Kad jemputan perkahwinan berwarna hijau muda itu aku pandang geram. Ahh.. kerana kehadiran kad inilah aku telah dihujani dengan pelbagai pertanyaan daripada umi dan abah. ‘Bila giliran Mia pula?’ Pertanyaan umi itu aku biarkan tanpa jawapan. ‘Kami ni sudah tidak sabar mahu menimang cucu sendiri.’ Kata abah itu semakin menyesakkan dadaku. Ruang tamu yang luas itu terasa sempit, aku terasa seperti dikurung di dalam sebuah bilik yang sempit, gelap dan menakutkan. Soalan-soalan itulah yang selama ini aku cuba elakkan tapi seringkali jua tewas dengan ketangkasan hujahan kata umi dan abah.
‘Belum ada jodoh lagi agaknya.’ Hanya itu sahaja jawapan yang aku mampu berikan. Aku tahu jawapan itu sama sekali tidak dapat memuaskan hati umi dan abah, tapi buat masa ini aku memang tidak ada jawapan lain yang lebih baik daripada itu.
‘Belum ada jodoh atau kakak yang memilih sangat?’ tanya adik lelakiku, Azzam, yang masih belajar di tingkatan lima. ‘Betullah, belum ada jodoh lagi. Azzam jangan nak pandai-pandai buat cerita ya,’ tungkasku geram. ‘Iyalah sangat tu,’ sampuk Azzim, adik kembar Azzam. Aku membulatkan mata ke arah mereka berdua, berpura-pura marah supaya mereka berhenti mengenakan aku. Namun, mereka berdua hanya ketawa melihat reaksi aku. Huh!
‘Mia minta diri dulu ya umi, abah. Belum solat Isyak lagi ni,’ sengaja aku mencari alasan supaya dapat cepat-cepat beredar dari ruang tamu yang sesak dengan soalan-soalan sensitif itu. Umi dan abah hanya mengangguk-anggukkan kepala sambil tersenyum, mungkin mereka tahu taktik aku gunakan untuk melarikan diri.
Aku mengembalikan pandanganku ke arah kad jemputan perkahwinan yang hampir diremukkan oleh tanganku sendiri. Astagfirullah..tidak fasal-fasal sahaja kad itu terpaksa menjadi mangsa kegeramanku sebentar tadi. Bertuah sungguh sepupuku, Amira, walaupun usianya muda setahun berbanding aku, tetapi dirinya telahpun disunting orang. Doktor pula tu. Aku hanya berdoa agar mahligai yang mereka bina akan kekal hingga ke syurga. Aku? Buat masa ini aku tidak mahu merunsingkan fikiran dengan hal-hal sebegini. Biarlah masa yang menentukan…
* * * * * * * * * * *
Jam dinding yang berukir kalimah Allah dan Muhammad pemberian Amira aku pandang sepi. Sudah hampir pukul 2.30 pagi namun mataku masih juga belum mahu terlelap. Aku mengalihkan pandangan ke arah bingkai gambar yang tersusun indah menghiasi meja belajarku.
Tanganku pantas mencapai gambar aku bersama Amira yang tersenyum ceria di hari konvokesyen kami beberapa bulan yang lalu. Sungguh indah waktu itu. Setelah 4 tahun berhempas-pulas memerah otak menuntut ilmu di bumi UPM, akhirnya kami berjaya juga menamatkan pengajian dengan pencapaian kelas pertama. Alhamdulillah, tidak sia-sia segala usaha yang ditaburkan selama ini kerana akhirnya hasil yang berkualiti jua berjaya kami tuai.
“Alhamdulillah, sekarang kita sudah tamat belajar. Apa perancangan Mia selepas ini?” tanya Amira kepadaku sejurus selepas kami keluar dari Dewan Besar UPM.
“ Mestilah mahu bekerja. Dah tak sabar tau,” jawabku penuh semangat.
“Selain bekerja?”
“Mia rasa nak sambung belajar lagi. Nak ambil master, tapi bukan sepenuh masa lah. InsyaAllah,”
“Belajar lagi? Tak bosan ke? Mira nak habiskan degree ni pun rasa macam nak pecah kepala,” kata Amira sambil memegang-megang kepalanya.
“Selagi hayat dikandung badan, selagi diri masih bernafas, selagi nadi masih berdenyut dan selagi diberi keizinan oleh Allah, selagi itulah Mia takkan berhenti menuntut ilmu, InsyaAllah,”
“Wah..Mia ni kalau dah mula bercakap, mengalahkan sasterawan negara pula,”
“Mana adalah, kalau sasterawan negara lagi mantap ayatnya tau,” jawapanku itu disambut dengan juraian tawa kami berdua. “Mira pula bagaimana? Apa perancangan selepas ini? Berkahwin?”
