“Minggu depan
sudah masuk bulan Ramadhan.” Aisyah memandang Iman. Tiba-tiba sahaja dia
teringat akan hal itu.
“Ya..tak sabar
rasanya kan?” Iman tersenyum.
“Tadi Aisyah ada
berjumpa dengan kak Asirah. Dia pesan, malam esok kita akan ada perjumpaan
sekejap. Nak bincang tentang program sepanjang Ramadhan nanti.”
Kak Asirah atau
nama sebenarnya ialah Nur Asirah, merupakan pelajar tahun akhir jurusan Sains
(Kimia) dan bakal bergelar guru selepas bergraduat kelak. Dia merupakan
Timbalan Pengerusi bagi organisasi surau kolej. Sesiapa yang tidak mengenali
kak Asirah mesti menyangka dia seorang yang garang kerana raut wajahnya yang
jarang dihiasi senyuman. Iman dan Aisyah juga pernah menganggapnya begitu.
Tetapi, sebenarnya, kak Asirah seorang yang ramah dan baik hati.
Iman angguk.
“Kak Sakinah ada bagi SMS mengenai hal itu tadi.”
Kak Sakinah pula
merupakan ketua Unit Dakwah dan Tarbiah bagi muslimat. Manakala muslimin pula
diketuai oleh Naim Akmal. Iman adalah salah seorang ahli jawantankuasa di bawah
unit tersebut.
“Nasib baik tak
bertindihan dengan mesyuarat Kelab Penyayang.” Aisyah mempamerkan riak lega.
“Ya tak ya juga.
Mesyuarat kelab malam lusa kan?” Iman meminta kepastian. Semenjak dua menjak
ini dia rasakan terlalu banyak perkara yang menjengah hidupnya. Fikirannya pula seakan-akan berserabut.
“Ya sayang,”
Aisyah menjawab mesra.
Iman sendiri
pening dengan situasinya sekarang. Sesi kali ini memerlukan dia memberi
komitmen yang banyak. Mana dengan kuliah, kuiz, laporan amali yang tidak kurang
daripada 3 laporan saban minggu, assignment, FOSTECH, kolej dan sekarang Kelab
Penyayang pula. Dia sendiri hairan kerana jawatan-jawatan itu datang serentak.
Dalam satu masa semuanya terbeban di atas bahunya.
Tetapi, apabila
difikirkan, apalah sangat tanggungjawab yang digalasnya sekarang jika
dibandingkan dengan Rasulullah. Rasulullah merupakan seorang penyampai wahyu,
seorang suami, seorang anak, seorang bapa, seorang pemerintah, seorang panglima
angkatan perang, seorang hakim dan banyak lagi tanggungjawab Rasulullah. Tapi,
baginda tidak pernah pula mengeluh. Malah Baginda masih sempat bergurau-senda dengan
keluarga Baginda, dan yang paling penting, Baginda masih sempat beribadah
kepada Allah.
Jadi, tidak
perlulah terlalu runsing. Buatlah sehabis mampu. Allah sentiasa ada untuk
memohon kekuatan.
“Mengelamun pula
dia.” Aisyah menepuk lembut peha Iman.
Tepukan Aisyah
mengembalikan Iman ke dunia nyata. Dia ketawa kecil. Sempat pula mengelamun.
Aisyah
menggelengkan kepala.
Dr. Bimo Ario
Tejo sudah melangkah ke dalam dewan sambil membawa netbooknya yang berwarna putih.
Suasana yang sedikit hingar
sebentar tadi berubah menjadi sunyi sepi. Kuliah kimia analisis sudah bermula.
Iman dan Aisyah
mula menumpukan perhatian.
* * * * * * * * * * * * *
Iman
mengosok-gosok matanya yang semakin berat. Matanya mengantuk. Sudah hampir tiga
jam dia menelaah pelajaran tanpa henti. Ini semua adalah sebagai persediaan
menghadapi kuiz yang bakal diadakan pada bila-bila masa. Sikap pensyarahnya
yang sukar diduga itu menyebabkan Iman sentiasa bersiap-sedia menghadapi
sebarang kemungkinan.
