Sunday 16 October 2011

Seindah Takdir (Part11)


‘Yang dekat (hari Kiamat) telah makin mendekat. Tidak ada yang akan dapat mengungkapkan (terjadinya hari itu) selain Allah. Maka apakah kamu berasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu tertawakan dan tidak menangis, Sedang kamu lengah daripadanya. Maka bersujudlah kepada Allah dan sembahlah (Dia)’

Iman membaca terjemahan ayat 57 hingga 62 daripada surah Al-Qamar itu beberapa kali. Hatinya dilanda debar. Kolam matanya mula bertakung. Jejari mulusnya menyelak halaman kitab suci itu satu-persatu. Maksud ayat 1 hingga 6 surah Al-Waqiah pula ingin dihayati.

‘Apabila terjadinya hari kiamat, terjadinya tidak dapat didustakan (disangkal). (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain). Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung-gunung dihancurluluhkan sehancur-hancurnya, maka jadilah ia debu yang berterbangan’

Iman memejamkan matanya rapat. Jantungnya berdegup kencang. Ya Allah, betapa dahsyatnya. Bumi digoncangkan, gunung-gunung dihancurluluhkan, menjadi debu yang berterbangan. Ayat itu diulang beberapa kali. Sudah dihafal dan terlekat di hati. Perasaan takut dan gentar tidak lagi dapat dibendung. Kolam matanya pecah. Juraian airmata mengalir membasahi pipi gadis berusia 21 tahun ini. Matanya masih terpejam rapat. Al-Quran berkulit coklat itu dipeluk erat. Bibirnya laju mengalun berzikir. Lidahnya basah dengan zikrullah. Hatinya tidak henti memohon ampun.

Sepuluh minit berlalu. Dirinya mulai tenang. Iman menyeka airmata yang masih bersisa. Dia menyambung kembali membaca kalam Allah itu berserta terjemahannya. Baginya, apalah erti kalau setakat membaca tetapi tidak mengerti maksudnya. Iman sedaya upaya cuba memahami setiap maksud ayat al-Quran yang dibaca dan akan berusaha mengamalkannya. Bukankah itu yang terbaik? Iman ingin menjadi seorang hamba yang sentiasa membaca dan berdamping dengan al-Quran kerana orang yang sentiasa membaca dan berdamping dengan al-Quran adalah orang yang sangat dikasihi oleh Allah s.w.t. Sungguh pemurah sang Pencipta kerana setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran yang besar. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ; barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan (digandakan) dengan sepuluh kebaikan seumpamanya. Tidak aku katakana ‘Alif Lam Mim’ itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Tumpuan Iman terganggu dek deringan telefon bimbitnya di atas meja. Dia bingkas bangun untuk menjawab panggilan tersebut. Dahinya berkerut seribu. Terkejut melihat nama pemanggil yang terpampang di skrin telefonnya.

“Assalamualaikum,” kata Iman sejurus selepas menekan punat berwarna hijau.

“Waalaikumusalam,” si pemanggil menjawab. “Iman sihat? Tengah buat apa?”

“Alhamdulillah, sihat. Iman tengah mengaji. Along bagaimana? Sihat? Ada apa ya telefon Iman ni?” soal Iman lambat-lambat.

“Sihat, Alhamdulillah. Along saja nak bertanya khabar Iman. Dah lama rasanya kita tak berbual kan?”
Iman terdiam. Dirinya masih terkejut. Benarkah alongnya yang berada di hujung talian tika ini?

“Err..Iman sibuk ya? Kalau macam tu lain kali je la along telefon balik,” kata si pemanggil apabila tidak mendapat respon daripada Iman.

“Eh, bukan macam tu. Iman.. Iman..cuma tak tahu nak cakap apa.”
Tawa kecil kedengaran di hujung talian. “Tak apa, along faham. Okeylah, nanti ada masa lapang along call lagi. Iman kalau free tu jangan segan-segan call along ya. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum,”

“Waalaikumusalam,”

Iman memandang telefon di tangannya tanpa berkelip. Ya Allah, betulkah suara along yang didengarinya sebentar tadi? Apa mimpi along menelefonnya malam-malam begini? Lain benar suaranya tadi. Lembut. 
Tidak menengking dan kasar seperti selalu. Apa yang tidak kena? Sakitkah dia? Atau sedang dirundum masalah? Ahh.. rasa bersalah kerana bersikap acuh tidak acuh sebentar tadi mula bersarang di hati. Bukan dia sengaja, cuma dia terkejut. 'Nak kena call balik ke?’ soal Iman kepada diri sendiri. Namun dia tidak punya kekuatan untuk itu. Jadi hanya SMS yang dihantar. Iman menanti jawapannya penuh sabar.

Tet..tet.. 1 message received.

Dia lantas membuka mesej yang baru diterimanya.

Wsalam..Iman jangan risau. Along ok je. Along hanya mahu bertanya khabar. Sudah, jangan fikir yang bukan2.Take care. J

Sender : Along

Iman tersenyum. Semoga along baik-baik sahaja. Namun dia masih tidak dapat berhenti berfikir mengenai sikap along sebentar tadi. Adakah along sudah berubah? Atau ada sesuatu yang along inginkan daripadanya lantas dia mula berbaik-baik? Astagfirullah..Iman beristighfar. Dia sedar dia tidak patut bersangka buruk begitu lebih-lebih lagi kepada abang kandungnya sendiri.