“Rasanya begitulah..” jawab Amira ringkas. Aku tidak terkejut dengan jawapan yang diberikan oleh Amira kerana aku sendiri tahu memang sudah ada hati yang telah terpaut dengan keayuan wajah dan keindahan peribadi sepupuku itu.
“Dah ada yang menanti, bolehlah kahwin,” gurauku sambil memeluk erat bahu Amira. Amira hanya tersenyum bahagia.
Perbualan beberapa bulan yang lepas sudah hampir menjadi kenyataan. Seminggu sahaja lagi Amira akan bergelar isteri orang. Mungkin sekarang dia sedang sibuk membuat persiapan untuk hari bahagianya. Sebagai sepupu dan teman baik, aku rasa sedikit terkilan kerana tidak dapat membantunya membuat persiapan kerana aku sendiri sangat sibuk dengan pekerjaanku. Mujur Amira memahami kesibukkan aku.
Aku pula masih lagi dengan impianku untuk menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi. Aku sudah menghantar permohonan untuk membuat master di UPM. Moga-moga permohonanku akan diterima. Amin..
Memandangkan aku masih tidak dapat melelapkan mata, aku mengambil keputusan untuk bangun mengerjakan solat sunat. Mudah-mudahan Allah akan memberi sedikit ketenangan buat hati yang sedang berkecamuk ini.
* * * * * * * * * * *
Majlis perkahwinan Amira berjalan lancar dan penuh kemeriahan. Cahaya kegembiraan dan kebahagiaan jelas terpancar di wajah kedua-dua mempelai. Penat sungguh aku hari ini, mengalahkan aku pula yang berkahwin. Mana tidaknya, aku terpaksa bergerak ke hulu dan ke hilir untuk melayan tetamu yang kebanyakkanya adalah kenalan kami berdua. Tidak menang tangan dibuatnya.
Dalam kemeriahan majlis itu, cuping telinga aku sempat juga menangkap beberapa soalan halus yang bisa menikam kegembiraanku. ‘Sepupunya dah kahwin, Damia bila lagi?’, ‘Mia tu dah besar panjang, apa lagi yang dia tunggu?’. Aku lihat wajah putih umi hanya tersenyum mendengar soalan daripada saudara-mara kami. Alahai..umur aku baru mencecah 24 tahun, masih muda. Mengapa perlu isu ini dibangkit-bangkitkan? Kesian umi..
“Usia 24 tahun merupakan waktu yang paling sesuai untuk gadis macam Mia mendirikan rumahtangga,” sapa Pak Su dari belakang. Pak Su ni macam tahu-tahu je apa yang ada di fikiran aku sekarang.
“Apa yang Pak Su cakap ni? Mia tak faham,” dalihku.
“Mia tak faham atau pura-pura tak faham?” soal Pak Su dengan wajah selamba. Aku hanya mendiamkan diri. “Nur Aisya Damia..,” panggil Pak Su lembut. Mungkin dia berharap aku memberikan jawapan yang sepatutnya.
“Mia baru 24 tahun lah Pak Su, masih muda. Mia tak mahu runsingkan fikiran Mia dengan hal-hal macam ni. Lagipun, banyak lagi impian yang belum Mia capai,” jawabku lemah.
“Pak Su tahu yang anak saudara Pak Su ni memang bercita-cita tinggi. Mia jangan risau, Pak Su bukannya nak paksa Mia cari jodoh sekarang. Cuma, Pak Su nak nasihatkan Mia supaya jangan jual mahal sangat kalau dah ada orang yang berkenan pada Mia,”
“Habis tu nak suruh Mia jual murah ke?” aku cuba berseloroh dengan Pak Su yang kelihatan sangat serious dengan apa yang dituturkannya sebentar tadi.
“Pak Su serious ni, dia main-main pula. Maksud Pak Su, Mia memang perlu memilih rijal yang terbaik buat diri Mia. Tapi jangan meletakkan syarat-syarat yang terlampau tinggi, takut tak tercapai nanti, malah Mia pula yang akan menderita kecewa. Yang paling penting, lihat bagaimana agamanya. Jangan memilih mengikut godaan hawa nafsu semata-mata kerana Allah S.W.T telah berpesan kepada kita dalam surah Yusof ayat 53 yang bermaksud ; Sesungguhnya nafsu itu sentiasa mengajak kepada kejahatan. Jadi, buatlah pilihan mengikut gerak hati yang bertunjangkan keimanan. InsyaAllah, semuanya akan baik-baik sahaja nanti,” nasihat Pak Su panjang lebar.