“Assalamualaikum,”
terdengar suara memberi salam disertai dengan ketukan di pintu biliknya. Nazia
yang kebetulan sedang berdiri pantas menjawab salam dan membuka pintu. “Maaf
mengganggu malam-malam ni, kak Iman ada?” Iman dapat menangkap pertanyaan
pemilik suara tersebut. Dia lantas ke muka pintu untuk melihat siapa yang sedang
mencarinya.
“Oh Anis
rupanya. Masuklah,” Iman mempelawa tetamunya itu masuk. “Kenapa Anis datang
lewat malam macam ni, bahaya. Anis ada hal penting nak beritahu akak ya?” soal
Iman mesra. Dia tidak mahu Anis tersinggung dengan pertanyaannya. Sejujurnya dia
risau adik halaqohnya itu berjalan seorang diri di waktu tengah malam begini.
Walaupun mereka tinggal di kolej kediaman, tetapi sebagai perempuan, mereka
masih perlu berhati-hati.
Anis hanya
mendiamkan diri mendengar luah kerisauan yang keluar dari mulut Iman. Ahh, dia
tahu dia tidak patut keluar pada waktu tengah-tengah malam begini. Namun, dia
punya alasan dan sebab sendiri. Tidak terdaya hatinya menanggung pilu seorang
diri lalu digagahi jua kaki melangkah ke blok Iman yang jauh di belakang. Hati
yang sakit perlu diubati. Jiwa yang kacau mesti ditenteramkan. Dia perlukan
teman untuk berbicara tika ini. Teman yang boleh dipercayai. Teman yang dapat
memberi kekuatan. Teman yang bisa menenangkan keributan jiwa gadis sepertinya.
Lantas wajah Iman terlintas di depan mata. Tanpa membuang masa, wajah tenang
Iman dicari.
Suasana dalam
bilik itu sunyi sepi. Iman menatap wajah sugul milik Anis. Belum sempat dia
bertanya, suara halus Anis sudah mula berbicara.
“Anis dah tak
ada apa-apa dengan Imran,” ada getaran pada nada suara Anis. Iman menanti ayat
seterusnya keluar dari mulut Anis Khadijah. “Anis sudah tekad putuskan hubungan
kami kak. Sekarang Anis betul-betul dah sedar kesilapan yang Anis buat. Anis
tak mahu terus melakukan kesilapan lagi,” luah Anis Khadijah.
Butir-butir
mutiara yang jernih mulai menitis ke pipinya. Wajahnya ditundukkan ke lantai.
Tangannya digenggam kemas. Anis Khadijah sedang mengumpul kekuatan untuk
meneruskan bicara. Iman mengusap-usap lembut bahu Anis Khadijah. Nazia yang
sedang duduk di atas katil sambil membaca nota mula mencari wajah gadis itu.
Cerita Anis Khadijah membantutkan niatnya untuk terus membaca. Dia lantas
mengambil tempat di sebelah Iman dan cuba melontar sedikit kekuatan ke dalam
hati Anis. Walaupun dahulu mereka tidaklah serapat mana, tetapi disebabkan Anis
sering berkunjung ke bilik mereka untuk bertemu Iman, secara tidak langsung
mereka berdua turut berkawan baik.
“Bila Anis buat
keputusan ini?” soal Iman.
“Petang tadi.
Anis betul-betul tekad kak. Anis nak berubah. Anis betul-betul nak berubah!”
titisan air mata masih deras mengalir di pipi Anis. Entah mengapa, dia merasa
sangat sedih. Bukan kerana perpisahan itu semata-mata. Tetapi dia sedih kerana
membiarkan dirinya terperangkap dengan jerat cinta manusia. Dia marah dengan
dirinya sendiri. Marah kerana tidak berjaya mempertahankan iman daripada
terpedaya dengan bisikan halus syaitan laknatullah!
