Friday 18 November 2011

Seindah Takdir (Part 12)


Hakimi berjalan laju menuju ke tempat menunggu bas. Dia sudah terlewat untuk ke kelas. Ini semua gara-gara tertidur semula selepas subuh tadi. Entah mengapa, hari ini dia terasa terlalu penat hingga tidak dapat menahan kelopak matanya daripada terkatup semula. Matanya ligat memerhati keadaan lalu-lintas, meninjau-ninjau kelibat bas yang masih jua belum kelihatan. “Mana pula bas ni, masa ni la dia nak datang lambat,” dia mula berkata-kata di dalam hati. “Salah sendiri juga, siapa suruh tidur,” Hakimi bermonolog sendiri.

Senyuman terlukis di bibir Hakimi apabila kelibat bas sudah kelihatan dari jauh. Terkocoh-kocoh dia memasuki perut bas bersama-sama penumpang lain. Perjalanan selama 5 minit dari rumah sewa ke fakulti dirasakan bagai berjam-jam. Hatinya dipagut rasa gusar kerana bukan dia tidak kenal dengan Dr. Haidar yang memang pantang kalau pelajar lambat masuk ke kuliahnya.

Setelah tiba di fakulti, hanyunan langkahnya menjadi lebih laju. Dia langsung tidak menghiraukan keadaan di sekelilingnya. Apa yang lebih penting adalah dia tidak mahu terlewat. Perlahan-lahan tangannya menolak pintu bilik kuliah. Kedinginan air-cond mula mengambil alih kepanasan mentari sebentar tadi. Hakimi terkejut. Dewan kuliah yang dapat memuatkan seramai 150 orang pelajar dalam satu masa itu lenggang sama sekali. Dia keluar daripada dewan itu dan melihat papan tanda di pintu dewan, kalau-kalau dia tersalah tempat. ‘Emm, betullah dekat sini. Mana mereka ni? Kelas dibatalkan ke? Tiada sesiapa yang bagitahu pun,’ bertubi-tubi pertanyaan dilontarkan buat diri sendiri.

Tiba-tiba matanya tertacap pada satu memo yang tertampal di bahagian luar pintu dewan kuliah. Bebola matanya mula bergerak ke kiri dan ke kanan membaca setiap patah perkataan yang tertulis di atas kertas putih itu. ‘Allahuakhbar, memang dibatalkan pun.’

Langkah kakinya dihalakan ke café. Perutnya yang sudah berkeroncong sejak tadi minta diisi. Dia meraba-raba beg berwarna hitam yang disandangnya, mencari telefon bimbit. Punat telefon itu ditekan kerana dia mahu menghubungi temannya, Ilham. Tetapi semuanya hampa kerana telefon itu tidak berfungsi. Sudah kehabisan bateri barangkali. Patutlah tiada sesiapa yang memaklumkan pembatalan kelas itu sedangkan teman-teman yang lain sudah pergi lebih awal mendahuluinya.

“Assalamuaalaikum brother,” satu suara menegurnya.

“Waalaikumusalam,” jawabnya sambil memusingkan badan ke arah suara tersebut.

“Kau dari mana ni? Banyak kali aku call  kau nak bagitahu kelas cancel, tapi asyik putus je. Kenapa?” pemilik suara mula bertanya.

“Aku dari dewan kuliah la. Hari ni terlewat sikit. Sorry, bateri telefon ni habis pula, itulah sebabnya kau call tak dapat,” terang Hakimi. Dia lantas mengajak temannya itu pergi bersarapan di café kegemaran mereka. 

Bagai pucuk dicita, ulam mendatang. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, tanpa membantah sedikitpun, temannya itu bersetuju dan mereka langsung berjalan ke café.

“Aku dah telefon adik aku,” kata Ilham perlahan. Dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk yang bertentangan dengan Hakimi.

“Ya? Baguslah kalau macam tu. Bila kau telefon dia?” soal Hakimi yang kelihatan tertarik untuk mengetahui perkembangan terbaru hubungan dua beradik itu.

“Minggu lepas.”

“Minggu lepas? Tapi baru beritahu aku hari ni? Bertuah punya kawan,” rungut Hakimi.

Ilham tersengih, menampakkan susunan giginya yang cantik. “Seganlah nak cerita pada kau.”

“Ish..dengan aku pun nak segan? Hah, kau dah minta maaf dengan dia?”

“Belum…”

“Aik? Kenapa?”

“Lidah aku ni tiba-tiba je jadi kelu bila dengar suara dia. Lepas habis tanya khabar, aku terus minta diri.” 