“Jadi..rijal pilihan Mia mestilah rijal yang takutkan Allah kan Pak Su?”
“Alasannya?”
“Alasannya?”
“Rijal yang takutkan Allah, apabila dia mencintai Mia dia akan hormati Mia sebagai isterinya. Tetapi, jika dia tidak mencintai Mia, Mia tidak akan dizalimi olehnya,” jawabku lambat-lambat. Aku juga tidak pasti sama ada betul atau tidak ayat yang aku gunakan sebagai alasan. Yang penting Pak Su faham apa yang ingin aku sampaikan. Aku lihat senyum Pak Su meleret hingga ke telinga tanda dia mengerti maksudku.
“Hmm.. Mia juga pernah terbaca kata-kata Al-Farabi tentang hubungan cinta dan nafsu. Menurut beliau, cinta yang lazimnya ditujukan kepada pemuasan hawa nafsu semata, sebenarnya ialah cinta yang diilhamkan Tuhan untuk haiwan,”
“Pandai pun. Tapi ingat, kalau Mia nak mencari calon suami yang soleh, Mia terlebih dahulu kena menjadi calon isteri yang solehah. Baru boleh ngam,” nasihat Pak Su lagi.
“Ngam macam Pak Su dan Mak Su ke?” aku cuba mengusik Pak Su yang baru setahun mendirikan rumahtangga dengan seorang ustazah, anak guru agamanya kalau tidak silap aku. Hasil perkahwinan itu, mereka telah dikurniakan seorang cahaya mata lelaki beberapa minggu yang lepas. Pak Su hanya ketawa mendengar usikkan aku. Terhibur agaknya.
“Oklah, Pak Su nak minta diri dulu. Ingat apa yang Pak Su cakapkan tadi,”
“InsyaAllah, jangan lupa sampaikan salam Mia pada Mak Su dan baby ya.,”
“InsyaAllah..Assalamualaikum.”
“Waalaikumussalam.” Aku memerhati setiap langkah Pak Su sehingga bayangnya sudah tidak kelihatan. Pasti Pak Su risau meninggalkan Mak Su yang masih di dalam pantang bersama anak kecil di rumah. Apapun, aku amat berterima kasih kepada Pak Su atas segala nasihat yang dititipkan sebentar tadi. Setiap butir bicaranya sentiasa mengandungi makna dan maksud tersendiri. Sebab itulah aku lebih gemar berbual dengan Pak Su berbanding dengan saudaraku yang lain. Mungkin juga kerana jarak umur yang tidak jauh berbeza menjadikan aku lebih selesa dan rapat dengan Pak Su.. Terima kasih Pak Su.
Aku lemparkan pandangan ke arah jutaan bintang yang sedang bersinar indah menghiasi dada langit. Bulan pernama yang indah bercahaya bagaikan sedang mengukir senyum ke arah aku, menyuntik sedikit semangat kebahagiaan untuk meneruskan liku-liku kehidupan yang masih panjang di depan.
‘Ya Allah, tika hati ini sunyi dengan cinta insan bergelar lelaki , aku tahu cintaMu ada untuk aku nikmati. Tika insan lain hidup bahagia dengan cinta masing-masing, aku yakin cintaMu pasti lebih membahagiakan diri ini. Tatkala banyak airmata saudaraku dibazirkan untuk menangisi cinta yang didustai, aku cuba menahan agar airmataku hanya menjadi hakMu yang hakiki. Ya Rahman, Kau peliharalah hati ini agar tidak lalai daripada mengingatiMu, Kau lindungilah diri ini daripada melakukan perkara yang boleh mendatangkan kemurkaanMu dan jagalah jasad ini daripada mendekati sesuatu yang bisa menjauhkan aku denganMu.’
* * * * * * * * * * *
“Mia dari mana?” satu suara menyapa aku dari belakang. Terkejut dibuatnya. Nasib baiklah aku tak ada sakit jantung, kalau tidak entah apalah yang akan terjadi.
“Dari fakulti, tapi selepas kuliah tadi Mia ada usrah,” kataku sambil mengatur langkah ke arah umi. Aku mengambil tempat di sebelah umi setelah tangannya ku kucup.
“Patutlah lambat pulang. Bagaimana dengan kumpulan usrah Mia? Semunya berjalan lancar?”
“Alhamdulillah, buat masa ini semuanya baik-baik sahaja. Harap keadaan ini akan berterusan, insyaAllah,”
“Pekerjaan dan pelajaran pula bagaimana?”
“Semuanya baik-baik sahaja, Alhamdulillah. Kenapa tiba-tiba umi bertanya?”