“Adikku sayang,
akak bangga dengan keputusan Anis. Akak faham kesedihan yang Anis alami
sekarang, tapi ingatlah dik, kesedihan itu pasti akan diganti dengan
kegembiraan. Allah itu Maha Adil. Anis memilih untuk mencari cinta Allah
daripada cinta Imran, nescaya Allah akan memberi kekuatan kepada Anis,
insyaAllah,” Iman bersuara bagi memberi sedikit kekuatan kepada Anis. Nazia
disebelahnya mengangguk-anggukan kepala tanda setuju. Anis memandang wajah
tenang milik Iman lantas melemparkan senyuman.
Luka dihatinya sedikit terubat
dengan perhatian Iman dan Nazia. ‘Indahnya hidup ini bila dikelilingi oleh
sahabat-sahabat yang baik seperti mereka,’ desis hati kecil Anis.
“Kak Iman ada something nak beri pada Anis,” kata Iman
sambil langkah kakinya diatur menuju ke meja belajar. Bebola matanya ligat
mencari nama buku yang dibelikan khas buat Anis. Sahabat-sahabat usrahnya yang
lain seperti Aisyah, Ainni dan Nazia juga mendapat hadiah buku daripadanya
beberapa hari yang lalu.
Iman memang gemar membaca. Setiap minggu pasti akan
ada buku baru yang akan dibelinya. Hatinya yang sentiasa dahagakan ilmu menyebabkan dia tidak pernah menyesal
menghabiskan berpuluh-puluh ringgit semata-mata untuk membeli buku. Jadi apa
salahnya kali ini dia menghadiahkan buku buat teman-temannya pula. Tidak akan
rugi sama sekali. InsyaAllah.
Setelah puas
meneliti, akhirnya dia menjumpai buku yang dicari. Tangannya lantas mencapai
sebuah buku yang terselit kemas bersama puluhan buku koleksi peribadinya itu.
Dia kembali mengambil tempat di sisi Anis sambil menghulurkan buku tersebut.
Buku bertajuk Tentang Cinta : Jika tepat masa, ketika, keadaan dan siapa, cinta
adalah kuasa luar biasa yang tiada bandingannya, hasil tulisan Pahrol Mohd Juoi
dan terbitan Telaga Biru itu bertukar tangan. Anis tersenyum setelah membaca
tajuk buku tersebut. Memang tepat pada masanya. Dia memang sangat memerlukan
buku-buku seperti itu sekarang.
“Terima kasih
kak Iman. Tak sangka kak Iman lebih cepat mencari penawarnya daripada saya
sendiri,” kata Anis sambil diiringi tawa kecil.
“Sama-sama.
Allah jua yang menggerakkan hati akak untuk membeli buku itu buat Anis. Apa
yang boleh akak nasihatkan, Anis kena sentiasa ingat Allah dalam apa jua
keadaan dan ketika. Kalau boleh, perbanyakkan membaca Al-Quran dan sentiasa
basahkan lidah dengan zikrullah. Itulah penawar yang paling mujarab. Allah
berfirman dalam surah ar-Ra’d ayat 28 yang bermaksud ketahuilah dengan
mengingati Allah hati akan menjadi tenang. Jadi jangan sesekali biarkan hati
kita sunyi daripada mengingati Allah,” nasihat Iman lembut.
“Betul kata kak
Iman. Buat masa sekarang, Anis jangan ingat perkara-perkara yang lepas. Itu
semua sudah berlalu. Anis perlu pandang ke depan. Perjalanan kita sebagai
khalifah insyaAllah masih panjang. Jangan sia-siakan masa yang Allah bagi untuk
hal yang remeh-temeh macam ini lagi. Serahkan semuanya kepada Allah kerana Dia
lebih Mengetahui apa yang terbaik buat kita,” sambung Nazia pula.
Anis kelihatan
mengangguk-amggukan kepala. Secebis senyuman dihadiahkan kepada dua muslimat di
hadapannya. Sorotan matanya kemudian dialihkan kepada buku yang dipegang kemas
oleh tangan kanannya. Suasana bilik bertukar sunyi. Hanya bunyi kipas yang
berpusing kedengaran. Iman dan Nazia berlalu ke meja belajar masing-masing.
