Sunday, 16 October 2011

Seindah Takdir (Part11)


‘Yang dekat (hari Kiamat) telah makin mendekat. Tidak ada yang akan dapat mengungkapkan (terjadinya hari itu) selain Allah. Maka apakah kamu berasa hairan terhadap pemberitaan ini? Dan kamu tertawakan dan tidak menangis, Sedang kamu lengah daripadanya. Maka bersujudlah kepada Allah dan sembahlah (Dia)’

Iman membaca terjemahan ayat 57 hingga 62 daripada surah Al-Qamar itu beberapa kali. Hatinya dilanda debar. Kolam matanya mula bertakung. Jejari mulusnya menyelak halaman kitab suci itu satu-persatu. Maksud ayat 1 hingga 6 surah Al-Waqiah pula ingin dihayati.

‘Apabila terjadinya hari kiamat, terjadinya tidak dapat didustakan (disangkal). (Kejadian itu) merendahkan (satu golongan) dan meninggikan (golongan yang lain). Apabila bumi digoncangkan sedahsyat-dahsyatnya, dan gunung-gunung dihancurluluhkan sehancur-hancurnya, maka jadilah ia debu yang berterbangan’

Iman memejamkan matanya rapat. Jantungnya berdegup kencang. Ya Allah, betapa dahsyatnya. Bumi digoncangkan, gunung-gunung dihancurluluhkan, menjadi debu yang berterbangan. Ayat itu diulang beberapa kali. Sudah dihafal dan terlekat di hati. Perasaan takut dan gentar tidak lagi dapat dibendung. Kolam matanya pecah. Juraian airmata mengalir membasahi pipi gadis berusia 21 tahun ini. Matanya masih terpejam rapat. Al-Quran berkulit coklat itu dipeluk erat. Bibirnya laju mengalun berzikir. Lidahnya basah dengan zikrullah. Hatinya tidak henti memohon ampun.

Sepuluh minit berlalu. Dirinya mulai tenang. Iman menyeka airmata yang masih bersisa. Dia menyambung kembali membaca kalam Allah itu berserta terjemahannya. Baginya, apalah erti kalau setakat membaca tetapi tidak mengerti maksudnya. Iman sedaya upaya cuba memahami setiap maksud ayat al-Quran yang dibaca dan akan berusaha mengamalkannya. Bukankah itu yang terbaik? Iman ingin menjadi seorang hamba yang sentiasa membaca dan berdamping dengan al-Quran kerana orang yang sentiasa membaca dan berdamping dengan al-Quran adalah orang yang sangat dikasihi oleh Allah s.w.t. Sungguh pemurah sang Pencipta kerana setiap huruf yang dibaca akan diberi ganjaran yang besar. Seperti sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud ; barangsiapa yang membaca satu huruf dari kitab Allah, maka baginya satu kebaikan. Dan satu kebaikan (digandakan) dengan sepuluh kebaikan seumpamanya. Tidak aku katakana ‘Alif Lam Mim’ itu satu huruf, akan tetapi Alif satu huruf, Lam satu huruf dan Mim satu huruf. (Hadis Riwayat at-Tirmizi).

Tumpuan Iman terganggu dek deringan telefon bimbitnya di atas meja. Dia bingkas bangun untuk menjawab panggilan tersebut. Dahinya berkerut seribu. Terkejut melihat nama pemanggil yang terpampang di skrin telefonnya.

“Assalamualaikum,” kata Iman sejurus selepas menekan punat berwarna hijau.

“Waalaikumusalam,” si pemanggil menjawab. “Iman sihat? Tengah buat apa?”

“Alhamdulillah, sihat. Iman tengah mengaji. Along bagaimana? Sihat? Ada apa ya telefon Iman ni?” soal Iman lambat-lambat.

“Sihat, Alhamdulillah. Along saja nak bertanya khabar Iman. Dah lama rasanya kita tak berbual kan?”
Iman terdiam. Dirinya masih terkejut. Benarkah alongnya yang berada di hujung talian tika ini?

“Err..Iman sibuk ya? Kalau macam tu lain kali je la along telefon balik,” kata si pemanggil apabila tidak mendapat respon daripada Iman.