Azan isyak yang berkumandang dari surau Kolej Keenam menyedarkan Iman daripada lamunannya. Setiap kalimat azan yang dilaungkan dijawab dengan baik. Setelah habis laungan azan, Iman melangkah ke bilik air untuk memperbaharui wudhuknya. Dia ingin mendoakan along di penghujung solatnya kali ini. Kakinya melangkah tenang melalui aras dua Blok Cermai yang sunyi sepi.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Rumah Nur Hikmah gamat dengan keriuhan suara dan gelak tawa. Kehadiran 25 orang ahli Kelab Penyayang menambah keriuhan penghuninya berbanding hari biasa.

Di satu sudut kelihatan Iman dan Aisyah sedang  melayan beberapa orang adik yang berusia dalam lingkungan 4-8 tahun. Adik-adik itu kelihatan tekun mendengar Iman dan Aisyah bercerita tentang sejarah Nabi Muhammad S.A.W, sambungan kisah minggu lepas. Di kawasan halaman rumah pula kelihatan Nazia dan Ainni tidak habis-habis meminta penghuni cilik di rumah itu melakukan pelbagai pose untuk dirakam dalam kamera milik mereka. Seronok benar mereka bergaya di hadapan kamera, mengalahkan model pula.

Adik-adik lelaki pula sedang bersesak mengerumuni Basri dan Faizal yang berhempas-pulas berlawan  dalam permainan catur. Hanya beberapa orang daripada mereka yang lari dari kesesakan itu dan bermain sendiri. Beberapa orang ahli Kelab Penyayang yang lain turut sibuk melayan kerenah adik-adik di rumah itu. 

Ada yang sedang buat kerja sekolah. Ada yang sedang menonton televisyen. Tidak kurang pula, ada yang sibuk bermain game di handphone.

Lawatan berkala ke Rumah Nur Hikmah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli Kelab Penyayang. Ada sahaja aktiviti menarik yang dilakukan saban minggu. Cuma, minggu ini mereka tidak sempat untuk merancang sebarang aktiviti yang menarik disebabkan kekangan masa. Selepas berakhirnya aktiviti mentor-mentee pagi tadi, mereka menghabiskan masa dengan bersantai seperti ini. Tambahan pula, cuaca hari ini agak terik dan tidak sesuai untuk melakukan aktiviti outdoor. Mentor-mentee adalah aktiviti di mana adik-adik yang sudah bersekolah diberi sedikit latih tubi untuk meningkatkan kefahaman mereka dalam beberapa subject tertentu.

“Anak-anak semua, minum petang sudah siap. Mari, kita minum dulu. Lepas tu kita solat Asar bersama-sama sebelum kakak dan abang bertolak pulang,” panggil penjaga mereka, Puan Siti.

“Hah, itu Ummi sudah panggil. Jom kita masuk,” ajak Aisyah. Tangannya memimpin dua orang adik perempuan, Nurul yang berusia tujuh tahun dan Akma yang berusia lima tahun. Iman bingkas bangun dan membuntuti langkah Aisyah dari belakang sambil memimpin sepasang kembar, Ameera dan Azeera. Mereka kelihatan sangat mesra dengan adik-adik itu.

Suasana di ruang makan tidak terlepas daripada kegamatan. Ada sahaja gelagat adik-adik yang perlu dilayan. Tetapi, mereka semua senang dengan keadaan itu. Riak kegembiraan terpancar di wajah masing-masing.

“Hari ini awak nampak ceria sangat,” kata Aisyah kepada Iman. Tangannya sibuk membuka bungkusan lepat pisang untuk Akma yang duduk di sebelahnya.

“Saya memang sentiasa cerialah, bukan hari ini sahaja,” nafi Iman. Ameera yang berada di atas ribanya merengek meminta air. Azeera yang melihat Iman memberi perhatian kepada Ameera turut merengek, cemburu agaknya. Iman senyum, wajahnya tenang sahaja melayan pasangan kembar itu.

“Tapi hari ini macam terlebih-lebih ceria, kenapa? Ada berita baik?” tanya Aisyah lagi.

Iman tersenyum. Tetapi, belum sempat dia membuka mulut, Nazia terlebih dahulu menyampuk.

“Macam manalah tak ceria, along dia telefon malam tadi. Siap tinggalkan pesan supaya jaga diri baik-baik lagi.”

“Betulkah?” Aisyah seakan tidak percaya.

Iman angguk.

“Maknanya kamu berdua sudah berbaik semula?” senyuman Aisyah makin melebar.

“Mungkin,” jawab Iman.

“Alhamdulillah. Akhirnya, berbaik juga! Syukur sangat.” Aisyah gembira bagi pihak Iman. Akhirnya Allah makbulkan juga doa Iman untuk berbaik dengan Ilham. Inilah antara perkara yang sangat diimpikan oleh Iman selama ini.

“Tapi, Iman rasa risau..” kata Iman perlahan.

“Risaukan apa?”

