Wednesday 21 December 2011

Seindah Takdir (Part 14)


Minggu ulangkaji digunakan sepenuhnya untuk menelaah pelajaran. Dia tidak mahu mensia-siakan tempoh masa yang singkat itu dengan aktiviti-aktiviti yang tidak berfaedah. Hakimi melihat Ilham yang daripada tadi tekun mengulangkaji pelajaran tanpa mempedulikan keadaan sekeliling. Dia tersenyum. Jam sudah menunjukkan pukul 12.15 tengah hari. Tidak laparkah sahabatnya itu.

“Ilham, jom kita pergi makan tengah hari. Selepas itu kita boleh terus ke masjid, solat jemaah di sana,” ajak Hakimi.

“Emm, boleh juga. Sekejap ya, nak kemaskan meja,” jawab Ilham bersetuju.

“Ok.”

Hakimi mencapai kunci kereta. Mereka berjalan beriringan menuju ke tempat meletak kereta. Kereta Myvi berwarna hitam itu meluncur laju di jalan raya. Hakimi jarang memandu untuk pergi ke kelas. Hanya masa-masa tertentu sahaja kereta pemberian papa itu digunakan. Dia lebih selesa menaiki bas, biarpun terpaksa berebut-rebut dengan ramai penumpang lain, hal itu langsung tidak merunsingkan hatinya.

“Nak makan di mana ya?” soal Hakimi.

“Mana-mana pun boleh, janji sedap,” jawab Ilham sambil menegakkan ibu jari tangan kanannya. Hakimi hanya tersenyum. Dia memilih Kedai Makan Ala Kampung sebagai tempat untuk mengisi perut mereka berdua. Terdapat ramai pengunjung yang berada di dalam kedai makan itu.

Mereka memilih tempat duduk yang lebih tersorok dan jauh daripada orang ramai. Selesai memesan makanan, mereka berbual-bual. Walaupun baru berkawan selama tujuh bulan, tetapi Ilham dapat rasakan bahawa Hakimi amat memahami dirinya. Dia tidak kisah untuk menceritakan apa-apa yang berkaitan dengan dirinya kepada Hakimi. Cuma, Hakimi sahaja yang jarang menceritakan perihal peribadinya kepada Ilham.

Ilham memerhati keadaan sekeliling. Keadaan di dalam kedai itu memang sesak dan agak bising. Tiba-tiba pandangan matanya terlekat kepada satu wajah yang amat dikenalinya. Pemilik wajah itu dan beberapa temannya yang lain  berada tidak jauh dari tempat duduk mereka. Ilham bingkas bangun dan berjalan menuju ke arah gadis bertudung labuh itu. Hakimi terkejut. Kenapa pula?

“Assalamualaikum,” sapa Ilham.

Gadis itu seperti terkejut. Teman-temannya yang lain turut sama terdiam.

“Waalaikumusalam. Eh, along,” Iman menjawab sambil tangannya dihulurkan untuk bersalam dengan Ilham. 
Sedikit kerutan terlihat di wajahnya. Tidak menyangka akan bertemu along di sini.

Ilham menyambut huluran tangan Iman sambil tersenyum. “Iman sihat? Buat apa di sini?”

“Alhamdulillah, sihat. Iman datang sini jumpa kawan," jawab Iman lembut.

“Baru sampai dari kampungkah?” tanya Ilham lagi.

“A’ah, lepas tu Iman terus datang sini. Along pula?”

“Oh, along datang makan dengan kawan. Dia ada di sana,” jawab Ilham sambil menunjuk ke arah Hakimi yang berseorangan.

Iman angguk. “Along sihat?” Iman baru sahaja teringat untuk bertanya soalan itu.

“Sihat, Alhamdulillah. Oklah, along minta diri dulu, kesian pula tengok kawan along tu duduk sorang-sorang,” kata Ilham sambil tersenyum.

Iman angguk sambil menyalami Ilham. “All the best for your exam!” sedikit ucapan dititipkan sebelum along bergerak meninggalkannya.

