Friday, 14 October 2011

Seindah Takdir (Part 9)


Cuaca agak terik hari ini. Sementara menanti waktu kuliah bagi mata pelajaran Biokimia Makanan, Iman dan Aisyah duduk sebentar di Laman Mahasiswa fakulti mereka. Kipas angin yang ligat berpusing, mengurangkan kepanasan yang melanda.

“Iman..” Aisyah memanggil Iman yang kelihatan sedang tekun membuat laporan amali bagi mata pelajaran Kimia Analisis. Dia juga sedang melakukan hal yang sama kerana laporan amali itu perlu dihantar sebelum penghujung minggu ini.

“Ya,” jawab Iman sambil mengangkat wajahnya ke arah Aisyah. “Kenapa?”

“Aisyah mahu ajak Husna menyertai usrah kita, boleh?”

“Husna yang mana satu?” Iman agak keliru. Mana tidaknya, ramai benar temannya bernama Husna.

“Hidayatul Husna, teman sebilik Aisyah.” Jelas Aisyah.

“Oh..boleh. Apa salahnya? Lagipun, Iman gembira sangat kalau dia benar-benar mahu mengikuti usrah kita. Alhamdulillah.”

“Dia sudah banyak berubah sekarang. Aisyah harap perubahan dia akan berkekalan.”

Iman memandang Aisyah sambil tersenyum. Dia mengerti maksud Aisyah. Ya, dia juga dapat melihat sendiri perubahan Husna. Husna yang dahulunya merupakan seorang gadis moden yang suka berpakaian seperti tidak cukup kain, sekarang sudah mula mengambil berat soal aurat. Sudah mula berjinak dengan ilmu agama. Bukan itu sahaja, dia juga telah mula menjadikan solat sebagai sahabat dan Al-Quran sebagai juadah wajib bagi rohaninya.

“InsyaAllah. Kita sama-sama berdoa ya?”

“Beberapa hari lepas Husna ada kenalkan Aisyah dengan adik kembarnya, Karina.” Aisyah mula berkongsi cerita. Dia mahu meminta pendapat Iman tentang apa yang harus dia lakukan untuk menarik Karina. Harapan Husna tinggi menggunung kepadanya.

“Baguslah, bertambah kenalan Aisyah.” Iman memandang wajah Aisyah. Dahinya berkerut. Aisyah kelihatan sugul. “Kenapa ni? Aisyah tak gembira berkenalan dengan Karina?”

“Bukan begitu. Aisyah gembira sangat. Tapi..”

“Tapi..?”

“Husna minta tolong Aisyah untuk nasihatkan Karina. Dia kelihatan menaruh harapan yang tinggi pada Aisyah,” luah Aisyah. Jemari tangannya memintal hujung tudung bawal bidang 60 yang dipakai.

“Jadi, mengapa Aisyah muram sahaja? Bukankah ini peluang yang baik?” kata Iman hairan. Dia menutup buku rujukan berkulit hijau yang menjadi tumpuannya sejak tadi. Badannya dipusing ke arah Aisyah yang kelihatan tunduk memandang lantai.

“Kalau tak berjaya bagaimana? Husna kata adiknya itu keras hati sikit.” Aisyah mengadu pada Iman.
Iman senyum. Tangannya menggenggam erat jari Aisyah. “Jangan terlalu berfikiran negatif. Sedangkan batu yang keras itupun boleh lekuk bila berterusan terkena titisan air, inikan pula hati manusia. Yang penting sekarang, kita perlu berusaha. Natijahnya serahkan sahaja kepada Allah. Hidayah itu milik mutlakNya, dan 
 Dia berhak memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

“Tapi bagaimana? Aisyah baru sahaja kenal dia.” Aisyah memandang wajah sahabatnya itu. “Iman ada cadangan?”

“Ada nombor telefon Karina?”

“Ada.”

Iman memetik jari. “Hah..kalau macam tu, Aisyah hubungilah dia. Berkawan dahulu. Selepas itu, barulah teruskan perancangan yang lain.” Keningnya  diangkat dua kali. “Bagaimana?” Gadis itu tersenyum lagi.

Aisyah angguk. Dia membalas senyuman Iman. “Perancangan yang seterusnya, bagaimana?”