Membiarkan Anis bermuhasabah diri.
“Hmm..Anis tidur
sini ya malam ni?” tanya Iman sebelum dia duduk di atas kerusi. Tidak manis
rasanya untuk membiarkan Anis berjalan pulang sendirian lewat malam begini.
“Ok kak Iman.
Lagipun Anis takut pula nak balik seorang diri malam-malam macam ni,” jawab
Anis sambil tertawa kecil. Iman hanya tersenyum. Zahirnya, Anis telah kembali
seperti biasa.
* * * * * * * * * * * *
Buku bertajuk
Batu-Bata Kehidupan karangan Hilal Asyraf, terbitan Galeri Ilmu yang sudah
ditatap sejak tadi ditutup. Matanya mula melilau melihat sekeliling. Jam tangan
berwarna silver miliknya dipandang
sekilas. Pukul 9.10 malam. Iman memandang Ainni yang sejak tadi sibuk merakam
gambar sekeliling dengan kamera Canon DSLR miliknya. Matanya dialihkan pula
kepada Nazia. Gadis berkaca mata itu kelihatan sedang sibuk membaca nota.
“Hmm..mana yang
lain agaknya. Bukan ke meeting sepatutnya
start pukul 9.00 malam? Tapi sekarang ada kita bertujuh je. Macam mana nak meeting ni?” kata Basri. Selaku
pengerusi kelab, dia merasa sedikit kecewa dengan kehadiran exco tertinggi
kelab untuk meeting kali ini. “Ainni,
awak dah inform pada semua ke pasal meeting malam ni?” soal Basri serius.
“Sudah. Saya dah
hantar SMS kepada semua exco dua hari yang lepas. Petang tadi pun saya hantar
untuk kali kedua sebagai peringatan,” jelas Ainni selaku setiausaha. Dia tidak
mahu dirinya pula dipersalahkan di atas kedatangan yang mendukacitakan.
“Mungkin mereka
ada hal lain. Apa kata kita tunggu sekejap lagi. Kalau mereka tak sampai juga,
kita teruskan sahaja meeting ni,”
Iman memberi pandangan.
“Kalau ya pun
ada hal, beritahulah. Ini tidak, diam je. Kita pula terpaksa menunggu,” Basri
mula meradang. Iman hanya mendiamkan diri. Dia tidak mahu menuang minyak ke
dalam api. Basri memang begini. Dia seorang yang sangat menepati masa dan tidak
suka orang lain membuang masanya begitu sahaja tanpa alasan yang munasabah.
Seingat Iman, Basri tidak pernah lewat menghadiri mesyuarat mahupun mana-mana
aktiviti yang mereka anjurkan. Dia sentiasa menjadi orang pertama yang tiba.
Sikap ini sedikit sebanyak mempengaruhi exco-exco yang lain. Tapi entah
mengapa, kali ini lain pula yang terjadi.
“Kalau mereka
tak sampai juga dalam masa 10 minit, kita mulakan ya,” suara Basri mula tenang.
Exco-exco yang lain hanya mengangguk-anggukan kepala. Dari jauh kelihatan
beberapa orang pelajar perempuan sedang berjalan laju menuju ke arah mereka.
“Err..sorry bos. Sorry semua sebab terlambat. Masalah bas lagi,” kata Maizatul
mewakili dua lagi kawannya. Basri hanya tersenyum kelat. Apa nak buat, bukan
salah mereka pun. Bos, jolokan yang diberi oleh teman-teman sejawat buat Basri
selaku Presiden Kelab Penyayang UPM. Pada mulanya hanya Iman yang gemar
memanggilnya begitu, tetapi lama-kelamaan, teman-teman yang lain juga
menggunakan gelaran yang sama. ‘Hai Iman, suka-suka je bagi gelaran pada aku,
tengok sekarang, semua orang panggil macam tu,’ Basri hanya berkata dalam hati.
“Boleh kita
mulakan meeting kita sekarang?” soal
Basri. Mereka mengangguk-anggukan kepala tanda setuju. Tidak sanggup lagi mahu
menunggu.