“Iman sendiri tak tahu apa yang Iman risaukan. Yang pasti sekarang, Iman rasa tak sedap hati. Macam ada sesuatu yang tak kena.” Iman memandang Aisyah dan Nazia. Bukan dia mahu berfikiran negatif, apatah lagi mahu berburuk sangka kepada along, cuma dia memang berasa tidak sedap hati sekarang. Seperti yang diluahkan tadi, dia sendiri tidak tahu mengapa perasaan itu boleh hadir.

“Sudahlah, Iman jangan fikir yang bukan-bukan. InsyaAllah, tak ada apa-apa tu,” kata Aisyah.
Nazia mengangguk. “Betul kata Aisyah tu. Mungkin disebabkan along awak dah selalu berkasar dengan awak, jadi, bila dia cakap elok-elok, awak rasa benda tu macam asing sangat dalam hidup awak. Sebab itu terlahirnya perasaan tak sedap hati tu,” sambung Nazia seakan sedang mengeluarkan teorinya sendiri.

“Mungkin juga. Baiklah, mulai sekarang saya tak akan berfikiran negatif lagi. Yang penting, saya akan terus berdoa agar along benar-benar berubah.”

“Macam itulah baru betul.” Aisyah memeluk bahu Iman. Nazia juga melakukan perkara yang sama. Mereka bertiga ketawa perlahan.

Tanpa disedari, sepasang mata sedang leka memerhati gelagat mereka bertiga. Bibirnya mengukir senyum seakan dirinya turut sama merasai kegembiraan yang dirasai oleh Iman, Aisyah dan Nazia. Sebenarnya, dia akan gembira apabila melihat Iman gembira. Hatinya juga akan senang apabila melihat Iman tersenyum. Dia tidak dapat menafikan perasaannya terhadap Iman. Sudah puas dia menahan, sudah puas dia menolak, tetapi perasaan itu tidak pernah padam. Malah makin segar dalam hatinya. Tetapi Iman tidak pernah tahu akan hal itu. Begitu juga dengan teman-teman yang lain.

Faizal yang perasan dengan pandangan ‘maut’ Basri mula menggeleng kepala. Kalau ya pun suka, janganlah tunjuk sangat. Cover-coverlah sikit. Ish..

Faizal segera menepuk paha Basri. “Weh!” Terkejut bukan main kawan tu apabila tiba-tiba ditepuk.

“Aku tahu kau suka dia, tapi janganlah pandang sampai macam tu. Cover sikit. Nanti kalau bukan dia perasan, orang lain yang akan perasan, tahu?” bisik Faizal ke telinga Basri.

Gedebuk! Bagai baru terjatuh dari pokok. Basri segera menundukkan mukanya yang sudah merah menahan malu. Macam mana pula dia boleh tahu? Aiseh…

Faizal tutup mulut menahan ketawa. Itulah padahnya kalau tidak pandai cover!

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Aisyah baru usai menunaikan solat isyak. Dia melihat teman sebiliknya, Husna yang sedang sibuk melayan cerita korea yang terpampang di skrin laptopnya. Sejak petang tadi gadis itu tidak henti-henti menonton movie. Minat benar Husna dengan movie yang datangnya dari jiran negara matahari terbit itu.

“Husna dah solat?” dia memberanikan diri untuk bertanya. Diam. Tiada jawapan yang diperoleh. 

Mungkin headphone yang dipakai telah menghalang laluan germersik suara Aisyah daripada dikesan gegendang telinga. “Husna,” Aisyah cuba memanggil sekali lagi. Namun, tiada suara yang menyahut.

Langkah kaki diatur mendekati tubuh gadis bernama Husna. Husna yang perasan akan kehadiran Aisyah disebelahnya menoleh sambil menyangkat kening sekali. Mungkin bertanya ‘kenapa’? Dia menanggalkan headphone yang dipakainya apabila melihat Aisyah seperti mahu berbicara.

“Husna dah solat?” Aisyah mengulangi soalan yang sama. Dia mengekalkan senyuman di bibir. Tidak mahu Husna tersalah sangka akan pertanyaannya.

“Belum,” jawab Husna malas.

“Solatlah dulu. Cerita tu boleh sambung tengok kemudian kan?” Aisyah menegur lembut.

“Sekejap lagi saya solatlah, masih awal lagi ni,” Husna mencemik.

“Bukankah solat di awal waktu itu lebih baik?”

Husna diam. Dia bingkas bangun dan melangkah ke pintu. “Baiklah ustazah, saya solat sekarang.” 

Kakinya terus diayun melangkah ke bilik air.

Aisyah menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum. Husna memang berperangai begitu. Walaupun baru beberapa minggu mereka tinggal sebilik, namun Aisyah seperti sudah masak dengan perangai Husna. Degil, cepat marah dan tidak suka diganggu. Namun, Aisyah dapat rasakan masih banyak sifat-sifat baik yang terselit dalam diri gadis dari Johor itu. Cuma perlu ditarik keluar sahaja.

Husna mengeluh kecil apabila teringat akan peristiwa itu. Sebetulnya sudah banyak kali Aisyah menegur sikapnya yang suka melewat-lewatkan solat. Tetapi dia hanya buat endah tak endah sahaja. Cuma kali itu dia terdetik hati untuk terus menunaikan solat sehabis Aisyah menegurnya. Kalau tidak, pasti dia akan terus berbaring dan buat-buat tidur.

