ijoy?” Iman hampir tidak percaya. Dia memandang satu-persatu wajah di sekelilingnya. Cahaya lampu jalan yang agak samar-samar itu menyebabkan dia hampir tidak mengenali orang yang menahannya, sehinggalah mendengar suara Ijoy tadi. Tiga orang daripada mereka sangat dia kenali kerana mereka merupakan rakan sekelas Ilham dulu.

“Tak sangka kau masih kenal aku,” Ijoy tersenyum sinis.

“Masakan aku lupa,” jawab Iman bersahaja. “Jadi, apa yang sebenarnya kau mahu daripada aku?”

“Tak ada apa-apa, hanya mahu bertemu ‘sahabat’ lama.” Ijoy berdiri tegak di hadapan Iman. Sedikit demi sedikit dia merapati tubuhnya dengan Iman.

Iman mengundur ke belakang. Dia mula diselimuti perasaan tidak enak. “Kau mahu membalas dendamkah?” tanya Iman penuh berani.

Ijoy ketawa lagi. “Kau memang bijak! Patutlah menjadi pelajar kesayangan cikgu dulu. Tapi sayang, aku benci dengan kelebihan yang kau ada tu!”

Iman beristighfar. Nampaknya dendam lama masih berdarah. “Kenapa kau masih berdendam dengan aku sedangkan perkara itu sudah lama berlalu?” tanya Iman lagi.

Iman direnung dengan pandangan tajam. “Sebab kau aku digantung sekolah! Sebab kau cikgu-cikgu membenci aku! Sebab kau aku dipinggir keluarga! Sebab kau juga aku dihantar ke pusat pemulihan! Kau tahu itu?!”

Iman tersentak mendengar pengakuan Ijoy. Mata Ijoy merah menahan marah. Mukanya masam dan kelat, penuh kebencian.

“Kau sudah salah faham pada aku,” Iman cuba menjernihkan keadaan.

“Salah faham? Kau ingat aku bodoh untuk percaya kata-kata kau?! Boleh jalanlah!”

“Ijoy, kami semua tak pernah membenci kau. Kami hanya mahukan yang terbaik untuk kau,” jelas Iman.

“Mahukan yang terbaik dengan cara mengadu pada cikgu tentang kegiatan aku? Sehingga pihak sekolah dan mak bapak aku mengambil keputusan untuk mencampakkan aku ke pusat pemulihan tu? Kau gila!”

“Itu sahaja cara…”

“Sudah! Aku malas dengar kau membebel,” jerkah Ijoy lagi. “Sekarang giliran kau pula untuk rasa apa yang aku rasa!”

Iman tidak sedap hati. Jantungnya berdegup lebih kencang daripada tadi. Ijoy memang betul-betul mahu membalas dendam. Mereka berlima bergerak menghampirinya dengan riak wajah yang sukar ditafsirkan.

“Apa kamu semua mahu lakukan,hah?” Iman memberanikan diri bersuara. Dirinya sekarang umpama sang kancil yang dikelilingi oleh harimau-harimau yang sedang kelaparan.

Mereka berlima ketawa lagi. Ya Allah, bantulah!

“Hoi! Kamu semua buat apa hah?!” satu suara menyergah mereka dari belakang. Pemilik suara itu dan seorang lain temannya turun dari motor dan bergerak ke arah mereka. Iman seakan mengenali dua wajah itu.

“Wah, hero sudah sampai. Makin menarik ni,” kata salah seorang daripada mereka yang kelihatan sedikit berisi.

“Kamu semua ni tak ada kerja lain ke selain kacau orang?” tanya salah seorang ‘penyelamat’ yang memakai baju berwarna coklat. Seorang lagi memakai baju berwarna biru.

Ahli kumpulan ‘pangacau’ itu hanya tergelak. “Tak ada,” jawab mereka selamba. “Kau sibuk sangat kenapa? Nak cari gaduh?” Mereka berlima mula bergerak menghampiri dua orang ‘penyelamat’ itu. Menjalar kerisauan di hati Iman. Ya Allah, apa pula yang akan terjadi ni?

Satu tumbukan padu dihalakan ke muka ‘penyelamat’ berbaju coklat. Tetapi berjaya dielak malah dibalas dengan satu tumbukan yang penuh ‘sengatan’ ke rusuk kanan si penyerang. Empat orang ‘pengacau’ yang lain mula menyerang dua ‘penyelamat’ serentak. Serangan bertubi-tubi menyebabkan dua ‘penyelamat’ itu seakan hampir lolos dalam pertarungan itu.