“Eh, bukan macam tu. Iman.. Iman..cuma tak tahu nak cakap apa.”
Tawa kecil kedengaran di hujung talian. “Tak apa, along faham. Okeylah, nanti ada masa lapang along call lagi. Iman kalau free tu jangan segan-segan call along ya. Jaga diri baik-baik. Assalamualaikum,”

“Waalaikumusalam,”

Iman memandang telefon di tangannya tanpa berkelip. Ya Allah, betulkah suara along yang didengarinya sebentar tadi? Apa mimpi along menelefonnya malam-malam begini? Lain benar suaranya tadi. Lembut. 
Tidak menengking dan kasar seperti selalu. Apa yang tidak kena? Sakitkah dia? Atau sedang dirundum masalah? Ahh.. rasa bersalah kerana bersikap acuh tidak acuh sebentar tadi mula bersarang di hati. Bukan dia sengaja, cuma dia terkejut. 'Nak kena call balik ke?’ soal Iman kepada diri sendiri. Namun dia tidak punya kekuatan untuk itu. Jadi hanya SMS yang dihantar. Iman menanti jawapannya penuh sabar.

Tet..tet.. 1 message received.

Dia lantas membuka mesej yang baru diterimanya.

Wsalam..Iman jangan risau. Along ok je. Along hanya mahu bertanya khabar. Sudah, jangan fikir yang bukan2.Take care. J

Sender : Along

Iman tersenyum. Semoga along baik-baik sahaja. Namun dia masih tidak dapat berhenti berfikir mengenai sikap along sebentar tadi. Adakah along sudah berubah? Atau ada sesuatu yang along inginkan daripadanya lantas dia mula berbaik-baik? Astagfirullah..Iman beristighfar. Dia sedar dia tidak patut bersangka buruk begitu lebih-lebih lagi kepada abang kandungnya sendiri.

Azan isyak yang berkumandang dari surau Kolej Keenam menyedarkan Iman daripada lamunannya. Setiap kalimat azan yang dilaungkan dijawab dengan baik. Setelah habis laungan azan, Iman melangkah ke bilik air untuk memperbaharui wudhuknya. Dia ingin mendoakan along di penghujung solatnya kali ini. Kakinya melangkah tenang melalui aras dua Blok Cermai yang sunyi sepi.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Rumah Nur Hikmah gamat dengan keriuhan suara dan gelak tawa. Kehadiran 25 orang ahli Kelab Penyayang menambah keriuhan penghuninya berbanding hari biasa.

Di satu sudut kelihatan Iman dan Aisyah sedang  melayan beberapa orang adik yang berusia dalam lingkungan 4-8 tahun. Adik-adik itu kelihatan tekun mendengar Iman dan Aisyah bercerita tentang sejarah Nabi Muhammad S.A.W, sambungan kisah minggu lepas. Di kawasan halaman rumah pula kelihatan Nazia dan Ainni tidak habis-habis meminta penghuni cilik di rumah itu melakukan pelbagai pose untuk dirakam dalam kamera milik mereka. Seronok benar mereka bergaya di hadapan kamera, mengalahkan model pula.

Adik-adik lelaki pula sedang bersesak mengerumuni Basri dan Faizal yang berhempas-pulas berlawan  dalam permainan catur. Hanya beberapa orang daripada mereka yang lari dari kesesakan itu dan bermain sendiri. Beberapa orang ahli Kelab Penyayang yang lain turut sibuk melayan kerenah adik-adik di rumah itu. 

Ada yang sedang buat kerja sekolah. Ada yang sedang menonton televisyen. Tidak kurang pula, ada yang sibuk bermain game di handphone.

Lawatan berkala ke Rumah Nur Hikmah ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada ahli-ahli Kelab Penyayang. Ada sahaja aktiviti menarik yang dilakukan saban minggu. Cuma, minggu ini mereka tidak sempat untuk merancang sebarang aktiviti yang menarik disebabkan kekangan masa. Selepas berakhirnya aktiviti mentor-mentee pagi tadi, mereka menghabiskan masa dengan bersantai seperti ini. Tambahan pula, cuaca hari ini agak terik dan tidak sesuai untuk melakukan aktiviti outdoor. Mentor-mentee adalah aktiviti di mana adik-adik yang sudah bersekolah diberi sedikit latih tubi untuk meningkatkan kefahaman mereka dalam beberapa subject tertentu.

