Sekeping kad
berwarna hijau terdampar di atas meja. Aisyah mencapai kad tersebut dan
diteliti isinya. Kali ini entah kali ke berapa dia menatap kad undangan
perkahwinan Syafika-Afnan. Matanya tertacap kepada gambar tepak sireh berwarna
emas yang menghiasi sudut bawah kanan kad. Cantik.
Sejak kunjungan
Syafika beberapa hari lepas, dia dapat rasakan perubahan pada dirinya. Entah
mengapa, dia rasa seperti hatinya tertusuk duri. Perasaan apakah ini? Mengapa
dia seakan tidak gembira dengan perkhabaran yang dibawa Syafika. Niatnya murni.
Mahu membina baitul muslim. Tetapi, mengapa kesakitan yang dia rasa?
Ya Allah..Aku
cemburukah? Tapi kenapa?
Aisyah memejam
matanya rapat. Afnan.. memang dulu dia pernah menaruh hati kepada lelaki itu.
Perwatakannya, akhlaknya, peribadinya memang bisa menjerat hati anak gadis
sepertinya. Dalam keadaan tidak sedar, dia seperti menaruh harapan kepada si
dia. Tapi, itu semua sudah berlalu.
Kata-kata yang
pernah dicipta dan diungkapkan kepada diri sendiri kembali menerjah ingatan.
“Aisyah, jangan berangan. Kau tak layak untuk dia.”
“Dia orang soleh, mahukah dia dengan kau?”
“Cukup-cukuplah Aisyah. Yang soleh, tentu pasangannya
solehah.”
Ya, itu semua
dulu.
Melangkah sahaja
ke alam universiti, dia memaksa dirinya untuk melupakan semua itu. Tumpuannya
hanya pada pelajaran. Dia hanya mahu fokus dalam usahanya menuntut ilmu.
Kehadiran Iman, teman rapat semenjak di matrikulasi menguatkan lagi
semangatnya. Mereka bukan sahaja mahu menambah ilmu duniawi, tapi sama-sama
berusaha memantapkan ilmu ukhrawi.
Dia dan Iman,
hanya pelajar dari sekolah harian biasa. Tidak pernah diberi pendedahan
mendalam mengenai ilmu agama. Kalau ada pun, hanya setakat matapelajaran
Pendidikan Islam dan Tasawur Islam. Mereka jarang mendengar perkataan ‘usrah’,
‘tarbiah’, apatah lagi merasai sendiri berada dalam situasi itu.
Tapi,
Alhamdulillah, mereka berpeluang mendapatkannya bermula di matrikulasi. Daripada
situ, mereka bersama-sama menguatkan antara satu sama lain. Seterusnya
meneruskan tradisi ke universiti. Berbekalkan ilmu yang hanya setipis kulit
bawang, mereka mula berusaha untuk menghidupkan suasana tarbiah. Mujur juga
mereka mempunyai senior-senior yang memang sudah memulakan program pengukuhan rohani,
jadi, mereka hanya perlu mengimarahkan serta meneruskan sahaja aktiviti
tersebut.
Selama dua tahun
di universiti, dia jarang benar berhubung dengan Afnan. Dan, dia seakan yakin
perasaan itu telah berjaya dipadam. Tetapi, dia seperti tersilap dalam
mentafsir diri sendiri. Perasaan itu masih berbaki barangkali. Kalau tidak,
masakan dia akan berkeadaan seperti sekarang. Macam orang frust bercinta sahaja lagaknya!
Aisyah
mengusap-usap mukanya. Kad yang tadinya kemas di genggaman, diletakkan semua ke
atas meja. Matanya merenung ke arah luar jendela. Kepekatan malam tanpa dihiasi
sinaran sang rembulan di dada langit bagai mengerti kekelaman hatinya tika ini.
Taburan bintang juga tidak kelihatan menari-nari di angkasa. Suram. Sesuram
hatinya.
Adehh..memang
macam orang frust bercinta!
Astagfirullah..
“Aisyah
Humairah, jangan begini,” hati terdetik berpesan.
‘Janganlah
engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama kita’ (At-Taubah,
9:40)
Aisyah
menggeleng-geleng kepala. Dia ketawa kecil. Lucu melihat keadaan dirinya
sekarang.