“Kita tidak boleh mengambil mudah dalam hal solat kerana solat itu merupakan ibadah yang penting buat kita,” kata Aisyah.

“Kenapa pula?” soal Husna kehairanan.

“Solat merupakan satu-satunya ibadah yang Allah perintahkan secara langsung kepada Rasulullah semasa dalam peristiwa Israk Mikraj. Tidak seperti ibadah lain yang Allah perintahkan melalui perantaraan malaikat Jibril. Sebab itu, solat menjadi tiang agama. Mendirikan solat itu umpama seperti kita mendirikan agama, dan meninggalkan solat pula umpama kita sedang merobohkan agama,” terang Aisyah bersungguh-sungguh. Husna disebelahnya terdiam.

Melihat Husna yang hanya mendiamkan diri, Aisyah menyambung kembali apa yang disampaikan sebentar tadi. “Dalam peristiwa yang bersejarah itu, Allah memerintahkan umat Muhammad untuk mengerjakan solat fardu 50 kali sehari semalam. Semasa Nabi Muhammad turun, baginda bertemu denga Nabi Musa. Nabi Musa menasihatkan Rasulullah supaya meminta Allah mengurangkan bilangan fardu solat. Allah memperkenankan permohonan Rasulullah dan akhirnya tinggal 5 fardu solat sehari semalam sahaja. Hmm, seperti yang kita amalkan sekarang. Walaupun kita hanya solat 5 kali sehari, tetapi Allah tetap memberi pahala menyamai 50 kali. Lihat, betapa kasihnya Allah kepada kita,” Aisyah memberi keterangan panjang lebar. Husna terkesima. Hatinya tersentuh. Subhanallah!

“Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud ; ‘Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada hari kiamat ialah tentang solatnya. Allah berfirman kepada malaikatNya, sedang Dia mengetahui, “Periksalah solat hambaKu, apakah cukup atau kurang? Kalau cukup catatkan cukup, dan kalau kurang (solat fardu mereka),” maka Allah berfirman lagi, “Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (solat) sunat? Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya,” lalu Allah berfirman lagi , “Cukupkanlah kekurangan solat fardu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya.” Kemudian diperhitunglah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.” (hadis riwayat Ahmad dan At-Turmuzi daripada Abu Hurairah).

Huraian Aisyah yang panjang lebar itu sekalipun tidak dicelah. Dalam diam dia gentar. Dalam tenang dia ketakutan. Solatku! Pipinya terasa panas. Empangan matanya pecah.

Keluhan berat dilepaskan. Husna merenung ke luar. Aisyah telah membuka matanya yang telah ditutup sekian lama. Aisyah berjaya menyentuh hatinya dengan izin Yang Esa. Husna memejam matanya rapat. Dia membiarkan wajahnya dipukul angin yang bertiup lembut. Imbauan semalam kembali menjengah jendela memori.

“Apa ni?” soal Husna penuh kehairanan.

“Hadiah buat sahabat,” Aisyah menjawab penuh bersahaja.

“Tapi hari ini bukan birthday saya,” Husna membetulkan. Mungkin Aisyah tersilap melihat tarikh.

“Hadiah tak semestinya diberi masa birthday sahaja kan? Ambillah,” Aisyah terus menghulurkan bungkusan berwarna putih kekuningan itu kepada Husna. Bungkusan itu bertukar tangan. “Hmm, Aisyah ada kelas. Pergi dulu, assalamualaikum,” sekuntum senyuman dihadiahkan buat temannya itu.

“Ok, waalaikumusalam,” Husna menghantar Aisyah dengan pandangan mata. Dia membelek-belek bungkusan yang diberi oleh Aisyah sebentar tadi. Tangannya membuka bungkusan itu dengan cermat.

Kedua-dua belah keningnya terangkat apabila melihat isinya. Sebuah buku bertajuk ‘Wanita, Indahnya Dirimu Berjilbab’ dipegang kemas. Sehelai kain berwarna merah jambu, warna kesukaannya, diteliti. ‘Eh, tudung?’hatinya berbisik. Tiba-tiba sehelai kertas seakan surat jatuh ke atas lantai. Dia lantas mengambil dan membacanya.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Buat sahabatku Hidayatul Husna yang dikasihi kerana Allah,

Bertuah diriku dipertemukan denganmu. Seorang gadis yang penuh keistimewaan. Sungguh dirimu merupakan seindah kejadian, dijadikan oleh Pencipta dengan penuh ketelitian. Namun wahai sahabat, ada sedikit perkara yang aku ingin nasihatkan.

Kau seorang gadis yang cantik sahabatku. Tetapi, menurut pandanganku, kau akan lebih cantik jika menutup rambutmu. Jangan biarkan lelaki yang tidak berhak melihatnya. Biarkan kecantikannya menjadi rahsia antara kau dan pahlawanmu kelak. Kau juga seorang gadis yang manis dan penuh keayuan. Namun, menurutku lagi, dirimu akan lebih manis dan ayu jika berpakaian mengikut syariatNya. Kemanisan dan keayuanmu terserlah, namun keindahanmu tetap terpelihara.