“Anak-anak semua, minum petang sudah siap. Mari, kita minum dulu. Lepas tu kita solat Asar bersama-sama sebelum kakak dan abang bertolak pulang,” panggil penjaga mereka, Puan Siti.

“Hah, itu Ummi sudah panggil. Jom kita masuk,” ajak Aisyah. Tangannya memimpin dua orang adik perempuan, Nurul yang berusia tujuh tahun dan Akma yang berusia lima tahun. Iman bingkas bangun dan membuntuti langkah Aisyah dari belakang sambil memimpin sepasang kembar, Ameera dan Azeera. Mereka kelihatan sangat mesra dengan adik-adik itu.

Suasana di ruang makan tidak terlepas daripada kegamatan. Ada sahaja gelagat adik-adik yang perlu dilayan. Tetapi, mereka semua senang dengan keadaan itu. Riak kegembiraan terpancar di wajah masing-masing.

“Hari ini awak nampak ceria sangat,” kata Aisyah kepada Iman. Tangannya sibuk membuka bungkusan lepat pisang untuk Akma yang duduk di sebelahnya.

“Saya memang sentiasa cerialah, bukan hari ini sahaja,” nafi Iman. Ameera yang berada di atas ribanya merengek meminta air. Azeera yang melihat Iman memberi perhatian kepada Ameera turut merengek, cemburu agaknya. Iman senyum, wajahnya tenang sahaja melayan pasangan kembar itu.

“Tapi hari ini macam terlebih-lebih ceria, kenapa? Ada berita baik?” tanya Aisyah lagi.

Iman tersenyum. Tetapi, belum sempat dia membuka mulut, Nazia terlebih dahulu menyampuk.

“Macam manalah tak ceria, along dia telefon malam tadi. Siap tinggalkan pesan supaya jaga diri baik-baik lagi.”

“Betulkah?” Aisyah seakan tidak percaya.

Iman angguk.

“Maknanya kamu berdua sudah berbaik semula?” senyuman Aisyah makin melebar.

“Mungkin,” jawab Iman.

“Alhamdulillah. Akhirnya, berbaik juga! Syukur sangat.” Aisyah gembira bagi pihak Iman. Akhirnya Allah makbulkan juga doa Iman untuk berbaik dengan Ilham. Inilah antara perkara yang sangat diimpikan oleh Iman selama ini.

“Tapi, Iman rasa risau..” kata Iman perlahan.

“Risaukan apa?”

“Iman sendiri tak tahu apa yang Iman risaukan. Yang pasti sekarang, Iman rasa tak sedap hati. Macam ada sesuatu yang tak kena.” Iman memandang Aisyah dan Nazia. Bukan dia mahu berfikiran negatif, apatah lagi mahu berburuk sangka kepada along, cuma dia memang berasa tidak sedap hati sekarang. Seperti yang diluahkan tadi, dia sendiri tidak tahu mengapa perasaan itu boleh hadir.

“Sudahlah, Iman jangan fikir yang bukan-bukan. InsyaAllah, tak ada apa-apa tu,” kata Aisyah.
Nazia mengangguk. “Betul kata Aisyah tu. Mungkin disebabkan along awak dah selalu berkasar dengan awak, jadi, bila dia cakap elok-elok, awak rasa benda tu macam asing sangat dalam hidup awak. Sebab itu terlahirnya perasaan tak sedap hati tu,” sambung Nazia seakan sedang mengeluarkan teorinya sendiri.

“Mungkin juga. Baiklah, mulai sekarang saya tak akan berfikiran negatif lagi. Yang penting, saya akan terus berdoa agar along benar-benar berubah.”

“Macam itulah baru betul.” Aisyah memeluk bahu Iman. Nazia juga melakukan perkara yang sama. Mereka bertiga ketawa perlahan.

Tanpa disedari, sepasang mata sedang leka memerhati gelagat mereka bertiga. Bibirnya mengukir senyum seakan dirinya turut sama merasai kegembiraan yang dirasai oleh Iman, Aisyah dan Nazia. Sebenarnya, dia akan gembira apabila melihat Iman gembira. Hatinya juga akan senang apabila melihat Iman tersenyum. Dia tidak dapat menafikan perasaannya terhadap Iman. Sudah puas dia menahan, sudah puas dia menolak, tetapi perasaan itu tidak pernah padam. Malah makin segar dalam hatinya. Tetapi Iman tidak pernah tahu akan hal itu. Begitu juga dengan teman-teman yang lain.