Matanya
dialihkan semua ke arah kad undangan itu.
Esok, hari
pertunangan.
Beberapa bulan
lagi, hari pernikahan.
Bibirnya
mengukir senyum.
“Ya, aku pasti
akan hadir di hari bahagia kalian. InsyaAllah.”
* * * * * * * * * * *
Iman
mengaru-garu kepalanya yang tidak gatal. Jadual akademik bagi semester ini
dibaca dengan penuh teliti. Kepalanya berpaling ke arah Nazia yang sedang duduk
di atas katil. Tangannya memegang sehelai kertas siap bercetak saiz A4. Silibus
matapelajaran yang perlu diambil oleh mereka barangkali.
“Dah dapat key-in semua subject?” soal Iman kepada Nazia. Gadis itu kelihatan tekun
menghadap skrin Dell miliknya.
“Belum. Ada dua subject lagi. Biochemistry dan Food
Microbiology,” jawab Nazia. Matanya masih di skrin Dell. “Iman macam mana?”
soalnya kepada Iman.
“Samalah, dua subject tu juga yang masih tak dapat nak
key-in,”
“Line ada problem lagi agaknya. Ramai sangat nak key-in, mahu tak tersangkut,” bicara Nazia tenang.
“Betullah tu.
Nasib baik yang lain dah siap key-in
awal-awal,” balas Iman.
Semester ini
mereka perlu mengambil enam matapelajaran, bersamaan 18 jam kredit. Tapi,
seingat Iman, semester-semester sebelum ini pun dia memang mengambil enam
matapelajaran. Cuma jumlah jam kredit sahaja yang berbeza. Inilah masalah yang
mereka sering hadapi saban semester - masalah nak key-in subject. Mujur tinggal dua subject je lagi, empat subject yang lain ; statistics, analytical chemistry, general writing skill dan Halal Food telah selamat dikey-in semester lepas, sebelum cuti.
“Esok sudah mula
kuliah,” suara Nazia memecah kesunyian. “Tapi jadual kita tak lengkap lagi ni.”
Iman mengerling
jam di atas mejanya. “Sudah pukul 1.00 pagi.” Dia bangun dari kerusi.
Punggungnya sudah rasa kematu kerana duduk terlalu lama.
“Kita cuba
sekejap lagi. Kalau tak boleh juga, kita cuba lagi pagi esok,” cadang Iman.
“Doa saja semoga Allah permudahkan,” sambungnya lagi. Dia lantas menghala ke arah almari pakaian
miliknya yang masih banyak ruang kosong. Barang-barangnya masih belum siap
dikemas.
Nazia yang masih
di atas katil mula merebahkan badan. Matanya terasa berat.
“Weh, jangan
tidur lagi,” Iman mengingatkan. Mereka sudah sepakat mahu menyelesaikan masalah
pendaftaran matapelajaran malam ini juga. Kalau daftar sama-sama, memang besar
harapan untuk duduk di kelas yang sama. Itu memang termasuk dalam perancangan.
“Ya..,” jawab
Nazia.
“Ya..ya..tapi
mata tu pejam,” Iman buat gaya marah.
Nazia gelak. Dia
bingkas bangun. Tangannya menarik sebuah kotak dari bawah katil.
Dia pun masih
belum siap mengemas.
* * * * * * * * * * *
Ilham memerhati
teman sebiliknya yang sedang khusyuk solat. Dia mencapai telefon bimbit.
Punatnya ditekan. Pukul 5.00 pagi. Matanya dialihkan semula ke arah jasad yang
sedang sujud.
“Hmm..sembahyang
sunat kot. Subuh lambat lagi,” hati kecilnya berbisik. Tangannya mencapai
sebiji lagi bantal. “Ahh, sambung tidur lagi
baik.”
**
“Ilham, bangun
solat subuh,” satu suara mengejutkan Ilham daripada lena. Dia buat-buat tak
dengar.
“Ilham..”
kakinya terasa seperti ditepuk.
“Hmm,” jawabnya
malas.
“Bangun, solat
subuh,” suara itu mengulangi ayat yang sama.
