Sunday 11 December 2011

Seindah Takdir (Part 13)


Iman memandang ke arah emaknya yang masih memegang ganggang telefon. Perbualan mak dan along menarik hatinya. Dia dapat melihat titisan airmata mengalir di pipi emak. Apa yang dibualkan mereka sehingga menyebabkan mak menangis? Adakah along sudah pandai melukakan hati mak dengan kata-kata yang tidak sepatutnya keluar daripada mulut seorang anak? Sungguh tegakah along menguris sekeping hati insan yang sangat berjasa kepada mereka? Jika ya, maka along akan berdepan dengannya. Biarpun dia hanya seorang gadis, namun dia bukan seorang yang lemah. Dia tidak akan berdiam diri jika emak yang dikasihinya disakiti. Tidak sekali-kali!

Langkah di atur menuju ke arah mak yang tercegat di tepi tingkap. Tangannya menyentuh lembut bahu emak. Sisa-sisa tangisan masih jelas kelihatan di mata redup milik emak. Emak menoleh ke arahnya, menghadiahkan sebuah senyuman yang sukar di mengertikan.

“Mak menangis? Kenapa? Along sakitkan hati emak ya?” soal Iman lembut.

“Tak ada apa-apa Iman. Along tak sakitkan hati mak…” Puan Maisarah mengalihkan pandangan ke arah anak gadisnya itu. Dia tahu Iman memang pantang kalau ada sesiapa menyakiti hatinya. Pasti akan dilawan habis-habisan, lebih-lebih lagi alongnya.

“Kalau tak, kenapa mak menangis?” soal Iman seperti tidak puas hati.

“Mak rasa along kamu dah berubah.. Dia minta maaf daripada mak tadi. Dia pun minta maaf daripada Iman,” jawab emak.  “Agaknya along kamu betul-betul dah menyesal. Mak dengar dia menangis.”

Kata-kata yang terakhir itu menyentak tangkai jantung Iman. ‘Along berubah?  Menangis? Betul ke?’ soalan itu dipendamkan sahaja di dalam hati.. Sesungguhya  hidayah itu milik Allah dan Allah berhak memberikan cahaya hidayah kepada sesiapa sahaja yang Dia kehendaki. Jika along antara yang terpilih mendapat cahaya itu, maka Iman dan emaklah yang paling bersyukur.

“Alhamdulillah.. moga apa yang mak cakapkan tadi benar-benar berlaku,” hanya itu yang dapat Iman luahkan. Sebaris senyuman terukir di bibir comelnya. Iman  terkenang along yang sudah lama tidak ditemuinya. Nama sahaja adik-beradik, namun mereka jarang berhubung dan bertanya khabar. Bukan dia tidak mahu mengambil tahu keadaan satu-satunya  abang yang dia miliki,tetapi sikap along yang cepat marah dan tidak suka orang mengambil berat akan dirinya, menyebabkan Iman berat hati menghubunginya semata-mata untuk bertanya khabar.

Iman masih ingat bagaimana dia dan along pernah bertengkar dulu. Mak dan abah yang akan menjadi orang tengah meleraikan pergaduhan mereka. Selepas arwah abah pergi menghadap Ilahi, perangai along makin menjadi-jadi. Mungkin kerana pergaulan yang tidak tentu arah menyebabkan dia turut  terikut-ikut perangai teman-temannya. Walaupun begitu, along tidak pernah melawan kata mak, cuma sesekali dia menunjukkan protes dengan pulang lewat ke rumah.

Along yang dikenali sejak kecil memang penuh dengan kenakalan. Macam-macam yang dilakukan menyebabkan emak dan abah pening kepala. Alam sekolah menengah menyaksikan pelbagai lagi ragam ‘kenakalan’ along. Berulang kali juga abah terpaksa menadah telinga dan menebalkan muka apabila dipanggil cikgu ke sekolah. Daripada kes ponteng sekolah hingga ke hal kemerosotan prestasi pelajaran, semua diceritakan oleh cikgu. Disebabkan hal itu, teruk along dikerjakan abah. Nasib along agak baik kerana keputusan SPM yang diperolehinya melayakkan dia untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Kalau tidak, entah apalah yang akan abah lakukan pada along.

Tiba-tiba Iman tersentak. Memorinya terasa diketuk. Bukankah beberapa minggu lepas along ada menghubunginya? Along juga tidak lagi berkasar dengannya. Mungkinkah hal hari ini ada kaitannya dengan kejadian tempoh hari?

“Emak..” Iman memanggil emaknya. Dia mahu bercerita tentang along yang pernah menelefonnya dulu. Perkara itu belum sempat dimaklumkan kepada emak. Wajah yang dimaniskan itu dipalingkan ke sisi. Tapi, wajah manis itu bertukar menjadi kerutan.

