Monday, 19 September 2011

Seindah Takdir (Part 5)


“Ilham, bangun sahur!” suara Fatah di muka pintu mengejutkan dia daripada lena.

Ilham menggosok-gosok matanya yang masih berat itu. Tangan kanannya ditangkupkan ke mulut yang sedang menguap. “Mengantuknya…” gumam Ilham sendirian. Pipinya yang tidak gatal digaru-garu. Masih mamai sebenarnya. Matanya yang masih kuyu, separa terbuka itu memandang sebatang tubuh yang sedang berdiri di muka pintu.

“Hakimi dah bangun ke?” soal Ilham apabila melihat katil di sebelahnya sudah kosong.

“Dialah orang pertama bangun. Cepat basuh muka, kita sahur sama-sama. Mereka bertiga sudah menunggu di dapur tu,” arah Fatah sambil tersengih. Lucu melihat gelagat Ilham yang masih mamai bila dikejutkan. Hai..mengalahkan budak kecil.

“Yalah, aku bangun ni. Kau pergilah dulu, sekejap lagi aku datang.” Ilham bingkas bangun menuju ke bilik air. Fatah pula sudah menapak ke dapur.

Di dapur, kelihatan tiga sekawan sedang sibuk menyiapkan juadah untuk bersahur. Taufiq sibuk membancuh air. Khawarizmi tidak berenggang dengan kurma dan kismis kegemarannya. Hakimi pula sedang menyenduk nasi goreng yang baru dimasaknya ke dalam pinggan. Fatah pula sudah ditugaskan untuk mencuci pinggan mangkuk selepas mereka habis bersahur. Tugasan untuk Ilham? Mungkin perlu mengemas rumah.

“Sedapnya bau nasi goreng. Siapa yang masak?” puji Ilham yang baru muncul dari bilik.

“Abang Hakimi kitalah, siapa lagi,” jawab Taufiq spontan. Mereka semua tergelak. Hari ini sudah hari keempat Ramadhan, bermakna sudah kali keempat juga mereka bersahur bersama. Setiap hari, memang mereka akan mengagihkan tugasan untuk dilakukan. Jadualnya sudah diatur lengkap oleh Hakimi. Tugas memasak dipegang utuh oleh Hakimi dan Khawarizmi yang memang jaguh memasak. Taufiq dan Fatah juga kadang-kadang mengambil giliran memasak pada hari-hari tertentu. Ilham? Dia lebih rela mengemas rumah atau cuci pinggan daripada memasak.

“Kalau rasa nak berbuka dengan ikan hangit ke, nasi lembik ke, bolehlah suruh aku masak.” 

Jawapan selamba Ilham semasa disoal oleh Fatah mengapa dia tidak mahu memasak telah memecah tawa mereka berlima. Jadi, untuk menyelamatkan perut mereka daripada makan makanan yang hangit, Ilham hanya ditugaskan untuk membuat kerja-kerja yang tidak melibatkan makanan. Ilham hanya ketawa mendengar komen teman-temannya itu. Tetapi dia tidaklah sampai hati sangat, selalunya dia akan turut membantu. Tak dapat jadi tukang masak, jadi pembantu pun bolehlah.

“Hari ini kau kemas rumah.” Khawarizmi mengusik Ilham.

“Tahu.” Ilham angguk. “Jangan risau, aku akan buat rumah ni jadi bersih berkilat nanti. Jangan terkejut pula.” Ilham sengih. Teman-teman yang lain turut tersenyum.

Sebenarnya mereka seronok melihat perubahan Ilham. Taufiq, Fatah dan Khawarizmi memang sudah lama kenal dan tinggal serumah dengan Ilham. Sebelum ini, Ilham memang jarang benar makan bersama mereka, apatah lagi mahu membantu di dapur. Cuma, sesekali dia akan membantu mengemas rumah atau buat apa-apa yang patut. Itupun setelah dibebel berhari-hari oleh Fatah yang memang terkenal dengan sikap pembersih. Kalau tidak, kirim salam sahajalah jawabnya.