Ilham senyum. “All the best for you too! Assalamualaikum.” Dia mengatur langkah sehabis Iman menjawab salamnya. Syukur, dia sudah dapat menahan rasa kekoknya untuk berbual dengan Iman. Biarpun hanya pertemuan yang singkat, tetapi amat bermakna. Sebetulnya, pertemuan ini hanyalah permulaan dalam usaha untuk memperbaiki hubungan mereka.

Hakimi hanya memerhati daripada jauh. ‘Siapa yang Ilham jumpa tu agaknya,’ desis hati kecilnya. Dia dapat melihat kemesraan antara Ilham dan gadis itu walaupun pada mulanya gadis itu kelihatan kekok. Takkan pula bekas kekasih hati yang pernah Ilham ceritakan dahulu kerana mereka kelihatan bersalaman sebentar tadi. Atau, itu adalah adiknya? Hakimi membiarkan pertanyaan itu terus bermain-main dalam fikirannya. Mungkin Ilham akan bercerita nanti.

*******

Iman merebahkan dirinya di atas katil. Dia berasa amat penat. Setibanya dia daripada kampung tengah hari tadi, dia terus mengikut teman-temannya keluar bersiar-siar. Sehari suntuk mereka meluangkan masa bersama-sama. Masing-masing ingin melepaskan tekanan pelajaran yang ditanggung sepanjang minggu ulangkaji. Namun dia tidak menyangka akan bertemu along.

Mungkin benar apa yang emak katakan. Along sudah berubah. Tingkah-laku along tadi memang lain benar dengan kelakuannya sebelum ini. Pertuturannya juga di jaga. Alhamdulillah. Iman tersenyum sendiri.

“Iman..Iman..” terdengar suatu suara memanggilnya namun panggilan itu tidak bersahut. Nazia menggeleng-gelengkan kepalanya. ‘Kenapa pulalah dengan Iman ni. Panggil pun tak disahut.

“Iman!” panggil Nazia lagi sambil tangannya menepuk bahu sahabatnya itu. “Jauh termenung, sampai orang panggil pun tak dengar,” Nazia melabuhkan punggungnya di samping Iman.

Sorry, bukan tak dengar, cuma tak perasan je,” dalih Iman sambil melemparkan senyuman kepada Nazia. Dia menyandarkan badannya ke dinding dan duduk bertentangan dengan Nazia.

“Awak dah ready untuk exam?” soal Nazia bersahaja.

Alhamdulillah, bolehlah sikit-sikit. Kenapa?”

“Tak ada apa-apa, patutlah boleh mengelamun. Rupa-rupanya sudah penuh ilmu di dada,” gurau Nazia. Dia menghadiahkan senyuman buat temannya itu.

“Ada-ada je awak ni. Ingatkan ada hal penting tadi,” balas Iman sambil tangannya mencubit lengan Nazia. Nazia mengaduh kesakitan.

“Iman..” panggil Nazia sambil memegang tangan sahabatnya itu.

“Ya?”

“Kenapa awak asyik termenung selepas jumpa along awak tadi?” tanya Nazia.

“Yakah? Mana ada,” Iman masih berdalih sedangkan dia perasan dengan perubahan dirinya sendiri. Dia merasakan dirinya seakan sedang bermimpi dapat berbual mesra dengan along.

“Jangan buat-buat tak tahu cik Iman sayang. Atau, awak masih rasa terkejut sebab disapa oleh along awak siang tadi, betul kan?”

Iman senyum ke arah Nazia. Pandai betul dia meneka.

“Awak fikirkan fasal perubahan along awakkah?”

Iman menjawab soalan itu dengan anggukan. Ya, memang itu yang sedang difikirkan sekarang. Along yang dikenalinya dahulu memang berbeza dengan along yang ditemuinya siang tadi. Along sekarang bagai sudah menjadi seorang yang lain.

“Perangainya tadi memang berbeza sangat berbanding perangai sebenarnya sebelum ini. Iman memang terkejut dan tak sangka langsung Syafiq Ilham sudah berubah!” Iman memandang Nazia dengan penuh makna.

