Wednesday 21 December 2011

Seindah Takdir (Part 15)


Angin bertiup sepoi-sepoi bahasa. Dedaun pokok yang rimbun menghijau kelihatan seperti melambai-lambai. Rerumput yang segar meliuk-lintuk mengikut arah angin. Kelihatan beberapa ekor burung bebas berterbangan di ruang angkasa. Menambah keindahan panorama ciptaan Tuhan. Dari jauh kelihatan beberapa orang pelajar perempuan sedang berjogging. Beberapa kumpulan pelajar lelaki pula kelihatan sedang melakukan aktiviti yang sama. Tidak kurang, ada juga yang berbasikal mengelilingi kawasan itu. 

Inilah aktiviti pelajar di sini. Sentiasa mengisi masa lapang dengan perkara yang berfaedah. Walaupun bukan semuanya begini, namun, sekurang-kurangnya masih ada yang menghargai dan menggunakan kemudahan yang disediakan pihak universiti dengan baik.

Iman melontarkan pandangannya ke arah tasik yang mengalir tenang airnya. Sengaja memilih tempat ini sebagai tempat usrah mereka kali ini. Sedikit kelainan. Biar sahabat-sahabat yang lain tidak kebosanan. 

Mujur juga Aisyah memiliki pendapat yang sama. Suasana pagi yang  tenang dan damai di Bukit Ekspo ini sekurang-kurannya dapat membantu mereka merehatkan otak dan badan yang kepenatan membuat persediaan untuk menghadapi peperiksaan akhir semester yang bakal bermula dua hari lagi.

Satu bulatan kecil telah terbentuk. Ahli-ahlinya terdiri daripada Iman, Aisyah, Nazia, Ainni, Husna dan Anis. Enam orang semuanya. Walaupun kecil bilangannya, namun selaku penggerak, Iman dan Aisyah bersyukur kerana semua masih istiqamah menghadiri usrah. Walaupun kadang kala ada di antara mereka yang tidak dapat hadir, tetapi komitmen yang ditunjukkan sudah cukup membuahkan kesyukuran di hati dua sahabat ini.

Iman memulakan usrah mereka dengan puji-pujian kepada Yang Esa, selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhamad s.a.w serta kaum keluarga beginda, doa pembukaan semoga majlis ilmu ini diberkati, dan tidak lupa mengalu-alukan kehadiran sahabat-sahabat yang amat dia kasihi. Walaupun masing-masing sibuk mengulangkaji, namu ternyata mereka tidak kedekut waktu untuk menghadiri usrah. Inilah langkah pertama untuk menjadi srikandi agama Allah! Tidak banyak yang dia ingin bicarakan hari ini. Hanya mahu memberi sedikit pengisian ringkas. Berkaitan dengan situasi tika ini. Exam!

“Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah, Iman yakin semuanya sekarang tengah sibuk mengulangkaji pelajaran untuk exam dua hari lagi kan?” Semua kelihatan mengangguk-anggukan kepala. “Justeru, Iman bersyukur sangat sebab sahabat-sahabat sekalian masih sempat meluangkan masa datang hari ini,” kata Iman sambil tersenyum. Bebola matanya memandang wajah-wajah insan d hadapannya satu-persatu. Bunga-bunga ukhwah bagai kembang mekar di hatinya saat ini.

“Alhamdulillah, dengan izinnya juga, kita masih diberi kesempatan menghadiri majlis ilmu di tengah kesibukkan menghadapai imtihan dunia. Itu salah satu tanda Allah sayangkan kita, betul tak? Dia tidak mahu kita terlalu leka, tapi mahu kita sentiasa berusaha mendekatiNYA.”