Selesai sahaja bersahur, mereka masuk ke bilik masing-masing, kecuali Fatah yang sedang sibuk mencuci pinggan mangkuk yang kotor.

“Weh, tunggu aku tau!” Fatah menjerit dari dapur. Mereka sebenarnya mahu ke surau berhampiran untuk solat subuh berjemaah. Fatah juga tidak mahu ketinggalan, jadi, dia berusaha menghabiskan kerjanya secepat mungkin.

“Cepat sikit. Sudah mahu masuk waktu.” Khawarizmi yang paling hampir biliknya dengan dapur mengingatkan Fatah.

“Yalah, sikit sahaja lagi ni,” balas Fatah. Pinggan terakhir diletakkan dengan cermat di tempat yang sepatutnya. Kakinya melangkah laju ke bilik air untuk mengambil wudhuk. Teman-teman yang lain sudah siap barangkali.

Tiba-tiba kepalanya terasa pening. Badannya segera disandarkan ke dinding. Pandangan mata mula berpinar-pinar. “Dia dah datang dah.” Fatah berkata sendiri. Tangannya memicit-micit kepala yang terasa berdenyut-denyut. ‘Dia’ yang dimaksudkan ialah sakit kepala yang dihadapinya sekarang. Nak kata ada migrain, rasanya tak ada pula. Tapi sejak akhir-akhir ini, dia sering sahaja pening dan sakit kepala. Tetapi, dia tidak hairan kerana dia memang sibuk kebelakangan ini. Mungkin ini kesan daripada tidak cukup tidur dan rehat.

Apabila terasa kurang sedikit sakitnya, Fatah terus sahaja mengambil wudhuk. Azan subuh juga sudah mula berkumandang. Dia melangkah pantas ke bilik untuk bersiap-siap.

“Fatah oiii..belum siap lagi ke? Mengalahkan anak daralah pula.” Gurau Taufiq.

“Eh, sudah siap. Maaf lambat,” kata Fatah sambil tersengih.

“Maaf diterima. Jom cepat.” Taufiq buat gaya seperti seorang ayah yang sedang memanggil anaknya. Sengih Fatah bertambah lebar. Hakimi hanya menggelengkan kepala melihat telatah dua sahabat ini. Mereka bertiga berjalan seiring, manakala, Ilham dan Khawarizmi pula berjalan mendahului mereka.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Ilham tekun menatap skrin Acer miliknya. Dahinya berkerut-kerut kerana cuba memahami setiap patah perkataan yang terpampang di skrin. Kepalanya digelengkan, mungkin gagal memahami penerangan yang siap tertulis barangkali. Mencari maklumat di internet memang mudah, tekan sahaja, berpuluh-puluh bahkan beratus pilihan maklumat tersedia. Namun, untuk betul-betul memahami sesuatu konsep, bukan semudah mencari nota.

Tangan kanannya terus menggerak-gerakkan tetikus berbentuk ikan pemberian Taufiq setelah tetikus lamanya dirosakkan. Pada mulanya dia terkejut bila Taufiq menggantikan dengan tetikus ‘ikan’ itu, macam budak-budaklah. Tetapi lama-kelamaan rasa macam comel pula. Lagipun, tak akan mahu beli yang baru, mambazir nanti.

Dia terus meng‘copy’ and paste maklumat-maklumat penting berserta rujukannya ke dalam Microsoft word. Biar senang untuk dijadikan rujukan apabila dia mahu mengulangkaji nanti. Jadi, tak perlulah dia bersusah payah mencari maklumat yang sama berulang kali. Sedang dia tekun mencari maklumat, dia dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Hampir sahaja pen yang sedang dipegang itu tercampak. 

Tangannya mencapai telefon dan punat hijau ditekan.

“Assalamualaikum along,” sapa suara di hujung talian. Ilham angkat kening. Iman?

“Waalaikumusalam.. hah Iman, ada apa telefon ni,” soal Ilham.

“Saja nak bertanya khabar. Along sibuk ya?Maaf kalau Iman mengganggu. Along sihat?”