“Sekejap
lagilah. Mengantuk ni,” balas Ilham tanpa membuka mata.
“Panggilan
Allah, mana boleh main sekejap-sekejap. Bangun, ambil wudhuk. InsyaAllah hilang
rasa mengantuk tu,” nasihat teman sebiliknya lagi.
Ilham membuka
matanya malas. Ada senyuman terukir pada wajah di hadapannya. “Ok, ok..Aku
bangunlah ni.” Kakinya diatur perlahan ke bilik air.
“Sejuknya!”
Ilham separa menjerit. Temannya itu hampir tergelak. Begitulah telatah Ilham
setiap pagi.
Ilham pantas
mengambil wudhuk. Tidak betah dia mahu berlama-lama dalam bilik air. Sejuknya
bukan main.
Tubuhnya sudah mula menggeletar kesejukan.
Solat fardhu
subuh yang dirasakan sungguh berat untuk didirikan telah dilaksanakan
kewajipannya untuk hari ini. Bukan hari ini sahaja. Tetapi dia sedar yang dia
tidak pernah meninggalkan solat dua rakaat itu semenjak berkongsi bilik dengan
Hakimi. Hatta ketika pulang bercuti tempoh hari sekalipun, Hakimi menelefonnya
setiap pagi untuk mengejutkannya bangun solat subuh.
Hakimi atau nama
sebenarnya Mohd Izhar Hakimi ; Lelaki itu sudah lama dikenalinya kerana mereka
selalu berada di kelas yang sama. Tetapi tidaklah serapat mana. Bak kata orang,
kenal gitu-gitu aje. Lebih kurang dua bulan yang lalu, dia berpindah ke rumah
sewa Ilham. Suratan takdir, mereka sebilik pula. Kalau bukan kerana kekurangan
wang untuk membayar sewa, memang dia tidak mahu berkongsi bilik dengan orang
lain. Dengan Hakimi yang ala-ala ustaz tu pula. Lagilah tak mahu. Alahai…
Sejak tinggal
sebilik, hampir setiap hari Hakimi akan mengejutkannya untuk solat subuh. Itu
belum dikira waktu solat yang lain. Kadang-kadang dia turut diheret ke surau
untuk solat berjemaah dan mendengar ceramah. Dia pernah memarahi Hakimi, tapi
Hakimi hanya membalasnya dengan senyuman. Hish, tak sampai hati pula nak marah
lebih-lebih. Akhirnya dia turutkan sahaja nasihat Hakimi.
Usai mengerjakan
solat subuh, dia mendapati temannya itu sedang bersiap-siap.
“Nak ke mana
pagi-pagi ni?” soal Ilham hairan.
“Jogging,” jawab Hakimi ringkas. “Nak
ikut? Khawarizmi, Fatah dan Taufiq pun pergi sekali.”
“Awalnya, baru
pukul 6.40 pagi, bro,”
“Awal pagi macam
inilah seronok keluar berjogging. Ikut ya?” ajak Hakimi lagi.
“Malas, korang
sahajalah yang pergi. Aku nak sambung tidur.” Ilham terus merebahkan badannya
di atas katil. Matanya sudah mula memberat semula.
Hakimi hanya
menggelengkan kepala. “Ok, aku pergi dulu. Assalamualaikum,”
“Wa’laikumusalam,”
jawab Ilham perlahan.
Matanya semakin
berat..berat..
Akhirnya dia
terlena semula.
* * * * * * * * * * *
“Kita yang
berada di sini pasti mahu dicintai oleh Allah, bukan? Justeru, kita mestilah
mentaati segala perintah Allah dan menjauhi larangannya. Apa yang Allah suruh
kita buat, kita buat dengan sebaiknya. Apa yang Allah larang kita buat, jangan
sesekali kita cuba mendekatinya. Kerana, setiap apa yang Allah suruh atau
larang itu tentu ada sebabnya. Allah jadikan kita bukan untuk disia-siakan.
Jadi, setiap perintah Allah juga bukan sia-sia. Ingatkah kita tentang firman
Allah dalam surah Az-Zariyat ayat 56 yang bermaksud ;
‘Aku tidak
menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaKU’
“Sudah terang
lagi bersuluh, tujuan kita diciptakan adalah untuk beribadah kepada Allah.