“Tawan hatinya betul-betul. Sentiasa bertanya khabar, hantar SMS yang berbentuk tazkirah juga boleh. Ingat hari penting bagi dia, misalnya hari ulangtahun. Hmm.. kalau ada masa, kita pergi ziarah dia di K17, bagi hadiah ke, atau ajak dia pergi jalan-jalan. Banyak caralah Aisyah.” Iman menyandarkan badannya ke kerusi. “Biar dia selesa berkawan dengan kita dahulu. Yang penting kita kena ikat dia dengan tali persahabatan yang ikhlas. Seterusnya kita akan bertindak mengikut keadaan.” Terang Iman sambil membuat gaya sebagai pengatur strategi yang profesional.

“Amboi..gaya tak mahu kalah.” Aisyah ketawa geli hati.

“Mestilah,” jawab Iman bersahaja. Aisyah melayangkan tangannya untuk mencubit pinggang Iman. Tetapi Iman sempat menghalang. Terkekeh mereka berdua ketawa.

“Setiap orang mempunyai sikap dan sifat yang berbeza. Ada yang dapat menerima nasihat dengan baik dan ada yang tidak. Ada yang akan sekadar senyap dan ada juga yang akan melenting marah. Sebab itu kita kena kenal betul-betul siapa yang kita ingin tegur. Bagaimana sikap mereka dan bagaimana pula sifat mereka supaya kita dapat menggunakan cara yang sesuai untuk menegur. Jika tersalah cara, tidak mustahil dia akan menjauhi kita dan bertukar menjadi lebih teruk. Itu yang kita bimbangkan,” kata Iman sebaik sahaja tawa mereka berdua berkurangan.

“Betul juga. Hmm..dulu Iman pernah sebut fasal ‘dakwah berstrategi’. Sekarang ini kita sedang berusaha ke arah perkara itukah?”

Iman angguk. “Jika para usahawan ada strategi untuk mengaut keuntungan dalam perniagaan, para panglima perang juga ada strategi untuk menang di medan pertempuran, jadi mengapa tidak kita, kan? Kita juga mesti ada strategi tersendiri. Untuk menjadi dai’e dan mengajak manusia ke arah kebaikan, bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi ‘musuh’ yang ingin kita tewaskan ini pula bukan calang-calang.”

‘Musuh’ yang dimaksudkan, siapa lagi kalau bukan syaitan laknatullah? Musuh ketat bagi mereka yang bergelar Muslim. Musuh yang tidak pernah tidur, tidak pernah letih, dan tidak akan pernah jemu dalam menggoda manusia untuk mengikut mereka ke neraka Jahannam. “Ia (iblis) berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,” (Al-Hijr ; 39)

“Jadi, kita mesti mengatur strategi dan menjadi lebih kreatif daripada ‘mereka’ dalam usaha menarik manusia ke jalanNya. Betul tidak?” kata Aisyah penuh bersemangat.

“Sangat-sangat betul!” sokong Iman. “Kita memang perlu menjadi lebih kreatif daripada mereka.” Dia juga kelihatan sangat bersemangat.

Sememangnya terdapat banyak cara untuk berdakwah. Bukan hanya sekadar melalui lisan sahaja. Semuanya bergantung kepada kekretivitian dan kelebihan masing-masing. Iman teringat kata-kata seseorang kepadanya dahulu, “Dakwah, tidak semestinya perlu memberi berceramah, memberi tazkirah atau memberi nasihat sahaja. Banyak caranya lagi. Jangan bataskan diri dengan hanya melakukan sesuatu yang sudah biasa dilakukan oleh orang lain. Setiap orang punya kelebihan dan minat tersendiri. Jadi, apa salahnya gunakan kelebihan dan minat itu untuk berdakwah? Kalau pandai melukis, berdakwahlah melalui lukisan. Kalau minat tangkap gambar, boleh juga berdakwah melaluinya. Berdakwah melalui penulisan juga tidak kurang hebatnya. Ramai yang melakukannya hari ini. Tidak kira apa juga cara yang dilakukan, yang penting, mesej itu sampai ke hati dan memberi kesan kepada orang lain.”

Hidup memang perlu kreatif,” suara ketiga tiba-tiba muncul. Iman dan Aisyah tersenyum sambil memandang pemilik suara tersebut.

“Kamu berdua tak ada kelaskah?”

“Ada, lima belas minit lagi Prof.” balas Iman.