Dia mengulangi kata-katanya lagi, “Syafiq Ilham, abang saya sudah berubah! Alhamdulillah.” Iman meraup tangannya ke muka. Tubuh Nazia dipeluk erat, mahu berkongsi kegembiraan bersama sahabatnya itu.

Alhamdulillah. Saya gembira mendengar berita perubahan abang awak. Selepas ini, awak dah tak boleh marah-marahkan abang awak lagi,” kata Nazia sambil membalas pelukan Iman.

Iman tersenyum lebar. “InsyaAllah. Tak ada sebab saya nak marahkan dia kalau dia tak sakitkan hati mak dan saya. Minta-minta perubahan dia kekal untuk selamanya. Amin,”

“Amin..” Nazia turut mengaminkan doa Iman.

“Terima kasih sebab selama ini awak banyak beri semangat kepada saya untuk terus berusaha supaya dapat berbaik semula dengan along,” kata Iman.

Nazia memegang lembut belakang Iman. “Sama-sama. Sebenarnya, saya pun belajar daripada awak juga. Saling mengingatkan, saling memberi nasihat dan saling melontar kata-kata semangat. Itu sudah menjadi tugas seorang sahabat, kan?”

Iman tersenyum manis mengiakan kata-kata Nazia itu.

“Emm, siang tadi Aisyah ada telefon saya. Dia cakap usrah kita minggu ini akan berjalan seperti biasa di biliknya. Dia minta saya sampaikan salam, assalamualaikum, pada awak,” sambung Nazia lagi apabila melihat Iman hanya mendiamkan diri.

Waalaikumusalam. InsyaAllah. Iman pun tak sabar nak jumpa Aisyah. Semenjak cuti study week ni, jarang benar dapat berjumpa dengannya.”

“Macam mana nak jumpa, awak tu yang balik kampung lama sangat. Sudah dekat dengan exam, baru balik sini,” ungkit Nazia.

Iman sengih. Betul juga.

Nazia tersenyum lalu meminta diri untuk menyambung mengulangkaji pelajaran. Malam masih awal untuk disia-siakan waktunya. Dia terus membuka buku untuk menelaah subject kegemarannya ; Biokimia Makanan.

Iman merebahkan semula badannya ke atas katil. Wajah manis Aisyah Humaira bertandang di ruang mata. Pertama kali mengenali gadis itu telah membuahkan rasa sayang di hati. Mungkin kerana keikhlasan dalam menjalinkan ukhwah menyebabkan bercambahnya buah kemesraan di antara mereka. Dia, Aisya Humaira, Nazia Insyirah, Ainni Sharmimi, dan Anis Khadijah sudah seperti adik-beradik. Sukar dijauhkan, apatah lagi dipisahkan.

Kehadiran dua lagi insan baru dalam hidup mereka, menambah keindahan sebuah ukhwah. Mereka ialah Hidayatul Husna dan Hidayatul Karina.

Biarpun Karina seakan masih jauh, namun, mereka akan berusaha untuk terus merapatinya.

InsyaAllah.

            *          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         
“Aisyah..” Aisyah mendengar namanya dipanggil. Aisyah mencari-cari gerangan si pemanggil, namun hampa kerana wajah pemilik suara tersebut tidak berjaya ditemui. “Aisyah Humaira..” sekali lagi namanya dipanggil. Belum sempat dia menoleh, sudah ada tangan menyentuh lembut bahunya.

MasyaAllah, Ain rupanya. Sudah lama kita tak jumpa kan? Ain buat apa di sini?” soal Aisyah hairan bercampur gembira. Hairan kerana Ain berada di sini. Gembira kerana telah dipertemukan kembali dengan sahabat yang banyak membantu penghijrahannya. Nurain Zinnirah. Satu nama yang cukup indah, seindah akhlak dan peribadi pemilik namanya.

“Ain ke Hospital Serdang tadi, melawat kakak Ain. Kebetulan sudah berada di sini, Ain datanglah untuk berjumpa Aisyah,” jawab Ain lembut.