Tetapi, adakah ibadah itu hanya meliputi solat, puasa, membaca al-Quran mahupun
berzikir sahaja?” Ustaz Hamzah melontarkan soalan itu kepada wajah-wajah
dihadapannya.
“Adakah ibadah
kepada Allah hanya berkaitan dengan masjid mahupun surau sahaja?” satu lagi
soalan dilontarkan.
“Sudah tentu
tidak,” dia menjawab soalannya sendiri. “Semua perkara yang kita lakukan adalah
ibadah selagi mana ia tidak bertentangan dengan syariat dan perintahNya. Kamu
duduk dalam majlis ilmu macam ini pun dikira ibadah. Kamu pergi ke kelas pun
ibadah. Kamu mengulangkaji pelajaran pun ibadah. Hatta kamu makan sekalipun
boleh dikira ibadah.”
“Kenapa makan
pun dikira ibadah, ustaz?” Fatah yang duduk di barisan hadapan bertanya.
Ustaz Hamzah
senyum. “Ya tak ya juga, mengapa makan turut dikira sebagai ibadah? Bagus
soalan kamu itu anakku. Begini.. jika kita mahu melaksanakan ibadah wajib,
solat contohnya, kita memerlukan tenaga, kan? Kalau kita tidak mempunyai tenaga
yang cukup, maka solat kita akan terganggu. Kita akan rasa letih, tidak bermaya
dan tentunya akan mengganggu kekhusyukan solat kita. Betul tidak? Kita
memperoleh tenaga untuk beribadat adalah melalui makanan yang kita makan. Sebab
itu makan juga dikira ibadah. Tapi, janganlah makan berlebihan. Biar
berpada-pada. Ikut sunah Junjungan kita, makan sebelum lapar dan berhenti
sebelum kenyang. InsyaAllah kita akan dapat beribadah dengan selesa dan
khusyuk.”
“Tapi ramai
orang yang tidak sedar tentang hal itu. Pada pandangan mereka, ibadah itu hanya
berkaitan dengan solat dan puasa semata-mata. Macam mana, ustaz?” seorang
lelaki yang berusia dalam lingkungan 30-an pula bertanya. Ramai jemaah yang
angguk bila mendengar soalan itu. Mungkin soalan itu juga yang bermain dalam
fikiran mereka.
“Terima kasih
kerana bertanya, saudara yang dikasihi Allah.” Ustaz Hamzah diam sebentar.
Sedang menyusun ayat bagi menjawab soalan yang dikemukakan barangkali.
“Sebenarnya.
mereka berfikiran sedemikian kerana mereka tidak tahu. Jadi, sudah menjadi
tanggungjawab kita yang tahu untuk menjelaskan kepada mereka tentang hakikatnya
yang sebenar. Perkara begini harus dihebahkan supaya masyarakat kita tidak lagi
berfikiran sempit. Kalau kita tidak mampu menjelaskan kepada semua orang, kita
boleh mengamalkannya dalam kehidupan seharian bukan? Seorang pelajar misalnya,
apabila dia tahu belajar itu ibadah, dia perlulah menunjukkan contoh yang baik
buat teman-temannya. Belajar dengan tekun tetapi dalam masa yang sama tetap
melaksanakan perintah Allah. Begitu juga dengan mereka yang berkerja. Berkerja
dengan bersungguh-sungguh tetapi tetap menjaga hubungan dengan Allah. Bukankah
itu akan menjadi lebih indah? Mereka yang lembut hatinya pasti akan terdetik
untuk melakukan yang serupa, InsyaAllah.”
Tazkirah maghrib
yang disampaikan oleh Ustaz Hamzah berakhir beberapa minit sebelum masuk waktu
isyak untuk memberi kesempatan kepada para jemaah memperbaharui wudhuk.
Fatah,
Khawarizmi dan Taufiq melangkah ke tempat mengambil wudhuk. Begitu juga dengan
beberapa ahli jemaah yang lain. Ilham pula mula bersandar di tiang masjid.
Matanya tidak lepas daripada memerhati Hakimi yang kelihatan sedang duduk di
sebelah Ustaz Hamzah. Mungkin sedang meminta nasihat atau bertanya soalan.