“Baiklah,
pertama sekali saya nak ucapkan terima kasih sebab sudi datang meeting malam ni. Hmm, kedua, saya ada
satu berita baik,” kata-katanya terhenti.
“Apa berita
baiknya bos? Boleh pula dia diam, buat suspens
je,” tanya Muaz tidak sabar. Masing-masing ketawa melihat reaksi Muaz.
“Kita dah dapat
rumah angkat baru,” masing-masing kelihatan tersenyum. “ Namanya Rumah Nur
Hikmah. Rumah ini merupakan pusat jagaan anak yatim dan ibu tunggal. Tempatnya
di Kajang, Selangor. Saya dah minta Iman dan Aisyah uruskan hal ini. Hmm..Iman,
memandangkan Aisyah tak hadir malam ni, apa kata awak saja yang terangkan?”
Basri memberi peluang kepada timbalannya untuk bercakap. Iman bangkit dari
tempat duduknya.
“Seperti yang
bos beritahu tadi, kita sudah pun mula berurusan dengan Rumah Nur Hikmah. Jadi,
selepas ini kita akan meneruskan aktiviti lawatan kita ke rumah ini secara
berkala. Setiap hujung minggu, seramai 25 hingga 30 orang yang terdiri daripada
exco dan ahli kelab akan pergi ke rumah ini. Saya harap setiap chapter kolej dapat ambil perhatian
kerana giliran adalah mengikut chapter
kolej. Aktiviti yang ingin dijalankan bergantung kepada chapter kolej masing-masing. Saya rasa itu sahaja. Hmm, ada apa-apa
soalan?”
“Bila lawatan
ini akan dimulakan?” Balqis selaku pengerusi kelab penyayang kolej Keenam
bertanya.
“Minggu depan.
Balqis kena ready ya sebab Kolej Keenam yang kena pergi dulu,” jelas Iman lembut.
“Ok!” jawab
Balqis penuh semangat. Dia memang tidak sabar untuk bertemu adik-adik di sana.
“Ada soalan
lagi?” Iman memandang satu-persatu wajah dihadapannya. Semuanya diam.
“Baiklah, kalau
dah tak ada soalan kita teruskan dengan agenda seterusnya,” Basri mengambil
alih semula mensyuarat. Iman duduk semula di tempatnya. Mesyuarat diteruskan.
Satu-persatu aktiviti yang dirangka dibentangkan oleh pengarah setiap program.
Walaupun tidak banyak aktiviti yang dirangka, tapi mereka sentiasa memastikan
setiap aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan yang baik dan dilaksanakan
dengan sempurna. Bukankah kualiti lebih baik daripada kuantiti?
Selaku penggerak
kepada sebuah kelab kebajikan, mereka sentiasa berusaha untuk menabur bakti
kepada masyarakat terutama kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti
anak-anak yatim, orang kelainan upaya (OKU) mahupun warga emas yang tinggal di
rumah orang-orang tua. Tetapi buat masa ini mereka hanya berkesempatan
berurusan dengan rumah anak-anak yatim. Untuk memantapkan lagi aktiviti dan
program kelab, mereka kadangkala mengadakan pertemuan dengan exco tertinggi
Kelab Penyayang universiti lain seperti UniSEL, UTeM dan UKM.
“Hmm..memandangkan
semua sudah membentangkan kerja masing-masing, semua persoalan sudah terjawab dan
perkembangan terbaru telah dikemaskini, saya rasa mesyuarat kita boleh
ditamatkan di sini sahaja. Kalau ada apa-apa masalah boleh terus beritahu
saya,” ujar Basri. “Terima kasih sekali lagi sebab sudi datang. InsyaAllah,
kalau tak ada aral melintang kita jumpa lagi semasa lawatan ke Rumah Nur Hikmah
minggu depan, boleh bersurai semua, assalamualaikum,” sambungnya lagi.
“Waalaikumusalam,”
jawab mereka serentak.