“Sihat, macam biasa. Along tengah sibuk sikit ni, lain kalilah kita sembang.” Ilham berterus-terang.

Giliran Iman pula angkat kening. Bukan kerana alongnya mahu memutuskan perbualan, tetapi kerana alongnya tidak lagi menggunakan panggilan ‘aku’ tetapi ‘along’. Sudah bertahun along tidak menggelarkan dirinya begitu. Iman tersenyum.

“Iman?” Ilham memanggil. Pelik pula kerana tiba-tiba sahaja talian menjadi sunyi. “Iman?” panggilnya sekali lagi.

“Ya..” Iman menyahut. Baru sedar daripada lamunan.

“Berangan ke apa?” soal Ilham lagi.

“Eh..mana ada,” dalih Iman. Dia malu sendiri. “Oklah, Iman tak mahu ganggu along lama-lama. 
Assalamualaikum.”

“Jaga diri baik-baik. Selamat berpuasa. Waalaikumusalam,” jawab Ilham tenang. Dia terus memutuskan talian. Iman terkejut dengan pesanan along. Belum sempat dia membalas ucapan selamat, talian telahpun diputuskan. Iman senyum. Terasa seperti along mengambil berat akan dirinya.

Ilham menyambung kembali kerjanya yang tergendala tadi. Dia bukan sengaja tidak mahu berbual dengan Iman, tetapi terasa janggal kerana mereka memang tidak pernah berbual mesra sebelum ini. Tambahan pula, dia memang sedang sibuk sekarang. Jari-jemarinya pantas menari di atas keyboard, menaip satu-persatu perkataan yang telah siap dirangka sebelumnya.

“Sibuk nampak,” tegur Fatah sambil tersenyum. Temannya yang satu ini memang murah dengan senyuman. Sejak mengenalinya beberapa tahun lalu, Ilham jarang benar melihat Fatah dalam keadaan sedih ataupun bermuram durja. Gembira sahaja memanjang.

“Hmm..sibuklah juga,” balas Ilham ringkas. “Ada apa ni? Tiba-tiba sahaja muncul di bilik aku?” sambungnya lagi.

Fatah sengih. Dia memang faham benar dengan sikap Ilham yang memang pantang diganggu ketika dia sibuk menyiapkan kerjanya. “Err..nak pinjam nota kuliah Prof. Zuhaili boleh? Kuliah kelmarin.” Teragak-agak Fatah menyatakan niatnya ke bilik Ilham.

Ilham pelik. “Bukan ke kau yang paling rajin salin nota? Setiap apa yang Prof. terangkan secara lisan pun kau boleh salin sebiji-sebiji. Kenapa tiba-tiba nak pinjam nota aku pula ni?”

“Aku pening kepala masa tu, jadi, tak berapa dapat ‘tangkap’ sangat apa yang Prof. ajar. Boleh tak aku pinjam nota kau? Sekejap sahaja,” kata Fatah separuh memujuk.

“Yalah. Kau cari sendiri dalam beg aku tu. Aku letak dalam fail,” arah Ilham. Dia tidak sampai hati pula menolak permintaan Fatah. Jika sebelum ini dia yang selalu meminjam nota Fatah, jadi, apalah salahnya jika kali ini giliran Fatah pula meminjam nota miliknya. Bukan luak apa-apa pun.

“Terima kasih,” kata Fatah ceria. Dia lantas menyelongkar beg Ilham. “Hah, sudah jumpa. InsyaAllah, malam ini aku pulangkan.” Matanya dikenyitkan ke arah Ilham. Sebelum beredar, dia sempat memeluk bahu Ilham.

“Woi! Apa peluk-peluk ni, geli aku!”

Fatah ketawa terkekeh-kekeh. “Saja nak bergurau dengan kau. Jangan marah.” Fatah terus berlalu pergi sambil ketawa. Dia langsung tidak mempedulikan muka Ilham yang merah padam diperlakukan begitu.