“Oh..saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum.” Prof. Dr. Kamil Badlishah atau lebih mesra dengan gelaran Prof. Badli mengatur langkah meninggalkan mereka. Mereka menjawab salam itu perlahan. Mata mereka berdua masih terkebil-kebil sehinggalah susuk tubuh Prof. Badli hilang daripada pandangan.

“Agak-agak dia dengar ke apa yang kita bincangkan tadi?”

“Tak pasti, mungkin ya dan mungkin tak.” Iman memandang Aisyah. Dia tidak kisah kalau Prof. Badli terdengar perbualan mereka sekalipun. “Tak apalah, kita bukannya bincang fasal rahsia kerajaan,” Iman 
 berseloroh. Tangannya sudah mula mengemas meja. “Jom masuk kelas.”

Aisyah angguk sambil tersengih. Mereka berjalan beriringan ke DKTM1.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Hidayatul Husna kelihatan ayu berbaju kurung hijau cair. Gadis itu kelihatan sedang tersenyum manis ke arahnya. Aisyah melangkah ke arah Husna yang berdiri di tepi pintu sejak tadi. Agaknya Husna sedang menunggunya untuk pulang bersama-sama. Usrah mingguan mereka baru sahaja habis beberapa minit yang lalu. Dan, hari ini merupakan kali pertama Husna menyertai mereka. Dia nampak begitu bersemangat. Banyak soalan dan kemusykilan yang dilontarkan kepada ahli usrah yang lain. Ada yang dapat dijawab, dan ada juga yang tidak. Tetapi, Husna tidak perlu risau kerana Aisyah dan Iman sudah berjanji akan mendapatkan jawapannya daripada mereka yang lebih pakar.

“Tunggu Aisyah?” Sahabatnya itu dipeluk erat.

“A’ah, mahu balik bersama-sama.” Jawab Husna mesra. Sejak kebelakangan ini mereka menjadi sangat rapat. Dia amat menyenangi Aisyah dan sahabat-sahabat Aisyah yang lain terutama Iman. Bagi Husna, dua orang gadis itu sangat istimewa. Mereka sentiasa ceria dan merendah diri. Selain itu, mereka juga tidak segan untuk berkata ‘tidak tahu’ jika ditanya mengenai sesuatu perkara yang agak sukar.

“Kita tunggu Iman sebentar ya? Dia mahu ikut kita balik,” kata Aisyah sambil tangannya melambai ke arah Iman menandakan mereka sudah mahu balik. Iman yang sedang mengemas rak buku di dalam surau itu mengangguk faham. Dia mempercepatkan kerjanya dan berjalan ke arah Aisyah dan Husna.

“Maaf lambat,” kata Iman sebaik mendapatkan Aisyah dan Husna. Mereka berjalan beriringan melewati dua buah blok penginapan yang lain sebelum sampai di blok penginapan mereka sendiri iaitu Blok Cermai.
Kolej penginapan mereka iaitu Kolej Keenan UPM terletak berhampiran dengan ladang tanaman buah-buahan dan mempunyai lima blok kesemuanya. Tiga daripadanya merupakan blok pelajar perempuan dan diberi nama Blok Cermai, Blok Salak dan Blok Keranji. Manakala satu blok adalah bagi pelajar lelaki dan dikenali dengan nama Blok Delima. Satu lagi blok pula iaitu Blok MSN merupakan blok penginapan atlet. Sebenarnya Iman agak pelik juga dengan nama-nama blok di kolej kediaman ini. Kenapa pula menggunakan nama buah? Sehingga kini dia masih tidak tahu jawapannya. Hmm..nampak sangat seperti dia tidak mengambil tahu. Aiseh…

“Saya gembira sangat hari ini, terima kasih ya,” ujar Husna sambil tersenyum. Matanya memandang Iman dan Aisyah.

“Terima kasih untuk apa pula ni?” Aisyah tidak faham.

“Terima kasih sebab sudi ajak saya menyertai kumpulan usrah awak berdua.”

“Tak perlu berterima kasih. Hal kecil saja. Lagipun, kami gembira sangat apabila Husna bersetuju untuk menyertai kami.” Iman berkata jujur.