Ini kali ketiga
dia turut serta mendengar tazkirah maghrib Ustaz Hamzah. Itupun setelah puas
diajak oleh Hakimi dan Fatah. Tetapi, dia seakan senang berada di sini. Tenang
dan damai sahaja.
Fatah kelihatan
berjalan menuju ke arah mikrofon, bersiap sedia untuk melaungkan azan setelah
diberi kepercayaan oleh bilal masjid sebentar tadi.
Azan Isya’ sudah
berkumandang.
Merdu. Syahdu. Bergetar
hatinya.
Haiya a’la
solah….
Dia bangun untuk
menyahut panggilan Allah.
* * * * * * * * * * * *
Ilham memerhati
Hakimi yang sedang leka membasuh kereta Myvi miliknya. Itu memang menjadi rutin
Hakimi setiap hujung minggu. Selepas solat subuh, dia akan keluar berjogging.
Balik sahaja daripada berjogging, dia akan sediakan sarapan buat mereka semua.
Tak kisahlah sarapan itu dibeli atau dibuat sendiri. Tetapi, kadang-kadang
Khawarizmi atau Fatah akan ambil giliran menyediakan sarapan. Habis sahaja
mereka bersarapan, dia akan membasuh kereta miliknya sambil menunggu waktu
dhuha.
Jika mahu
dibandingkan dengan dirinya, memang seperti langit dan bumi. Dia? Mana pernah
sediakan sarapan. Apatah lagi nak solat
dhuha. Kalau bab-bab beriadah tu selalulah juga keluar bersukan, main bola ke,
futsal ke. Tapi kalau nak keluar jogging waktu pagi macam Hakimi, tak rajin
juga.
“Kenapa?” tegur
Hakimi. Segan pula dia bila dipandang begitu oleh Ilham. “Ada apa-apa tak kena
dengan aku ke? Seluar aku koyak?” tanya Hakimi. Matanya membelek seluar yang
dipakai. Mana tahu memang terkoyak. Buat malu sahaja.
“Mana ada koyak.
Aku sahaja tengok kau basuh kereta. Kau ni rajinlah,” puji Ilham ikhlas.
Bibirnya menguntum senyum.
“Rajin? Kalau
aku ni rajin, tak adalah kereta ni kotor macam sekarang. Hari-hari aku mandikan
dia,” seloroh Hakimi sambil ketawa kecil.
“Rajinlah tu.
Kalau aku, mahu tak nampak rupa langsung kereta tu. Mesti penuh dengan debu,
siap boleh main lukis-lukis lagi,” balas Ilham siap dengan gaya tangan sekali.
Ketawa mereka
bersatu.
“Tetapi aku
pelik, kenapa kau jarang bawa kereta pergi kelas? Setiap hari aku nampak kau
naik bas, tak pun naik motor dengan Fatah,” soal Ilham sambil bersandar di
dinding rumah.
“Malas nak drive,” jawab Hakimi ringkas.
“Boleh pula.
Rugilah, ada kereta tapi tak nak guna.”
“Aku guna, tapi
jarang. Entahlah.. aku rasa seronok naik bas. Naik motor pun best.”
Seronok? Kening
Ilham terangkat. Tak percaya.
“Kau ni pelik.
Naik bas pun dikata seronok? Dahlah kena berebut-rebut, kena berdiri lagi.
Silap haribulan, tak dapat naik sebab penuh.”
Hakimi tersenyum
mendengar komen Ilham. Sudah banyak kali dia mendengar ayat yang lebih kurang
sama. Sesiapa yang tidak benar-benar mengenalinya memang akan berfikir begitu
barangkali. Hmm.. tidak mengapa, dia punya alasan sendiri. Kakinya diatur ke
arah temannya itu. Badannya disandarkan ke dinding, sama seperti Ilham.
“Sebenarnya,
daripada situlah aku dapat belajar erti hidup,” Hakimi bersuara perlahan. Ilham
memandangnya, meminta penjelasan.
“Apa tujuan kita
hidup sebenarnya?” Hakimi memandang Ilham pula.
