Aroma sambal tumis udang mula berterbangan di ruang udara rumah banglo dua tingkat milik Farid. Bau yang menusuk hidung itu sesekali menyebabkan penghuninya terbersin. Farid menggosok-gosok hidungnya. Kakinya mengorak langkah sambil matanya melilau ke arah dapur. Kelihatan isteri yang baru dikahwininya empat bulan yang lalu sedang bertungkus lumus di dapur menyediakan makanan tengah hari buat mereka berdua. Mulutnya mengukir senyum.
“Sedapnya bau sambal tumis sayang,” puji Farid jujur. Faridatul Khairina menguntum senyum apabila dipuji begitu. “Bau saja yang sedap, rasanya belum tahu lagi,” balas Khairina manja. Tangannya pantas mengacau-ngacau masakan di dalam kuali. Di atas meja sudah terhidang beberapa lauk lain - kangkung goreng, ikan bakar, salad segar untuk dibuat ulam dan tidak lupa pelengkap seleranya apalagi kalau bukan sambal belacan. Simple tapi sudah cukup menyelerakan.
“Dah siap ke belum sayang? Abang dah tak sabar nak makan ni,” kata-kata Farid hanya disambut tawa kecil Khairina. Khairina faham benar dengar sikap Farid. Walaupun dia tidaklah selapar mana, tapi kalau terhidu sahaja bau sambal tumis udang kegemarannya, terus saja meluru mahu makan.
“Dah boleh makan sekarang. Abang ni kalau ada sambal tumis, laju je,” balas Khairina. Farid hanya tersengih. Tiada sambal tumis udang yang lebih enak daripada sambal tumis yang di masak oleh isteri tercintanya.
Ahh..itu semua kenangan dua bulan yang lalu. Ketika kebahagiaan masih menjadi milik mereka. Ketika hatinya masih belum terluka digores pertanyaan yang menikam sukma. Ketika dia merasakan dialah wanita paling bahagia di dunia. Ketika dirinya masih belum dihujani salju kelam takdir yang akan merubah segalanya. Saat itu seperti tidak akan berulang lagi. Saat itu seperti sudah jauh meninggalkan dia sendiri. Saat bahagia dan gembira bagaikan sudah mengucapkan selamat tinggal pada dirinya. Ya Allah, ujian apakah ini? Hempedu hadir di saat aku baru mula menghirup madu. Kedukaan tiba ketika aku baru mula mengukir senyum. Parut di hati yang baru mula kering sudah bernanah kembali.
Adakah ujianMu terlalu berat atau mungkin aku yang terlalu lemah? Tidak. Allah tidak akan membebani seseorang melebihi kesanggupannya. KalamMu bagai berkata-kata kepadaku. Adakah aku yang selalu tamak sehingga tidak dapat menerima takdir perkongsian ini? Mungkin. Mungkin itu puncanya! Tamak! Tamakkan kasih sayang!
“Sayang..abang ada sesuatu nak bincang dengan sayang,” Farid memulakan mukadimah. Hatinya dipagut sayu. Bimbang si isteri berlainan pendapat. Bimbang si isteri tersalah sangka. Bimbang permaisuri hatinya itu bertindak bukan-bukan. Namun dia yakin, isterinya yang sentiasa berada di jalan tarbiah sejak zaman gadisnya itu matang dalam segenap sudut. Pasti dia tidak akan melenting. Pasti dia akan mendengar dengan tenang. Tapi itu hanya andaiannya. Isterinya itu masih seorang perempuan. Masih mempunyai naluri kewanitaan yang utuh. Dan tidak mustahil dia akan bertindak sepertimana wanita-wanita lain di luar sana. Ahh..tapi dia tidak punya jalan lain. Jika si isteri mengizinkan, dia akan meneruskan. Jika tidak, ikhtiar lain akan diusahakan. Namun, masihkah ada ikhtiar lain? Jika ada mengapa ikhtiar itu tidak dikerjakan dahulu. Mengapa dia memilih menghiris hati bidadari di hadapannya ini?-hanya bermonolog sendiri.
“Apa dia? Macam serious saja,” kata Khairina. Bibirnya memang mewah dengan senyuman. Namun, bagai ada rasa tidak kena. Hatinya sedikit berdebar-debar. Apa yang ingin dikatakan oleh suami tercinta. Berita baik atau sebaliknya. Jika baik, Alhamdulillah. Jika tidak, adakah dia dapat menerima. Apapun, hanya kepada Allah tempat dia berserah.
“Abang ingin meminta izin..” ayat tergantung di situ. Bagai ada sesuatu yang menghalangnya keluar. Suaranya tersekat. Bibirnya tertutup kemas. Ya Allah, berilah kekuatan untuk aku meluahkan. Farid mengumpul kekuatan. Jejari mulus Khairina digenggam kemas. Kilau cincin emas di jari manis Khairina bagai sudah hilang serinya. “Minta izin apa?” soal Khairina. Dia sudah tidak sedap hati. “Abang ingin berpoligami..” tersekat-sekat ayat itu dituturkan. Farid menundukkan pandangan. Tidak berani memandang wajah si isteri yang sudah pasti sedang berkecai hatinya.
“Allahuakhbar!” hati Khairina bagai disambar halilintar. Jantungnya seperti mahu berhenti berdenyut. Darah merah pekat mulai mengalir laju naik ke muka. Otaknya pusing. Kepalanya sakit. Nafas sudah naik turun dengan laju. Pandangan mata menjadi kelam, sekelam hati yang mulai hilang sinar kegembiraan. Air-air jernih mulai bertakung di kolam mata tanpa diminta. Menanti saat empangan pecah untuk mengalirkan titisan air mata kedukaan.