“Sahabat-sahabat, kita ini umpama pengembara yang sedang dalam perjalanan menuju satu destinasi yang jauh. Destinasi itu tidak lain, adalah negeri akhirat. Jadi, kita mestilah berusaha mengumpul bekalan yang secukupnya untuk ke sana. Seperti sekarang, kita sanggup berhempas-pulas mengulangkaji pelajaran hingga lewat malam. Kadang-kadang sanggup tidak tidur, semata-mata untuk study kan? Kita nak buat sebaiknya supaya kita dapat jawab soalan nanti. Kita berusaha untuk mendapat kejayaan yang cemerlang. Nak kejar A. Nak dapatkan pointer 4.00. Nak dapat Anugerah Dekan. Nak dapatkan keputusan kelas pertama. Kita sanggup buat macam-macam untuk capai semua itu. Tapi, adakah kita sanggup buat perkara yang sama untuk mendapat taraf yang tinggi di sisi Allah?”

Keadaan sunyi sepi. Masing-masing sedang tekun mendengar pengisian daripada Iman Farahana. Anis Khadijah dan Hidayatul Husna tidak berkelip matanya memandang Iman. Nazia Insyirah dan Ainni Syarmimi pula sibuk menulis isi-isi penting supaya tidak terlupa. Aisya Humaira juga kelihatan seperti sedang bermuhasabah diri.

“Iman tak kata kita tak boleh kejar semua itu. Boleh. Sangat boleh. Allah ada berfirman dalam Al-Quran mengatakan kita adalah umat terbaik. Justeru, kita perlu buktikan kita memang terbaik. Kita memang dilahirkan untuk menjadi terbaik, bukan? Tetapi, jangan sampai kita terleka dan mengabaikan kewajipan kita padaNya. Study-study juga, tapi solat kena jaga. Baca nota tu baca juga, tapi Al-Quran jangan lupa. Sebenarnya, inipun pesanan buat diri Iman sendiri juga,” Iman mengukir senyum. Sahabat-sahabat yang lain turut tersenyum.

“Macam mana kalau stress?” Ainni melontar pertanyaan. Memang itu yang dia hadapi sekarang. Terlalu banyak yang perlu dibaca dan dihafal. Kalau setakat nama-nama biasa ok lah juga. Ini tidak, nama saintifik yang menyebutnya sahaja sudah mahu tergeliat lidah, lagi pula mahu dihafal. Memang mahu pecah otaknya.

Iman senyum lagi. Dia memahami perasaan pelajar Bac. Sains Mikrobiologi seperti Ainni kerana dia juga perlu mengambil subject mikrobiologi dua semester berturut-turut. Mikrobiologi adalah antara subject yang wajib diambil oleh pelajar Bac. Sains dan Teknologi Makanan sepertinya. Namun, mereka lebih fokus kepada mikrob yang terdapat di dalam makanan. Itupun sudah cukup memeningkan, inikan pula Ainni yang memang mengambil major mikrobiologi.

“Ingat Allah. Bukankah dengan mengingati Allah hati akan menjadi tenang? Hmm..ingat, apabila kita belajar atau mengulangkaji pelajaran, niatkan ianya ikhlas kerana Allah. Kalau kita rasa susah nak hafal, susah nak masuk apa yang dibaca, atau susah nak faham, ubatilah dengan zikir. Istighfar. Jangan terlalu memaksa diri. 
Lebih baik jika kita berwudhuk sebelum study. Mohon Allah lapangkan hati kita dan memudahkan kita menerima ilmu.  Kalau kita rasa stress waktu study, lebih baik kita berhenti seketika. Pergi ambil wudhuk dan solat sunat. InsyaAllah, Allah akan permudahkan. Bersangka baiklah dengan Allah,” terang Iman.

“Niat kita perlu betul. Kita belajar bukan semata-mata nak dapat keputusan yang cemerlang. Kita belajar kerana Allah. Kita nak kaut sebanyak mana ilmu yang boleh. Kita nak bantu sahabat kita bila kita berjaya. Kita nak bantu saudara seagama kita. Kita nak bantu agama Allah. Jika betul dan baik niat kita, InsyaAllah, Allah akan tolong. Lagi pula, jangan kita yakin bahawa usaha kita itu sebenarnya yang menentukan kejayaan kita. Tidak semestinya. Yang penting adalah sejauh mana tahap tawakkal kita kepada Allah. Tapi, ini tidak bermaksud tidak perlu berusaha. Orang yang hanya mahu kejayaan tanpa usaha adalah orang yang malas. Bukan orang yang redha. Berusaha semampunya. Iktiar sebaiknya. Berdoa sedayanya. Akhir sekali kita serahkan sepenuhnya kepada Allah. Berjaya atau kecundang, itu urusan Allah. Dia yang berhak tentukan kerana Dia lebih tahu apa yang paling baik buat kita, hambaNya. Wallahua’lam,” kata-kata Iman berhenti di situ. Dia ingin memberi ruang untuk Aisyah pula berbicara.