“Kakak Ain di hospital? Sakit ke?” soal Aisyah sedikit bimbang. Mungkin kerana dia mengenali kakak Ain atau lebih mesra dengan panggilan kak Hani menyebabkan lahirnya jalur kerisauan di hatinya.

“Kak Hani baru selamat bersalin. Alhamdulillah, dapat anak lelaki,” jawab Ain ceria. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman kegembiraan.

Alhamdulillah, akhirnya kak Hani dapat juga gelaran ibu,” kata-kata Aisyah disokong oleh Ain. Sudah hampir enam tahun kak Hani mendirikan rumahtangga, dan hampir-hampir dia merelakan suaminya berkahwin satu lagi gara-gara dia tidak dapat mengandung. Pelbagai altenatif diambil, daripada perubatan moden hinggalah perubatan kampung, kak Hani tidak jemu-jemu berusaha semata-mata ingin memberikan buah cinta buat suami tersayang. Alhamdulillah, akhirnya segala usaha yang ditabur sudah berhasil. Kini, dia sudah bergelar ibu. Aisyah sendiri dapat rasakan kegembiraan yang dirasai Ain, kak Hani dan suaminya.

“Aisyah bagaimana sekarang?” Ain mula menukar topik perbualan mereka. Aisyah mengangkat kening tanda tidak mengerti maksud pertanyaan Ain. “Bagaimana dengan iman dan amal?” soalnya berterus-terang. Aisyah tersenyum lagi mendengar pertanyaannya. Ain memang begini. Dia sentiasa mengambil berat keadaan Aisyah, walaupun mereka terpisah jauh.

Wallahua’lam..” jawab Aisyah ringkas. Giliran Ain pula mengangkat kening. Mengembalikan soalan kepada Aisyah. “Entahlah Ain. Kadang-kadang Aisyah rasa hampir sangat dengan Dia, tapi kadang-kadang rasa jauh benar. Mungkin kerana iman Aisyah masih belum kukuh, asyik terumbang-ambing. Mudah benar goyah biarpun hanya disapa oleh angin yang lembut,” jawabnya lemah. Sejujurnya, memang itu yang dia rasai. Puas dia meneliti diri, hanya kekhilafan yang ditemui.

“Sabarlah, teruskan bermujahidah. InsyaAllah, Allah akan sentiasa membantu. Berdoa dan pohonlah pertolongan daripadaNya,” nasihat Ain sedikit sebanyak menyuburkan kembali hatinya yang hampir gersang. 

“Aisyah ada masalah lain? Ceritakan pada Ain, insyaAllah Ain akan cuba membantu,” sambung Ain lagi. 

Mungkin kerana melihat reaksi Aisyah yang sedikit berlainan daripada kebiasaan menyebabkan Ain mula dapat mengesan kegusaran yang bersarang di hati Aisyah.

“Aisyah tak ada apa-apalah. Mungkin kerana terlalu sibuk dengan aktiviti seharian. Mana dengan nak siapkan tugasan yang bertimbun, peperiksaan yang dah hampir, ditambah pula dengan pelbagai aktiviti kolej dan fakulti, itu yang menyebabkan Aisyah letih sedikit. Tapi Alhamdulillah, sekarang semuanya sudah selesai, cuma tinggal peperiksaan akhir sahaja,” luah Aisyah.

“Itu semua ujian dunia. Aisyah kena banyak-banyak bersabar ya. Orang penting macam Aisyah ni memang sibuk memanjang. Tetapi kena ingat, sesibuk mana pun kita denga urusan dunia, jangan sesekali melupakan urusan akhirat. Tetapkan diri untuk terus berada di jalan dakwah dan tarbiah,” nasihat Ain yang sangat memahami kesibukkan Aisyah sebagai seorang exco persatuan di fakulti dan dalam masa yang sama dia juga memegang beberapa jawatan penting di kolej kediaman dan kelab universiti. Walau apapun, dia tidak mahu sahabatnya itu melupakan jalan dakwah yang sangat memerlukan seorang serikandi setegas dan secerdik Aisyah.

InsyaAllah. Ain doakan Aisyah ya.”

“Ain akan sentiasa doakan sahabat Ain ini, InsyaAllah,” kata Ain. Tangannya mengulas lembut jemari Aisyah.