**********
“Dia sakit sayang. Dia memerlukan seseorang untuk menjaganya,” Farid tidak jemu memujuk. Tertikam sukmanya melihat Khairina yang diam membisu. Tidak bereaksi langsung. Namun, juraian airmata yang laju mengalir bagai berkata betapa remuknya hatinya saat ini.
“Dia tidak punya keluarga sayang. Dia sebatang kara. Dia..” kata-kata Farid terhenti. Khairina sudah mula menapak lari meninggalkan Farid yang masih termangu. Ahh..apa yang harus dia lakukan?
Sejak peristiwa itu, Farid perasaaan perubahan Khairina. Isterinya yang dahulu sentiasa ceria, manja, banyak celoteh dan lemah lembut telah berubah. Berubah hampir 360⁰. Tiada lagi tawa manja. Tiada lagi senyum ceria. Tiada lagi gurau senda. Yang tinggal hanya 1001 kebisuan. Wajah yang dahulu manis berbunga, kini..menjadi masam mencuka.
Khairina sayang..andai kau tahu perasaan suamimu tika ini. Andai kau mengerti kesengsaraan suamimu ini….
“Abang, makan malam sudah siap.” Khairina mengejutkannya daripada lamunan. Dia berpaling, tetapi wajah itu sudah tiada. Sudah hilang di balik dinding yang memisahkan ruang tamu dan dapur. Biarpun Khairina sedang marah, namun dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya sebagai isteri. Dia tetap memasak, mengemas rumah dan melakukan rutin seperti biasa. Cuma, bibirnya sahaja yang seakan mengunci bicara. Bibir itu juga seakan mogok mengukir senyuman.
“Wah..sambal tumis udang. Makanan kegemaran abang.” Farid seakan teruja. Dia terus duduk, tidak sabar untuk menikmati makan malam. “Sudah lama sayang tak masak sambal tumis ini untuk abang, sampai abang terindu-rindu nak makan. Akhirnya dapat juga makan malam ini. Sayang memang dapat baca fikiran abang,” dia cuba menimbulkan suasana ceria. Tetapi…Khairina hanya membisu. Tidak langsung terkesan dengan bebelan Farid yang penuh ceria.
“Rina mahu ke Langkawi lusa. Boleh?” Khairina memecah kesunyian. Farid seperti terkena renjatan elektrik. Terkejut. Khairina sudah mula mahu berbicara dengannya. Bibirnya menguntum senyum.
“Ada apa mahu ke sana?” Farid sengaja mahu memanjangkan perbualan. Sejujurnya, dia sudah maklum mengenai hal itu kerana rakannya, Helmi, berkerja di tempat yang sama dengan Khairina.
“Seminar,” Khairina menjawab sepatah.
“Berapa lama?”
“Tiga hari…mungkin lebih.”
Farid angguk faham. “Boleh, tapi sayang mesti janji dengan abang, jaga diri baik-baik, ya?”
“InsyaAllah..”
Farid senyum, tetapi senyumannya tidak berbalas. Dia tunduk, kembali menikmati makanan di depan mata. Sambal tumis kegemarannya terasa tawar. Kecerian yang cuba ditimbulkan hambar kembali. Sayangku..mengapa mahal sungguh senyumanmu?
**********
“Kak Rina tidak bersetuju?” tanya Sarah. Matanya memandang wajah Farid yang bermuram durja. Pertanyaanya dibiar tanpa jawapan buat seketika. Farid hanya termenung. Pandangannya seakan sudah menembusi bangunan hospital di hadapannya. Bayu petang yang berhembus seakan tidak bisa memadam gelora kekecewaan di hati.
“Abang Farid…” Sarah memanggilnya lagi. Farid yang berada di hadapannya ini sudah seperti orang lain. Jasadnya mungkin di sini, tetapi hati dan jiwanya sudah berada di tempat lain. Mungkin sedang berada di suatu tempat yang jauh, tidak berpenghuni dan hitam pekat.
“Rina sebenarnya tidak memberi sebarang jawapan,” Farid bersuara. Keluhan berat dilepaskan. Dia memandang wajah pucat Sarah yang tersenyum ke arahnya. Rasa bersalah mula memberat di jiwa.
“Tidak mengapa. Sarah juga perempuan, dan Sarah sangat memahami apa yang Kak Rina rasa sekarang,” luah gadis itu jujur. Kalau dia sendiri berada di tempat Kak Rina, mungkin dia juga akan melalui kepayahan yang sama. Iyalah, perempuan mana yang mahu bermadu? Perempuan mana yang rela berkongsi suami? Perempuan mana yang suka dirinya diduakan?
“Sarah minta maaf,” ungkapan itu lahir tanpa sedar. “Sarah tidak sepatutnya melibatkan abang dan kakak dalam hal ini. Sarah yang sakit, dan mengapa pula Sarah perlu menyusahkan orang lain.” Sarah seakan marah kepada dirinya sendiri. Airmatanya mula mengalir deras. “Mesti abang dan kakak bergaduh pasal Sarah kan? Sarah minta maaf.” Sarah mengulang-ulang permohonan maafnya. Terbit pula rasa simpati di hati Farid.