Maaf jika isi surat ini tidak menyenangkan. Maaf juga jika ada ketelanjuran kata. Bukan tujuanku ingin menggores hatimu. Bukan juga mahu melukakan. Cuma aku terlalu mengasihimu. Payah untuk aku tuturkan ketika berdepan denganmu. Justeru, warkah ini aku layangkan. Terimalah pemberian yang tidak seberapa daripada temanmu ini.

Wanita itu merupakan perhiasan. Dan seindah-indah perhiasan adalah wanita yang solehah.

Yang mengasihimu kerana ALLAH,

Aisyah

Husna melipat kembali surat itu. Dia kembali menatap buku dan sehelai kain tudung pemberian 
Aisyah di hadapannya. Hatinya tersentuh lagi.

“Mengelamun nampak,” Aisyah menegur.

Teguran Aisyah mengembalikan Husna ke dunia nyata. Dia hanya tersenyum. “Sudah lama balik?” soalnya kepada Aisyah. Tidak sedar pula bila Aisyah muncul di kamar kecil itu.

“Lama juga sampai penat tengok orang tu mengelamun,” Aisyah berseloroh. Husna mengangkat keningnya tanda terkejut.

“Biar betul,” Husna terpedaya.

“Baru sampailah. Main-main je tadi,” Aisyah ketawa..

“Nakal,” Husna pura-pura marah. Cubitan kecil dilayangkan ke pipi Aisyah. Tetapi tidak mengena, bahkan hidungnya pula menjadi sasaran tangan Aisyah. “Sakitlah,” Husna mengadu. Aisyah hanya ketawa melihat keletah temannya itu.

“Macam mana dengan PD?” soal Husna bagi mengelak serangan seterusnya daripada Aisyah. Lagipula, Aisyah baru sahaja pulang dari program meraikan pelajar tahun akhir fakultinya atau lebih dikenali dengan Majlis Jalinan Kasih (MJK) yang diadakan di Pantai Batu 3, Bagan Pinang, Port Dickson.

Aisyah tersenyum manis. “Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Cuma penat sedikit.”

Husna angguk faham. Manalah tidak letih, semalam pergi ke rumah anak-anak yatim di bawah Kelab Penyayang, hari ini ke Port Dickson untuk program fakulti pula. Kalau dia sendiri, mesti tidak tahan punya. Sudahlah hari biasa sibuk dengan kuliah, hari cuti pula sibuk dengan aktiviti kelab dan persatuan. Memang kena betul-betul pandai bahagikan masa.

“Pergilah mandi, biar segar sedikit badan tu,” arah Husna. Dia menghulurkan tuala kepada Aisyah.

Ok! Terima kasih,” kata Aisyah sambil mengenyit mata. Dia bangkit dari katilnya.

 “Hah, sebelum terlupa, tadi Iman ajak kita pergi ke Fakulti Kejuruteraan minggu depan. Ada ceramah berkaitan dengan solat katanya. Hmm..dia cadangkan kita ajak Karina sekali. Macam mana?”

“Saya ok je! Nanti saya beritahu dia, InsyaAllah.”

“Alhamdulillah,” kata Aisyah. Dia terus melangkah lemah ke bilik air sambil mengurut lehernya. Letihnya..

Senyuman Husna masih tidak lekang daripada bibir biarpun wajah Aisyah sudah hilang daripada pandangan. 

Dia kagum melihat Aisyah dan Iman. Walaupun mereka sibuk dan letih, tetapi mereka masih ingat akan Karina. Kesibukan dan keletihan bukan alasan untuk mereka melupakan janji mereka kepadanya.

Karina..moga Allah lembutkan hatimu dik.

Friday 14 October 2011

Seindah Takdir (Part10)


“Kau ada adik-beradik?” soal Ilham kepada Hakimi. Dia sekadar ingin tahu, lebih-lebih lagi mereka sekarang dalam perjalanan ke rumah Hakimi.

“Ada, adik perempuan.” jawab Hakimi ringkas. Dia sedang menumpukan perhatian kepada pemanduannya.

“Abang atau kakak, ada?”

“Aku anak sulung. Kami hanya dua-beradik sahaja.” Hakimi memandang Ilham sekilas. “Kenapa?”

“Saja nak tahu. Kau tak pernah cerita tentang keluarga kau pada aku.”

Hakimi senyum. “Kau pun sama.”

“Hehe..” kan dah terkena balik. “Aku pun anak sulung, dua beradik juga macam kau. Ayah aku dah tak ada, tinggal mak je seorang diri di kampung. Adik aku pula belajar di UPM.” Cerita Ilham tanpa dipinta.

“UPM? Dekatlah kalau macam tu. Bolehlah selalu jumpa.”

“Tak pernah jumpa pun,” kata Ilham perlahan. Dia membuang pandangan ke depan.

“Kenapa? Sebab terlalu sibukkah?” Hakimi cuba mencungkil cerita. Selama ini dia tidak pernah tahu Ilham ada seorang adik yang sedang belajar di UPM. Dia bertambah terkejut apabila Ilham mengaku bahawa dia tidak pernah berjumpa adiknya di sana. UKM dan UPM, bukannya jauh sangat. Senang sahaja kalau mahu berjumpa. Pulang ke kampung pun boleh bersaing.

“Bukan. Aku yang tak suka jumpa dia.” Ilham berterus-terang.