Ilham mentertawakan dirinya sendiri apabila teringatkan kejadian itu. Dia masih kekok untuk berbual mesra dengan Iman.

“Boleh pula macam tu.” Hakimi menggeleng kepala.

“Aku mati kutulah, bro. Tak tahu nak berbual fasal apa. Lagipun, adik aku senyap aje, mungkin dia terlampau terkejut aku tiba-tiba telefon dia.”

Hakimi ketawa kecil mendengar pengakuan Ilham. “Tak mengapa, inikan hanya permulaan sahaja. Lama-lama nanti oklah tu. InsyaAllah.”

“Mudah-mudahan. Satu lagi perkara yang aku risaukan, macam manalah aku nak berdepan dengan dia nanti? Alamak..”

“Lah..kenapanya? Kau buat macam biasa je. Aku yakin adik kau akan faham dengan keadaan kau.”

“Kau rasa dia akan gelakkan aku?”

“Ish..kau ni. Suka sangat fikir yang bukan-bukan. Mustahillah dia buat macam tu, bukan mendatangkan faedah pun.”

Ya tak ya juga. Ilham sengih lagi sambil menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Macamlah dia tidak kenal perangai Iman, mustahil Iman akan mentertawakannya. Kenapalah dia asyik berfikiran negatif sahaja?

“Aku mahu ikut kau ke usrah malam esok, boleh?” tanya Ilham untuk mengubah topik perbualan mereka.

“Mestilah boleh. Lagipun, dah tiga kali kau ikut aku kan. Sekarang ini, kau sudah menjadi sebahagian daripada kami. Tak seronok pula kalau kau tak ada,” jawab Hakimi dengan penuh semangat. Dia memang gembira kalau Ilham betul-betul mahu melibatkan diri dalam usrah dan istiqamah menghadirinya saban minggu.

“Maksudnya aku ni orang pentinglah, kan?” gurau Ilham.

Hakimi angguk. “Ya, kau memang penting pada kami semua. Kalau boleh, kami mahu kau terus istiqamah dalam kumpulan usrah ni.”

“Kau nak terus kekalkan kumpulan kita ini walaupun sudah tamat belajar?”

“Mengapa tidak? Satu kelebihan kalau kita semua ditakdirkan bekerja di tempat yang berdekatan. Lebih mudah untuk berkumpul semula. Yalah, kita ni tak boleh juga terlalu sibuk dengan urusan harian. Sesekali, kena curi masa untuk berhimpun dalam majlis-majlis ilmu. Sekurang-kurangnya, dapat juga ilmu baru dan mendengar peringatan daripada orang lain.”

“Seperti kata papa kau, usrah ini bukan untuk kelompok tertentu sahaja, tapi untuk semua. Tak kiralah student ke, pekerja bawahan ke, majikan ke, semuanya digalakkan menghadiri majlis ilmu, dan menjadi satu kelebihan jika mempunyai kumpulan usrah sendiri. Tak gitu?” Ilham mengulangi semula kata-kata Tuan Muhammad kepadanya tempoh hari.

Hakimi angguk mendengar kata-kata Ilham. Ilham ini memang cepat belajar. Dia menguntum senyum.

Hakikatnya, sikap dia sendiri pun sebenarnya banyak dipengaruhi oleh papa. Keaktifan papa dalam aktiviti kemasyarakatan, keramahan papa dengan orang sekeliling, sikap papa yang sentiasa merendah diri, dan yang paling penting, ketaatan papa kepada agama telah membantu mencorak dirinya untuk menjadi seperti Hakimi hari ini. Tentang usrah inipun, dia belajar daripada papa. Sebenarnya, kumpulan usrah papa telah ditubuhkan hampir 20 tahun yang lalu. Semasa zaman muda kata orang. Ketika masing-masing masih tidak punya harta dan makan gaji. Tetapi, mereka semua tetap bersungguh dan istiqamah sehinggalah hari ini. 

Sebab itu, papa dan rakan-rakan seperjuangannya tidak pernah bongkak dan meninggi diri dengan kemewahan hidup yang dinikmati sekarang. Itulah kelebihannya kalau sentiasa disentuh dengan belaian tarbiah.