“Nanti abang akan cuba bercakap lagi dengan Rina,” bicara Farid tenang. Dia seakan menghampar segulung harapan buat gadis yang sedang duduk di atas kerusi roda itu. Dirinya berada dalam keadaan serba salah. Kalau diikutkan hati, dia memang tidak mahu menduakan Khairina. Cinta dan hatinya hanya untuk Khairina seorang. Tetapi, dia seakan diuji sekarang. Antara mempertahankan cinta kepada Khairina dan membiarkan Sarah menderita sendirian dengan penyakitnya..Atau dia terpaksa mengorbankan kebahagiannya dan menemani Sarah yang amat perlukan perhatian dan penjagaan rapi.
“Tak usah,” Sarah membantah. Dia tidak mahu keadaan bertambah buruk. “Sarah tidak mahu susahkan abang lagi. Sarah juga tidak mahu merobohkan kebahagiaan abang. Cukuplah selama ini abang dan kak Rina banyak membantu Sarah. Jangan disebabkan simpati abang pada Sarah, kak Rina pula yang menjadi mangsanya. Sarah sudah cukup rasa bersalah dan berdosa kepada kak Rina.” Tangisan Sarah makin menjadi-jadi. Sungguh, perasaan bersalahnya tinggi menggunung.
Sarah mengenali Khairina lebih awal daripada dia mengenali Farid. Khairina banyak membantunya semasa dia sedang menuntut dulu. Khairina yang menghulurkan duit saat dia kekeringan wang untuk membeli buku dan makanan. Khairinalah yang menghantarkan makanan dan memaksanya makan ubat ketika dia demam. Khairina melayannya tak ubah seperti melayan adik kandung sendiri. Tetapi, sekarang, dia seakan sudah mengkhianati ketulusan kasih Khairina. Masih layakkah dia bergelar adik?!
“Abang Farid..bagitahu kak Rina, Sarah minta maaf sangat-sangat. Sarah lebih rela menghabiskan sisa waktu yang Sarah ada di hospital ini berbanding perlu hidup dalam rasa bersalah. Sarah tidak mahu membina kebahagiaan Sarah dalam airmata kak Rina.” Tulus dan jujur bicara Sarah. “Lagipula, hospital ini sudah seperti rumah kedua Sarah. Sarah tidak apa-apa kalau perlu terus tinggal di sini.”
“Sarah masuk dulu.”
Farid hanya angguk. Dia sudah kehabisan kata-kata.
Apa yang perlu dia lakukan? Ya Allah…berilah petunjukMu..
***********
Khairina termenung sendirian. Matanya leka memerhati gulungan ombak yang memukul pantai. Dirinya merasa tenang dibelai bayu laut yang bertiup kuat. Panas hatinya sudah mula berkurang. Bahang jiwanya juga sudah mula menghilang. Ketenangan sudah mula menjengah tirai hati yang sarat dengan kekecewaan dan kepiluan.
Sudah seminggu dia di sini. Tiga hari berseminar dan yang selebihnya dia menghabiskan masa untuk bermuhasabah. Dia perlu sendirian buat masa ini. Dia perlu membuat keputusan terbaik buat mereka. Mujur Farid memahami dan dengan rela hati memberi keizinan untuk dia menetap lebih lama di daerah kelahiran Mahsuri ini.
“Abang ada jumpa Helmi petang tadi. Dia kata sayang tidak mahu pulang lagi. Mengapa?” Farid bertanya lemah. Semangatnya sudah pudar, seakan sudah berangkat pergi bersama jasad Khairina yang kini jauh nun di utara tanah air.
“Rina minta maaf. Rina perlukan masa bersendirian, harap abang faham.” Khairina turut dirudum rasa bersalah.
Farid angguk mengerti. Tetapi dia sedar Khairina tidak dapat melihatnya. “Baiklah. Abang izinkan sayang bercuti di sana. Tapi….”
“Tapi…?” Khairina hairan.
“Tapi…jangan terlalu lama. Abang rindukan sayang. Terlalu rindu..” Farid terus-terang. Dia sudah tidak mampu lagi memikul beban kerinduan ini. Mahu sahaja dia terbang ke sana sekarang, tetapi dia menghormati keputusan Khairina untuk bersendirian.
Khairina menyapu airmata yang mengalir. Ya, dia juga rindu. Rindu akan suaminya. Tetapi, hatinya masih tersisa rasa sakitnya. Dia menghenyak punggungnya di atas kerusi. Tanpa sedar, dia sudahpun berada di café. Terlalu banyak berfikir barangkali.
Selepas mendengar perbualan antara Farid dan Sarah di hospital minggu lepas, dia dihimpit rasa bersalah. Dadanya sesak, seakan sudah kehabisan oksigen di muka bumi ini untuk dihirup bagi keperluan jantung dan darahnya. Pada hari itu, dia memang sengaja mengekori Farid ke hospital. Dia mahu melihat sendiri sejauh mana kejujuran dan kebenaran yang diceritakan oleh Farid mengenai Sarah.
Alangkah terkejutnya dia apabila melihat kebenaran yang terbentang di depan mata. Jasad Sarah sudah kurus melidi, mukanya pucat lesi dan gadis yang dulunya aktif kini terpaksa duduk di atas kerusi roda. Ya Allah..Dia sejujurnya tidak menyangka sama sekali Sarah sedang menderita menanggung penyakit yang berbahaya. Selama ini dia hanya dimaklumkan bahawa Sarah hanya ada migrain, bukan kanser otak!