Faizal yang perasan dengan pandangan ‘maut’ Basri mula menggeleng kepala. Kalau ya pun suka, janganlah tunjuk sangat. Cover-coverlah sikit. Ish..

Faizal segera menepuk paha Basri. “Weh!” Terkejut bukan main kawan tu apabila tiba-tiba ditepuk.

“Aku tahu kau suka dia, tapi janganlah pandang sampai macam tu. Cover sikit. Nanti kalau bukan dia perasan, orang lain yang akan perasan, tahu?” bisik Faizal ke telinga Basri.

Gedebuk! Bagai baru terjatuh dari pokok. Basri segera menundukkan mukanya yang sudah merah menahan malu. Macam mana pula dia boleh tahu? Aiseh…

Faizal tutup mulut menahan ketawa. Itulah padahnya kalau tidak pandai cover!

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Aisyah baru usai menunaikan solat isyak. Dia melihat teman sebiliknya, Husna yang sedang sibuk melayan cerita korea yang terpampang di skrin laptopnya. Sejak petang tadi gadis itu tidak henti-henti menonton movie. Minat benar Husna dengan movie yang datangnya dari jiran negara matahari terbit itu.

“Husna dah solat?” dia memberanikan diri untuk bertanya. Diam. Tiada jawapan yang diperoleh. 

Mungkin headphone yang dipakai telah menghalang laluan germersik suara Aisyah daripada dikesan gegendang telinga. “Husna,” Aisyah cuba memanggil sekali lagi. Namun, tiada suara yang menyahut.

Langkah kaki diatur mendekati tubuh gadis bernama Husna. Husna yang perasan akan kehadiran Aisyah disebelahnya menoleh sambil menyangkat kening sekali. Mungkin bertanya ‘kenapa’? Dia menanggalkan headphone yang dipakainya apabila melihat Aisyah seperti mahu berbicara.

“Husna dah solat?” Aisyah mengulangi soalan yang sama. Dia mengekalkan senyuman di bibir. Tidak mahu Husna tersalah sangka akan pertanyaannya.

“Belum,” jawab Husna malas.

“Solatlah dulu. Cerita tu boleh sambung tengok kemudian kan?” Aisyah menegur lembut.

“Sekejap lagi saya solatlah, masih awal lagi ni,” Husna mencemik.

“Bukankah solat di awal waktu itu lebih baik?”

Husna diam. Dia bingkas bangun dan melangkah ke pintu. “Baiklah ustazah, saya solat sekarang.” 

Kakinya terus diayun melangkah ke bilik air.

Aisyah menggeleng-gelengkan kepala sambil tersenyum. Husna memang berperangai begitu. Walaupun baru beberapa minggu mereka tinggal sebilik, namun Aisyah seperti sudah masak dengan perangai Husna. Degil, cepat marah dan tidak suka diganggu. Namun, Aisyah dapat rasakan masih banyak sifat-sifat baik yang terselit dalam diri gadis dari Johor itu. Cuma perlu ditarik keluar sahaja.

Husna mengeluh kecil apabila teringat akan peristiwa itu. Sebetulnya sudah banyak kali Aisyah menegur sikapnya yang suka melewat-lewatkan solat. Tetapi dia hanya buat endah tak endah sahaja. Cuma kali itu dia terdetik hati untuk terus menunaikan solat sehabis Aisyah menegurnya. Kalau tidak, pasti dia akan terus berbaring dan buat-buat tidur.

“Kita tidak boleh mengambil mudah dalam hal solat kerana solat itu merupakan ibadah yang penting buat kita,” kata Aisyah.

“Kenapa pula?” soal Husna kehairanan.

“Solat merupakan satu-satunya ibadah yang Allah perintahkan secara langsung kepada Rasulullah semasa dalam peristiwa Israk Mikraj. Tidak seperti ibadah lain yang Allah perintahkan melalui perantaraan malaikat Jibril. Sebab itu, solat menjadi tiang agama. Mendirikan solat itu umpama seperti kita mendirikan agama, dan meninggalkan solat pula umpama kita sedang merobohkan agama,” terang Aisyah bersungguh-sungguh. Husna disebelahnya terdiam.