Ilham menggeleng kepala. Ada-ada sahaja ‘budak’ Fatah ni.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
“Seperti yang kita semua tahu, bulan Ramadhan adalah bulan yang penuh kemuliaan, penuh barakah dan merupakan penghulu segala bulan. Di dalamnya Allah telah sediakan pelbagai kelebihan untuk dimanfaatkan oleh hambaNya yang sentiasa mendambakan kasih sayang dan keredhaanNya. Banyak peristiwa penting bagi umat Islam berlaku dalam bulan ini, dan salah satunya adalah Allah menurunkan Al-Quran yang menjadi sumber rujukan utama kita pada hari ini.”

“Firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud ; “Wahai orang-orang yang  beriman! Diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” Daripada ayat ini, jelas Allah mengatakan bahawa puasa itu adalah wajib bagi hamba-hambanya. Tidak ada pengecualian untuk tidak berpuasa kecuali keuzuran yang dibenarkan. Namun, Allah itu Maha Mengetahui segalanya tentang hambaNya. Jadi, bagi mereka yang sedang bermusafir, atau bagi mereka yang mempunyai halangan untuk berpuasa, Allah memberi rukhsah, iaitu keringanan kepada mereka. Firman Allah dalam surah yang sama, ayat 185 bermaksud ; “….Kerana itu, barang siapa antara kamu yang ada di bulan itu, maka berpuasalah. Dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (dia tidak berpuasa), maka (wajib menggantinya), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan mengagungkan Allah atas petunjukNya yang diberikan kepadamu, agar kamu bersyukur.”

“Lihat, betapa Allah sangat mengasihi hamba-hambaNya. DIA tidak pernah menyusahkan kita. Cuma, kita sahaja yang selalu menyusahkan diri sendiri.”

Ilham dan Taufiq mengangguk-anggukan kepala mendengar ceramah yang disampaikan oleh Ustaz Halim, penceramah jemputan malam ini. Hakimi yang sedang memegang al-Quran mini di tangannya tekun membaca terjemahan ayat yang dinyatakan oleh Ustaz Halim sebentar tadi. Dalam hati dia memuji-muji kasih sayang Allah kepada sekelian hambaNya. Benar kata Ustaz Halim, Allah amat mengasihi hamba-hambaNya. Walaupun DIA mewajibkan sesuatu ibadah, namun, DIA juga Maha Pengasih kepada hamba-hambaNya yang mempunyai halangan, justeru, memberi hadiah rukhsah kepada kita. Jadi, mengapa kebanyakkan manusia sering lagi beralasan dan mengelat daripada melaksanakan kewajipan sebagai hamba?

Ustaz Halim menyambung lagi. “Puasa Ramadhan merupakan salah satu daripada rukun Islam dan satu kewajipan yang tidak boleh dipandang remeh. Puasa Ramadhan juga tidak boleh ditukar ganti, meskipun orang yang meninggalkannya berpuasa seumur hidup. Hal ini selari dengan sabda Nabi SAW yang bermaksud ; “Sesiapa berbuka satu hari pada bulan Ramadhan tanpa rukhsah (keringanan) dan tidak juga kerana sakit, dia tidak dapat melunaskan (mengganti) puasa yang ditinggalkannya itu, sekalipun dia berpuasa seumur hidup.” (Hadis Riwayat Tirmidzi, Abu Daud, Nasa’i, Ibnu Majah dan Ibnu Khuzaimah).”

“Jadi, pesan ana buat hadirin hadirat semua dan buat diri ana sendiri, berusahalah untuk melaksanakan kewajipan puasa ini dengan sebaik-baiknya. Jangan lepaskan peluang keemasan untuk beramal ketika kita sedang berada di dalam bulan yang penuh barakah. Bulan di mana pintu syurga dibuka, dan pintu neraka ditutup. Kerana, kita masih tidak tahu samada kita akan bertemu lagi dengan Ramadhan akan datang atau tidak. Sekalian dahulu daripada ana. Yang baik itu datangnya daripada Allah Yang Maha Sempurna, dan kelemahan itu datangnya dari diri ana. Wallahua’alam. Assalamualaikum wbt.”