Hakimi ingin mencontohi papanya. Sehingga hari ini, dia telah melibatkan dirinya secara aktif  dalam tiga kumpulan usrah. Bukan apa, sekadar untuk menambah ilmu dan kenalan. Satu kumpulan usrah bersama dengan sahabat-sahabat terdekat, satu kumpulan lagi bersama dengan beberapa pemimpin mahasiswa universiti dan yang terakhir adalah kumpulan usrah bersama pekerja-pekerja papanya. Banyak pengalaman dan cerita yang dapat dikutip melalui tiga kumpulan yang berbeza ini ; kelompok pelajar biasa, kelompok pemimpin pelajar, dan kelompok yang sudah berkerjaya.

Kadang-kadang, jika berkelapangan, dia akan mengikut papanya ke usrah. Menghadiri usrah yang terdiri daripada golongan korporat, memang mengagumkan. Jika di luar, mereka diselaputi kemewahan, dihormati, dan disanjungi. Tetapi, apabila mereka duduk dalam usrah, Hakimi dapat melihat sendiri bagaimana kerendahan hati mereka sebenarnya. Benarlah kata orang, biarpun fizikal kita lain, tetapi bayang-bayang kita tetap sama ; gelap dan tidak dapat dipegang mahupun dirasa. Biarpun kita berjaya, tetapi di hadapan Allah, kita tetap sama. Hanya taqwa yang membezakan kita.

Keadaan menjadi sunyi. Masing-masing sudah mula mendiamkan diri.

Sambil menunggu makanan yang dipesan siap, Hakimi mengeluarkan nota daripada beg. Ilham hanya tersenyum, dia faham benar perangai Hakimi. Lelaki yang berkaca mata di hadapannya ini memang tidak suka membuang masa. Setiap detik dan saat yang terluang akan dimanfaatkan sebaik mungkin. Sedikit sebanyak tabiat Hakimi mempengaruhi kehidupannya. Jauh di sudut hati, Ilham berasa bersyukur kerana memiliki seorang sahabat yang baik seperti Hakimi. Perubahan dan penghijrahan yang sedang dilakukannya kini juga atas nasihat dan bimbingan sahabatnya itu. Alhamdulillah Ya Robb..

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *

“Islam merupakan nikmat terbesar yang Allah berikan kepada kita tanpa perlu bersusah-payah kita mencarinya. Ini kerana kita telah pun bergelar Islam apabila dilahirkan ke dunia. Kita tidak seperti sesetengah masyarakat lain yang ada di antara mereka yang masih tercari-cari haluan hidup, yang masih keliru dengan pilihan agama yang perlu mereka anuti dan ada yang masih belum ada pegangan tetap yang mesti diamalkan. Itulah kelebihan kita sebagai umat Islam.”

“Namun, mungkin kerana kelebihan dilahirkan terus menjadi seorang Islam menyebabkan ada sebahagian daripada kita yang hanya menganggap agama itu hanya warisan turun-temurun. Mereka tidak pernah menghayati erti Islam yang sebenar apatah lagi melaksanakan segala ajaran yang terkandung di dalamnya. Bahkan, ada yang menganggap perintah agama itu adalah sesuatu yang ringan dan tidak perlu di ambil berat. Nau’zubillahi minzalik. Semoga kita semua tidak tergolong dalam kalangan orang-orang yang telah dipalingkan hatinya oleh Allah. InsyaAllah.”

“Sahabat-sahabat sekalian, kita perlu ingat, suatu masa nanti kita semua akan dibangkitkan kembali. Kita akan disoal dan dipertanggungjawabkan ke atas segala perlakuan kita di dunia ini. Berbahagialah kita seandainya kita tergolong dalam kalangan orang-orang yang mendapat buku catatan dengan tangan kanan, tapi bagaimana pula jika sebaliknya?  Allah s.w.t telah mengingatkan kita melalui firmannya dalam surah Al- Mursalat bermula ayat 37 hingga ayat 42 yang bermaksud ;

 “Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran). Inilah hari keputusan; (pada hari ini ) Kami kumpulkan kamu dengan orang-orang yang terdahulu. Maka jika kamu punya tipu daya, maka lakukanlah (tipu daya ) itu terhadapku. Celakalah pada hari itu, bagi mereka yang mendustakan (kebenaran). Sungguh, orang-orang yang bertaqwa berada dalam naungan (pepohon syurga yang teduh) dan di sekitar (mata air). Dan buah-buahan yang mereka sukai.

“Daripada ayat ini jelas dapat kita fahami bahawa sesiapa yang melakukan segala perintah Allah iaitu orang-orang yang bertaqwa, akan mendapat balasan yang setimpal dengan kebaikan yang dilakukan. Dan balasan yang setimpal juga akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar. Wallahu’lam.”