Melihat Husna yang hanya mendiamkan diri, Aisyah menyambung kembali apa yang disampaikan sebentar tadi. “Dalam peristiwa yang bersejarah itu, Allah memerintahkan umat Muhammad untuk mengerjakan solat fardu 50 kali sehari semalam. Semasa Nabi Muhammad turun, baginda bertemu denga Nabi Musa. Nabi Musa menasihatkan Rasulullah supaya meminta Allah mengurangkan bilangan fardu solat. Allah memperkenankan permohonan Rasulullah dan akhirnya tinggal 5 fardu solat sehari semalam sahaja. Hmm, seperti yang kita amalkan sekarang. Walaupun kita hanya solat 5 kali sehari, tetapi Allah tetap memberi pahala menyamai 50 kali. Lihat, betapa kasihnya Allah kepada kita,” Aisyah memberi keterangan panjang lebar. Husna terkesima. Hatinya tersentuh. Subhanallah!

“Nabi s.a.w pernah bersabda yang bermaksud ; ‘Sesungguhnya yang pertama sekali akan dihisab segala amal perbuatan manusia pada hari kiamat ialah tentang solatnya. Allah berfirman kepada malaikatNya, sedang Dia mengetahui, “Periksalah solat hambaKu, apakah cukup atau kurang? Kalau cukup catatkan cukup, dan kalau kurang (solat fardu mereka),” maka Allah berfirman lagi, “Periksalah adakah hambaKu ini mempunyai amalan (solat) sunat? Jika ternyata terdapat amalan sembahyang sunatnya,” lalu Allah berfirman lagi , “Cukupkanlah kekurangan solat fardu hambaKu itu dengan amalan sembahyang sunatnya.” Kemudian diperhitunglah amal perbuatannya itu menurut cara sedemikian.” (hadis riwayat Ahmad dan At-Turmuzi daripada Abu Hurairah).

Huraian Aisyah yang panjang lebar itu sekalipun tidak dicelah. Dalam diam dia gentar. Dalam tenang dia ketakutan. Solatku! Pipinya terasa panas. Empangan matanya pecah.

Keluhan berat dilepaskan. Husna merenung ke luar. Aisyah telah membuka matanya yang telah ditutup sekian lama. Aisyah berjaya menyentuh hatinya dengan izin Yang Esa. Husna memejam matanya rapat. Dia membiarkan wajahnya dipukul angin yang bertiup lembut. Imbauan semalam kembali menjengah jendela memori.

“Apa ni?” soal Husna penuh kehairanan.

“Hadiah buat sahabat,” Aisyah menjawab penuh bersahaja.

“Tapi hari ini bukan birthday saya,” Husna membetulkan. Mungkin Aisyah tersilap melihat tarikh.

“Hadiah tak semestinya diberi masa birthday sahaja kan? Ambillah,” Aisyah terus menghulurkan bungkusan berwarna putih kekuningan itu kepada Husna. Bungkusan itu bertukar tangan. “Hmm, Aisyah ada kelas. Pergi dulu, assalamualaikum,” sekuntum senyuman dihadiahkan buat temannya itu.

“Ok, waalaikumusalam,” Husna menghantar Aisyah dengan pandangan mata. Dia membelek-belek bungkusan yang diberi oleh Aisyah sebentar tadi. Tangannya membuka bungkusan itu dengan cermat.

Kedua-dua belah keningnya terangkat apabila melihat isinya. Sebuah buku bertajuk ‘Wanita, Indahnya Dirimu Berjilbab’ dipegang kemas. Sehelai kain berwarna merah jambu, warna kesukaannya, diteliti. ‘Eh, tudung?’hatinya berbisik. Tiba-tiba sehelai kertas seakan surat jatuh ke atas lantai. Dia lantas mengambil dan membacanya.

Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang.

Buat sahabatku Hidayatul Husna yang dikasihi kerana Allah,

Bertuah diriku dipertemukan denganmu. Seorang gadis yang penuh keistimewaan. Sungguh dirimu merupakan seindah kejadian, dijadikan oleh Pencipta dengan penuh ketelitian. Namun wahai sahabat, ada sedikit perkara yang aku ingin nasihatkan.