Hakimi, Ilham dan Taufiq bingkas bangun untuk bersalaman dengan Ustaz Halim. Selepas bersalaman, mereka menikmati pula hidangan moreh yang disediakan oleh pihak AJK surau. Ada juga beberapa jenis makanan yang dibawa oleh penduduk di taman perumahan ini. Mereka bertiga turut tidak terkecuali membawa makanan untuk dimakan bersama dengan para jemaah.

“Hari-hari macam ini boleh gemuk aku,” kata Ilham sambil menyumbat sebiji kuih cara berlauk ke dalam mulutnya. Matanya tidak berkelip memandang beraneka macam juadah yang berada di depan mata. Ada kuih pelita, kuih popia, kuih seri muka, kuih cara berlauk dan bihun goreng. Dan yang paling terkejut, siap ada nasi briyani lagi. Mahu tak meletup perut.

“Betul-betul. Nasi briyani ni yang aku paling suka,” balas Taufiq setuju. Tangannya sibuk menyenduk nasi briyani ke dalam pinggan Ilham dan Hakimi.

Hakimi tersenyum. “Makan tu makan juga, tetapi jangan berlebihan, nanti tak larat nak beribadah pula.” Sedikit nasihat dilontarkan buat dua orang temannya itu. Mereka berdua tersengih. Faham dengan kata-kata Hakimi.

“Kami makan untuk sahur sekali, nanti kau tak payahlah masak lagi,” gurau Taufiq. Hampir tersembur nasi dalam mulut Ilham kerana tergeletek dengan kata-kata Taufiq. Hakimi senyum. Kepalanya digelengkan. 

“Ada-ada sahaja mereka ni.”

“Jangan gaduh-gaduh, makan sahaja. Banyak lagi tu,” tegur Pak Imam yang kebetulan terdengar perbualan mereka bertiga. Ustaz Halim yang berdiri di sebelah Pak Imam hanya tersenyum.

“Hah, kau dengar tu? Saya setuju 200% kata Pak Imam. Lagipun tak baik membazir makanan yang banyak ni kan. Betul tak Pak Imam?” Ilham membela diri.

Pak Imam angguk. “Betul, tak baik kita mengamalkan sikap membazir. Itu semua amalan syaitan. Tetapi, perlu diingat, kita juga tak digalakkan makan berlebihan. Seperti kata kawan kamu tadi, nanti jadi malas beribadah,” jawab Pak Imam tenang. Tangannya mengusap lembut belakang Ilham.

Zupp! Kata-kata itu mencucuk dadanya. Kan dah terkena. Padan muka aku! Ilham sengih. Mukanya sudah merah menahan malu.

“Sebelum balik nanti, ambillah sedikit makanan untuk sahur. Ambilkan untuk kawan kamu yang lagi dua orang tu sekali. Jangan segan-segan pula. Makanan banyak lebih ni,” pesan Pak Imam sebelum berlalu meninggalkan mereka bertiga.

“Kan dah terkena se‘das’ dengan Pak Imam, pada muka kau!” gurau Taufiq. Dia menutup mulut menahan tawa.

Ilham segera menyiku perut Taufiq. Taufiq mengaduh kesakitan.

“Padan muka!” kata Ilham sambil tersengih. Puas hati kerana berjaya membalas ‘dendam’.

“Sampai hati kau bagi ‘hadiah’ siku pada aku. Sakit, tahu?”

“Itulah, gelakkan aku lagi. Lain kali buat lagi ya,” kata Ilham seakan memberi amaran.

“Ok!”

“Apa yang ok?”

“Ok, nanti aku gelakkan kau lagi,” jawab Taufiq selamba.

Ilham angkat kening. Tidak menyangka itu jawapan  yang diberi oleh Taufiq.

“Kau memang selamba Bro!” puji Ilham.

Well..ini Taufiqlah,” balas Taufiq sambil buat gaya berlagak.