Khairina menghirup air fresh orange yang baru diletakkan oleh pelayan café sebentar tadi. Dia kembali melayangkan pandangannya ke arah laut yang terbentang luas membiru. Beberapa ekor burung kelihatan terbang bebas di dada langit, menambah keindahan panorama ciptaan Tuhan.
“Assalamualaikum.” Satu suara yang tidak berapa dikenali menegur Khairina. Kepalanya didongak untuk melihat wajah pemilik suara yang baru sahaja menyapanya.
“Wa’alaikumusalam.” Jawabnya sambil tersenyum. “Natasya!”
Mereka lantas berpelukan bagai sudah lama tidak bertemu.
“Seorang sahaja? Mana cik abang sayang?” soal Natasya mesra. Bibirnya mula tersenyum nakal. Kepalanya memandang kiri dan kanan, mencari-cari kelibat Farid. “Ini datang untuk honeymoon kali kedua ya?” Natasya galak mengusik. Dia faham benar dengan perangai Khairina yang agak pemalu itu. Mukanya akan cepat bertukar merah jika diusik begitu. Malu katanya.
Tawa Natasya berhenti apabila Khairina tidak memberi respons langsung atas gurauannya tadi. Air mukanya nampak keruh. Ada masalahkah? Dia yang sedar akan perubahan Khairina cepat-cepat menukar topik perbualan yang lain. Mungkin gurauannya tidak kena pada masanya barangkali.
“Cantikkan pemandangan di sini?” Natasya menukar topik. Khairina hanya mengangguk. “Nak makan apa? Aku belanja.” Natasya cuba membeli emosi Khairina. Tangannya dilambai-lambai untuk memanggil pelayan café. Rasa tidak senang hati pula melihat Khairina yang tiba-tiba sedih.
Khairina senyum. Natasya masih tidak berubah. Dia memang pandai mengambil hati.
**********
Sampul surat berwarna coklat bertukar tangan. Farid angkat kening tanda tidak mengerti. Khairina hanya diam membisu. Matanya memandang sampul yang sedang digenggam kemas oleh Farid. Matanya dihalakan ke arah Sarah yang tenang di atas kerusi roda.
“Apa ini?” soal Farid hairan. Dia bukan setakat hairan dengan sampul surat yang baru diserahkan oleh Khairina, tetapi dia bertambah hairan apabila Khairina mengajaknya bertemu Sarah di hospital hari ini.
“Bukalah. Kalau tidak, masakan dapat mengetahui isi dan maknanya,” jawab Khairina bersahaja. Dia cuba menguntum senyuman buat suami tercinta. Namun, dia sendiri tidak pasti samada senyumannya bergula atau tidak.
Hati Farid mula berdebar. Adakah isinya akan mengundang gembira, atau sebaliknya akan mendatangkan kecewa? Adakah Khairina sudah tawar hati dan membuat keputusan yang bukan-bukan? Atau..
“Abang..isi sampul itu untuk dibaca, bukan untuk terus dibiarkan terperam di dalam,” tegur Khairina.
“Isinya bukan permohonan untuk berpisah kan?” tanya Farid gugup. Dia tidak sanggup membacanya jika itu adalah realiti yang terpaksa dihadapi. Khairina mengeluh perlahan. Kepalanya tunduk memandang rerumput yang tumbuh menghijau. “Itu keputusan Rina..” Perlahan ayat itu keluar dari bibirnya. Tetapi, ia sudah cukup meluruhkan hati si suami yang memang sudah hampir reput tangkainya. Sarah yang hanya diam sejak tadi turut tergamam.
“Kak Rina..” Sarah sebak. Dia tidak menyangka kak Rina membuat keputusan mengejut begitu. Rasa bersalah makin menghimpit. Ya Allah…Dia telah merobohkan sebuah masjid! Sarah memandang Farid yang sudah terduduk. Wajah suram lelaki itu sudah menjadi makin malap. “Kak Rina…akak jangan terburu-buru membuat keputusan kak. Sarah merayu pada akak supaya tarik balik keputusan ini. Abang Farid sayangkan akak. Kak Rina satu-satunya perempuan yang abang cinta. Tolong kak, jangan lukakan hati abang Farid hanya kerana Sarah,” Rayu Sarah sambil memegang erat tangan Khairina.
“Sarah..akak sudah berfikir semasak-masaknya. Ini keputusan akak, dan tak mungkin akak akan menarik balik.” Khairina menjawab tenang. Kakinya diatur ke arah Farid yang masih terkedu. “Abang..Rina sayangkan abang. Rina tidak mahu abang terus-terusan lemas dalam rasa bersalah. Jadi, Rina harap, keputusan Rina akan meringankan bebanan abang.” Bahu Farid dipegang kemas.
“Ringankan bebanan abang?!” tengking Farid. Tangan Khairina ditepis kasar. Khairina tersentak. “Rina ingat Rina siapa? Kenapa Rina buat keputusan tanpa berbincang dengan abang hah?! Rina ingat perkahwinan kita ni main-main? Abang kecewa dengan sikap Rina. Abang ingat, hidup abang sudah sempurna apabila dikurniakan isteri yang solehah seperti Rina. Tapi nampaknya, abang sudah tersilap. Tersilap! Rina ini lebih daripada perempuan yang tidak belajar agama!” Satu-persatu tuduhan dihamburkan kepada Khairina. Farid seakan sudah dirasuk. Mukanya marah menyala menahan amarah.
“Apa abang cakap ni? Rina tak faham.” Rina menahan tangis.