“Hmm.. Aisyah setuju dengan Iman. Doa, usaha, iktiar dan tawakkal. Itu antara elemen penting yang perlu ada dalam diri kita selaku pelajar. Jangan doa je banyak tapi usaha tak seberapa. Seimbangkan semuanya. InsyaAllah, kejayaan pasti menyusul. Kalau tidak sekarang, mesti akan sampai juga masanya nanti. Mungkin Allah tak kabulkan permintaan kita nak dapat first class walaupun kita dah berusaha sehabis boleh, tapi satu hari nanti pasti Allah akan ganti dengan sesuatu yang lebih hebat. Kalau tidak di dunia, mungkin di akhirat. Bukankah itu lebih hebat?”

Aisyah meneruskan bicaranya. Sesekali sahabat-sahabat mencelah. Bertanya soalan dan memberi pendapat. Tidak kurang yang meluahkan perasaan. Usrah terakhir mereka pada semester ini diakhiri dengan satu jamuan kecil. Mereka gembira menghabiskan masa bersama. Biarpun sekejap, namun bermakna. Iman dan Aisyah berpandangan. Hati mereka tidak jemu-jemu bertahmid memuji Tuhan. Gembira melihat sahabat-sahabat tersayang. ‘Semoga hati-hati ini sentiasa dahagakan tarbiah dan terus diterangi cahaya hidayahNya. Amin,’ doa Iman di dalam hati.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Suasana di dalam Dewan Besar UPM sunyi sepi walaupun di dalamnya terdapat hampir 400 orang pelajar. Mana tidaknya, masing-masing sedang berhempas-pulas menjawab soalan peperiksaan yang berada di depan mata. Ada di antara mereka yang sedang membuat kira-kira dengan menggunakan kalkulator. Ada yang sedang termenung ataupun dalam kata lain mungkin sedang berfikir jawapan yang harus ditulis di dalam ruang yang disediakan. Dan tidak kurang pula ada yang berkerut-kerut dahinya, mungkin sedang cuba mengingati fakta atau apa yang pernah dibaca sebelum ini.

Iman dan rakan kuliahnya hampir 80 orang semuanya berada di dalam dewan yang sama. Selain itu, terdapat beberapa kumpulan pelajar dari jurusan berlainan yang turut berada di situ. Walaupun berbeza pengkhususan, tetapi mereka semua sedang berusaha untuk mencapai satu matlamat yang sama iaitu cemerlang dalam peperiksaan.

Aisyah yang berada di barisan hadapan sedang tenang menulis jawapan dalam bentuk esei di ruang yang disediakan. Iman yang berada di bahagian belakang turut membuat perkara yang sama. Cuma, kesejukan terlampau di dalam dewan itu sedikit sebanyak mengganggu tumpuannya. Tangannya menggigil kesejukan, dan keadaan itu menyebabkan dia sedikit sulit untuk menulis dengan laju.

“Sejuknya, macam di oversea pula,” gumam Iman sendirian. Dia menggosok-gosok kedua belah tangannya untuk mengurangkan kesejukan. Pelajar-pelajar yang duduk berhampiran dengannya turut melakukan perkara yang sama. Suhu dalam dewan ini memang sejuk, mujur dia memakai sweater bagi mengurangkan kesejukan.

“Perhatian kepada pelajar yang mengambil matapelajaran berkod FST4001 iaitu Makanan Halal, masa yang anda ada untuk menjawab hanya tinggal 15 minit sahaja lagi.”

Iman tersenyum mendengar pengumuman yang dibuat oleh pengawas peperiksaan itu. Dia kembali menggerakkan pen di atas helaian putih di hadapannya. Hanya sedikit sahaja lagi jawapan yang perlu dilengkapkan sebelum dia memeriksa jawapannya semula. Tangannya bergerak laju menulis baris-baris terakhir, dan..siap! Alhamdulillah.