“Untuk beribadah
kepada Allah,” jawab Ilham yakin. Soalan itu pernah ditanya oleh Ustaz Hamzah
dalam tazkirahnya beberapa hari lepas.
“Betul,
beribadah kepada Allah. Hmm..Sebenarnya, aku buat perkara yang kau kata ‘pelik’
ini sebab aku nak ‘tarbiah’ diri aku.” Hakimi membuang pandangannya ke depan.
“Tarbiah?” Ilham
bertambah pening. “Apa kaitannya?”
“Bila aku naik
bas mahupun pengangkutan awam yang lain, aku dapat tengok pelbagai ragam
manusia. Ada yang sentiasa tenang. Ada yang asyik kelam-kabut. Ada yang ramah.
Ada yang tak ambil peduli hal orang lain. Macam-macamlah. Yang paling penting,
aku dapat belajar erti kesabaran dan kesyukuran,” terang
Hakimi panjang lebar.
Ilham
menganggukan kepala. Tanda dia mula mengerti apa yang Hakimi cuba lakukan.
Hakimi
menyambung, “Aku belajar untuk bersabar dengan kerenah manusia dan orang
sekeliling. Aku belajar untuk bertenang jika perkhidmatan bas tergendala. Aku juga
belajar untuk menghargai apa yang aku ada. Daripada situ, aku rasa bersyukur
sangat sebab aku masih ada kemudahan sendiri. Aku tak perlu sentiasa berpanas
dan bersesak seperti mereka setiap hari. Bila aku sedar tentang kelebihan yang
Allah bagi pada aku, dengan sendirinya aku akan terus teringat Allah. Mungkin
kesenangan yang aku perolehi ini merupakan ujian DIA untuk mengetahui sejauh
mana aku bersyukur. Aku tak akan dapat semua itu kalau Allah tak izinkan. Jadi,
aku kena berterima kasih kepadaNya.”
“Berterima
kasih?”.. “Maksud aku, apa yang kau buat sebagai tanda terima kasih kepada
Allah?”
“Melaksanakan
perintahNya dan meninggalkan laranganNya.”… “Dalam erti kata lain, beribadah
dengan penuh kesungguhan dan keikhlasan kepadaNya.”
“Oh..” Ilham
kematian kata-kata.
“Sedangkan
Rasulullah yang maksum dan dijanjikan syurga itu pun beribadah sampai bengkak
kaki baginda kerana nak menjadi hamba yang bersyukur. Inikan pula kita yang
memang tidak dapat daripada melakukan dosa, mestilah perlu berusaha berlipat
kali ganda, kan?”
Ilham angguk
lagi. Bicaranya mati. Lidahnya kelu.
“Kita perlu
berusaha menjadi hamba yang bersyukur,” pesan Hakimi sebelum berlalu
meninggalkan Ilham keseorangan di luar.
Ilham tunduk.
Tak sangka, perkara sekecil itu pun boleh dijadikan tarbiah supaya dapat
menggapai sesuatu yang lebih besar. Ya, dia akui, Hakimi benar.
Belajar erti
kesabaran dan kesyukuran.
Tetapi…Bersyukurkah
aku?
Berusahalah..
Berusaha menjadi
hamba yang bersyukur!
* * * * * * * * * * *
Mesyuarat Agung
Tahunan FOSTECH baru sahaja berakhir. FOSTECH atau nama lainnya Persatuan
Mahasiswa Fakulti Sains dan Teknologi Makanan merupakan salah satu organisasi
yang bertanggungjawab dalam merangka aktiviti dan menjaga kebajikan setiap
pelajar di fakulti mereka. Selain itu, FOSTECH juga berperanan untuk menjadi
orang tengah antara pensyarah-pelajar, pentadbiran-pelajar, mahupun antara
pelajar-pelajar.
Iman tidak
menyangka dia terpilih untuk memegang jawatan sebagai Exco Kebajikan dan
Keceriaan, sedangkan dia terpaksa bersaing dengan dua orang pelajar Cina yang
tidak kurang hebatnya. Salah seorang daripada mereka dipilih untuk menjadi
timbalannya, manakala seorang lagi dicalonkan untuk jawatan lain, dan berjaya
merebut satu lagi jawatan exco FOSTECH. Bukankah itu bukti yang menunjukkan
saingannya juga seorang yang hebat?