Iman garu kepala. Apa yang dia lakukan sekarang? Menjerit meminta tolong? Mana mungkin ada orang lalu di kawasan ini lewat-lewat begini. Dia memerhati si ‘pengacau’. Mereka ini pun bukan calang-calang orang rupanya. Masing-masing punya kemahiran dalam berlawan, patutlah si ‘penyelamat’ yang masih setahun jagung dalam dunia seni mempertahankan diri ini seperti sedang ‘sesak nafas’ berlawan  dengan mereka.

Iman mengatur langkah perlahan mendekati mereka semua.

“Sudahlah, berhenti!” jerit Iman. Namun, tidak ada sebarang reaksi positif daripada mereka semua..

“Berhenti! Jangan bergaduh lagi!” jerit Iman lagi. Sama seperti tadi, tiada sesiapa pun yang mendengar kata-katanya.

“Berhentilah!” Iman memberi amaran terakhir, tetapi tiada seorang pun yang menghiraukannya.

Iman menarik nafas dalam-dalam.

Mereka ini memang nak kena!


*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

Pak Su ketawa terkekeh-kekeh. Ilham yang mendengar cerita itu turut tergelak sama. Iman yang duduk di ruang tamu memanjangkan leher, melihat apa yang sedang berlaku di beranda rumah sehingga suasana menjadi hingar dengan gelak-tawa mereka.

“Kenapa dengan Pak Su dan along tu mak?” tanya Iman kepada emaknya yang baru sahaja meninggalkan beranda sesudah menghidangkan air buat dua beranak itu.

“Apa lagi, fasal kamulah,” kata Puan Maisarah sambil tersenyum ke arah Iman.

Iman buat muka. “Tak habis-habis nak bercerita fasal itu, dah lebih seminggu dah pun berlaku,” rungut Iman dengan suara yang sengaja dikuatkan.

“Walaupun sudah seminggu, tapi cerita ini masih panas, tahu?” balas Pak Su Idlan yang mendengar rungutan Iman. Kata-kata itu diiringi tawa kecil.

Iman diam kerana dia faham apa yang dimaksudkan oleh Pak Su. Dia sendiri pun mahu tergelak apabila teringat akan kejadian tempoh hari, inikan pula Pak Su yang memang suka menyakatnya.

Pada malam tersebut, Pak Su tiba-tiba sahaja muncul di tempat pergaduhan itu. Kata Pak Su, dia berasa tidak sedap hati membiarkan  Iman pulang sendiri. Tambahan pula, telefon Iman tertinggal di rumahnya. Jadi dia mengambil keputusan untuk ke rumah mak Iman bagi memastikan Iman sudah selamat sampai. Tetapi, semasa dalam perjalanan, lain pula yang dilihatnya. Tujuh orang pemuda bergaduh disebabkan Iman? 

Malangnya, si ‘penyelamat’ itu yang terpaksa diselamatkan. Mujur Pak Su tiba tepat pada waktunya. Kalau tidak, entah apa yang akan terjadi.

“Itulah, degil sangat. Kesian Rauf dan Ariff, lebam muka mereka ditumbuk oleh Ijoy dan kawan-kawannya. 

Nasib baik dua beradik itu ada juga bunga-bunga silat. Kalau tidak lagi parah.” Leter Pak Su semasa dalam perjalanan menghantar Iman pulang ke rumah. Iman hanya mendiamkan diri.

Rauf dan Ariff merupakan anak murid Pak Su. Baru sahaja sebulan. Lagipula, umur Rauf masih di awal belasan tahun manakala Ariff sebaya dengannya. Sebab itu tidak terlawan dengan Ijoy yang sebaya dengan along itu.

Gelak-tawa kedengaran semakin rancak. Iman berasa tidak puas hati kerana dirinya terus menjadi bahan ketawa Pak Su dan along. Dia segera menutup siaran televisyen yang ditontonnya sejak tadi dan melangkah perlahan ke beranda.

Belum pun sempat melabuhkan punggungnya ke atas kerusi, telinganya terlebih dahulu disapa ‘pujian’ daripada along. “Tak sangka adik along sudah menjadi orang paling popular di kampung ni sekarang.”

“Terima kasih kepada along untuk pujian itu,” kata Iman dengan gaya yang sengaja ‘diberlagakkan’. 

“Terima kasih juga kepada Pak Su Idlan kerana tidak jemu-jemu menaikkan nama saya.”

Kata-kata Iman itu meledakkan ketawa mereka berdua. Iman hanya menggeleng kepala.

“Cukuplah gelak tu, tak baik banyak gelak tau!” Iman memberi peringatan sambil menggerak-gerakkan jari telunjuknya.

Pak Su angguk faham. Ilham juga mula mengawal tawanya.

“Hmm, apa khabar dua ‘penyelamat’ Iman tu?” tanya Ilham apabila tawanya mula reda.

