“Kau ada
adik-beradik?” soal Ilham kepada Hakimi. Dia sekadar ingin tahu, lebih-lebih
lagi mereka sekarang dalam perjalanan ke rumah Hakimi.
“Ada, adik
perempuan.” jawab Hakimi ringkas. Dia sedang menumpukan perhatian kepada
pemanduannya.
“Abang atau
kakak, ada?”
“Aku anak
sulung. Kami hanya dua-beradik sahaja.” Hakimi memandang Ilham sekilas.
“Kenapa?”
“Saja nak tahu.
Kau tak pernah cerita tentang keluarga kau pada aku.”
Hakimi senyum.
“Kau pun sama.”
“Hehe..” kan dah
terkena balik. “Aku pun anak sulung, dua beradik juga macam kau. Ayah aku dah
tak ada, tinggal mak je seorang diri di kampung. Adik aku pula belajar di UPM.”
Cerita Ilham tanpa dipinta.
“UPM? Dekatlah
kalau macam tu. Bolehlah selalu jumpa.”
“Tak pernah
jumpa pun,” kata Ilham perlahan. Dia membuang pandangan ke depan.
“Kenapa? Sebab
terlalu sibukkah?” Hakimi cuba mencungkil cerita. Selama ini dia tidak pernah
tahu Ilham ada seorang adik yang sedang belajar di UPM. Dia bertambah terkejut
apabila Ilham mengaku bahawa dia tidak pernah berjumpa adiknya di sana. UKM dan
UPM, bukannya jauh sangat. Senang sahaja kalau mahu berjumpa. Pulang ke kampung
pun boleh bersaing.
“Bukan. Aku yang
tak suka jumpa dia.” Ilham berterus-terang.
Dahi Hakimi
berkerut. Sekali lagi dia terkejut dengan pengakuan Ilham. “Hubungan kamu
berdua tak baik dan dia selalu sakitkan hati kau? Adik-beradik Ilham, biasalah
kalau selalu bergaduh.”
“Kami bukan
setakat selalu bergaduh, tapi kami tak pernah berbaik pun.”
“Astagfirullah..
Kenapa boleh jadi sampai begitu?”
“Aku pun tak
tahu kenapa. Sudahlah, aku malas nak cerita tentang dia.”
Hakimi menghela
nafas. “Ilham, kau patut bersyukur sebab masih ada adik. Hargailah dia selama
dia masih ada di hadapan kau. Sedangkan dengan orang lain pun kita perlu
berbuat baik, apatah lagi dengan adik-beradik sendiri,” nasihat Hakimi.
Ilham mendiamkan
diri. Malas untuk terus bersoal-jawab. Dalam hati, dia mengakui kebenaran
kata-kata Hakimi itu.
******
“Papa, mama,
abang Kimi dah sampai!” jerit Nabila sebaik sahaja kereta Hakimi berhenti di
hadapan rumah mereka. Memang dia sengaja duduk di depan rumah untuk menanti
kepulangan abangnya itu. Rindu!
“Assalamualaikum.”
Hakimi memberi salam sebaik sahaja turun dari kereta. Tangannya bersalaman
dengan Nabila yang kelihatan sungguh ceria. “Mana papa dan mama?” soal Hakimi
kepada Nabila kerana dia masih tidak melihat kelibat orang tuanya itu.
“Ada di dalam.
Adik dah panggil tadi, sekejap lagi keluarlah tu.” Nabila muncung ke arah
kereta. “Siapa tu? Kenapa tak keluar?”
Hakimi tepuk
dahi. Lupa pula dia membawa teman.
“Ilham,
keluarlah. Mari aku kenalkan dengan keluarga aku.”
Ilham angguk
dari dalam kereta. Sebenarnya dia kagum melihat villa yang besar ini. Tak
sangka, rupanya Hakimi ini anak orang kaya. Tapi, mengapa dia sanggup tinggal
bersama mereka di rumah teres yang kecil itu? Pelik bin Hairan…
“Ilham!” Hakimi
menepuk bahu Ilham. Ilham tersedar daripada lamunan. “Ish..boleh pula dia
termenung kat sini. Jom masuk,” ajak Hakimi sambil tersenyum. Tangannya sedang
dipaut erat oleh seorang gadis.
“Ni adik aku,
Fatin Nabila.” Hakimi memperkenalkan adiknya kepada Ilham. Ilham hanya
tersenyum sambil menganggukan kepala. Hakimi dan Nabila berjalan beriringan
masuk ke dalam rumah, manakala, Ilham membuntuti langkah mereka dari belakang.