Kau seorang gadis yang cantik sahabatku. Tetapi, menurut pandanganku, kau akan lebih cantik jika menutup rambutmu. Jangan biarkan lelaki yang tidak berhak melihatnya. Biarkan kecantikannya menjadi rahsia antara kau dan pahlawanmu kelak. Kau juga seorang gadis yang manis dan penuh keayuan. Namun, menurutku lagi, dirimu akan lebih manis dan ayu jika berpakaian mengikut syariatNya. Kemanisan dan keayuanmu terserlah, namun keindahanmu tetap terpelihara.

Maaf jika isi surat ini tidak menyenangkan. Maaf juga jika ada ketelanjuran kata. Bukan tujuanku ingin menggores hatimu. Bukan juga mahu melukakan. Cuma aku terlalu mengasihimu. Payah untuk aku tuturkan ketika berdepan denganmu. Justeru, warkah ini aku layangkan. Terimalah pemberian yang tidak seberapa daripada temanmu ini.

Wanita itu merupakan perhiasan. Dan seindah-indah perhiasan adalah wanita yang solehah.

Yang mengasihimu kerana ALLAH,

Aisyah

Husna melipat kembali surat itu. Dia kembali menatap buku dan sehelai kain tudung pemberian 
Aisyah di hadapannya. Hatinya tersentuh lagi.

“Mengelamun nampak,” Aisyah menegur.

Teguran Aisyah mengembalikan Husna ke dunia nyata. Dia hanya tersenyum. “Sudah lama balik?” soalnya kepada Aisyah. Tidak sedar pula bila Aisyah muncul di kamar kecil itu.

“Lama juga sampai penat tengok orang tu mengelamun,” Aisyah berseloroh. Husna mengangkat keningnya tanda terkejut.

“Biar betul,” Husna terpedaya.

“Baru sampailah. Main-main je tadi,” Aisyah ketawa..

“Nakal,” Husna pura-pura marah. Cubitan kecil dilayangkan ke pipi Aisyah. Tetapi tidak mengena, bahkan hidungnya pula menjadi sasaran tangan Aisyah. “Sakitlah,” Husna mengadu. Aisyah hanya ketawa melihat keletah temannya itu.

“Macam mana dengan PD?” soal Husna bagi mengelak serangan seterusnya daripada Aisyah. Lagipula, Aisyah baru sahaja pulang dari program meraikan pelajar tahun akhir fakultinya atau lebih dikenali dengan Majlis Jalinan Kasih (MJK) yang diadakan di Pantai Batu 3, Bagan Pinang, Port Dickson.

Aisyah tersenyum manis. “Alhamdulillah, semuanya berjalan lancar. Cuma penat sedikit.”

Husna angguk faham. Manalah tidak letih, semalam pergi ke rumah anak-anak yatim di bawah Kelab Penyayang, hari ini ke Port Dickson untuk program fakulti pula. Kalau dia sendiri, mesti tidak tahan punya. Sudahlah hari biasa sibuk dengan kuliah, hari cuti pula sibuk dengan aktiviti kelab dan persatuan. Memang kena betul-betul pandai bahagikan masa.

“Pergilah mandi, biar segar sedikit badan tu,” arah Husna. Dia menghulurkan tuala kepada Aisyah.

Ok! Terima kasih,” kata Aisyah sambil mengenyit mata. Dia bangkit dari katilnya.

 “Hah, sebelum terlupa, tadi Iman ajak kita pergi ke Fakulti Kejuruteraan minggu depan. Ada ceramah berkaitan dengan solat katanya. Hmm..dia cadangkan kita ajak Karina sekali. Macam mana?”

“Saya ok je! Nanti saya beritahu dia, InsyaAllah.”

“Alhamdulillah,” kata Aisyah. Dia terus melangkah lemah ke bilik air sambil mengurut lehernya. Letihnya..

Senyuman Husna masih tidak lekang daripada bibir biarpun wajah Aisyah sudah hilang daripada pandangan. 

Dia kagum melihat Aisyah dan Iman. Walaupun mereka sibuk dan letih, tetapi mereka masih ingat akan Karina. Kesibukan dan keletihan bukan alasan untuk mereka melupakan janji mereka kepadanya.

Karina..moga Allah lembutkan hatimu dik.

No comments:

Post a Comment