Iman angkat bahu. Selepas peristiwa itu, hanya sekali sahaja dia berjumpa mereka. Jadi, dia memang tidak tahu perkembangan terbaru dua beradik yang baik hati itu.

“Tak tahu?” Ilham angkat kening.

“Tak,” jawab Iman ringkas.

“Ada pula macam tu. Iman tak pergi jenguk mereka?”

“Pergi, tapi sekali je.” Iman sengih. Ilham menggeleng kepala. “Tapi Iman rasa mereka sudah sihat,” kata Iman dengan penuh keyakinan.

“Macam mana Iman tahu sedangkan sekali je pergi jenguk mereka?” tanya Ilham hairan.

“Tu,” Iman menjuihkan mulut ke arah jalan.

Ilham dan Pak Su Idlan segera memusingkan kepala ke arah tersebut. Dari jauh kelihatan dua-beradik yang baik hati itu sedang berjalan kaki menuju ke tempat mereka.

“Panjang umur mereka, baru je kita sebut-sebut, tiba-tiba dah muncul,” kata Pak Su Idlan. Ilham tersenyum mendengarnya.

“Assalamualaikum,” salah seorang daripada ‘penyelamat’ memberi salam.

“Waalaikumusalam,” jawab Ilham dan Pak Su serentak. Manakala, Iman sudah awal-awal lagi berlalu masuk ke dalam rumah. Segan pula untuk terus duduk di situ.

“Naiklah,” pelawa Ilham sambil bersalaman dengan mereka berdua.

“Kamu berdua ni dari mana?” tanya Pak Su Idlan kepada dua orang anak muridnya itu.

“Dari rumah Tok Busu, dia suruh betulkan paip air rumahnya tadi. Kebetulan ternampak Pak Su di sini, singgahlah sekejap,” jawab Ariff.

Pak Su Idlan angguk, bibirnya menguntum senyum.

Jauh di belakang rumah, Iman leka memerhati emaknya yang sedang menyiram sayur-sayuran yang telah mula menampakkan hasil. Inilah rutin harian emak. Setiap hari emak akan meluangkan masa untuk menjaga tanamannya, tidak kiralah pokok bunga ke, pokok sayur ke, semuanya pasti mendapat ‘belaian’ yang cukup daripada emak. Sebab itulah pokok-pokok di sekitar rumahnya hidup subur dan menjadi.

Cuba kalau dia yang tanam, pasti pokok-pokok itu ‘merajuk’ dan tidak mahu hidup kerana tidak mendapat jagaan yang sempurna. Kalau hidup sekalipun, pasti kurus melidi seperti tidak cukup zat. Nak buat macam mana, dia sememangnya tidak ada kemahiran  dan kerajinan yang cukup untuk menanam dan menjaga pokok. Iman tersenyum sendiri.

“Kenapa tak pergi berbual dengan Pak Su dan along kamu tu?” tanya Puan Maisarah kepada Iman yang berada tidak jauh darinya.

“Seganlah, ada Ariff dan Rauf,” jawab Iman. Jarinya pantas mencabut rumput-rumput kecil yang mula seronok membiak di atas batas sayur emak. Dia tidak mahu rumput-rumput itu menjadi pesaing kepada pokok sayur dalam usaha merebut makanan dan cahaya matahari. Kalau dibiarkan, tidak mustahil sayur itu akan menjadi kurus melidi, seperti sayur yang pernah ditanamnya dulu.

“Mereka sudah sihat?”

“Nampaknya begitulah,” jawab Iman pendek. Tangannya masih sibuk mencabut rumput-rumput kecil di batas sayur.

Puan Maisarah senyum. Biarpun Iman kelihatan seperti tidak mengambil berat keadaan Ariff dan Rauf, tapi dia yakin Iman pasti risaukan mereka, cuma tidak dipamerkan sahaja perasaan itu.

*******
“Kenapa mereka datang tadi?” soal Iman kepada Ilham yang sedang leka membaca majalah.

“Siapa?” Ilham pura-pura tidak tahu.

“Ariff dan Rauflah, siapa lagi.”

“Saja datang tanya khabar Iman,” kata Ilham mengusik.

“Yalah tu,” kata Iman perlahan. Ilham sengih. “Hmm, bila along mahu ke rumah Pak Ngah?”

“Minggu depan, InsyaAllah. Tak sabar rasanya.”

Iman memandang Ilham. “Iman rancang nak ikut along, tapi, mak kata along nak bawa kawan, ya?”

Ilham angguk. “A’ah. Along nak bawa kawan serumah along.”