“Aik? Dah tak ada? Baru je nak cerita.” Iman menggelengkan kepala. Emak tiada di sebelahnya, mungkin sudah berada di dapur barangkali. Bila masa emaknya mengatur langkah meninggalkan dia bersendirian pun dia tidak sedar.

Iman menarik nafas dalam-dalam. Dia kembali membuang pandang ke luar sambil memikirkan seseorang.

Along!

*******

Hakimi mengerling ke arah Ilham. Dia perasan Ilham menangis sebentar tadi. Bukan ingin mencuri dengar apa yang dibualkan antara Ilham dan emaknya, tetapi secara kebetulan dia berada di dalam bilik itu. Hakimi hanya mendiamkan diri. Dia mencapai buku di atas rak yang berdekatan, menyelak sehelai demi sehelai kandungan buku setebal satu setengah inci itu. Suasana di dalam bilik yang telah dihuninya selama hampir tujuh bulan itu sunyi sepi. Hanya bunyi kipas angin yang ligat berputar mengisi ruang kesunyian.

Tujuh bulan menghuni bilik kecil itu bermakna sudah tujuh bulan juga dia berkongsi bilik dan mengenali dengan lebih rapat insan bernama Ilham. Bukan dia tidak mampu menyewa rumah yang lebih baik mahupun bilik yang lebih selesa, 10 kali dia mampu. Namun, dia lebih gemar hidup seperti pelajar lain. Hidup dengan penuh kesederhanaan. Tambahan pula, kedudukan rumah sewa yang didiami sekarang yang hampir dengan kampus memudahkan kehidupannya.

“Kau tengah study ke?” soal Ilham memecah kesunyian malam itu.

“A’ah, kenapa?” jawab Hakimi lantas memandang ke arah Ilham.

“Err.. tak ada apa-apa. Aku nak pinjam buku, boleh?”

“Oh, boleh. Ambillah di rak tu. Kalau kau nak baca, ambil je. Tak payah minta permission aku,” jawab Hakimi mesra.

“Terima kasih, Kimi,” Ilham berjalan menuju ke rak buku milik temannya itu. Ternyata Hakimi merupakan seorang yang amat mementingkan kekemasan. Buku-buku di rak itu tersusun dengan sempurna mengikut jenis buku. Setiap buku pula mempunyai pelekat berwarna hijau muda. Tidak ubah seperti buku di perpustakaan. Sikap Hakimi sama seperti adiknya, Iman. Ilham hanya tersenyum sendiri.

Sebuah buku bertajuk ‘Bawa Hatimu Kepada Tuhan’ hasil tulisan Ustaz Amaluddin Mohd Napiah menarik hatinya. Ilham terus mencapai buku itu dan dibelek-belek isi kandungannya. Matanya tertarik dengan satu  tulisan, wasiat Luqmanul Hakim kepada anaknya. ‘Wahai anakku, kalau engkau meragui benarnya mati itu, maka janganlah engkau tidur. (Namun) Seperti mana engkau akan tertidur (juga akhirnya kerana terlalu mengantuk), maka demikian jugalah dengan kematian. Dan apabila engkau meragui pula benarnya hari kebangkitan, maka janganlah (sekali-kali)  engkau cuba bangun daripada tidurmu (namun nescaya engkau akan terjaga jua daripada tidurmu), maka demikian juga dengan hari kebangkitan. Kamu akan dibangkitkan selepas kematianmu.

Kematian itu pasti. Hari kebangkitan juga pasti berlaku. Ya Allah, golongkanlah aku dalam golongan orang-orang yang Kau redhai…Amin.

Ilham memejamkan matanya rapat. Dia cuba memahami dan menghayati pesanan Luqmanul Hakim itu.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Hakimi baru sahaja mendapat panggilan telefon daripada mamanya. Adiknya Fatin Nabila  mendapat tawaran belajar ke luar negara dalam bidang accounting. Hakimi bersyukur bagi pihak adiknya. Memang bidang itu yang diminati oleh Nabila sejak di bangku sekolah menengah lagi. Papa adalah orang yang paling gembira. Mana kan tidak, Nabila mempunyai minat yang sama seperti papa. Mungkin Nabila yang bakal mewarisi pentadbiran syarikat milik keluarga mereka suatu hari nanti.

Dia? Dia tidak kisah itu semua. Dia tidak minat dalam bidang perniagaan. Bukan tidak pernah mencuba, sudah banyak kali dia berusaha memupuk minat dalam bidang itu, namun semuanya sia-sia. Papa pernah menghalangnya mengambil bidang kejuruteraan malah memaksanya mengambil bidang perniagaan dengan alasan ingin mewariskan syarikat Saujana Holdings kepadanya. Hampir sahaja mereka berbalah, tetapi syukur Alhamdulillah, mama telah berjaya melembutkan hati papa. Kini, papa dapat menerima kenyataan. Malah papa yang banyak memberi galakan kepadanya untuk terus menggapai kejayaan.