“Tak faham? Ini apa hah?!” tengking Farid lagi. Sampul surat coklat itu dilempar kasar ke muka Khairina. Kesabarannya sudah sampai ke kemuncak.
Khairina mengutip semula sampul surat yang telah remuk itu. Esak tangis yang dibendung sejak tadi tidak dapat ditahan lagi. Empangan mata yang sudah lama bertakung akhirnya pecah juga. Dia memandang Farid dengan pandangan pilu. Apakah kesalahan yang telah aku lakukan?
“Sudah! Pergi dari sini. Aku tak nak tengok muka kau lagi. Pergi!” arah Farid tegas.
“Abang, lihat dulu…”sebelum sempat katanya dihabiskan, Farid lebih awal memintas. “Pergi!”
Jeritan Farid menarik perhatian beberapa orang yang turut berada di taman hospital itu.
Khairina akur. Dia menghulurkan sampul surat itu kepada Sarah. Tangannya yang sejuk menggigil digenggam erat oleh Sarah.
Kakinya diayun lemah untuk meninggalkan tempat itu. Sesaat kemudian dia berpaling semula ke belakang. “Salahkah saya membuat keputusan mengizinkan diri saya dimadukan? Bukankah itu yang pernah abang pinta?” soal Khairina sayu. Dia kembali mengorak langkah meninggalkan mereka berdua. Langkah kakinya diayun laju. Dia mahu segera pergi. Dia tidak mahu tangisnya menjadi tontonan umum.
“Kak Rina..!” Sarah menjerit dari jauh. Namun langkahnya tidak juga dihentikan. Cukuplah, hatinya sudah parah disakiti.
Farid termengu mendengar soalan Khairina sebentar tadi. Benarkah?
Ahh..dia bingung!
************
Sudah hampir empat hari dia berusaha mencari Khairina, namun, jejaknya langsung tidak kelihatan. Hampir semua teman-teman rapat Khairina dihubungi, tetapi, seorang pun tidak tahu di mana isterinya berada. Puas dia menekan punat telefon untuk menghubungi bidadari hatinya itu, namun, talian tidak pernah dapat ditembusi. Tangki minyak keretanya juga sudah banyak kali kering dek terlalu kuat berusaha mahu menjejaki permaisurinya yang hilang. Tetapi semuanya hampa.
“Ya Allah, berilah pertolonganMu dan hulurkanlah bantuanMu buat hamba yang lemah ini. Kurniakan aku kekuatan, ketabahan dan kesabaran dalam mengharungi ujianMu. KAU lindungilah isteriku Faridatul Khairina walau di mana dia berada Ya Robb. Ya Allah, KAU lebih tahu keadaan diriku. KAU lebih memahami kesedihanku. Ya Rahman, panjangkanlah jodohku bersama Khairina. Kembalikan dia ke pangkuanku. Sesungguhnya, KAU lebih tahu apa yang tebaik buat hambaMu..aminn.”
Farid bingkas bangun. Sejadah berwarna biru muda disidai kemas di ampaian besi. Dia kemudian merebahkan badan di atas katil. Wajah manis Khairina menari-nari di ruang mata. Sungguh, dia buntu. Tidak tahu ke mana lagi harus dia mencari. Tidak tahu cara apa lagi yang boleh digunakan untuk menjejaki. Khairina..di mana dirimu sayang.
“Abang Farid, ini bukan surat penceraian. Tetapi, surat keizinan untuk berpoligami. Kak Rina dah tandatangan di sini,” kata Sarah sambil menunjukkan isi kandungan kertas bersaiz A4 yang dikeluarkan dari sampul surat tersebut. Suaranya masih serak, menahan tangis yang masih bersisa.
Farid terkejut. Dia membaca dengan teliti setiap patah perkataan yang tertulis di atas kertas itu. Mukanya ditampar kenyataan. Ya Allah, dia telah tersalah sangka pada Khairina. Patutlah Khairina beria-ia menyuruh dia membaca isinya terlebih dahulu. Tetapi..dia melakukan yang sebaliknya. Nampaknya, dia terlalu mengikut suruhan syaitan laknatullah. Farid beristighfar di dalam hati.
“Cepat pergi kejar kak Rina!” kini giliran Sarah pula memberi arahan. Farid angguk. Kakinya laju berlari untuk menjejak langkah Khairina. Tetapi hampa, kelibat Khairina langsung tidak kelihatan. Puas dia mencari di sana sini, namun bayangnya juga tidak ada. Punat telefon bimbit didail pantas, namun nyata talian telah diputuskan.
Tett..tett.. telefon bimbit yang diletakkan di atas meja berbunyi menandakan ada mesej masuk. Kenangan pahit yang melayang di fikirannya sebentar tadi sudah terbang jauh. Lalu, telefon bimbit itu dicapai dengan tangan kanan.
1 message received
Dia kembali meletakkan telefon itu di atas meja. Tidak ada hati untuk membacanya saat ini. Dalam fikirannya sekarang hanya Rina. Rina isterinya.
Matanya dipejam rapat.
Akhirnya dia terlena…..
**********
Salam..
Rina mahu ke luar negara pagi esok. Harap awak akan sempat tahan dia.
Terbuntang mata Farid membaca mesej yang tidak dihiraukan kehadirannya malam tadi. Dia terus membuat panggilan kepada pengirim mesej yang tidak dikenalinya itu.
“Siapa ni? Macam mana awak tahu tentang Rina?” soal Farid sejurus panggilannya dijawab.