Buku jawapan itu diselak-selak. Setiap baris jawapan dibaca semula bagi memastikan tiada kesalahan ayat mahupun kesalahan ejaan. Setelah berpuas hati dengan jawapan yang ditulis, Iman meletakkan buku jawapan itu di sisi kanan mejanya. Mereka diarahkan keluar dalam keadaan yang teratur dan senyap kerana tidak mahu mengganggu pelajar-pelajar lain.

“Alhamdulillah, akhirnya habis juga peperiksaan untuk semester ini,” kata kak Kristina sambil meraup tangannya ke muka. Seronok benar lagaknya.

“Tak sabar nak balik kampung!” celah Putri.

“Tahu tak apa,” sokong Balqis yang sedang berdiri di sebelah Putri.

Iman dan Aisyah tersenyum melihat gelagat rakan-rakan mereka itu.

“Jomlah kita pergi makan tengah hari dulu. Akak lapar ni,” ajak kak Kristina sambil memegang perutnya. 
Dia lantas menarik tangan Iman supaya mengikut dia ke Food Court.

Iman hanya mengikut sahaja. Dia pun sudah lapar sebenarnya.

Mereka berenam mula bergerak ke tempat menunggu bas. Semuanya kelihatan gembira dan ceria kerana sudah habis peperiksaan sedangkan masih ramai lagi rakan-rakan dari jurusan lain yang masih ada kertas peperiksaan yang perlu dihadapi. Sekarang, mereka hanya menanti hari untuk pulang ke kampung sahaja.

“Bila awak nak balik kampung?” soal kak Kristina kepada Iman.

“Lusa, InsyaAllah. Lagipun, saya tak mengemas apa-apa lagi. Akak?”

“Malam esok, InsyaAllah,” jawab kak Kristina sambil tersenyum lebar.

“Seronok bebenor akak yer,” kata Nazia dengan loghat Perak yang tak berapa nak menjadi sebutannya.

Of course!” jawab kak Kristina bersahaja.

Mereka semua ketawa.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Perjalanan selama dua jam setengah tidak begitu dirasai. Pemandangan yang indah dihiasi bukit-bukau dan kehijauan alam berjaya menghilangkan kebosanan Iman. Cuti semester baru bermula. Tidak sabar rasanya untuk tiba di kampung. Rindunya kepada emak tidak dapat dibendung lagi. Emak, tunggu kepulangan anakmu ini!

“Along, cubalah duduk di rumah ni. Tak pun tolong abah di kebun, ada juga faedahnya. Ini tak,  asyik merayap je 24 jam. Entah apa la yang menarik sangat di luar tu sampai tak betah langsung duduk di rumah,” bebel Iman. Dia kurang gemar melihat perangai abangnya itu.

“Yang kau sibuk sangat ni kenapa? Kau ingat aku perempuan ke asyik nak kena berkurung dalam rumah macam kau,” jerkah Ilham tidak puas hati. Dia memang pantang kalau ada sesiapa menghalangnya membuat sesuatu yang dia mahu. Lebih-lebih lagi jika orang itu adalah Iman.

“Iman bukan nak menyibuk hal along, tapi along tu tak pernah fikir ke perasaan mak dan abah? Macam-macam perangai along buat, tak malu ke dengan orang kampung?” Iman mula menghamburkan kemarahannya.

“Ah! Pedulikan orang kampung. Aku buat benda baik ke buat benda jahat ke, mereka tetap akan mengata. Lagipun aku tak pernah menyusahkan mereka, apa nak kisah,” balas Ilham selamba. Kakinya dihayun laju menuruni tangga kayu. Tidak mahu terus-terusan mendengar bebelan adiknya yang banyak mulut itu.

“Along!” jerit Iman apabila dia mendapati Ilham sudahpun membonceng motor bersama kawannya. 
‘Huh, tak boleh harap!’