Badannya menjadi
seram sejuk sebaik sahaja melangkah masuk ke dalam villa yang besar itu. “Ya
Allah, besarnya rumah!” Ilham seakan terpegun kerana ini kali pertama dia melangkah
masuk ke dalam rumah orang berada. Memang mengagumkan. Sudahlah bahagian luar
tadi sudah luas, dalam rumah ini juga tidak kurang hebatnya. Di tambah lagi
dengan isi perhiasan yang mahal-mahal. Subhanallah!
“Papa, mama,
inilah Ilham, teman serumah Kimi.” Hakimi memperkenalkan Ilham kepada ibu
bapanya pula. Ilham segera bersalaman dengan Tuan Muhammad sebagai tanda
hormat.
“Segak juga
orangnya,” puji Tuan Muhammad.
“Ish, Tuan ni,
mana ada segak. Biasa-biasa sahaja,” balas Ilham sambil menahan malu. Berderai
tawa mereka di ruang tamu.
“Apa pula
berTuan-tuan ni? Panggil pak cik sahaja sudah cukup, nak panggil papa pun
boleh. Tak jadi masalah. Betul tak Kimi?” kata Tuan Muhammad mesra.
“Betul, barulah
mesra sedikit. Tak gitu papa?”
Tuan Muhammad
angguk mengiakan kata-kata anak lelakinya itu.
“Bermalam di
sini hari ini?” soal Puan Kamariah pula.
“Tak sempatlah
mama. Projek tak siap lagi. Inipun Kimi balik untuk ambil barang yang
tertinggal minggu lepas.”
“Kamu ni
sekarang sibuk je memanjang, balik rumah pun sudah jarang-jarang,” rungut Puan
Kamariah.
Hakimi mendekati
mamanya. Bahu Puan Kamariah dipeluk erat. “Ma, Kimi kan tahun akhir sekarang.
Memanglah sibuk sikit. Tapi mama jangan risau, hari-hari Kimi telefon mama.
Macam mana?” pujuk Hakimi.
“Awak ni Yah,
cubalah faham sikit tugas Kimi ni. Dia tahun akhir sekarang, tahun paling
penting dalam menentukan masa depan dia. Biarlah dia selesaikan tugas dia dulu.
Nanti, bila dia dah tamat belajar esok, awak berkepitlah dengan dia.” Tuan
Muhammad membela Hakimi.
“Abang ni, bila
dia dah bekerja nanti, lagilah dia sibuk. Mana ada masa nak layan saya dah.”
“Mama, janganlah
macam ni,” kata Hakimi dalam nada risau.
“Sudahlah,
jangan buat anak awak tu risau, nanti terganggu pula pelajaran dia. Lagipun,
suami awak ni kan masih ada.” Gurau Tuan Muhammad.
Puan Kamariah
senyum. Dia memegang erat tangan Hakimi. “Mama bergurau saja, mama faham
situasi Kimi. Jangan risau, ya.”
Hakimi angguk.
Lega rasanya bila mama berkata begitu. Bimbang juga tindakannya mengguris hati
mama.
Ilham yang hanya
menjadi pemerhati sejak tadi tersentuh dengan kemesraan mereka anak beranak.
Ternyata, hubungan mereka sekeluarga sangat erat. Mereka saling bergurau senda
dan tidak segan untuk mengucap kata sayang. Jika dibandingkan dengan dirinya,
umpama langit dan bumi. Jauh berbeza. Sangat-
sangat berbeza.
“Ilham, kenapa
diam sahaja daripada tadi?” soal Tuan Muhammad. “Janganlah segan-segan. Kami
sekeluarga memang begini, pantang berkumpul, mesti banyak perkara yang ingin
dibualkan,” sambungnya lagi.
“Eh, tak
mengapa.” Ilham tersenyum lagi. Hatinya terasa bahagia melihat kemesraan
mereka.
“Puan, makan
siangnya sudah siap.” Pembantu rumah warga Indonesia itu senyum sahaja ke arah
Hakimi. Sudah lama dia tidak berjumpa dengan anak majikannya ini.
“Bibik sihat?”
tanya Kimi sambil berjalan menuju ke ruang makan. Ilham hanya mendengar.
“Alhamdulillah,
sihat-sihat saja pak.”
“Bibik masak apa
hari ni?”
“Apalagi kalau
bukan makanan kegemaran bapak, tapi bibik hanya bantu saja. Puan yang masak
semuanya,” jawab bibik. Dia segera menyenduk nasi ke dalam pinggan Hakimi dan
Ilham. Manakala, Tuan
Muhammad lebih senang dilayan oleh isterinya sendiri.
