* * * * * * * * * *
“Jangan lupa first meeting petang ni,” Intan
meningatkan Putri dan kak Kristina. Iman yang mendengar berpaling ke belakang.
“Ada meeting apa?” soalnya hairan.
Intan menepuk
bahu Iman. “Meeting FOSTECH lah cik Iman sayang, apa lagi?”
“Ya? Tak tahu
pun,” balas Iman jujur. Dahinya berkerut.
“Ya Allah,
punyalah semangat presiden cakap semalam, boleh pula dia cakap tak tahu?”..
“Awak berangan ya masa tu, sebab tu tak dengar?” pintas kak Kris. Intan dan
Aisyah gelak.
Iman hanya
tersengih. “Mungkin…”
“Jom pergi
makan,” Putri mencelah. Dia memang laju sikit bab-bab makan ni.
“Ini lagi
seorang, makan aje yang dia ingat,” ngomel kak Kris.
“Makan itu satu
keperluan kak,” balas Putri. Matanya dikenyitkan ke arah kak Kris.
Mereka ketawa
serentak.
***
Aisyah memandang
Iman disebelahnya. Gadis itu banyak mendiamkan diri hari ini. Dalam mesyuarat
petang tadi pun, Iman hanya bercakap sepatah dua. Apa yang tidak kena dengan
Iman? Ada masalahkah? Risau pula. Matanya terkebil-kebil. Nak tanya ke tak?
Mana boleh tak tanya, mana tahu Iman ada masalah, tak akan nak biarkan? Mana
ada sahabat yang membiarkan sahabatnya menghadapi masalah sendirian?
Dia memandang Iman.
Kemudian memandang pula nota Microbiology
dihadapannya. Dia memandang Iman semula. Nak tanya ke tak?
“Kenapa ni?”
Iman bersuara. Aisyah hampir tersentak. Terkejut sebenarnya. Mana tidaknya,
Iman tiba-tiba sahaja bersuara, siap menepuk bahunya lagi. ‘Aiseh..tak sempat
tanya dia, dia tanya aku dulu,’ gumam Aisyah dalam hati.
Aisyah sengih.
Kepalanya digelengkan.
“Kalau tak ada
apa-apa, kenapa macam resah je Iman tengok? Sekejap pandang sini, sekejap lagi
pandang sana, pastu pandang Iman.”… “Ada masalah?”
Aisyah geleng
lagi.
“Ada apa-apa nak
beritahu? Atau ada berita gembira nak cerita?” Iman mula menguntum senyum.
Senyum ada makna.
“Berita gembira
apa? Pandai-pandai je Iman ni.”
“Mana tahu ada
orang datang meminang ke? Itu yang asyik resah je. Nak tanya pandangan Imankah?
Boleh-boleh, tak ada masalah.” Iman ketawa nakal. Aisyah gelak. Iman memang
gemar mengusik. Tetapi, tidak pernah usikkannya berlebihan. Hanya cukup untuk
membuahkan keceriaan antara mereka. Itu salah satu sebab mengapa Iman disenangi
ramai orang.
“Amboi..bukan
main mengusik orang.” Aisyah mencubit lembut pipi Iman.
“Aduh..sakitnya.
Cubitan awak ni berbisa tahu?”
“Tahu,”Aisyah
menjawab selamba.
“Kesian siapa
yang jadi suami awak nanti , hari-hari kena cubit. Sakit pula tu,” Iman masih
tidak habis mengusik. Dia mengusap-usap pipinya yang sakit.
“Hah, nak kena
lagikah?” Aisyah cuba melayangkan cubitannya sekali lagi kepada Iman.
“Ok..ok..Iman
berhenti.” Iman angkat tangan. Menyerah.
“Yes!” Aisyah
ketawa. Buat gaya menang. Iman mencebik, tak puas hati. Tapi akhirnya tawanya
pecah juga. Tak tahan melihat gelagat Aisyah yang macam budak-budak.
“Ok cukup ketawa
tu. Nanti habis termuntah balik semua ilmu yang baru baca tadi,” Iman
mengingatkan. Aisyah angguk setuju.
Mereka mula
menumpukan perhatian kepada nota masing-masing. Tetapi Aisyah masih tidak puas
hati kerana soalan itu masih berbuku di hatinya. Dia merapatkan badannya dengan
Iman. Tangannya memaut erat bahu sahabatnya itu.