Iman merasakan
gegaran dari telefon bimbit yang berada di dalam beg galasnya.
Tet..Tet.. 1 message received.
Iman lantas
membaca mesej yang baru diterima.
Salam FOSTECH. Perhatian kepada semua exco FOSTECH,
esok akan diadakan satu mesyuarat pada pukul 5.00 petang di Laman Mahasiswa
fakulti. Kehadiran diwajibkan.
Sender : Intan
Meeting lagi.
Satu keluhan berat dilepaskan.
“Kenapa?” Basri
yang terdengar keluhan itu menyoal. Bimbang dia terlalu membebani gadis itu
dengan timbunan kerja. Dia sebenarnya tidak mahu sejarah lama berulang kembali.
Timbalannya yang sebelum ini meletak jawatan secara tiba-tiba atas alasan
terlalu banyak kerja yang perlu dilakukan. Jadi sekarang, dia tidak mahu Iman
pula yang meletak jawatan.
“Kenapa apa?”
Iman tidak mengerti.
“Saya terdengar
awak mengeluh. Saya banyak bebankan awak dengan kerja-kerja kelab ke?” ada nada
kerisauan dalam pertanyaannya.
“Eh, bukanlah,
tak ada kena-mengena dengan kelab ini. Jangan risau,” Iman senyum. Tidak mahu
bos tersalah sangka.
“Oh, nasib baik.
Ingatkan saya penyebabnya. Hmm, saya minta diri dulu ya,”
“Ok,” Iman mula
mengayun langkah untuk pulang. Dia, Ainni dan Nazia berjalan beriringan
melepasi tempat letak kenderaan Pusat Kokurikulum. Tiba-tiba terdengar satu
suara memanggil namanya.
“Cik Iman
Farahana, jangan banyak mengeluh. Tak baik. Banyakkan bersabar ya,” Basri yang
sudah berada di atas motor menegur.
“InsyaAllah.
Terima kasih Dr. Basri Furqan atas peringatan,” balas Iman kepada mahasiswa
yang bakal bergelar doktor itu. Dia mula melajukan langkah, tidak mahu
memanjang-manjangkan perbualan. Terdengar suara Ainni berdehem mengusik. Nazia
hanya ketawa. Iman hanya buat-buat tak dengar. Malas nak layan!
* * * * * * * * * *
Hujan turun
renyai-renyai membasahi bumi UPM. Sang suria pula sudah diselindungi oleh awan. Bahang mentari yang tadinya bagai
menyengat-nyengat kulit hilang dan diganti dengan kedinginan cuaca. Suasana di
dalam Dewan Kuliah Teknologi Makanan 1 (DKTM 1) sunyi sepi. Hanya kedengaran
suara pensyarah yang sedang melontar ilmu ke dalam dada anak-anak bangsa di
hadapannya. Sesekali terdengar beberapa orang pelajar yang terbatuk-batuk
kecil.
Aisyah sudah
menguap beberapa kali. Iman juga begitu. Bukan kerana subject itu yang tiada tarikan. Bukan juga kerana pensyarahnya yang
membosankan. Cuma kerana keletihan yang memuncak menyebabkan dua orang sahabat
ini tidak dapat melawan kantuk yang melanda. Lebih-lebih lagi jam sekarang
menunjukkan pukul 3.30 petang, ditambah pula dengan suasana yang dingin, memang
sesuai untuk tidur.
Iman
menampar-nampar lembut pipinya. Mahu menghilangkan rasa mengantuk barangkali.
Aisyah pula sudah beberapa kali mengulang bacaan surah An-Nas sambil
meraup-raup muka. Tips untuk menghilangkan rasa mengantuk ketika belajar yang
diberikan oleh ustaz semasa sekolah menengah dahulu dipraktikkan.
Biar semua
syaitan yang bergayut tu lari lintang-pukang. Terngiang-ngiang suara ustaz
Azmin di pendengarannya.
“Ok, I think that all for today. I have an
important thing to do. Hmm..make sure all of you get the notes before next week
because we will have a quiz on next Friday,” Dr. Fatimah meninggalkan
pesan.