Dahi Hakimi berkerut. Sekali lagi dia terkejut dengan pengakuan Ilham. “Hubungan kamu berdua tak baik dan dia selalu sakitkan hati kau? Adik-beradik Ilham, biasalah kalau selalu bergaduh.”

“Kami bukan setakat selalu bergaduh, tapi kami tak pernah berbaik pun.”

“Astagfirullah.. Kenapa boleh jadi sampai begitu?”

“Aku pun tak tahu kenapa. Sudahlah, aku malas nak cerita tentang dia.”

Hakimi menghela nafas. “Ilham, kau patut bersyukur sebab masih ada adik. Hargailah dia selama dia masih ada di hadapan kau. Sedangkan dengan orang lain pun kita perlu berbuat baik, apatah lagi dengan adik-beradik sendiri,” nasihat Hakimi.

Ilham mendiamkan diri. Malas untuk terus bersoal-jawab. Dalam hati, dia mengakui kebenaran kata-kata Hakimi itu.

******
“Papa, mama, abang Kimi dah sampai!” jerit Nabila sebaik sahaja kereta Hakimi berhenti di hadapan rumah mereka. Memang dia sengaja duduk di depan rumah untuk menanti kepulangan abangnya itu. Rindu!

“Assalamualaikum.” Hakimi memberi salam sebaik sahaja turun dari kereta. Tangannya bersalaman dengan Nabila yang kelihatan sungguh ceria. “Mana papa dan mama?” soal Hakimi kepada Nabila kerana dia masih tidak melihat kelibat orang tuanya itu.

“Ada di dalam. Adik dah panggil tadi, sekejap lagi keluarlah tu.” Nabila muncung ke arah kereta. “Siapa tu? Kenapa tak keluar?”

Hakimi tepuk dahi. Lupa pula dia membawa teman.

“Ilham, keluarlah. Mari aku kenalkan dengan keluarga aku.”

Ilham angguk dari dalam kereta. Sebenarnya dia kagum melihat villa yang besar ini. Tak sangka, rupanya Hakimi ini anak orang kaya. Tapi, mengapa dia sanggup tinggal bersama mereka di rumah teres yang kecil itu? Pelik bin Hairan…

“Ilham!” Hakimi menepuk bahu Ilham. Ilham tersedar daripada lamunan. “Ish..boleh pula dia termenung kat sini. Jom masuk,” ajak Hakimi sambil tersenyum. Tangannya sedang dipaut erat oleh seorang gadis.

“Ni adik aku, Fatin Nabila.” Hakimi memperkenalkan adiknya kepada Ilham. Ilham hanya tersenyum sambil menganggukan kepala. Hakimi dan Nabila berjalan beriringan masuk ke dalam rumah, manakala, Ilham membuntuti langkah mereka dari belakang.

Badannya menjadi seram sejuk sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam villa yang besar itu. “Ya Allah, besarnya rumah!” Ilham seakan terpegun kerana ini kali pertama dia melangkah masuk ke dalam rumah orang berada. Memang mengagumkan. Sudahlah bahagian luar tadi sudah luas, dalam rumah ini juga tidak kurang hebatnya. Di tambah lagi dengan isi perhiasan yang mahal-mahal. Subhanallah!

“Papa, mama, inilah Ilham, teman serumah Kimi.” Hakimi memperkenalkan Ilham kepada ibu bapanya pula. Ilham segera bersalaman dengan Tuan Muhammad sebagai tanda hormat.

“Segak juga orangnya,” puji Tuan Muhammad.

“Ish, Tuan ni, mana ada segak. Biasa-biasa sahaja,” balas Ilham sambil menahan malu. Berderai tawa mereka di ruang tamu.

“Apa pula berTuan-tuan ni? Panggil pak cik sahaja sudah cukup, nak panggil papa pun boleh. Tak jadi masalah. Betul tak Kimi?” kata Tuan Muhammad mesra.

“Betul, barulah mesra sedikit. Tak gitu papa?”

Tuan Muhammad angguk mengiakan kata-kata anak lelakinya itu.

“Bermalam di sini hari ini?” soal Puan Kamariah pula.

“Tak sempatlah mama. Projek tak siap lagi. Inipun Kimi balik untuk ambil barang yang tertinggal minggu lepas.”

“Kamu ni sekarang sibuk je memanjang, balik rumah pun sudah jarang-jarang,” rungut Puan Kamariah.

Hakimi mendekati mamanya. Bahu Puan Kamariah dipeluk erat. “Ma, Kimi kan tahun akhir sekarang. Memanglah sibuk sikit. Tapi mama jangan risau, hari-hari Kimi telefon mama. Macam mana?” pujuk Hakimi.

“Awak ni Yah, cubalah faham sikit tugas Kimi ni. Dia tahun akhir sekarang, tahun paling penting dalam menentukan masa depan dia. Biarlah dia selesaikan tugas dia dulu. Nanti, bila dia dah tamat belajar esok, awak berkepitlah dengan dia.” Tuan Muhammad membela Hakimi.

“Abang ni, bila dia dah bekerja nanti, lagilah dia sibuk. Mana ada masa nak layan saya dah.”

“Mama, janganlah macam ni,” kata Hakimi dalam nada risau.