“Saja..dah lama tak berbual dengan Mia,” kata umi sambil memegang erat tanganku. “Hmm..Amira dah selamat bersalin awal pagi tadi,” sambung umi lagi.
“Alhamdulillah..Patutlah Syafiq call tadi, tapi Mia tak jawab lah sebab ada kuliah. Mesti dia nak sampaikan berita gembira ini.” Aku adalah antara orang yang paling gembira menerima berita ini. Tidak sangka, sepupuku yang manja dan berperangai kebudak-budakkan kini telah bergelar seorang ibu. Aku sudah tidak sabar untuk pergi bertemu dengannya.
“Bila kita nak pergi melawat Mira?” soalku kepada umi.
“Petang nanti, InsyaAllah. Kita pergi bersama abah dan adik-adik sekali,”
“Ok..hmm,senyap je di rumah ni. Mana adik-adik?”
“Hari minggu macam ni, faham-fahamlah Mia. Azzam dan Azzim keluar ke bandar, Sarah pula ada kelas tambahan. Jadi tinggal umi dan abah je lah,”
“Oh..,”
“Umi mahu tanya sesuatu boleh?”
“Tanyalah, macam serious benar bunyinya. Suspens pula,” kataku sambil tersenyum ke arah umi.
“Sejak akhir-akhir ni umi tengok Mia jarang berada di rumah. Kalau ada pun, asyik berkurung dalam bilik mengadap laptop. Telefon tu pula asyik berdering saja. Kenapa?”
“Mia sibuk la umi. Banyak kerja yang perlu Mia bereskan,”
“Betul ke ni? Mia jangan tipu umi. Mia sibuk..atau…”
“Atau??” Apa sebenarnya dalam hati umi sekarang. Janganlah umi bertanya yang bukan-bukan.
“Atau Mia dah ada teman istimewa?” keluar juga soalan itu dari mulut umi. Aku hanya ketawa mendengarnya. Aku dikatakan ada teman istimewa? Jauh panggang dari api. “Kenapa Mia gelak pula? Umi tanya betul-betul ni.” Ada nada serious dalam pertanyaan umi.
“Umi tu yang buat lawak, Mia gelaklah,” jawab aku selamba dengan tawa yang masih bersisa. Satu cubitan manja hinggap di paha kananku. Aku tahu umi tidak suka aku bermain-main ketika dia mahu membincangkan sesuatu yang serious.
“Mia memang dah lama ada teman istimewa,” jawabku penuh keyakinan. Wajah umi kelihatan sangat ceria mendengar pengakuan yang baru lahir dari bibirku.
“Siapa orangnya? Apa pekerjaannya? Tinggal di mana?” bertalu-talu soalan dihumban ke benakku.
“Orangnya Mia panggil dengan gelaran abah dan umi, kedua-duanya bekerja sebagai pendidik dan tinggal di villa ini,” jawabku sambil mengenyitkan mata ke arah umi.
“Ya Allah, budak ni.. Mia, boleh tak jangan main-main,”
“Betullah. Buat masa ni hanya abah dan umi yang menjadi buah hati pengarang jantung Mia. Tidak ada siapa-siapa lagi.”
“Mia tak terfikir nak mencari pasangan?”
“Tipulah kalau Mia kata tak terfikir langsung. Tapi nak buat macam mana, tak ada sesiapa yang mahukan anak umi ni. Lagipun, buat masa sekarang ni Mia sibuk sangat dengan pekerjaan dan pelajaran Mia. Tak mahulah peningkan kepala memikirkan hal jodoh ni. Biar dia datang dengan sendiri. InsyaAllah, bila sudah tiba masanya nanti, pasti Allah akan temukan Mia dengan putera idaman Mia tu. Umi jangan risau ya. Kita serahkan sahaja semuanya kepada Allah,”
“Tak ada sesiapa berkenan atau anak umi ni yang jual mahal?” umi masih lagi tidak putus asa mengorek isi hati aku. Otak aku berputar ligat mencari alasan untuk lari daripada soalan umi.
“Betul tak ada. Hmm..macam inilah, kalau umi ada berkenan pada mana-mana putera raja dan mahu jodohkan dengan Mia, Mia terima je.” Aduh! Aku menepuk mulutku sendiri Kenapa boleh terlepas cakap ni.. Memang cari masalah kamu ni Mia. Buatnya umi memang dah ada calon untuk kamu, hah, macam mana.
“Baiklah kalau Mia dah kata begitu,” kata umi sambil mengukir senyuman yang meleret-leret. Alamak, habis aku! Tanpa berlengah, aku terus meminta diri untuk masuk ke dalam rumah. Bimbang akan dihujani dengan pertanyaan-pertanyaan lain yang akan menjerat diri aku sendiri.