“Sekarang, baru saya faham mengapa ramai orang suka menghadiri majlis ilmu, suka ke surau, suka membaca Al-Quran dan tak kurang, suka melibatkan diri dalam usrah. Mereka gembira melakukan semuanya kerana dari situ timbulnya ketenangan. Bila hati sentiasa ingat kepada Allah, jiwa jadi lapang, hati jadi tenteram.” Husna meletakkan tangannya ke dada. Dia seakan sedang menghayati apa yang ditutur keluar oleh bibirnya tadi.

Iman dan Aisyah berpandangan sambil tersenyum. Mereka bangga melihat Husna yang berada di depan mereka ini. Dalam hati mereka bertahmid memuji Kebesaran Allah. Sungguh, hidayah itu milik mutlakNya, dan Dia berhak memberikannya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.

“Tapi..saya tidak mahu berubah sendirian. Saya mahu mengajak orang yang saya sayang.” Husna memandang Aisyah. Dia amat berharap Aisyah akan membantunya.

Aisyah angguk faham. Dia tahu Husna sedang menyebut tentang Karina. “Jangan risau, kita akan cuba sedaya-upaya. InsyaAllah. Kita banyakkan berdoa agar hatinya lembut untuk menerima nasihat kita. Yang penting, kita kena berdoa kepada Allah agar mengurniakan hidayahNya kepada Karina,” nasihat Aisyah lembut. Tangan Husna dipegang kemas.

“Iman akan tolong saya juga, kan?”

Iman angguk. “Kita akan cuba bersama-sama. Jangan bimbang, Allah pasti akan bantu kita. InsyaAllah.”.. 

“Hmm..hujung minggu ini kita pergi ziarah dia, macam mana?” ajak Iman.

“Bagus idea tu, lagipun kita sudah lama tidak pergi ke Kolej 17. Bolehlah kita ambil kesempatan untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat lain juga,” kata Aisyah penuh semangat. Mereka memandang Husna untuk mendapat persetujuan.

“Ziarah?” agak pelik pula guna perkataan itu.

“Ya, ziarah. Kita pergi jumpa dia, tanya khabar, berbual-bual. Lebih kurang macam itulah.” Aisyah menjelaskan.

“Boleh juga, nanti saya beritahu dia kita mahu ke sana.”

Senyuman Iman dan Aisyah melebar.

Rancangan mereka yang pertama akan bermula.

Moga Allah permudahkan…

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
Iman memandang telefon bimbitnya tanpa berkelip. Punat-punat telefon itu ditekan laju. Tiba-tiba tindakannya terhenti. Dia seakan sedang keliru, mahu telefon atau tidak? Iman meletakkan kembali telefon itu di atas katil lalu mencapai senaskah majalah Solusi terbitan Telaga Biru yang baru dibelinya semalam. Dia menyelak halaman majalah itu satu-persatu untuk mencari tajuk-tajuk yang belum lagi dibaca. Biarpun buku itu sedang tekun ditatap, tetapi tiada satu perkataan pun yang melekat di kepala. Pandangan matanya sudah tembus hingga ke dinding. Fikirannya pula sudah jauh melayang entah ke mana.

Sebenarnya dia sedang buntu dan keliru. Hatinya dipagut serba salah. Dalam masa dia sibuk menarik orang lain untuk kembali menjaga hubungan dengan Allah, dan dalam kesibukan dia berusaha menjaga diri dan teman-teman sekeliling daripada melakukan sesuatu yang dilarang oleh Allah, dia seakan lupa kepada abangnya yang entah bagaimana tingkah-lakunya sekarang. Dia seakan tidak peduli kepada nasib abang kandungnya.

Benarkah dia sudah lupa kepada along? Diakah yang tidak ambil peduli tentang along, atau along sendiri yang meminta dirinya supaya tidak dipedulikan? Kalau benar along yang minta begitu, perlukah dia bersetuju? Haruskah dia membiarkan along terus hidup dalam dunianya sendiri?

Jawapannya tentu sekali tidak! Dia harus berusaha untuk menyedarkan along. Biarlah along ingin memarahinya. Biarlah along ingin membencinya. Dia tidak peduli. Yang penting, dia perlu berusaha membawa along keluar dari dunianya itu!

“Awak ni kenapa?” tegur Nazia. Sejak tadi dia nampak Iman seperti gelisah sahaja. Sekejap pusing ke kiri. Sekejap pusing ke kanan. Lepas itu duduk, kemudian baring semula. Semuanya kelihatan tidak kena. Dia sendiri naik pening melihat Iman yang tidak duduk diam itu.