“Natasya. Dia kawan saya,” jawab suara di hujung talian.
“Rina..mana Rina? Dia ada dengan awak sekarang?” Farid cemas.
“Dia baru sahaja bertolak ke lapangan terbang. Saya sudah maklumkan pada awak malam tadi, bukan?”
“What?! Ahh.. silap saya sebab baru baca mesej awak tadi. Flight Rina pukul berapa?” Farid semakin tidak keruan.
“Saya rasa baik awak pergi sekarang, flight dia pukul 9.00 pagi.”
Talian segera diputuskan selepas dia mengucapkan terima kasih. Sekarang sudah hampir pukul 8.00 pagi. Sempatkah dia menahan Khairina?
Dia bergegas keluar. Kereta Vios miliknya dipecut laju. Perjalanan ke KLIA dari rumahnya mengambil masa hampir 30 minit. Sejujurnya, dia tidak menyangka Rina akan merajuk sampai begini. Silapnya juga kerana menuduh tanpa usul periksa. Bibirnya tidak berhenti berdoa agar Allah menemukan mereka semula. Semoga Allah lembutkan hati Khairina untuk terus berada di sampingnya.
***
Suasana di Kaunter G, Aras 5 KLIA itu sudah mulai sesak dengan kehadiran manusia yang ingin menuju ke pelbagai destinasi. Tanpa berlengah, Farid terus mencelah di antara deretan manusia itu untuk mencari Khairina. Dia berusaha mencari di segenap ruang yang ada. Kakinya pantas berjalan sambil kepalanya sibuk meninjau mencari kelibat isterinya.
“Jumpa Rina?” Farid disapa satu suara sedang dia sibuk mencari. Farid geleng. “Dah cari semua tempat?” soal suara itu.
“Sudah, tapi tak nampak pun dia,” jawab Farid.
“Dia mahu ke mana?”
“London.”
“Farid! Flight ke London dah nak berlepas. Kau tak tengok ke skrin tu? Kenapa tak ke balai pelepasan je?”
Farid mendengus. Kenapalah dia tidak terfikir langsung hal itu. Dia langsung bergegas ke bahagian yang sepatutnya dia tuju sejak awal. Helmi mengikut dari belakang.
Langkah kaki Farid terhenti. Helmi hampir sahaja melanggar tubuh Farid yang kaku di hadapannya. “Kenapa?” soal Helmi hairan.
“Kita dah terlambat….”
Helmi turut memandang ke bahagian yang direnung oleh Farid sejak tadi. Tangannya memegang lembut bahu teman baiknya itu. Dia faham maksud Farid. Mereka memang sudah terlambat.
**********
Rumah banglo yang sarat dengan perhiasan itu terasa kosong. Gemerlapan lampu kristal yang gah bersinar juga seakan sudah suram. Deruan air terjun buatan yang dahulunya menggamit ketenangan kepada penghuni rumah seakan tidak lagi mendatangkan kesan apa-apa. Kedinginan penyaman udara seakan sudah kalah dengan bahang kecewa yang menemaninya sekarang. Kepalanya pusing. Benar-benar pusing, seperti pusingan kipas yang ligat berputar di syiling apabila disetkan pada kelajuan maksimun. Gandingan kedua-dua alat ciptaan manusia ini nyata tidak dapat mendinginkan hatinya.
“Sesungguhnya hanya dengan mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang. Kalau ada masalah, mengadulah padaNya. InsyaAllah DIA akan tolong.” Bisikan nasihat Khairina ketika dia menghadapai masalah di tempat kerjanya dahulu kembali menerpa cuping telinga.
Matanya dipejam rapat. Lengan kanannya diletakkan di atas dahi. Dia ingin melelapkan mata sementara menanti waktu solat. “Tidur sebentar sebelum zohor, atau lebih dikenali sebagai qailullah, merupakan salah satu amalan sunat. Antara tujuannya adalah supaya kita senang nak bangun tahajud pada waktu malamnya.” Pesan Khairina sekali lagi menerpa pendengaran.
Farid bangkit semula. Khairina kata, sunat tidur sebentar sebelum zohor, tetapi dia sekarang mahu menunggu waktu maghrib. Mana boleh tidur. Ish..tersilap pula. Kalau Khairina nampak, mesti telinganya akan dipiat, macam budak-budak kecil. Dia tersenyum sendirian. Isterinya itu memang selamba orangnya.
Tetapi..sekarang Khairina sudah pergi jauh. Entah dia akan pulang atau tidak. Sekarang hanya tinggal dia seorang diri di dalam banglo ini..dan kenangan bersama Khairina. Farid memandang foto perkahwinan mereka yang disangkut di dinding. Gambar itu menunjukkan betapa bahagianya mereka apabila telah disatukan.
Senyuman manis Khairina pada hari itu mengurangkan debarannya berdepan dengan tok kadi. Hanya dengan sekali lafaz, mereka sah menjadi suami isteri. Dia sempat melihat tangis kesyukuran Khairina sebelum cincin perkahwinan disarungkan. Tapi, menurut cerita mama, isterinya itu sempat sujud syukur sejurus lafaz Farid disahkan. Ya Allah, betapa dia terharu dengan tindakan isteri tercinta.
Namun..kegembiraan itu bagai sudah punah.
Pandangannya dihalakan pula ke dapur. Tempat dia dan Khairina sama-sama belajar memasak. Tempat dia dan Khairina sama-sama bermain tepung.