Ilham gelak. Hakimi ketawa kacil. Jemaah lain yang terdengar perbualan mereka turut tersenyum.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Majlis berbuka puasa anjuran FOSTECH berjalan lancar seperti yang dirancangkan. Kehadiran para pensyarah dan pelajar kali ini sangat menggalakkan berbanding tahun-tahun sebelumnya. Dengan tamatnya majlis berbuka puasa malam ini, maka berakhirlah sudah Program Penghayatan Ramadhan yang mereka jalankan. Riak kelegaan terpancar di wajah setiap jawatankuasa pelaksana terutamanya pengarah program yang memang bertungkus-lumus daripada mula hingga akhir program.

Kebanyakkan pelajar sudah mula beredar. Hanya jawankuasa pelaksana sahaja yang tinggal untuk mengemas tempat program. Pihak catering juga sedang sibuk mengemas barang-barang mereka.

Gelak-tawa Asyraf, Hafiz dan Haikal yang sedang menggulung tikar memecah kesunyian. Entah apa yang melucukan pun tidak tahu. Manakala Intan, Putri dan Iman pula sibuk mengemas bahagian makanan sambil dibantu oleh Aisyah dan kak Kristina. Mereka membungkus makanan yang lebih untuk dibawa pulang, boleh juga dimakan semasa sahur. Tidaklah membazir nanti. Di satu sudut pula kelihatan Husna dan Balqis sedang sibuk dengan urusan mereka. Mungkin sedang mengira duit baki yang patut dibayar kepada pihak catering barangkali.

“Sedar tak sedar, sudah mahu masuk fasa ketiga Ramadhan kan? Sekejap sahaja rasanya masa berjalan,” kata Intan sambil tangannya sibuk memasukkan kuih ke dalam plastik.

“Betul. Masuk hari ini sudah 19 hari kita puasa. Hanya tinggal lebih kurang 10 hari sahaja lagi,” sambung kak Kristina. Dia juga sedang sibuk mengikat plastik yang sudah diisi dengan kuih-muih.

“Jadi, kita tidak boleh berlengah-lengah lagi. Terus tingkatkan amalan sementara masih ada waktu. Moga-moga keseronokkan dan kesungguhan kita beribadah dalam bulan Ramadhan ini dapat dikekalkan sehingga kita bertemu dengan Ramadhan seterusnya,” Putri bersuara tenang.

Mereka semua angguk. Bersetuju dengan pendapat Putri. Memang benar, bulan Ramadhan adalah masa yang sesuai untuk mengecas semula rasa seronok dan bersungguh untuk beribadah. Sudahlah bulan lain sentiasa sibuk, tak akan bulan yang penuh barakah inipun mahu dilepaskan? Sungguh rugi mereka yang mensia-siakan peluang untuk beribadah.

“Sudah beli tiket bas?” Intan menyoal Putri.

“Sudah,” jawab gadis yang berasal dari Pulau Pinang itu sambil tersenyum. “Sebelum Ramadhan lagi tiket tu sudah ada dalam tangan tau,” sambungnya lagi. Dia kelihatan seperti tidak sabar mahu pulang bercuti. 

Wajahnya berseri bukan main.

Mereka semua ketawa. Antara mereka, kampung Putrilah yang paling jauh. Oleh sebab itu, dia jarang dapat pulang ke kampung seperti sahabat-sahabatnya yang lain. Sebab itulah dia sangat seronok jika dapat pulang. 
Teruja barangkali.

“Seminggu sahaja lagi kita dapat berpuasa bersama-sama. Hai..sedihlah pula,” luah kak Kristina.

“Tak apa kak, jangan sedih-sedih. Nanti kita sambung puasa enam hari Syawal sama-sama, mahu?” duga Aisyah.

“Puasa enam? Hmm..tengoklah kalau akak rajin,” jawab kak Kristina bersahaja. Ada tawa kecil di hujung bicaranya.

“Hai..seronok sahaja tengok mereka ni berbual. Apa yang menarik sangat tu?” Husna mencelah. Dia dan Balqis baru sahaja selesai membayar baki wang kepada pihak catering.

“Macam-macam yang menarik,” balas Intan. “Mula-mula cerita tentang bulan Ramadhan, tetapi sekarang sudah sampai tentang puasa enam pula.”