“Err.. tak ada apa-apa,” dalih Iman. Dia menyambung membaca majalah Solusi.

“Kalau tak ada apa-apa, kenapa nampak macam gelisah je? Ada masalah, ya?”

“Tak..” jawab Iman ringkas. Dia duduk sambil menyandarkan badannya ke dinding. “Sudah siapkan assignment Dr. Fatimah?” Iman mula menukar topik. Sebetulnya, dia tidak mahu membebani Nazia dengan masalahnya. Biarlah dia sendiri yang mencari jalan penyelesaian.

“Belum, tinggal sedikit sahaja lagi. Iman sudah siap?”

“Sudah.” Iman senyum. Dia baru sahaja menyiapkannya sebelum merebahkan diri ke atas katil tadi. Tinggal dua sahaja lagi tugasan yang belum diselesaikan. Satu tugasan individu dan satu lagi tugasan berkumpulan. Pada Iman, dia lebih gemar melakukan tugasan individu kerana dia boleh membuatnya pada bila-bila masa sahaja dan menyiapkannya lebih awal. Tidak seperti tugasan berkumpulan yang agak melecehkan. Lebih-lebih lagi jika mendapat ahli kumpulan yang tidak ‘sekepala’.

“Patutlah sudah boleh bersenang-lenang,” kata Nazia sambil tersenyum.

“Mana adalah. Ada lagi dua assignment yang belum siap,” kata Iman sambil menunjukkan dua jari kepada Nazia.

“Ya, saya tahu. Awak tak akan duduk diam selagi assignment tak siap kan? Kadang-kadang awak sudah siapkan semuanya walaupun kena hantar lagi sebulan. Bagus betul,” puji Nazia.

Iman tergelak kecil. Ramai temannya yang mengatakan dia sangat bersemangat untuk menyiapkan assignment. Tapi padanya, itu perkara biasa. Tambahan pula, dia memang tidak suka membuat kerja last minute. Nanti semua bercelaru. Markah pun tidak mustahil akan menjadi haru!

“Kalau siapkan assignment tu awal-awal, boleh tunjuk pada Doktor. Minta Doktor semak kot-kot ada yang salah ke. Boleh juga betulkan, baru puas hati bila dapat markah nanti. Sekurang-kurangnya kita sudah berusaha untuk menghasilkan yang terbaik. Betul tak?”

Nazia senyum. “Sangat betul apa yang awak katakan itu wahai cik Iman sayang. Lidah saya akan jadi kelu kalau mahu berlawan cakap dengan awak.” Nazia buat nada mengalah.

Ketawa mereka bergabung. Ada-ada sahaja Nazia ni.

“Awak nak call along awak ya tadi?” teka Nazia.

Iman angkat kening. Macam mana dia boleh tahu? Ada kuasa psikik ke?

“Tak perlu nak berahsia. Kalau muka tu dah gelisah semacam, telefon itupun kejap pegang kejap campak. Maknanya, nak call along lah tu, kan?” Nazia tersengih. Dia sudah faham benar dengan perangai Iman.

Iman menggaru-garu pipinya yang tidak gatal. Dia memang tidak dapat menyembunyikan apa-apa daripada teman sebiliknya itu. Nazia ini, memang pandai meneka apa yang ada di dalam hati Iman. Berterus-terang sahajalah Iman. Sudah kantoi pun..

“Pandai awak teka,” puji Iman.

“Awak ingat kita baru berkenalan sehari ke? Sudah dua tahun, tahu? Semua kelakuan awak saya sudah hafallah,” kata Nazia dengan gaya berlagak.

Iman menguntum senyum. “Awak rasa saya perlu call along?” Iman meminta pandangan daripada teman sebiliknya yang bertubuh kecil itu. Nazia adalah orang yang paling banyak mengetahui mengenai dirinya selepas Aisyah. Selain itu, Nazia juga tahu akan ‘masalah’ yang dia hadapi dengan Ilham.

“Apa salahnya call dia untuk bertanya khabar? Diakan abang awak. Atau, awak takut dia marah-marah lagi?”

Iman angguk. Itulah perkara yang selalu berlaku jika dia menelefon Ilham. Walaupun tujuannya hanya sekadar untuk bertanya khabar, pasti dia akan dimarahi teruk oleh abangnya itu. Dia sendiri hairan dengan sikap Ilham yang sangat pelik. Entah apa yang bermain di fikirannya pun tidak tahu.