“Ok doctor!” jawab pelajar-pelajar
spontan. Suasana yang tadinya sunyi bertukar menjadi bising. Rasa mengantuk
yang melampau sebelumnya bagaikan hilang dan diganti dengan kesegaran. Dr.
Fatimah menggeleng-gelengkan kepala. Sudah sebati dengan keadaan ini.
“Iman, Aisyah,
jom pergi makan,” ajak Nazia penuh semangat.
“Makan di mana?”
soal Aisyah sambil tangannya sibuk mengemas nota untuk disimpan di dalam beg.
“Food Court la, mana lagi,” jawab Nazia
bersahaja.
“Hmm, maaf Nazia. Kami tak dapat ikut awak rasanya. Kami
ada meeting pukul 5. Sebelum tu kena pergi jumpa penasihat persatuan sekejap,”
balas Aisyah bersalah. Iman disebelah hanya menganggukkan kepala.
“Oh, ada meeting
FOSTECH ya? Tak apalah kalau macam tu. Saya pergi dulu. Jumpa di kolej nanti,
assalamualaikum,” kata Nazia sambil berlalu. Dia amat memahami amanah yang
dipikul dua orang sahabatnya itu.
“Waalaikumusalam,”
jawab Aisyah dan Iman serentak. Mereka berdua memulakan langkah untuk ke bilik
Dr. Shahrim yang terletak di bangunan yang berlainan. Dr. Shahrim merupakan
salah seorang penasihat Persatuan Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Makanan
(FOSTECH). Seorang lagi penasihat adalah Dr. Karim, tetapi beliau tiada di
fakulti buat beberapa minggu ini. Jadi, Dr. Shahrim menjadi rujukan utama
mereka.
“Awak, nak ke mana
tu,” satu suara menegur dari belakang.
“Oh kak Kris.
Kami nak pergi jumpa Dr. Shahrim sekejap. Nak tanya pasal program untuk student final year yang kita usulkan
minggu lepas,” jawab Iman.
“Pasal dinner tu? Bukan ke dah setuju nak buat
program yang santai-santai je?”
“Itulah.
Majoriti daripada kita memang setuju nak buat Majlis Jalinan Kasih (MJK) di PD
tu. Tapi tak pasti penasihat setuju atau tak. So, sekarang nak pergi minta kepastian sebab sebelum ni Doktor
macam tak setuju je,” terang Aisyah. Mereka bertiga berjalan beriringan menuju
ke L’Apprentice untuk membeli
makanan. Sibuk-sibuk juga tapi perut yang kosong mesti diisi.
“Hmm, akak harap
Doktor setujulah. Dinner tu macam dah
biasa sangat,” kak Kristina memberi pendapat.
“Betul tu,”
balas Aisyah setuju. Sejujurnya mereka memang berharap agar penasihat persatuan
setuju dengan cadangan mereka untuk mengadakan MJK bagi meraikan pelajar tahun
akhir. Bukan tidak mahu menguruskan majlis makan malam, tetapi bagi mereka,
program itu sudah terlalu biasa. Sudahlah pihak kolej sudah mengadakan majlis
makan malam, tak akan fakulti juga ingin menganjurkan program yang sama? Jadi
mereka mengambil sedikit inisiatif untuk mencari sedikit kelainan bagi meraikan
pelajar tahun akhir fakulti mereka. Program yang lebih santai dan menarik. Biar
dapat menjadi kenang-kenangan apabila mereka telah bergraduat kelak.
* * * *
“Macam mana
dengan perancangan kita untuk mengadakan Majlis Jalinan Kasih tu? Doktor setuju
tak?” soal Asyraf kepada Iman dan Aisyah.
“Alhamdulillah
setuju. Jadi sekarang kita boleh teruskan perancangan yang seterusnya,” jawab
Aisyah. Iman di sebelah menganggukan kepala menyokong kata-kata Aisyah.
“Alhamdulillah.
Sekarang saya serahkan tugas kepada Raja sebagai pengarah untuk program ini.