“Sudahlah, jangan buat anak awak tu risau, nanti terganggu pula pelajaran dia. Lagipun, suami awak ni kan masih ada.” Gurau Tuan Muhammad.

Puan Kamariah senyum. Dia memegang erat tangan Hakimi. “Mama bergurau saja, mama faham situasi Kimi. Jangan risau, ya.”

Hakimi angguk. Lega rasanya bila mama berkata begitu. Bimbang juga tindakannya mengguris hati mama.

Ilham yang hanya menjadi pemerhati sejak tadi tersentuh dengan kemesraan mereka anak beranak. Ternyata, hubungan mereka sekeluarga sangat erat. Mereka saling bergurau senda dan tidak segan untuk mengucap kata sayang. Jika dibandingkan dengan dirinya, umpama langit dan bumi. Jauh berbeza. Sangat-
sangat berbeza.

“Ilham, kenapa diam sahaja daripada tadi?” soal Tuan Muhammad. “Janganlah segan-segan. Kami sekeluarga memang begini, pantang berkumpul, mesti banyak perkara yang ingin dibualkan,” sambungnya lagi.

“Eh, tak mengapa.” Ilham tersenyum lagi. Hatinya terasa bahagia melihat kemesraan mereka.

“Puan, makan siangnya sudah siap.” Pembantu rumah warga Indonesia itu senyum sahaja ke arah Hakimi. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan anak majikannya ini.

“Bibik sihat?” tanya Kimi sambil berjalan menuju ke ruang makan. Ilham hanya mendengar.

“Alhamdulillah, sihat-sihat saja pak.”

“Bibik masak apa hari ni?”

“Apalagi kalau bukan makanan kegemaran bapak, tapi bibik hanya bantu saja. Puan yang masak semuanya,” jawab bibik. Dia segera menyenduk nasi ke dalam pinggan Hakimi dan Ilham. Manakala, Tuan 
Muhammad lebih senang dilayan oleh isterinya sendiri. Nabila pula sudah lebih dahulu menjamah makanan. Terlalu lapar katanya.

“Makanlah Ilham, jangan segan-segan. Buatlah macam rumah sendiri.” Tuan Muhammad tidak henti-henti mempelawa Ilham. Ilham angguk. Adoii..naik segan pula dilayan dengan begitu mesra. Dia memandang 
Hakimi yang sedang tersenyum ke arahnya. Dia senang dengan senyuman itu. Tapi….

Senyuman itu bagai mengandungi makna tersirat.

Apakah?

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
“Ilham, kau patut bersyukur sebab masih ada adik. Hargailah dia selama dia masih ada di hadapan kau. Sedangkan dengan orang lain pun kita perlu berbuat baik, apatah lagi dengan adik-beradik sendiri.” Nasihat Hakimi tempoh hari masih terngiang-ngiang di pendengaran.

Ilham menghela nafas. Apa yang patut dia lakukan? Hatinya tersentuh melihat kemesraan Hakimi dan ibubapanya. Dia juga seakan cemburu melihat betapa eratnya hubungan Hakimi dan adiknya. Sedangkan dia? Tidak pernah cuba merapati adiknya sendiri, bahkan mengelak pula.

Sejujurnya, dia sayangkan Iman. Yalah, abang mana yang tidak sayangkan adik. Tetapi, mungkin kerana terlalu cemburu dengan Iman menyebabkan dia bertindak seakan Iman itu musuh ketatnya. Dahulu, arwah atuk selalu membandingkan dia dengan Iman. Iman budak baik, Iman tidak nakal, Iman mendengar kata, 
Iman itu, Iman ini, sampai naik bernanah telinga dibuatnya.

Di sekolah juga begitu, cikgu selalu sahaja membandingkan kelakuan dan keputusan peperiksaannya dengan Iman. Iman adalah pelajar kesayangan guru dan merupakan pelajar harapan sekolah, tetapi dia? Terbalik pula perangainya berbanding Iman. Pernah suatu hari, dia terkantoi menghisap rokok di belakang tandas bersama beberapa orang rakannya yang lain, dan kebetulan Iman berada di tempat kejadian semasa dia ditangkap oleh guru disiplin. Merah padam mukanya menahan marah. Mahu saja dia menghambur Iman ketika itu. Mana tidaknya, adiknya itu merupakan saksi utama kes mereka. Dan..kalau diikutkan, memang banyak lagi kes salah laku yang mereka lakukan dan diketahui oleh Iman, cuma, Iman sahaja yang berdiam diri.

Di rumah? Abah dan emak tidak pernah membezakan mereka. Kadang-kadang sahaja abah terlepas cakap, membandingkan dia dengan sepupunya yang lain. Satu perkara yang dia senangi tentang abah ialah abah tidak pernah membandingkan dia dengan Iman walaupun perangai mereka jauh berbeza. Emak? Dia lebih senang menasihati daripada memarahi.

“Kamu berdua ni sama sahaja, dua-dua keras kepala, dua-dua degil, dua-dua cepat naik angin. Asyik nak kamu je yang menang.” Ilham tersenyum sendirian apabila teringat bebelan emak dulu. Dalam banyak perbezaan yang tercetus antara mereka, ternyata mereka masih miliki persamaan-keras kepala, degil, cepat naik angin, tak suka mengaku kalah. Rasanya, persamaan inikah yang akan menyatukan mereka semula?