“Ain nak tahu satu perkara? Dia dah berkahwin,” Aisyah memulakan topik lain sambil melemparkan senyum.

“Siapa?” Ain seperti tidak mengerti.

“Ikhwan yang pernah Aisyah ceritakan dulu. Dia berkahwin dengan Syafika.”

Alhamdulillah. Hmm..Aisyah kecewakah?”

“Pada mulanya ya. Tapi bila difikirkan semula, Aisyah tidak sedih malah gembira melihat kebahagiaan 
mereka berdua,” kata Aisyah jujur. Dia terbayang wajah gembira Ika seusai Afnan melafazkan akad. 

Walaupun dia hanya melihatnya melalui rakaman video, namun, dia merasakan dirinya seakan berada di majlis tersebut. Titisan airmata kegembiraan yang mengalir di pipi gebu Ika sedikit-sebanyak menyejukkan hatinya yang resah gelisah. Kekecewaannya juga menghilang sedikit demi seedikit.

“Baguslah kalau itu yang Aisyah rasakan. Ain berdoa agar suatu hari nanti Aisyah juga akan mendapat seorang suami yang berada di jalan dakwah dan tarbiah, seperti Aisyah sekarang.”

“Siapalah Aisyah untuk mengimpikan seorang rijal yang soleh, sedangkan Aisyah sendiri belum layak digelar solehah,” luah Aisyah lagi.

“Aisyah, tak baik memandang rendah terhadap diri sendiri macam tu. Sesiapapun di dunia ini berhak mendapat pasangan yang terbaik. Ingat, Allah sudah mengatur segalanya,” nasihat Ain sambil menggenggam kemas tangan Aisyah.

Pertemuan mereka petang itu berakhir di situ. Kata-kata terakhir Ain yang dititipkan buatnya sebelum beredar sangat menyentuh hati.

“Aisyah yang Ain kasihi kerana Allah, ingatlah bahawa perjalanan kita sebagai khalifah di dunia ini penuh dengan godaan dan cabaran. Jangan biarkan hati itu sunyi tanpa cinta Allah, jangan biarkan jiwa itu gersang tanpa kerinduan kepada Allah, jangan biarkan nadimu bergerak tanpa ukiran indah nama Allah, jangan relakan mulutmu terkunci tanpa zikrullah. Penuhilah hatimu dengan cinta Ya Rabbul Izzati sebelum membenarkan ia disentuh oleh mana-mana muslimin yang belum pasti membawa bahagia kepadamu. Cinta Allah adalah sebenar-benar cinta.”
Aisyah memejam rapat matanya.




Duhai diri,
Mengapa kau begitu lemah?
Lemah melawan nafsu sendiri.
Mengapa kau terlalu mengikut kata hati,
Tanpa diiringi iman yang hakiki?
Duhai hati,
Mengapa kau biarkan tercemar dengan cinta duniawi?
Tidak takutkah balasan Illahi?
Tidak takutkah azab yang menanti?
Tidak gerunkah dengan neraka yang apinya menjulang tinggi?
Duhai diri,
Insaflah..bertaubatlah..
Jangan terlalu megah dengan kelebihan yang dimiliki,
Renungkan kembali asal kejadianmu,
Asalnya dari setitis air hina,
Ditiupkan roh oleh Pencipta,
Dipinjamkan nyawa untuk seketika,
Wajarkah kau bermegah dengan kelebihan yang dipinjamkan?
Wajarkah kau berlaku sombong dengan Pemilik segalanya?
Wajarkah kau gah berjalan di dunia sementara?
Kembalilah..
Duhai hati,
Hiasilah dengan ukiran indah nama Illahi,


Hiasilah taman dengan kalam Pencipta,
Suburkan dengan zikir kepadanya,
Segarkan dengan tarbiah pembina jiwa,
Padukan dengan dakwah ke jalan Yang Esa….
KEMBALILAH..kenalilah Penciptamu..Tuhan Yang Maha Agung..
Allahuakbar!!!

No comments:

Post a Comment