Ramai juga teman
rapatnya yang dilantik menerajui saf kepimpinan FOSTECH untuk sesi kali ini.
Antaranya
ialah Raja selaku Timbalan Presiden 2, Farahin selaku setiausaha 1, Intan selaku
setiausaha 2, Balqis selaku bendahari, Aisyah selaku Timbalan Exco Kerohanian,
kak Kristina selaku Exco Publisiti, Putri selaku Timbalan Exco Kerjaya dan Husna
selaku Exco Akademik.
“Nampaknya
persatuan ini telah dimonopoli oleh pelajar perempuan bagi sesi kali ini,” kak
Echa, pelajar tahun akhir Teknologi Makanan berbisik kepada Aisyah. Aisyah
membalas dengan senyuman dan anggukan.
“Betul tu.
Hampir tiga per empat adalah pelajar perempuan. Tetapi, saya taklah terkejut
sangat sebab bilangan pelajar perempuan memang mengatasi bilangan pelajar
lelaki,” Liza yang mendengar sejak tadi memberi pandangan.
“Tapi mujur juga
presidennya lelaki,” kak Echa berseloroh. Semua yang mendengarnya ketawa.
Iman senyum.
Benar apa yang dikatakan oleh kak Echa, nasib baik persatuan ini tetap
dikepalai oleh lelaki. Bukankah memang lelaki yang patut menjadi ketua?
“Tahniah kerana
terpilih,” Azizah yang baru muncul menghulur salam. “Tahniah kerana mendapat
kepercayaan menjadi pemimpin. Sekarang, di atas bahu kalian ada satu
tanggungjawab besar yang perlu dipikul. Amanah itu merupakan perkara yang
paling berat. Laksanakan dengan sebaiknya,” pesan Azizah sebelum meminta diri.
“InsyaAllah,”
jawab Iman, Aisyah dan Intan serentak. Kebetulan mereka duduk di tempat yang
sama.
Kebanyakkan
pelajar sudah bergerak pulang. Dewan yang tadinya sesak dengan manusia mulai
lengang. Yang tinggal hanyalah barisan kepimpinan yang baru dan beberapa orang
mantan yang sedang berbual-bual. Mereka bertiga mengatur langkah ke depan dewan
setelah dipanggil oleh Raja, Timbalan Presiden 2. Ada taklimat ringkas katanya.
Mereka mengambil
tempat duduk di barisan kedua, berhampiran dengan teman-teman yang lain.
“Tahniah!” Kak
Kris tersengih sambil menghulurkan tangan ke arah Iman. Iman menyambutnya
mesra. Teman-teman yang lain juga turut bertukar-tukar ucapan tahniah.
Walaupun mereka
kini terpaksa memikul satu amanah yang berat, namun, kehadiran teman-teman
rapat dalam menggerakkan sesebuah organinasi sedikit sebanyak dapat
mengurangkan beban yang dipikul.
“Syhhh…” satu
suara menegur mereka supaya senyap. Nampaknya taklimat ringkas sudah mahu
bermula.
Masing-masing mendiamkan diri.
“Assalamualaikum..pertama
sekali saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua kerana terpilih untuk
menerajui barisan kepimpinan FOSTECH untuk sesi kali ini..” Khalis Haikal,
mantan Presiden Fostech memulakan intronya. Dia terus menyambung ucapannya
untuk beberapa minit sebelum memberi peluang kepada presiden baru FOSTECH ;
Farid Asyraf, untuk bercakap pula.
Semua yang ada
tekun mendengar..
Kecuali Iman..
Fikirannya sudah
berada di tempat lain. Suara Asyraf yang sedang berucap dengan penuh semangat
di hadapan umpama angin yang berlalu begitu sahaja. Satu pun tidak melekat di
fikirannya.
Dalam fikirannya
kini hanya ada satu perkataan. Amanah.
Ya, amanah!
Amanah merupakan
perkara yang paling berat untuk dilaksanakan.
Mampukah dia?
Tapi kalau dia tidak mampu, masakan dia dipilih?
Ya Allah.. KAU
lebih tahu.. maka permudahkanlah..
No comments:
Post a Comment