* * * * * * * * * * *
Pinggan mangkuk telah habis dicuci, dikeringkan dan diatur di tempat yang sepatutnya. Meja makan dan dapur telah beres aku kemaskan. Air panas untuk membancuh susu si kecil juga telah aku sediakan bagi memudahkan kerja Mak Su. Setelah semuanya sudah siap dan sedap mata memandang, aku mengayun langkah ke ruang tamu yang sederhana besar dan melabuhkan punggung ke atas sofa yang empuk lagi selesa.
Aku mencapai remote tv, tidak sabar untuk menonton rancangan kegemaranku. Apa lagi kalau bukan rancangan Semanis Kurma yang dihoskan oleh pasangan ideal Ustaz Wan Akashah dan isterinya Ustazah Siti Nor Bahyah. Walaupun kebanyakkan isu yang dibincangkan berkaitan dengan alam rumahtangga, tetapi apa salahnya ilmu itu dikumpul terlebih dahulu sebagai persediaan menanti hari yang bakal mendatang. Aku tersenyum sendiri.
“Mia memang suka tengok rancangan ini ke?” soal Mak Su sambil tangannya menepuk-nepuk lembut anaknya yang kelihatan sudah hampir terlena.
“A’ah. Seronok tengok pengacaranya. Hilang penat seharian bekerja,” jawabku jujur.
“Peminat setialah ni ya?”
“Lebih kuranglah. Mak Su suka juga ke?”
“Ya, tapi Mak Su jarang dapat tengok,” kata Mak Su yang tersenyum manis ke arahku. Lesung pipit di kedua-dua pipi menambah lagi kemanisan sebuah senyuman ikhlas yang lahir dari hati yang bersih. Agaknya senyuman inilah yang berjaya menambat hati Pak Su.
“Assalamualaikum.” Satu suara memberi salam dari luar. Pasti Pak Su.
“Biar Mia yang bukakan pintu. Mesti Pak Su terkejut Mia ada di sini,” kataku kepada Mak Su. Memang Pak Su tidak tahu aku akan ke rumahnya, sengaja aku rahsiakan. Kereta pula aku letakkan di luar pagar, mesti Pak Su tidak perasan.
“Waalaikumusalam, Pak Su!” sergahku ke arah Pak Su sejurus selepas pintu rumah dibuka.
“Mia, terkejut Pak Su,” kata Pak Su yang sedang mengurut-ngurut dadanya kerana terkejut dengan sergahanku. “Damia in the house,” sambungku lagi sambil tertawa melihat reaksi Pak Su. Tetapi tawaku mati apabila melihat ada kelibat orang lain di sebelah Pak Su. Alamak! Tanpa membuang masa aku terus masuk ke rumah dan mencapai kain tudung yang aku sengaja letakkan di ruang tamu.
“Mengapa,” tanya Mak Su.
“Pak Su bawa kawan dia. Malu Mia,” jawabku. Mak Su hampir ketawa melihat aku yang sedikit menggelabah. “Mia nak pergi buat airlah.” Aku terus mengatur langkah ke dapur bagi menutup rasa maluku sebentar tadi. Itulah, nak buat kejutan pada Pak Su konon, alih-alih diri sendiri yang terkejut. Memalukan betul! Apalah yang akan difikirkan oleh kawan Pak Su tu.
Juraian tawa Pak Su sudah jelas kedengaran dari dapur. Ini tidak lain dan tidak bukan mesti gelakkan aku. Dulang yang berisi seteko air milo panas, tiga biji cawan dan sedikit kuih-muih aku bawa dengan penuh berhati-hati. Aku aturkan satu-persatu di atas meja dengan penuh rasa kesopanan. Control ayu orang kata. Setelah menuang air ke dalam cawan dan mempelawa tetamu untuk minum, aku tekad untuk terus masuk ke dalam bilik. Tidak mahu perkara yang memalukan berulang lagi.
“Ini anak saudara ana, Nur Aisya Damia, tapi kami sekeluarga panggil dia Mia sahaja,” tanpa diminta Pak Su memperkenalkan aku kepada temannya itu. “Ini pula kawan Pak Su. Mohd Idlan Rifqi, tapi Mia boleh panggil dia Rifqi.” Kami berdua hanya berbalas senyuman. Tanpa berlengah, aku terus meminta diri. Tidak betah untuk berlama di situ.
“Mia nak ke mana?” soal Pak Su mematikan langkah yang sedang aku atur untuk ke bilik.