Dahinya berkerut. Seperti ada yang tidak kena. Mengapa lampu dapur terpasang? Dia lupa off suis ke? Rasanya, semua lampu dalam rumah ini telah dioffkan sebelum dia keluar pagi tadi. Farid menepuk dahi. Mungkin dia yang terlupa.
Dia terus bangun dan berjalan ke arah dapur untuk menutup suis lampu. ‘Membazir elektrik sahaja!’ rungutnya dalam hati. Derap tapak kakinya dihentikan tiba-tiba. Deria baunya mengesan sesuatu yang tidak asing lagi. “Sambal tumis!” Farid meluru laju ke dapur. Dia hampir sahaja menjerit memanggil Khairina. Tetapi…….
“Along ni kenapa? Dah besar pun nak main lari-lari lagi dalam rumah?” Suziana, adik bongsunya yang sedang menuntut di UPM memerli. Farid mencemik. Ingatkan bidadarinya sudah pulang, nasib baik tidak dipeluknya tadi. Kalau tidak, mahu kena karate dengan Suziana.
“Along ingat…”
“Along ingat kak Rina ya? Tapi sayang, rupa-rupanya Sue yang comel ni pula yang ada.” Suziana terkekeh ketawa.
Farid membaling sayur sawi yang masih diikat kepada adiknya itu. Marah. Sudahlah orang tengah susah hati, dia main-main pula.
“Buat apa di sini?” tanya Farid tidak puas hati. Dia masih geram dengan Suziana.
“Masak untuk abanglah.” Suziana sengih.
“Pandai ke?” peril Farid. Seingatnya, Suziana mana pernah menjenguk dapur, apatah lagi mahu memasak. Semuanya dilakukan oleh orang gaji. Jadi, mana mungkin adiknya itu terlalu rajin datang ke rumahnya semata-mata mahu memasak.
Suziana sengih lagi. “Bukan Sue yang masak, Sue tolong sikit-sikit je.”
Kening Farid terangkat. Pelik. “Habis tu, siapa yang masak? Jin?”
“Ish along ni, ke situ pulak. Maghrib-maghrib macam ni cakap pasal jin. Seramlah..”
Farid senyum. “Habis tu siapa?” Farid meminta kepastian. Suziana hanya senyum. “Adalah…”
Farid buat muka. Suziana gelak.
“Along pergilah naik. Orang yang masak ni tengah mandi agaknya.” Suziana membuka rahsia.
“Siapa? Pandai-pandai aje nak mandi kat rumah orang. Ish..” gumam Farid geram.
“Rumah orang apanya. Rumah dia sendirilah. Kalau tidak, masakan dia berani ajak Sue datang masak kat sini.”
“Maksud Sue…?”
Suziana angkat bahu. “Pergilah tengok sendiri.”
Tanpa membuang masa, Farid terus menuju ke biliknya di tingkat dua. Semoga apa yang diharap-harapkan menjadi kenyataan.
*********
“Tengok apa? Pergi mandi,” arah pemilik suara yang berada di hadapannya dengan penuh selamba. Farid masih kaku berdiri di muka pintu, seperti digam sahaja lagaknya. Sebenarnya dia tidak percaya dengan apa yang berada di hadapannya sekarang. “Ya Allah, dia boleh berdiri lagi kat situ. Pergi mandilah, dah nak maghrib ni. Nanti lewat ke masjid pula.” Pemilik suara itu mula membebel.
“Sayang.” Farid terus merangkul Khairina ke dalam dakapannya. Dia tidak peduli dengan arahan yang diberikan oleh isterinya sebentar tadi. “Alhamdulillah, sayang balik juga..Abang bukan bermimpi kan?” Farid memandang wajah isterinya dengan penuh ceria. “Aduh!” Farid mengaduh apabila satu cubitan kecil hinggap di lengannya. Dia mula buat muka kesian.
“Sakit?” tanya Khairina.
“Sakit..”
“Kalau sakit, maknanya bukan mimpilah.”
Farid sengih. Tangannya meraih bahu Khairina, tetapi ditolak lembut oleh Khairina. Dia angkat kening. Isterinya itu masih marahkah?
“Ish..nak peluk kita pula. Busuk tahu? Pergi mandi cepat,” arah Khairina tegas. Dia menghulurkan tuala buat suaminya yang masih tercengang-cengang dengan tindakannya sebentar tadi.
“Maaf, abang terlalu gembira sayang balik,” kata Farid jujur. “Abang ingatkan sayang sudah pergi tinggalkan abang.”
“Abang, Rina masih waraslah.” Khairina menguntum senyum. “Lagipun, bukankah tempat seorang isteri itu adalah di samping suaminya? Jadi, Rina rasa Rina perlu pulang ke sini berbanding pergi ke sana. Betul tak?”
Farid angguk. “Terima kasih sebab pulang..”
“Abang, ucapan terima kasih itu hanya layak untuk Allah, kerana DIA yang menggerakkan hati Rina untuk pulang.” Giliran Khairina pula angkat kening. “Jadi, apakata abang pergi mandi sekarang sebab dah masuk maghrib ni. Kejap lagi bilal dah nak azan.” Khairina mengingatkan Farid buat sekian kalinya sambil menolak Farid ke dalam bilik air. Farid gelak diperlakukan begitu. Memang macam budak-budak yang dipaksa mandi oleh si ibu.
Dalam hati, Farid berasa sedikit lega..
Khairina sudah mula mahu bergurau.
Isterinya seakan sudah kembali seperti biasa.