Iman angkat
kening. Pelik.
“Boleh tanya
sikit?”
Iman angguk.
“Iman ada
masalahkah?” Aisyah memberanikan diri bertanya.
Iman mengangkat
kening lagi. Dua kali pelik.
“Tak ada. Kenapa
tiba-tiba tanya?”
“Yalah, daripada
siang tadi Iman asyik senyap sahaja. Aisyah risau kalau Iman ada masalah, tapi
Aisyah tak tahu. Bukankah seorang sahabat yang baik itu perlu sentiasa membantu
sahabatnya? Aisyah nak jadi sahabat yang baik buat Iman. Iman tahu hal itu kan?”
Iman senyum. “Ya
Iman tahu. Terima kasih sebab ambil berat. Iman ok. Hari ini letih sikit kot,
sebab tu Iman senyap je. Jangan risau.. Pada Iman, Aisyah memang seorang
sahabat yang baik.”
“Betul ni?”
Aisyah meminta kepastian. “Betul tak ada apa-apa?”
“Betul,” Iman
menyakinkan Aisyah. “Kalau Iman ada masalah, tentu Aisyah orang pertama yang
akan tahu. Bukankah selama ini memang tidak ada rahsia antara kita? Jadi
sekarang, Aisyah jangan berfikir yang bukan-bukan lagi. Seperti yang Iman cakap
tadi, hari ini Iman rasa letih sedikit. Itu sahaja sebabnya.” Iman memegang
erat tangan Aisyah. Dalam hati, dia bersyukur kerana dianugerahkan seorang
sahabat seperti Aisyah.
Aisyah angguk.
Berpuas hati dengan penjelasan Iman.
“Siapa aku
padamu? Kau adalah sahabatku. Adakah kau menyayangiku? Aku menyayangimu
melebihi aku menyayangi diriku. Kenapa begitu? Kerana aku ingin dikasihi Allah
dan seluruh makhlukNya. Atas dasar apa kau bersahabat denganku? Aku cuba
membinanya atas dasar keimananku kepada Allah. Jadi boleh kau berjanji sesuatu
kepadaku? Aku akan cuba. Jangan sesekali kau biarkan aku jauh daripadaNya. Jika
aku jatuh atau lemah, tolonglah bangkitkan aku semula.” Iman memandang Aisyah.
Kata-kata itu pernah dituturkan mereka berdua satu masa dahulu.
“Kita akan
saling menguatkan antara satu sama lain, sepertimana akar menguatkan tanah. Kita
juga saling memerlukan, sepertimana hidupan memerlukan air.” Aisyah menyambung.
“Indahkan waktu itu?”
Aisyah memanggil memori. Memori di mana mereka berdua berikrar untuk tetap
bersama. Memori di mana mereka berjanji untuk terus mempatrikan ukhwah di jalan
yang dirahmati. Mereka berjanji untuk saling menguatkan. Saling mengingatkan.
Saling menasihati. Supaya mereka kekal di jalan yang di redhai Ilahi.
“Ya..dan Iman
dapat rasakan keindahan itu tetap kekal hingga sekarang. Selagi Aisyah di
samping Iman, dan selagi iman di dada dipertahankan, keindahan itu tak akan
hilang, InsyaAllah.”
“Ukhwah atas
iman, asas persahabatan kita,” ayat itu keluar serentak dari mulut mereka
berdua.
Senyuman mereka
bertaut.
* * * * * * * * * * *
Kedinginan
air-cond memenuhi seluruh ruang Surau Al-Hidayah Kolej Keenam. Suasananya 100%
berbeza jika dibandingkan dengan keadaan di luar yang diselaputi panas bahang
mentari. Beberapa orang pelajar perempuan kelihatan sedang khusyuk membaca
Al-Quran di satu sudut bahagian muslimat. Mereka baru sahaja usai mengerjakan
solat Asar berjemaah sebentar tadi. Jadi, mereka mengambil kesempatan mengisi
masa yang terluang dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat.
Di satu sudut yang
lain pula terdapat beberapa orang pelajar sedang berkumpul dan duduk dalam satu
bulatan kecil. Salah seorang daripada mereka kelihatan sedang membaca al-Quran,
manakala yang lain pula tekun memeriksa bacaan teman mereka itu. Mereka
bergilir-gilir membaca dan memeriksa bacaan, dimulai dengan Surah Al-Fatihah
hingga ke Surah Ad-Dhuha. Kemudian disambung
pula dengan membaca 10 ayat pertama Surah Al-Kahfi.