“Mia nak ke belakang, ada kerja sedikit,” helahku. Pak Su kelihatan seperti sedang menahan tawa. Temannya itu pula hanya tersenyum. Berlesung pipit seperti Mak Su. Manis pada pandanganku.
* * * * * * * * * * *
Idlan Rifqi.. jarang sekali aku mendengar nama seperti itu. Mungkinkah peribadi yang dimiliki seindah maksud namanya? (Idlan=keadilan, Rifqi=lemah lembut). Adakah perwatakannya juga seunik orangnya? Unik. Perkataan itu yang aku pilih untuk menggambarkan dirinya. Mengapa? Aku juga tidak tahu.
Bibirku menguntum sebuah senyuman yang aku sendiri sukar untuk mentafsirkan maksudnya. Ya Allah..apa yang sedang aku rasa sebenarnya? Entah mengapa sejak pertemuan pertama dua minggu yang lalu, aku selalu teringat akan pemilik nama tersebut. Astaghfirullah, istighfarku di dalam hati. Inilah akibatnya kalau pandangan mata tidak dijaga. Berhati-hati Mia, bimbang ia akan menjerumuskan diri ke arah zina hati. Nau’zubillah.
‘Pandangan itu adalah anak panah beracun dari anak-anak panah iblis, sesiapa sahaja yang menghindarinya kerana takut kepada Allah, ia akan dikurniakan oleh Allah keimanan yang terasa manis di dalam hatinya.’ (Hadis riwayat At-Tirmidzi)
Aku mengalihkan pandangan ke arah sekumpulan kanak-kanak yang sedang riang bermain kejar-kejar. Beginilah dunia mereka, penuh dengan kegembiraan dan keceriaan. Walaupun rata-ratanya sudah tiada ibu di sisi, tidak juga punya ayah untuk menjaga diri, namun mereka tidak kalah dengan emosi. Tidak sesekali mengeluh meratapi nasib diri apatah lagi menyalahkan takdir Illahi. Itulah kekuatan yang Allah berikan buat insan yatim piatu seperti mereka.
Aku bersyukur kerana aku diberi peluang menabur bakti untuk insan-insan cilik di rumah anak yatim ini sejak dua tahun yang lalu. Pada mulanya aku memang agak kekok untuk berbual dan bermesra dengan mereka. Tapi berkat pertolongan pengetua di rumah ini, akhirnya hubungan kami menjadi mesra, utuh dan padu.
Dua tahun menjadi sukarelawan di rumah ini, banyak perkara yang dapat aku pelajari tentang erti sebuah kehidupan dan kasih sayang. Mereka juga mengajar aku erti ketabahan dan kesabaran dalam mengharungi segala ujian yang diberikan oleh Allah. Sesekali aku akan bermalam di sini, berbual, bercerita dan berkongsi masalah masing-masing. Aku tidak kisah jika mereka ingin meluahkan masalah mereka kepadaku, walaupun tidak dapat menolong, sekurang-kurangnya aku dapat menjadi pendengar yang baik. Hanya inilah salah satu cara yang boleh aku lakukan untuk membuktikan betapa aku sayang dan sangat mengambil berat keadaan mereka.
‘Memang kami semua sudah kehilangan kasih dan belaian seorang ibu sejati, namun kasih penjaga di sini sangat kami hargai. Biarpun kami tidak dapat membesar dalam pelukan mesra seorang ayah, namun pelukan kasih penjaga di sini bisa menghilangkan rindu itu. Ketika kami semua tiada tempat meluahkan isi hati, kakak dan abang hadir untuk merawat kesunyian yang lahir di sanubari. Kasih sayang yang dicurahkan oleh Abi, Umi. kakak serta abang semua sangat kami syukuri. Hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa semuanya. Terima kasih.’ Menitis air mataku mendengar kata-kata ini yang diucapkan oleh salah seorang daripada mereka dalam sebuah majlis makan malam yang diadakan tidak lama dulu. Semoga kalian sentiasa diberi ketabahan dalam mengharungi hari yang mendatang.
“Termenung jauh nampak kak. Ingat pada siapalah tu agaknya ya?” suatu suara mengejutkan aku daripada lamunan panjang yang aku cipta sendiri. Pemilik suara itu tersenyum dan masih berdiri di hadapanku.
“Eh, Farah.. tak adalah, akak tak ingat pada sesiapa pun. Akak cuma teringatkan peperiksaan akhir akak yang akan bermula minggu depan, risau pula,” dalihku. “Farah sihat? Dari mana ni?”
“Alhamdulillah, sihat. Farah dari bilik Ibu Fatimah. Hmm..lusa akak free tak?”