Benarkah?
Apapun, puji dan puja hanya buatMU.
Alhamdulillah, terima kasih Ya Robb.
********
“Abang masih simpan apa yang Rina beri minggu lepas?” tanya Khairina meminta kepastian.
Farid angguk. “Ada, kenapa?”
“Saja tanya.” Khairina senyum.
Farid pelik melihat gelagat Khairina. Simpan surat keizinan berpoligami pun dia boleh senyum? Pelik bin hairan ni. “Kalau tidak ada apa-apa, kenapa tiba-tiba sayang tanya pula?” duga Farid.
“Ye la..kalau hilang, Rina tak mahu sain dah. Cukup sekali aje. Tahu?” balas Khairina sambil jari telunjuk tangan kanannya dihalakan kepada Farid. Seakan memberi amaran keras.
“Abang tak perlukan surat tu,” kata Farid perlahan. “Abang tidak mahu lukakan hati sayang lagi.” Jemari mulus Khairina digenggam kemas. Khairina senyum lagi. Bibirnya sudah kembali mewah dengan senyuman.
“Abang..Rina sudah fikir semasak-masaknya sebelum menandatangani surat tu. InsyaAllah, Rina tidak akan menyesal dengan keputusan ini. Abang teruskanlah. Kesian Sarah.”
“Tapi, kenapa Rina tiba-tiba izinkan?”
Khairina senyum mendengar pertanyaan Farid. Ramai orang di luar sana yang mungkin akan mempertikaikan keputusannya. Tetapi, dia tidak peduli kerana dia yakin bahawa dia tidak melakukan sesuatu yang bertentangan dengan syarak.
Wajah suaminya yang putih bersih itu ditatap sebelum soalannya dijawab.“Abang sendiri tahu bukan bahawa Allah menghalalkan poligami. Jadi, apa layaknya Rina sebagai hamba untuk menolak apa yang dibenarkan?”
“Tetapi ramai wanita yang pantang jika dia ingin dimadukan,” celah Farid.
“Ya..kebanyakkan wanita begitu. Tetapi, kita tidak boleh menyalahkan sesiapa tanpa melihat alasannya. Mungkin si isteri tadi merasakan suaminya memang tidak layak berpoligami, lantas dia membantah. Memang poligami itu harus, tapi si suami itu perlu lihat dahulu adakah dia benar-benar layak untuk berpoligami. Bagaimana kedudukan kewangannya. Bagaimana keadaan dirinya. Adakah dia mampu berlaku adil kepada isteri-isterinya. Adakah dia mampu mendidik mereka semua. Jika dia sendiri pun masih terkapai-kapai, mana mungkin dia mampu mendidik dan menjaga dua isteri serentak, melainkan jika Allah menginzinkan itu berlaku.” Jelas Khairina panjang lebar.
“Jadi..Sayang rasa abang layak untuk berpoligami?” soalan cepumas daripda Farid.
“Wallahua’lam..pada pemerhatian Rina sepanjang hidup bersama abang, Rina rasa abang mampu, InsyaAllah.”
Farid sengih mendengar komen Khairina. Tenang sahaja wajah Khairina, seakan bukan dirinya yang akan dimadukan.
“Hmm..tapi, sayang tahu kan kenapa abang mahu mengahwini Sarah?”
“Iya..Rina tahu. Rina doakan agar niat suci abang itu mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah. Dan, Rina yakin bahawa Allah akan kekalkan kebahagiaan kita selagi mana kita menjaga hubungan denganNYA.”
“InsyaAllah..Pengorbanan sayang juga pasti akan diberi ganjaran oleh Allah.”
“Amiinnn.” Kata mereka serentak.
********
Majlis akad nikah baru sahaja berakhir. Sarah kelihatan jelita mengenakan baju kurung berwarna krim yang dihiasi sedikit manik-manik halus. Dirinya bertambah ayu mengenakan tundung warna sedondon dan wajah yang dimekap nipis. Seri pengantin yang memancar di wajah jelas dapat melindungi kemurungan hati yang bermaharajalela sejak tadi.
Dia nampak kesuraman wajah kak Rina semasa abang Farid melafazkan akad. Masakan hati kak Rina tidak hancur melihat suaminya bernikah lain di depan mata sendiri. Mahu sahaja dia menjerit supaya dibatalkan majlis kerana dia tidak tega melukakan hati kak Rina. Tetapi, wajah kak Rina yang tenang bersahaja dan sesekali melemparkan senyum buatnya, seakan menyekat suaranya untuk keluar.
“Sarah, kalau sudah tertulis di Luh Mahfuz akak kena bermadu, nescaya akan bermadu juga. Kalau tidak dengan Sarah, mungkin dengan orang lain. Jadi, akak harap Sarah dapat buang jauh-jauh rasa bersalah tu. Cuma satu sahaja pesanan akak, Sarah taatlah kepada abang Farid selagimana dia taat kepada Allah. Jika dia jatuh, maka kita sama-sama berusaha tarik dia. Jika dia berada di puncak, sama-samalah kita ingatkan dia ya.” Gemersik suara kak Rina terngiang-ngiang di telinga.
Kak Rina, sungguh luhur hatimu. Sarah akan berusaha untuk menjadi seorang isteri sebaik kak Rina. Sarah juga akan berusaha menjadi ‘adik’ yang baik buat akak. InsyaAllah. Moga rahmat Allah akan tetap terus bersama kalian-bermonolog sendiri.

No comments:
Post a Comment