Kertas kerja sudah siap kan?” Asyraf mengajukan pertanyaan kepada gadis di
sebelahnya itu.
“Kertas kerja
semua sudah siap. Saya akan dapatkan kelulusan daripada penasihat dalam minggu
ini juga sebelum hantar ke BHEP. InsyaAllah semuanya akan berjalan seperti yang
dirancang. Jawatankuasa untuk majlis ini pun sudah dilantik. Harap semua dapat
memberi kerjasama yang sepatutnya,” terang Raja panjang lebar.
“Bila tarikh
yang awak cadangkan?” tanya Asyraf lagi.
“InsyaAllah,
dalam tiga minggu selepas raya. Hmm, seperti kita semua maklum, jumlah tenaga
kerja kita tidak mencukupi, jadi kalau tidak menjadi masalah, boleh saya minta
presiden turun padang sekali?” Raja mengembalikan soalan kepada Asyraf.
“Tentu sekali
boleh!” jawab Asyraf sambil tersenyum. “Lagipula, tak akan saya nak tengok
sahaja anak buah saya buat kerja. Mestilah mahu tolong,” sambungnya lagi.
Mereka semua
ketawa. Ketua mereka ini memang ceria orangnya. Walaupun perangainya sedikit
‘gila-gila’, tetapi dia memang komited dalam bab kerja. Selain itu, sikapnya
yang peramah dan ringan tulang itu menyebabkan dia disenangi ramai pelajar
tidak kira dari kalangan junior mahupun senior. Tidak hairanlah dia menang
dengan mudah dalam merebut kerusi Presiden FOSTECH tempoh hari.
“Hmm..disebabkan
program itu akan berlangsung selepas raya, apakata sekarang kita bincangkan
terlebih dahulu program yang akan berlangsung semasa Ramadhan nanti? Kita
utamakan yang terdekat dahulu. Macam mana?” cadang Farahin yang sejak tadi
sibuk menaip minit mesyuarat. Jika kebanyakkan orang suka mencatat di atas
kertas terlebih dahulu, kemudia baru menaipnya kembali, tetapi, berbeza bagi
Farahin. Dia lebih gemar menyiapkan terus minit mensyuarat ketika mesyuarat
sedang berlangsung. Jadi, tidak perlulah dia membuat kerja yang sama dua kali.
“Betul juga. Jadi,
apa perancangan unit kerohanian?” Asyraf memandang Hafiz dan Aisyah.
“Baiklah, bagi
unit kerohanian, kami ada beberapa cadangan untuk dilaksanakan sepanjang Ramadhan nanti. Yang
pertama, nama besarnya ialah Program Penghayatan Ramadhan. Kami cadangkan
supaya program ini berlangsung sepanjang Ramadhan. Antara aktiviti yang bakal
dilaksanakan ialah ceramah mengenai fadilat Ramadhan, penyebaran risalah berkaitan Ramadhan, memasak bubur
lambuk, dan majlis berbuka puasa. Itu sahaja buat masa ini dan kami amat
mengalu-alukan sebarang cadangan lain daripada kamu semua,” terang Hafiz
panjang lebar.
“Semua aktiviti
hanya melibatkan pelajar Muslim sahajakah?” tanya Husna.
“Bukan, aktiviti
ini terbuka kepada semua yang berminat termasuk kepada bukan Muslim terutamanya
bagi aktiviti memasak bubur lambuk dan majlis berbuka puasa,” jawab Aisyah
tenang.
“Untuk aktiviti
memasak bubur lambuk, saya kira tidak ada masalah. Tetapi bagaimana dengan
majlis berbuka puasa? Selalunya kita akan makan makanan berat selepas solat terawih,
adakah pelajar bukan Muslim akan datang selepas itu atau bagaimana?” Putri
mengambil giliran bertanya.
“Mereka akan ada
aktiviti mereka sendiri. Nanti kami akan melantik wakil bagi pihak mereka dan
mengadakan perbincangan lebih lanjut.” Hafiz pula menjawab.
Semua yang hadir
angguk.
No comments:
Post a Comment