Nabila pula sudah lebih dahulu menjamah makanan. Terlalu lapar katanya.
“Makanlah Ilham,
jangan segan-segan. Buatlah macam rumah sendiri.” Tuan Muhammad tidak
henti-henti mempelawa Ilham. Ilham angguk. Adoii..naik segan pula dilayan
dengan begitu mesra. Dia memandang
Hakimi yang sedang tersenyum ke arahnya. Dia
senang dengan senyuman itu. Tapi….
Senyuman itu
bagai mengandungi makna tersirat.
Apakah?
* * * * * * * * * * *
“Ilham, kau patut bersyukur sebab masih ada adik.
Hargailah dia selama dia masih ada di hadapan kau. Sedangkan dengan orang lain
pun kita perlu berbuat baik, apatah lagi dengan adik-beradik sendiri.” Nasihat Hakimi
tempoh hari masih terngiang-ngiang di pendengaran.
Ilham menghela
nafas. Apa yang patut dia lakukan? Hatinya tersentuh melihat kemesraan Hakimi
dan ibubapanya. Dia juga seakan cemburu melihat betapa eratnya hubungan Hakimi
dan adiknya. Sedangkan dia? Tidak pernah cuba merapati adiknya sendiri, bahkan
mengelak pula.
Sejujurnya, dia
sayangkan Iman. Yalah, abang mana yang tidak sayangkan adik. Tetapi, mungkin
kerana terlalu cemburu dengan Iman menyebabkan dia bertindak seakan Iman itu
musuh ketatnya. Dahulu, arwah atuk selalu membandingkan dia dengan Iman. Iman
budak baik, Iman tidak nakal, Iman mendengar kata,
Iman itu, Iman ini, sampai
naik bernanah telinga dibuatnya.
Di sekolah juga
begitu, cikgu selalu sahaja membandingkan kelakuan dan keputusan peperiksaannya
dengan Iman. Iman adalah pelajar kesayangan guru dan merupakan pelajar harapan
sekolah, tetapi dia? Terbalik pula perangainya berbanding Iman. Pernah suatu
hari, dia terkantoi menghisap rokok di belakang tandas bersama beberapa orang
rakannya yang lain, dan kebetulan Iman berada di tempat kejadian semasa dia
ditangkap oleh guru disiplin. Merah padam mukanya menahan marah. Mahu saja dia
menghambur Iman ketika itu. Mana tidaknya, adiknya itu merupakan saksi utama
kes mereka. Dan..kalau diikutkan, memang banyak lagi kes salah laku yang mereka
lakukan dan diketahui oleh Iman, cuma, Iman sahaja yang berdiam diri.
Di rumah? Abah
dan emak tidak pernah membezakan mereka. Kadang-kadang sahaja abah terlepas
cakap, membandingkan dia dengan sepupunya yang lain. Satu perkara yang dia
senangi tentang abah ialah abah tidak pernah membandingkan dia dengan Iman
walaupun perangai mereka jauh berbeza. Emak? Dia lebih senang menasihati
daripada memarahi.
“Kamu berdua ni sama sahaja, dua-dua keras kepala,
dua-dua degil, dua-dua cepat naik angin. Asyik nak kamu je yang menang.” Ilham tersenyum
sendirian apabila teringat bebelan emak dulu. Dalam banyak perbezaan yang
tercetus antara mereka, ternyata mereka masih miliki persamaan-keras kepala,
degil, cepat naik angin, tak suka mengaku kalah. Rasanya, persamaan inikah yang
akan menyatukan mereka semula?
“Weh!” Hakimi
menepuk kaki Ilham.
“Eh! Terkejut
aku!” kata Ilham dalam nada marah. Dia mengutip semula bantalnya yang tercampak
ke bawah dek terkejut dengan teguran Hakimi tadi.
Hakimi gelak.
“Sorry!”
“Lain kali bagi
salamlah, bro!” bebel Ilham.
“Dah bagi salam
pun tadi, tapi kau yang tak dengar.”
“Yakah?” tanya
Ilham tidak percaya.
“Iya..” jawab
Hakimi ringkas. Dia menarik kerusi plastik miliknya dan duduk di hadapan Ilham.
Ilham angkat
kening. Kenapa pula ni?
“Kau ada problem ke?” tanya Hakimi sedikit
serius. Sebenarnya dia sudah lama tercegat di muka pintu dan melihat gelagat
Ilham tadi. Dia pelik apabila Ilham langsung tidak mendengar salamnya walaupun
sudah beberapa kali dia memberi salam.