“Oh..memang macam-macam.”

Mereka kembali menyambung kerja masing-masing. Mereka perlu mengemas tempat ini segera dan pulang sebelum jam 11.00 malam kerana perkhidmatan bas terakhir adalah pada pukul 11.00 malam. Disebabkan kebanyakkan daripada mereka tinggal di kolej dan tidak mempunyai kenderaan, jadi, mereka bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan bas yang disediakan oleh pihak universiti. Justeru, mereka tidak boleh berlengah. Jika terlewat sedikit, alamatnya, terpaksalah mereka berjalan kaki. Uii..tidak sanggup rasanya meredah malam pekat dengan berjalan kaki. Jauh pula tu.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

“Dalam bulan Ramadhan, ada satu malam yang sangat istimewa. Malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Jika kita beribadah dengan penuh kekhusyukkan dan keikhlasan pada malam tersebut, maka, berpeluanglah kita untuk mendapat ganjaran yang berlipat kali ganda. Malam yang istimewa itu terletak dalam malam sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan. Dan, antara sepuluh malam itu, Allah akan memilih satu malam ganjil (tarikh nombor ganjil) untuk menghadiahkan menusia yang beriman dengan Lailatul Qadar. 

Jadi, jangan kita sia-siakan waktu malam di bulan Ramadhan terutamanya malam sepuluh terakhir dengan perkara yang tidak bermanfaat. Sebaliknya, siapkan diri kita untuk beribadah dan mengumpul saham untuk menuju ke negeri yang abadi.”

Nasihat Ustazah Nazima, guru Pendidikan Islam di sekolah menegah dulu masih tersimpan kemas dalam memori Iman. Dahulu, dia tidak begitu mengambil berat tentang amalan di bulan Ramadhan. Apatah lagi tentang kewujudan malam Lailatul Qadar. Ya, dia pernah mendengar cerita berkenaan malam yang penuh keistimewaan itu. Tetapi dia tidak pernah terfikir untuk merebutnya. Sehinggalah dia mendengar kata-kata Ustazah Nazima. Kalau tidak silap, dia berada di tingkatan tiga ketika itu.

Walaupun begitu, dia tidak mempunyai kekuatan langsung untuk bangun solat malam. Hanya beberapa malam terawal sahaja dia bersemangat, tetapi, lama-kelamaan dia tidak lagi bangun menghidupkan malam Ramadhannya. Perkara yang sama berulang setiap tahun. Bukan itu sahaja, targetnya juga sentiasa tersasar. 

Dia masih ingat azamnya untuk khatam Al-Quran sekali dalam bulan Ramadhan ketika di tingkatan 5, tetapi dia hanya sempat habiskan sehingga separuh sahaja. Kecewanya bukan main ketika itu. Tetapi emak kata tidak mengapa kerana dia telah mencuba sedayanya. Bukankah usaha itu yang lebih penting?

Iman tersenyum sendiri apabila mengenangkan kenangannya dahulu. Dalam hati dia bersyukur kerana Allah memberinya peluang untuk berubah. Sekarang dia sedaya-upaya memanfaatkan setiap detik waktu yang diberikan Allah. Sepuluh malam terakhir Ramadhan tidak disia-siakan begitu sahaja bahkan diisi dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat.

“Termenung jauh nampak,” tegur Nazia sambil tersenyum. Dia baru sahaja selesai mengambil wudhuk. 

Tangannya mencapai telekung yang dilipat kemas di atas katil.

“Err..mana ada,” dalih Iman. Dia segera membentang sejadah. “Mana Anis?”

“Sekejap lagi datanglah tu, dia tengah ambil wudhuk tadi.”

Iman angguk mengerti. Baik dia membaca Al-Quran sementara menunggu Anis. Dia mengambil Al-Quran mini dan menyelak halamannya. Satu-persatu ayat suci itu meluncur di bibir comelnya. Nazia juga melakukan perkara yang sama.