“Lusa..free rasanya. InsyaAllah. Kenapa?”
“Ibu Fatimah nak buat kenduri kesyukuran sebab Farah dan beberapa kawan yang lain mendapat keputusan yang cemerlang dalam PMR. Akak datang ya,” ajak Farah bersungguh.
“InsyaAllah, akak datang. Ni yang tersenyum-senyum ini kenapa?”
“Ibu Fatimah kata anak dia nak datang,” kata Farah dengan wajah yang gembira. Hairan aku dibuatnya. Bukannya tidak pernah anak Ibu Fatimah mahupun anak penjaga yang lain datang ke rumah itu sebelum ini, tetapi kegembiraan Farah kali ini lain benar pula.
“Amboi gembiranya. Anak ibu Fatimah tu kan dah selalu datang ke sini, tapi tak pernah pula tengok Farah segembira ini, kenapa? Ha, ni mesti ada rahsiakan?” aku cuba mengorek isi hati gadis yang baru menginjak ke usia remaja itu.
“Kali ini bukan kak Ainni mahupun kak Nazia yang datang, tapi anak ibu yang lagi satu. Mesti Kak Mia tak kenal sebab dia baru je balik dari di luar negara. Sebelum dia sambung belajar dan bekerja di sana, dia selalu juga datang sini. Dah lama Farah tak jumpa dia, itulah yang gembira sangat,” jawab Farah dengan senyuman yang tidak lekang terukir di bibir comelnya.
“Siapa namanya?” tanyaku lagi.
“Itu rahsia,”
“Itu pun nak berahsia,”
“Mestilah.. nanti Farah kenalkan ya. Sabar..,”
“Iyalah..,” kataku mengalah. Kalau Farah beritahu namanya sekalipun, belum tentu aku kenal. Jadi aku biarkan sahaja perkara itu berlalu. Farah menarik tanganku supaya menuruti langkahnya masuk ke dalam rumah. Sebetulnya niat aku ke sini untuk berjumpa dengan semua adik-adik, tapi entah mengapa terlalu asyik mengelamun di luar menyebabkan rancanganku tergendala. Mujur Farah datang dan mengembalikan aku ke dalam dunia realiti.
“Kawan-kawan dan adik-adik semua, tengok ni siapa yang datang,” kata Farah sambil tangannya melambai-lambai memanggil penghuni yang lain.
Wajah girang terpancar di wajah mereka menyambut kedatanganku. Barangkali kehadiranku ditunggu-tunggu oleh mereka kerana sudah beberapa minggu aku tidak ke situ lantaran kesibukkan yang memuncak. Aku mengajak mereka ke taman seperti biasa. Keadaan rumah itu menjadi riuh dengan suara penghuninya kerana mulut mereka tidak henti-henti berceloteh menceritakan hal mereka kepadaku. Aku tersenyum melihat kerenah mereka. Rindu yang terpendam sudah dapat dilepaskan. Kasih yang dibina juga semakin mendalam. Syukran Ya Robb.
* * * * * * * * * * *
Rifqi? Aku terkesima seketika selepas ibu Fatimah menperkenalkan anaknya itu kepada kami di majlis kesyukuran yang diadakan semalam. Ternyata dia anak kepada pengetua rumah anak-anak yatim yang selalu aku kunjungi. Kecil sungguh dunia ini. Seperti pertemuan pertama, kami hanya berbalas senyuman tanpa sepatah perkataan yang keluar dari bibir Pertemuan kali kedua bagai mencambahkan satu perasaan asing dalam hati ini yang belum pernah aku izinkan disentuh oleh insan bergelar lelaki.
Sejujurnya aku memang tidak pernah merasai apa itu cinta yang menjadi igauan para remaja dewasa ini. Kalau setakat minat atau suka, ya, pernah juga terjadi di bangku sekolah dulu. Pada aku, itu hal biasa dan menjadi fitrah kita sebagai manusia. Yang salah apabila cinta yang ‘tidak halal’ itu perlu ‘dibuktikan’ dengan melakukan sesuatu yang melanggar perintah agama.
Suatu ketika duhulu pernah juga aku hampir terjerat dengan ‘cinta suka-suka’ atau lebih terkenal dengan gelaran ‘cinta monyet’..(kesian monyet, tak fasal-fasal mereka menjadi mangsa).. Tapi itu semua semasa aku masih jahil tentang cinta sejati yang hanya patut diserahkan sepenuhnya kepada Ya Robbul Jalil. Sebetulnya aku sangat bersyukur kerana nur hidayah Illahi itu masih ada buat aku. Sejak hatiku dijentik kecewa cinta insani, cinta-Nya datang menyelamatkan aku. Sejak itu, aku mulai tekad untuk menjaga hati ini daripada dicemari cinta palsu.