Bait-bait kata yang disampaikan oleh Hakimi dalam usrah mereka pada malam itu sangat menyentuh hati Ilham. Masuk kali ini sudah empat kali dia mengikuti Hakimi ke usrah, dan sudah empat kali juga dia hampir mengalirkan airmata. Walaupun begitu, dia berasa sangat tenang menghadiri majlis ilmu seperti itu.

Sebelum ini, Ilham memang tidak berminat  menghadiri majlis-majlis ilmu sebegini. Paling tidak pun, dia hanya menghadiri ceramah agama yang tidak memerlukan dia bersuara. Namun, Hakimi telah berjaya menarik hatinya untuk menyertai usrah. Cara Hakimi yang bersahaja, gaya percakapan yang mudah difahami dan penjelasan yang menarik membuatkan hatinya sudah terikat dengan usrah. Sekali lagi ucapan syukur lahir daripada bibirnya. Alhamdulillah.

Hakimi menghampiri Ilham yang dilihatnya termenung sejak tadi. Dia kehairanan melihat perubahan tingkah laku Ilham. Setiap kali selepas usrah atau majlis-majlis ilmu yang lain, dia perasan yang Ilham lebih gemar menyendiri. Adakah sahabatnya itu mempunyai masalah dan cuba dipendamkan. Dia harus bertanya, hari ini juga. Harus!

“Assalamualaikum. Kenapa duduk di sini. Sahabat-sahabat yang lain ajak makan tu,” Hakimi mula memulakan bicara sambil tangannya menyapa lembut bahu Ilham.

“Waalaikumusalam. Emm.. tak ada apa-apa. Saje je nak ambil angin kat sini. Tak apalah, kau pergi la makan. Aku tak ada selera la, perut pun rasa macam kenyang je lagi ni,” jawab Ilham lambat-lambat.

“Kenyang makan angin ke?” seloroh Hakimi. Sengaja. Dia ingin menukarkan suasana dingin itu menjadi lebih ceria.

“Lebih kuranglah,” jawab Ilham malas.

“Ada problem ke? Kalau kau tak kisah nak berkongsi dengan aku, aku sedia mendengar. Lagipun tak elok pendam masalah seorang-seorang. Luahkan jika itu dapat melegakan perasaan,” nasihat Hakimi. Dia akan cuba sedaya upaya mengorek cerita Ilham. Bukan ingin menjadi busybody, cuma dia tidak suka melihat sahabatnya dalam kesedihan di saat dia sendiri masih boleh bergelak-tawa.

“Eh, mana ada problem. Pandai-pandai je kau ni,” helah Ilham.

“Ilham, tak baik menipu tau, berdosa. Atau kau tak percayakan aku? Emm.. aku tengok kau sejak akhir-akhir ni asyik termenung je. Mengapa? Saje suka-suka nak termenung?”

“Bukan macam tu. Kaulah antara sahabat yang paling aku percaya,”

“Habis tu?”

“Aku tak tahu nak mulakan macam mana..,”

Hakimi memandang wajah Ilham. Raut wajah yang sentiasa ceria itu berubah menjadi keruh malam ini. Ilham bagai sedang menanggung sesuatu yang amat berat. Bibirnya mula bergerak-gerak menuturkan butir-butir bicara. Hakimi mendengar dengan tekun setiap patah yang keluar dari mulut sahabatnya itu agar tidak ada satu pun yang terlepas daripada pendengarannya. Biar Ilham yakin yang dia benar-benar ingin membantu.

“Kita hanya manusia biasa yang tidak pernah lari daripada melakukan kesilapan. Sebab itulah kita perlu bertaubat dan memohon ampun daripada Allah setiap masa. Kau perlu bersyukur, sekurang-kurangnya petunjuk Allah itu masih ada untuk kau,” nasihat Hakimi selepas mendengar cerita Ilham. Bibirnya menguntum senyuman. Dia tidak mahu Ilham terus-teruskan memikirkan masa silam. Dia mahu Ilham terus memandang ke depan. Kesalahan yang pernah dilakukan dulu hanya perlu menjadi pengajaran, bukan menjadi penghalang untuk berubah menjadi lebih baik.

Alhamdulillah.. Sekarang aku cuma harap ibu dan adik aku dapat maafkan aku,” luah Ilham lagi.

InsyaAllah. Yang penting sekarang kau betul-betul mahu berubah. Ilham angguk. Dalam hati, dia tidak putus-putus mengalunkan tahmid.