Selesai sesi
tilawah, Iman memulakan usrah mereka dengan sedikit pengisian. Pengisian..atau
mungkin lebih kepada perkongsian. Biarpun ilmunya hanya secebis, tetapi besar
maknanya jika ia dapat dikongsikan dengan sahabat-sahabat yang disayangi.
Bukankah Rasulullah pernah berpesan ; sampaikan daripadaku walaupun hanya satu
ayat. Jadi, Iman cuba mempraktikkan sepenuhnya pesanan Kekasih Allah itu.
“InsyaAllah,
hari ini Iman akan bercerita sedikit mengenai salah satu sifat yang dicintai
Allah, iaitu malu..” dia memandang sahabat-sahabatnya satu-persatu. Senyuman
terukir di bibir masing-masing. Mungkin mereka terusik dengan tajuknya..malu..
“Seperti yang
kita semua tahu, malu merupakan satu perasaan yang memang wajib ada dalam diri
setiap manusia. Cuma, yang membezakan adalah jenis malu yang kita miliki, sama
ada malu yang tercela atau malu yang terpuji. Malu yang tercela ialah malu
untuk melakukan kebaikan dan malu untuk melarang kejahatan daripada berlaku.
Sedangkan, sudah menjadi kewajipan kita untuk menyuruh yang makruf dan mencegah
yang mungkar. Jadi, mengapa perlu malu untuk menegakkan tiang agama Allah? Malu
seperti ini sebenarnya bukan malu, tetapi lebih kepada pengecut atau penakut.
Justeru, kita perlu elakkan diri kita daripada memiliki sifat malu seperti
ini.”
“Malu yang
terpuji pula lebih kepada sifat yang menjuruskan kita untuk melakukan kebaikan
dan menjauhi kejahatan. Kita malu untuk melakukan maksiat, kita malu untuk
melakukan kemungkaran, kita malu untuk mendedahkan aib orang lain, kerana kita
ada perasaan malu kepada Allah. Kalau kita sekadar mempunyai perasaan malu
kepada manusia, tidak mustahil kita akan melakukan dosa bila kita sendirian.
Tapi, kalau kita mempaksikan perasaan malu kepada Allah, nescaya, kita akan sentiasa
terdorong untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan maksiat, kerana kita yakin
Allah sentiasa memerhatikan kita. Sifat ini yang sepatutnya ditanamkan dalam
diri kita. Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud ; Iman mempunyai 60 lebih
cabang. Malu adalah salah satu cabang iman. (Riwayat al-Bukhari)”
“Bukankah itu
jelas menunjukkan betapa pentingnya perasaan malu yang terpuji? Ia dapat
membantu kita untuk membina iman yang utuh kepada Allah..”
“Iman pernah
membaca satu kisah yang berlaku pada zaman pemerintahan khalifah Umar
Al-Khattab. Kisahnya lebih kurang begini. Pada suatu malam, ketika Saidina Umar
meronda untuk melihat keadaan rakyat jelata, tanpa sengaja beliau telah
mendengar perbualan antara seorang budak dan ibunya. Si ibu menyuruh anaknya mencampurkan
air ke dalam susu supaya susu itu kelihatan banyak. Tetapi si anak enggan
kerana teringatkan pesanan Saidina Umar yang melarang rakyatnya merendahkan
mutu susu dengan mencampurkannya dengan air, tetapi si anak tadi dimarahi
ibunya. Ibunya berkata, khalifah Umar tidak ada di sini dan dia tidak akan
tahu. Tapi, apa jawapan si anak tadi? Anaknya menjawab bahawa Allah Maha
Mengetahui walaupun khalifah Umar tidak mengetahui. Subhanallah..itu antara kesan jika kita malu kerana Allah bukan
kerana manusia.”
Aisyah, Ainni,
Nazia dan Anis yang tekun mendengar setiap patah yang dituturkan Iman sejak
tadi menganggukan kepala. Tersentuh mendengar kisah tersebut.
“Jika si anak
tadi mempunyai perasaan malu kerana manusia, sudah tentu dia akan menurut
sahaja arahan ibunya,” Aisyah melontar pandangan. Yang lain mengangguk lagi.