“Kawan yang bersama dengan along tempoh hari?” tanya Iman lagi sambil mengingati pertemuan mereka yang berlaku secara tidak sengaja dulu.

“Ya.” Ilham membetulkan duduknya. “Kalau Iman nak tahu, dialah antara sahabat yang paling along sayang.” Bibirnya mengukir senyum.

“Ya? Kenapa? Tentu dia baik orangnya, kan?” tanya Iman dalam nada yang sedikit ceria. Mana tidaknya, pertama kali dia mendengar pengakuan sebegitu lahir dari bibir along.

Senyuman Ilham melebar. Dia angguk perlahan. “Dia memang baik, sangat-sangat baik orangnya. Sebelum ini, along memang tak suka berkawan dengan dia. Yalah, gaya dia tu mengalahkan ustaz. Hari-hari dia tazkirahkan along ni. Solat kena jaga, pergaulan kena kawal, itu boleh buat, ini tak boleh buat. Ish, sampai naik bosan jugalah along dengar dia membebel. Telinga ni pun dah rasa nak bengkak dengar ceramah dia,” cerita Ilham sambil menghalakan jari telunjuk ke arah telinga.

Iman tersenyum. “Habis tu, macam mana boleh jadi kawan baik pula sekarang?” soalnya lagi. Sejujurnya, cerita along telah bejaya menarik minatnya untuk terus bertanya dan mengetahui hal sebenarnya.

“Itulah salah satu tanda kekuasaan Allah,” jawab Ilham ringkas. Dia menutup majalah di tangan sebelum menyambung cerita. “Sebenarnya, along tertarik dengan sikapnya yang penyabar dan sentiasa tenang. Dia tak pernah meninggikan suara kepada along walaupun along pernah tengking dan marah dia kerana mencampuri urusan along. Banyak perkara yang along buat untuk naikkan kemarahan dia, tapi, semuanya dibalas dengan senyuman dan nasihat.”

Ilham menghela nafas. Pandangannya ditundukkan ke lantai. Iman pula sedang tekun melihat wajah alongnya itu, menanti butiran cerita yang selanjutnya. Makin menarik!

“Satu hari, secara tak sengaja along terdengar dia berdoa kepada Allah supaya memberikan hidayah kepada along. Entah kenapa, along rasa sebak sangat masa tu. Orang yang selalu along marah, orang yang pernah along tengking, berdoa sesuatu yang baik buat along. Hati along benar-benar tersentuh!”

Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu akbar,” pujian itu mengalun perlahan di bibir Iman. Sungguh, Allah itu Maha Besar!

“Sejak hari itu, along lebih banyak mendiamkan diri, lebih-lebih lagi bila dia ada di rumah. Along malu sangat dengan dia. Dan, sejak hari itu juga, along cuba menilai diri along semula. Alhamdulillah, Allah detikkan hati along untuk berubah. Pada awalnya memang susah untuk meninggalkan semua tabiat lama along, sampai satu tahap along rasa mahu berputus asa. Tapi, Allah telah mengirimkan seorang sahabat yang baik buat along, dan Dia menguatkan semangat along melalui dia.” Ilham melempar senyum ke arah Iman yang kelihatan sangat khusyuk mendengar ceritanya.

Alhamdulillah.” Iman membalas senyuman Ilham. Di sudut kecil hatinya, lahir sedikit perasaan kagum kepada sahabat along itu. Sikap penyabar dan tenang. Ya, dia juga perlu mencontohi sikap itu!

“Hmm, siapa nama kawan along itu?” soalan itu disuarakan tanpa sedar. Alamak!

Ilham mencerunkan matanya ke arah Iman. “Aik? Kenapa tiba-tiba tanya nama pula ni? Iman tertarik pada diakah” tanya Ilham, sengaja mahu menyakat Iman.

Iman geleng. “Eh, mana ada. Saja nak tahu, along ni, ada-ada je..” nafi Iman.

Ilham senyum. “Nama dia Hakimi, Mohd Izhar Hakimi.”

“Oh..Hakimi,” Iman senyum.

“Dia orang Selangor, baik, peramah, sama jurusan dengan along, dia..”

“Along!”

“Kenapa pula?”

“Iman tanya nama saja,” Iman mengingatkan.

“Eleh, along tahu Iman nak tanya soalan tu, tapi malu, kan?” duga Ilham lagi.

Iman mencebik. “Malas layan along!” Dia bingkas bangun dan bergerak ke dapur.

“Malulah tu.” Ilham ketawa kecil, lucu melihat reaksi Iman. Kalau Iman betul-betul tertarik pada Hakimi pun apa salahnya? Iman, Hakimi. Hakimi, Iman. Senyuman Ilham semakin melebar.

No comments:

Post a Comment