Dia melihat jam di tangan. Sudah pukul 11.00 malam, namun  Ilham masih belum pulang. ‘Ke mana pula dia pergi agaknya.’ Komputer riba yang diletakkan di atas katil diambil. Sudah lama dia tidak melayari internet dan memeriksa emelnya. Kesibukkan menelaah pelajaran sebagai persediaan menghadapi peperiksaan akhir semester menyebabkan dia tidak sempat melakukan semua itu.

Banyak emel yang tidak di baca. Kebanyakkan adalah daripada sahabat-sahabat yang menuntut di luar negara. Walaupun sudah lama berpisah, namun ikatan persahabatan antara mereka masih utuh  seperti dulu. Ramai juga sahabat yang bertanya mengapa dia tidak mahu menyambung pelajaran ke luar negara sedangkan keputusan yang dia perolehi lebih baik daripada mereka, tetapi Hakimi hanya menjawab itu semua takdir Allah. Dia tidak kisah di mana pun dia menuntut ilmu, asalkan ilmu itu bermanfaat, maka dia akan teruskan. InsyaAllah.

Hakimi tersenyum apabila melihat emel yang dihantar oleh sepupunya, Fazril. Dia lantas membuka emel tersebut.

Assalamualaikum akhi Hakimi. Apa khabar akhi sekeluarga di sana? Ana harap sihat hendaknya. Bagaimana pula dengan pelajaran dan aktiviti dakwah yang akhi lakukan? Semoga semakin baik keadaannya. Amin..Sudah lama rasanya tidak bertemu dan bertukar-tukar cerita dengan akhi. InsyaAllah, bulan hadapan ana akan pulang ke tanah air. Tidak sabar rasnya ingin bertemu dengan akhi sekeluarga. Itu sahaja yang ana ingin khabarkan buat masa ini. Selamat menduduki peperiksaan akhir semester. Semoga segala perancangan dipermudahkan oleh Allah. InsyaAllah. Wassalam.

Dia membalas emel itu dengan segera. Tidak mahu membiarkan sepupunya ternanti-nanti. Ya, dia juga tidak sabar untuk bertemu pemilik nama Fazril Izerin Illiyin. Sepupu yang sudah dianggap seperti abang kandungnya sendiri. Perbezaan umur yang hanya tiga tahun menjadikan mereka rapat sejak kecil, membesar dan bermain bersama-sama.

*****
“Bila besar nanti Kimi nak jadi apa?” soal Fazril. Tangannya memegang kemas buku cerita pemberian Pak Ngahnya, papa Hakimi.

“Nak jadi pilot. Boleh terbang ke merata-rata tempat. Seronok tau!” balas Hakimi sambil mendongakkan kepalanya ke langit. “Abang Fazril pula nak jadi apa?” Hakimi menyoal semula.

“Nak jadi doktor. Boleh rawat Ummi. Abang kesian tengok Ummi, hari-hari kena makan ubat. Kalau abang dah jadi doktor nanti, abang akan cuba sedaya upaya sembuhkan Ummi,” Fazril berkata penuh semangat. 

Kolam matanya mulai bertakung. Sedih mengenangkan Ummi yang telantar sakit di hospital disebabkan penyakit kanser otaknya yang semakin serius.

Hakimi memandang Fazril. Walaupun masih kecil, namun dia mengerti perasaan abang sepupunya itu. 

“Banyakkan bersabar ya. Papa cakap, orang yang banyak bersabar akan disayangi oleh Allah, rasul dan orang-orang sekeliling,” pujuk Hakimi. Dia tidak mahu melihat Fazril sedih begitu. Segaris senyuman terukir di bibir Fazril, hatinya termakan pujukan Hakimi.

“Assalamualaikum..” suara Ilham memberi salam menghentikan lamunan Hakimi. Dia cepat-cepat menyeka air matanya dengan tangan. Tidak mahu dikesan oleh Ilham. Nanti bermacam-macam soalan pula terpaksa dijawab.

“Waa’laikumusalam. Baru balik Ilham? Ke mana tadi?”

Library, ada discussion dengan Khawarizmi dan Taufiq,” jawab Ilham ringkas. Hakimi mengangguk-anggukkan kepala tanda mengerti. Dia kembali menatap skrin laptopnya. Malas mengganggu Ilham yang kelihatan penat setelah hampir seharian berkampung di library.

No comments:

Post a Comment