“Kalau malu
bertanya..macam mana pula?” Ainni menyoal. “Err..contohnya masa dalam kelas,
kita tak faham apa yang pensyarah ajar, tapi malu nak bertanya, macam mana?”
Nazia dan Anis
ketawa kecil. Mereka juga mengalami keadaan yang sama.
“Itu antara malu
yang tidak dikehendaki. Disebabkan ia tidak dikehendaki, jadi kita mestilah
cuba mengatasinya. Memang ramai pelajar yang mempunyai sikap seperti ini, dulu
Iman juga tidak terkecuali. Tetapi, kita perlu sedar bahawa tiada perasaan malu
dalam menuntut ilmu. Rasulullah pernah
bersabda ;
“bahawa agama kami ini tidak
menjadi bagus bagi orang yang malu dan orang yang besar diri” . Isteri baginda
sendiri, iaitu Aisyah r.a pernah memuji beberapa wanita yang tidak malu
bertanya dalam soal agama. Beliau berkata ; “Sebaik-baik perempuan ialah
perempuan-perempuan Ansar, yang tidak menghalang mereka malu daripada bertanya
perkara agama mereka.”
“Jadi, kita
perlu berusaha menjadi seperti mereka. Jangan malu dalam menuntut ilmu. Kalau
tidak faham, kita kena bertanya. Jika tidak di dalam kelas, pergi jumpa
pensyarah secara individu. Kalau kita tidak berusaha untuk memahaminya, kita
juga yang rugi. Betul tak?”
“Betul..betul..”
jawab Ainni. Nazia dan Anis angguk. Aisyah senyum.
“Hmm..Iman rasa
itu sahaja yang dapat Iman kongsikan petang ini. Ada apa-apa nak tambah atau
nak tanya?”
Semua geleng.
Iman faham, mungkin mereka penat kerana sibuk dengan aktiviti masing-masing.
Lagipula, sekarang minggu ujian. Kehadiran mereka petang ini pun sudah lebih
daripada mencukupi. Dia bersyukur, walaupun sibuk dengan urusan akademik,
tetapi mereka tidak lupa untuk mencari makanan rohani.
“Sebelum kita
tutup majlis, Iman nak buat sedikit pengumuman.”.. “Iman dan Aisyah rasa kami
nak buat sedikit perubahan dalam aktiviti usrah kita ni.”
“Perubahan yang
macam mana?” soal Nazia.
Aisyah pula
menyambung. “Jika sebelum ini, Iman dan Aisyah yang bergilir-gilir bagi
pengisian, jadi apakata usrah yang akan datang nanti, sahabat-sahabat pula yang
ambil giliran bercakap?”
“Tapi..Anis tak
pandailah kak. Lagipun, kami nak cakap mengenai apa?” Anis pula menyoal. Dia
merupakan pelajar tahun satu dan baru beberapa kali mengikuti aktiviti kumpulan
usrah ini. Rasa kekoknya masih tebal. Untuk menyuarakan pendapat pun terasa
berat mulutnya, apatah lagi mahu memberi pengisian.
“Jangan risau.
Sebagai permulaan, kami yang akan agih-agihkan tajuk untuk dibentangkan. Tak
perlu bentang panjang-panjang, cukup sekadar yang penting sahaja. Biar ringkas
tetapi bermanfaat.” Iman membuka buku nota kecil yang berada di tangannya.
“Tapi..” belum
sempat Anis menghabiskan ayat, Aisyah terlebih dahulu memotong.
“Anis segankah?”
Anis sengih.
Dalam hati dia mengiakan.
“Sebab itulah
kami buat macam ini. Kami mahu membantu menghilangkan rasa segan tu. Kami nak
kita semua ada kemahiran untuk bercakap di hadapan orang ramai. Kemahiran itu
perlu dilatih, ia tak akan datang dengan sendiri. Jadi, kita perlu berlatih,
sedikit demi sedikit. Lama-lama nanti, InsyaAllah Anis akan biasa.”
Anis angguk
faham.
Tanpa membuang
masa, Iman terus membahagikan tugasan buat mad’u-mad’u mereka. Selepas menutup
majlis dengan tasbih kafarah dan Surah Al-Asr, mereka mula bergerak ke
destinasi masing-masing. Anis sudah melangkah pulang ke biliknya. Ainni dan
Nazia mahu ke food court untuk
membeli makanan petang. Manakala Aisyah dan Iman pula menyambung membaca
Al-Quran.
No comments:
Post a Comment