“Weh!” Hakimi menepuk kaki Ilham.

“Eh! Terkejut aku!” kata Ilham dalam nada marah. Dia mengutip semula bantalnya yang tercampak ke bawah dek terkejut dengan teguran Hakimi tadi.

Hakimi gelak. “Sorry!”

“Lain kali bagi salamlah, bro!” bebel Ilham.

“Dah bagi salam pun tadi, tapi kau yang tak dengar.”

“Yakah?” tanya Ilham tidak percaya.

“Iya..” jawab Hakimi ringkas. Dia menarik kerusi plastik miliknya dan duduk di hadapan Ilham.
Ilham angkat kening. Kenapa pula ni?

“Kau ada problem ke?” tanya Hakimi sedikit serius. Sebenarnya dia sudah lama tercegat di muka pintu dan melihat gelagat Ilham tadi. Dia pelik apabila Ilham langsung tidak mendengar salamnya walaupun sudah beberapa kali dia memberi salam.

Problem apa pula?” Ilham cuba berdalih.

Problemlah. Kalau ada, ceritalah, kot-kot aku dapat tolong. Tapi, kalau tak ada, tak mengapa.”

“Aku tak ada problem, tapi nak tanya sikit, boleh?”

“Sejak bila pula kena minta permission sebelum tanya soalan pada aku ni? Hah, apa dia?”

Ilham sengih. “Hmm..kau memang rapat dengan adik kau ya?”

“Ya, sangat-sangat rapat. Dan, aku tak dapat bayangkan keadaan aku kalau dia tak ada,” jawab Hakimi jujur.

“Kau sayangkan dia?”

Hakimi memandang Ilham dengan pandangan yang bermakna. “Mestilah aku sayang dia, adik aku tu, bro!” 

Dia membetulkan duduknya dan menyambung, “Kalau kau nak tahu, aku sayangkan dia melebihi aku sayang diri aku sendiri.”

Ilham bangun daripada katilnya. Dia melangkah ke tingkap dan melemparkan pandangan ke arah deretan pasu bunga milik jiran sebelah. Bunga-bunga mawar berwarna kuning dan merah di dalam pasu itu sedang kembang mekar. Ada juga beberapa kudup bunga yang masih menanti untuk kembang.

“Apa yang kau sedang fikirkan?”

“Kau nampak bunga ros dalam pasu tu?” tanya Ilham. Jari telunjuknya dihalakan ke arah yang dimaksudkan.

“Nampak, tapi kenapa?”

“Adik aku suka bunga ros. Kalau tak silap, dia paling suka ros merah. Aku ingat lagi, masa kami kecil-kecil dulu, dia sanggup pusing satu kampung dengan basikalnya semata-mata nak cari bunga kesukaannya tu. 
Bukan itu je, dia siap paksa mak aku tanam pokok bunga ros keliling rumah. Bila mak aku tak mahu, dia mulalah buat perangai. Merajuk tak nak makanlah. Muka tu pula masam je memanjang. Ish..pening kepala mak aku melayan kerenah dia.” Ilham ketawa kecil apabila teringat telatah Iman ketika kecil. Memang manja!

“Kau rindukan adik kau?” celah Hakimi.

Ilham hanya membisu. Dia tidak pasti jawapannya.

Hakimi memegang bahu sahabatnya itu. “Ilham, aku tahu kau rindukan adik kau. Kalau tidak, kau tak akan tiba-tiba bercerita tentang kesukaan adik kau pada aku. Dan, aku juga yakin yang kau sangat sayangkan dia, kan? Kalau selama ini dia ada sakitkan hati kau, maafkanlah dia. Kalau dalam hati kau masih ada sisa dendam kepadanya, maka kau kikislah rasa itu secepatnya. Pulihkan semula hubungan kamu adik-beradik.”

Ilham mengeluh perlahan. “Dia tak pernah menyakiti hati aku, sebaliknya dia berusaha untuk memperbaiki hubungan kami. Cuma..aku sahaja yang suka mengelak. Aku tak tahu kenapa aku buat macam tu.” Kepalanya ditundukkan memandang lantai.

“Mungkin kerana ego?”

“Ego?”

Hakimi angguk. “Mungkin rasa ego itu yang menjadi penghijab hubungan kamu berdua daripada berbaik. Ilham..kau lemparkan jauh-jauh perasaan ego kau tu. Berbaiklah dengan adik kau semula. Aku pasti dia akan gembira, dan emak kau pun akan berganda-ganda rasa kesyukurannya melihat kamu berdua berbaik semula. Aku tak mahu kau menyesal suatu hari nanti, hari apabila peluang untuk berbaik itu sudah tidak ada.”

“Walaupun kita punya ramai kenalan di dunia ini, tapi, mereka tetap tidak sama dengan darah-daging kita sendiri. Kau fikirlah betul-betul.” Hakimi menepuk-nepuk bahu Ilham sebelum dia mengatur langkah meninggalkan Ilham sendirian untuk berfikir.

“Kau rasa dia akan maafkan aku?”

Pertanyaan Ilham mematikan langkahnya. Badannya dipusing  menghadap Ilham. “Mengapa tidak?” jawab Hakimi sambil tersenyum.

Ilham angguk faham.