Deringan telefon bimbit yang mengalunkan lagu Setanggi Syurga nyanyian kumpulan Inteam menyedarkan Iman daripada lamunannya. Dia lantas meraba-raba beg galasnya untuk mencari telefon bimbit yang semakin nyaring deringannya itu. Iman tersenyum melihat nama si pemanggil. ‘Along.’

“Assalamualaikum Iman. Iman di mana tu, dah sampai kampung?”

“Waalaikumusalam. Iman masih dalam perjalanan. Sekejap lagi sampailah, InsyaAllah,” jawab Iman. 

“Along di mana?”

“Fakulti, masih sibuk dengan projek.”

“Oh, along tak balik kampungkah?”

“Balik, InsyaAllah. Mungkin dalam seminggu dua lagi. Along kena selesaikan hal di sini dahulu.”

“Baiklah, along bereskan kerja-kerja along dulu ya. Semoga semuanya berjalan lancar,”

“Ya, terima kasih. Sampaikan salam, assalamualaikum, along pada mak ya? Nanti ada masa along telefon.”

“InsyaAllah, jaga diri baik-baik. Assalamualaikum.”

Waalaikumusalam.”

Iman menyimpan kembali telefonnya ke dalam beg. Sejak kebelakangan ini along kerap menghubunginya bertanya khabar. Along sangat mengambil berat akan dirinya. Alangkah indahnya perasaannya tika ini. Jika arwah abah masih hidup, mesti abah turut gembira dengan perubahan along.

******
“Urmm.. sedapnya bau sambal tumis mak ni. Tak sabar Iman nak makan,”

Puan Maisarah hanya tersenyum. Dia tahu Iman amat gemar makan sambal tumis, lebih-lebih lagi sambal tumis udang. Kalau tiada lauk lain pun, Iman cukup berselera makan nasi berlaukkan sambal tumis. Cukup menyelerakan kata Iman.

“Kalau macam tu pergilah ambil pinggan. Nasi dan lauk-pauk lain pun dah siap ni,” arah emak.

“Ok!” balas Iman sambil mengenyitkan mata. Sememangnya perutnya sedang lapar sekarang. Dia tidak menjamah apa-apa makanan pun sepanjang perjalanan pulang ke kampung tadi. Setibanya di rumah, hidungnya sudah dapat menghidu haruman aroma sambal tumis emak. Bertambah-tambah berkeronconglah perutnya itu.

“Mak, along kirim salam, assalamualaikum, pada mak. Dia balik lambat sikit agaknya.” Iman menyampaikan salam along sambil tangannya sibuk mengisi nasi ke dalam pinggan.

Waalaikumusalam. Sibuk ya along kamu sekarang,” kata Puan Maisarah sambil duduk bersebelahan dengan Iman.

“Biasalah mak, pelajar tahun akhir memang begitu, sibuk memanjang,” balas Iman sambil tersenyum.

“Kamu berdua sudah berbaik semula?” tanya Puan Maisarah. Sebenarnya, Ilham sudah memaklumkan hal itu kepadanya tempoh hari, sengaja dia bertanya Iman hari ini bagi mendapatkan kepastian.

“A’ah. Along beritahu emak?” tanya Iman pula.

Puan Maisarah menganggukan kepala.

“Iman baru bercadang mahu buat kejutan pada mak, tapi nampaknya awal-awal lagi along dah bocorkan rahsia,” gurau Iman.

“Itulah kamu, tak mahu sepakat awal-awal,” sindir Puan Maisarah. Bergurau.

Iman ketawa. “Along ada telefon mak?”

“Ada, dua hari lepas. Dia ada tanya mak fasal Pak Ngah kamu,” Puan Maisarah mula membuka cerita.

Iman berhenti menyuap nasi ke mulut. Keningnya terangkat. “Pak Ngah? Kenapa pula? Selama ini dia tak pernah sebut pun nama Pak Ngah,” tanya Iman penuh kehairanan. Pak Ngah merupakan abang kepada emak dan sekarang menetap di Kerambit, Kuala Lipis. Pak Ngah merupakan seorang guru agama dan bekas tenaga pengajar di Madrasah At-Ti Hadiah, Kerambit. Walaupun sudah bersara, namun, dia masih aktif dalam aktiviti keagamaan.