“Maaf, Anis terlambat,” kata pelajar tahun satu itu sebaik sahaja muncul di muka pintu. Dia terus masuk dan mencapai telekung bercorak biru dari dalam begnya.

“Tidak mengapa,” jawab Iman tenang. Dia dan Nazia bangun dan berdiri dalam satu saf. Anis turut mengambil tempat di sebelah Iman. Iman berdiri sedikit ke hadapan untuk menjadi Imam.

Di waktu orang lain sedang tenggelam dalam lena dunia, mereka bertiga pula tenggelam dalam kekhusyukkan ‘berbicara’ dengan sang Pencipta. Ketika orang lain sedang enak dibuai mimpi, mereka bangun untuk ‘bertemu’ Ilahi. Sepuluh malam terakhir Ramadhan dimanfaatkan sepenuhnya oleh mereka.

Sebenarnya Iman turut tidak mempunyai kekuatan yang begitu utuh untuk terus konsisten bangun berqiamulail. Jadi dia mencari jalan lain supaya dia tetap bersemangat melawan nafsu tidur dan rehat. Oleh sebab itu, dia telah mengajak teman sebiliknya, Nazia, untuk turut sama menghidupkan malam Ramadhan mereka. Mujur Nazia setuju. Pada dua puluh malam terawal, mereka hanya bangun berqiamulail berselang-seli dua hari sekali. Hari ini bangun, esok tidak. Begitulah seterusnya sehingga tiba sepuluh malam terakhir, di mana mereka berazam untuk melakukannya setiap malam. Alhamdulillah, Allah memudahkan perancangan mereka. Sesekali, sahabat-sahabat yang lain akan turut serta dengan mereka. Seperti yang dilakukan Anis hari ini.

Usai mengerjakan solat sunat tahajud, taubat, hajat dan istikharah, mereka mengambil kesempatan untuk membaca Al-Quran pula. Mereka mahu mencapai matlamat yang telah ditetapkan daripada awal iaitu khatam 30 juzuk Al-Quran sebelum pulang bercuti ke kampung. Imam gembira apabila melihat sahabat-sahabatnya sangat bersemangat untuk beribadah, secara tidak langsung dapat membangkitkan semangatnya juga.

“Kak Iman, Anis nak tanya sikit boleh?”

“Boleh, tanyalah.”

“Kenapa kita solat istikharah juga tadi?”

“Kenapa? Maksud Anis?”

“Setahu Anis, selalunya orang solat sunat istikharah ni masa nak buat pilihan tentang jodoh sahaja. Jadi..?”

Iman ketawa kecil. Dia faham maksud Anis.

“Tujuan solat sunat istikharah adalah untuk meminta bantuan dan petunjuk daripada Allah dalam membuat sesuatu keputusan atau pilihan. Selalunya manusia akan sentiasa keliru dengan pilihan yang harus dibuat, jadi, solat istikharah antara satu usaha kita memohon petunjukNya agar pilihan kita itu tepat. Setiap hari kita akan bergelumang dengan bermacam-macam masalah yang memerlukan kita membuat keputusan dan pilihan, bukan? Jadi kita kenalah sentiasa meminta petunjukNya supaya kita sentiasa membuat keputusan yang betul. Perlu diingat, solat sunat istikharah bukan hanya dilakukan apabila ada masalah dalam urusan memilih jodoh sahaja,” terang Iman panjang lebar. Wajahnya manis dengan senyuman.

Anis sengih. “Jadi, selama ini Anis salah fahamlah.” Dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. “Kak Iman nak tahu, tadi Anis ingat kak Iman mahu buat pilihan tentang jodoh. Jadi..”

“Jadi?”

“Jadi, Anis berdoalah supaya akak dapat pilih jodoh yang terbaik. Anis siap berdoa lagi supaya akak kahwin cepat.”

Terbuntang mata Iman mendengar pengakuan Anis.

Nazia yang hanya menjadi pendengar setia sejak tadi sudah terkekeh katawa geli hati. Anis juga begitu.

Iman juga ketawa. Ada-ada sahaja.

Kahwin?

Malas lagi nak fikir.

No comments:

Post a Comment