“Dakwah berstrategi.” Nazia cuba mengingatkan Iman. “Awakkan ada banyak rancangan, jadi, manfaatkan rancangan dan kekretivitian awak untuk berbaik dengan abang awak. Cuba dan terus mencuba. Kalau abang awak marah, awak diam. Kalau dia lari, awak kejar. Api jangan dilawan dengan api, sebaliknya lawanlah dengan air. Barulah boleh berjaya. Yang penting sekarang, awak jangan sesekali mengaku kalah!” nasihat Nazia dengan penuh semangat. Tangannya digenggamkan.

Iman terkekeh ketawa. Nazia pandang Iman. Lah..kenapa pula dia ketawa?

“Gaya awak mengalahkan pakar motivasilah. Memang mantap. Boleh ganti Dr. HM Tuah nanti. Saya sudah bersemangat sekarang!” Iman masih ketawa.

Nazia membaling bantalnya ke arah Iman. “Orang tengah serius ni, dia boleh gelak pula!”

“Baiklah, saya serius!” Iman menutup mulutnya menahan tawa. Nazia juga hampir tergelak, tetapi dia pura-pura serius.

So, macam mana?” tanya Nazia. Dia sudah melabuhkan punggung di sebelah Iman. Wajah manis gadis itu dipandang lama, menanti jawapan.

“Saya akan call along dan usahakan apa yang termampu. InsyaAllah.” Iman senyum. dia membalas pandangan Nazia. Nazia menghulurkan telefon bimbit kepadanya.

“Bukan sekaranglah, sudah lewat ni. Nanti, tak fasal-fasal kena ‘sembur’ dengan along. Belum sempat nak bagi salam, sudah dengar dia membebel, tahu?” Iman membulatkan mata kepada Nazia.

Nazia melihat jam. Ya tak ya juga, sudah pukul 11.30 malam rupanya. Dia tersengih dan kembali ke mejanya untuk menyiapkan assignment yang masih terbengkalai.

Iman menggeleng kepala. “Cepat siapkan kerja awak tu, nanti tak sempat pula.”

“Sebelum tu, nak tanya sikit boleh?” Nazia memusingkan badannya ke arah Iman.

“Boleh, apa dia?”

“Semalam awak pergi K17, jumpa siapa?”

“Oh..jumpa Karina, adik kembar Husna, teman sebilik Aisyah. Kenapa?”

“Ingatkan pergi jumpa orang lain.”

Dahi Iman berkerut. “Siapa pula?”

Nazia tidak menjawab tetapi senyumannya seperti mengandungi makna tersirat. Iman semakin keliru. Siapa 
yang dimaksudkan Nazia?

“Nazia sayang, saya tanya awak ni, awak ingat saya pergi jumpa siapa?” Iman tidak tenteram selagi tidak 
 mengetahui apa yang sedang bermain di fikiran Nazia.

“Siapa lagi orang yang saya kenal di K17 tu selain Bos?” Nazia masih tersenyum.

Bos? Maksudnya Basri?

“Buat apa pula nak pergi jumpa dia?” soal Iman tidak puas hati. Rakan-rakan sejawat lain dalam Kelab Penyayang suka mengaitkan mereka berdua. Kali ini Nazia pula? Ish..apa motif mereka sebenarnya?

“Manalah tahu…” terdengar Nazia ketawa kecil. Iman membalas balingan bantal Nazia sebentar tadi. Ada pula nak pergi jumpa si Basri tu. Pandai-pandai sahaja Nazia ini.

“Awak tahu kan dia suka pada awak?” Zupp! Dia disoal dengan soalan cepumas. Iman hanya diam. “Awak tahu tak?” soal Nazia lagi.

“Mana adalah. Jangan buat cerita ya, tak baik,” tegas Iman. Dia sebenarnya kurang selesa untuk bercakap soal ini.

“Dia suka pada awak, Iman!”

“Sudahlah, cepat siapkan kerja awak.” Iman bingkas bangun.

“Awak nak ke mana?”

Toilet. Nak ikut?”

“Err..tak apalah.” Nazia menyambung kerjanya semula.

“Tahu pun.” Iman sengih. Dia melangkah keluar dari biliknya.

No comments:

Post a Comment