“Problem apa pula?” Ilham cuba berdalih.
“Problemlah. Kalau ada, ceritalah,
kot-kot aku dapat tolong. Tapi, kalau tak ada, tak mengapa.”
“Aku tak ada problem, tapi nak tanya sikit, boleh?”
“Sejak bila pula
kena minta permission sebelum tanya
soalan pada aku ni? Hah, apa dia?”
Ilham sengih.
“Hmm..kau memang rapat dengan adik kau ya?”
“Ya,
sangat-sangat rapat. Dan, aku tak dapat bayangkan keadaan aku kalau dia tak
ada,” jawab Hakimi jujur.
“Kau sayangkan
dia?”
Hakimi memandang
Ilham dengan pandangan yang bermakna. “Mestilah aku sayang dia, adik aku tu, bro!”
Dia membetulkan duduknya dan
menyambung, “Kalau kau nak tahu, aku sayangkan dia melebihi aku sayang diri aku
sendiri.”
Ilham bangun
daripada katilnya. Dia melangkah ke tingkap dan melemparkan pandangan ke arah
deretan pasu bunga milik jiran sebelah. Bunga-bunga mawar berwarna kuning dan
merah di dalam pasu itu sedang kembang mekar. Ada juga beberapa kudup bunga
yang masih menanti untuk kembang.
“Apa yang kau
sedang fikirkan?”
“Kau nampak
bunga ros dalam pasu tu?” tanya Ilham. Jari telunjuknya dihalakan ke arah yang
dimaksudkan.
“Nampak, tapi
kenapa?”
“Adik aku suka
bunga ros. Kalau tak silap, dia paling suka ros merah. Aku ingat lagi, masa
kami kecil-kecil dulu, dia sanggup pusing satu kampung dengan basikalnya
semata-mata nak cari bunga kesukaannya tu.
Bukan itu je, dia siap paksa mak aku
tanam pokok bunga ros keliling rumah. Bila mak aku tak mahu, dia mulalah buat
perangai. Merajuk tak nak makanlah. Muka tu pula masam je memanjang. Ish..pening
kepala mak aku melayan kerenah dia.” Ilham ketawa kecil apabila teringat
telatah Iman ketika kecil. Memang manja!
“Kau rindukan
adik kau?” celah Hakimi.
Ilham hanya
membisu. Dia tidak pasti jawapannya.
Hakimi memegang
bahu sahabatnya itu. “Ilham, aku tahu kau rindukan adik kau. Kalau tidak, kau
tak akan tiba-tiba bercerita tentang kesukaan adik kau pada aku. Dan, aku juga
yakin yang kau sangat sayangkan dia, kan? Kalau selama ini dia ada sakitkan
hati kau, maafkanlah dia. Kalau dalam hati kau masih ada sisa dendam kepadanya,
maka kau kikislah rasa itu secepatnya. Pulihkan semula hubungan kamu
adik-beradik.”
Ilham mengeluh
perlahan. “Dia tak pernah menyakiti hati aku, sebaliknya dia berusaha untuk
memperbaiki hubungan kami. Cuma..aku sahaja yang suka mengelak. Aku tak tahu
kenapa aku buat macam tu.” Kepalanya ditundukkan memandang lantai.
“Mungkin kerana
ego?”
“Ego?”
Hakimi angguk.
“Mungkin rasa ego itu yang menjadi penghijab hubungan kamu berdua daripada
berbaik. Ilham..kau lemparkan jauh-jauh perasaan ego kau tu. Berbaiklah dengan
adik kau semula. Aku pasti dia akan gembira, dan emak kau pun akan
berganda-ganda rasa kesyukurannya melihat kamu berdua berbaik semula. Aku tak
mahu kau menyesal suatu hari nanti, hari apabila peluang untuk berbaik itu sudah
tidak ada.”
“Walaupun kita
punya ramai kenalan di dunia ini, tapi, mereka tetap tidak sama dengan
darah-daging kita sendiri. Kau fikirlah betul-betul.” Hakimi menepuk-nepuk bahu
Ilham sebelum dia mengatur langkah meninggalkan Ilham sendirian untuk berfikir.
“Kau rasa dia
akan maafkan aku?”
Pertanyaan Ilham
mematikan langkahnya. Badannya dipusing
menghadap Ilham. “Mengapa tidak?” jawab Hakimi sambil tersenyum.
Ilham angguk
faham.
No comments:
Post a Comment