“Dia mahu ke rumah Pak Ngah,” jawab Puan Maisarah ringkas.

“Buat apa?” soal Iman lagi.

“Kalau mak kata dia mahu belajar agama, kamu percaya?” Puan Maisarah tersenyum selepas melontarkan soalan itu kepada Iman.

Membulat mata Iman. Senyumannya turut melebar. “Tentulah Iman percaya. Alhamdulillah!” balas Iman dalam nada yang ceria. “Hmm..kalau macam tu, Iman nak ikut alonglah. Bolehkan mak?”

“Boleh, apa salahnya. Bukannya rumah orang lain, rumah bapa saudara kamu juga kan. Tapi, along kata dia nak ajak kawan-kawannya sekali.” Puan Maisarah memandang Iman, menanti reaksi anak gadisnya itu.

Iman muncung. “Tak jadilah nak ikut.”

Puan Maisarah ketawa kecil melihat perangai Iman. “Lain kali kamu pergilah. Lagipun Pak Su sudah berpesan pada mak supaya kamu tolong dia masa cuti ni.”

Wajah emak dipandang tenang. “Pak Su Idlan?”

“Ya, siapa lagi?”

Iman senyum. “Tahu-tahu je dia Iman akan bercuti panjang, kan?”

“Mana tidaknya, setiap minggu dia akan datang sini tanya mak bila kamu cuti. Mak rasa dia memang perlukan pembantu sekarang. Lebih-lebih lagi, bilangan anak muridnya sudah semakin ramai. Budak-budak kampung sebelah pun datang untuk berguru dengannya.”

“Kak Zulaikha kan ada,” kata Iman seraya memandang emak. Keningnya diangkat. Kak Zulaikha merupakan anak sulung Pak Ngah dan usianya enam tahun lebih tua daripada Iman. Kak Zulaikha menetap di sini selepas berkahwin dengan orang kampung ini juga. Seingat Iman, kak Zulaikha sangat disayangi oleh arwah atuk. Walaupun dari segi luaran, kak Zulaikha kelihatan lembut, namun, ilmu persilatannya setanding dengan cucu-cucu lelaki atuk yang lain. Sebab itu Pak Su meminta kak Zulaikha membantunya menguruskan gelanggang silat. Tambahan pula, bilangan wanita yang mahu mempelajari ilmu mempertahankan diri di kampung ini juga semakin meningkat.

Puan Maisarah menghela nafas. “Kak Zulaikha tengah sarat mengandung anak kedua sekarang. Tak akan pula dia mahu melatih budak-budak tu.”

Iman tersengih. Macam manalah dia boleh lupa. Dia bingkas bangun dan membawa pinggannya ke sinki. Selepas mencuci pinggan yang digunakan tadi, dia kembali mendapatkan emak.

“Tapi Iman cuti sebulan je mak, lepas tu macam mana?”

“Pandailah Pak Su kamu tu uruskan nanti. Yang penting sekarang, kamu kena pergi bantu dia sementara tengah bercuti ni. Kalau tidak, kecil pula hati dia.”

“Kalau setakat tolong tengok, bolehlah,” kata Iman perlahan.

Mata Puan Maisarah mencerun ke arahnya. “Budak ni, ada je alasannya. Tak kisahlah kamu setakat nak pergi tengok je, yang penting tunjuk muka pada Pak Su. Nanti dia ingat mak tak beritahu kamu pula pesanan dia tu,” pesan Puan Maisarah. Dia bangun dari tempat duduknya.

InsyaAllah,” jawab Iman malas. Terkebil-kebil dia memandang emak yang sudah mula bergerak ke tempat lain.

Iman menarik nafas dalam. Otaknya mula berfikir, apalah yang dia dapat bantu sangat di gelanggang silat tu? Kalau setakat jadi penonton ke, jadi pemerhati ke, jadi penyibuk ke, bolehlah juga. Lagipun, sudah lama dia tidak melihat orang berlatih silat, seganlah pula. Dia mula menongkat dagu. Ish..Pak Su..Pak Su, ada-ada je.

No comments:

Post a Comment