Tetapi sejak kebelakangan ini, kekuatan pagar hati yang aku bina seakan-akan sedang digoyahkan oleh seorang rijal yang baru aku kenal. Aku tidak salahkan dia kerana dia sendiri tidak pernah melakukan apa-apa untuk menarik perhatianku. Aku juga pasti dia tidak pernah menyimpan apa-apa perasaan istimewa kepada diri ini. Cuma, hati aku sahaja yang lemah. Mudah benar goyah!
Ya Allah, berilah petunjukMu padaku yang penuh kejahilan dan kelemahan ini. Kuatkan kembali hatiku yang cuba dilemahkan oleh musuhMu sejak azali. Ya Rahman, aku berlindung denganMu daripada kekecewaan, kelemahan dan kegentaran melawan hawa nafsuku sendiri. Bantulah aku menguatkan keteguhan cintaku padaMu. Semoga kelak Kau akan hadirkan seorang insan yang daripada rusuknya aku diciptakan, agar dia dapat terus membimbingku menggapai kasih dan redhaMu. Semuanya aku serahkan kepadaMu, kerna aku yakin jika aku tidak berjaya memperoleh cinta itu di dunia, aku pasti boleh berusaha untuk mendapatkannya di syurga, tempat pertama perasaan cinta dan anugerahMu bermula.
* * * * * * * * * * *
Aku memicit kepala yang terasa berdenyut-denyut, mata pula terasa pedih kerana hampir seharian mengadap laptop. Tapi apa boleh buat, aku perlu menghabiskan kerja yang tertunggak disebabkan aku bercuti hampir dua minggu semasa peperiksaan tempoh hari. Baru sahaja ingin merebahkan diri, terdengar pintu bilikku diketuk. Adikku Farah tercegat di muka pintu.
“Kak Mia, umi dan abah suruh turun sekejap. Pak Su datang tu, ada hal nak bincang dengan kak Mia katanya,”
“Ya ke, hmm..sekejap lagi akak turun. Terima kasih.” Setelah mengemas apa yang patut dan merapikan diri yang hampir tidak terurus tadi, aku terus melangkah ke bawah. Apalah yang mahu Pak Su bincangkan. Agaknya Pak Su ada projek baru dan perlukan bantuan aku.
“Assalamualaikum. Dah lama Pak Su sampai? Sorry, Mia banyak sangat kerja tadi,”
“Lamalah juga, dah habis berbincang dengan abah dan umi kamu pun,” jawab Pak Su sambil memandang abah dan umi yang kelihatan ceria.
“Berbincang apa?” soalku sambil memandang Pak Su. Tetapi sebelum sempat soalan itu dijawab, aku hulurkan pula soalan kedua, “Hmm.. tadi Farah kata Pak Su nak bincang something dengan Mia. Apa dia?”
Pak Su, abah dan umi saling berpandangan. Laa.. tadi kata nak berbincang, tetapi semua senyap aje.
“Sebenarnya, kedatangan Pak Su hari ini membawa hajat orang.” Keadaan menjadi senyap. Aku menanti ayat seterusnya dengan penuh debaran. “Ada orang wakilkan Pak Su untuk datang merisik Mia. Menurut abah dan umi, mereka kata Mia masih tiada pilihan hati. Jadi, kalau Mia memberikan respon yang positif, insyaAllah, pihak keluarga lelaki akan datang ke sini untuk meminang Mia mengikut adat kita,” terang Pak Su.
Aku terdiam seribu bahasa. Segera pandangan mataku dialihkan ke arah abah dan umi, berharap mereka melontarkan nasihat di kala fikiranku sedang buntu. Otakku ligat mencari kata yang perlu aku suarakan bagi menghilangkan kegusaran di hati.
“Boleh Mia tahu siapa orangnya? Mia kenal tak?” soalku sedikit gementar. Aku lihat wajah Pak Su berubah tidak serious seperti tadi. “Kalau Mia kenal orang tu, sekurang-kurangnya tidaklah susah sangat Mia nak buat keputusan,” sambungku.
“Pak Su pasti Mia kenal dengan orangnya.” Pak Su seperti mahu berteka-teki.
“Siapa?”
“Mohd Idlan Rifqi.. Mia kenal kan?”
Subhanallah. Jantungku berdegup kencang, aliran darah juga mengalir deras. Benarkah dia orangnya? Hampir tidak percaya, insan yang selama ini mengganggu hatiku tanpa dipinta kini menghulurkan sebuah tali perhubungan yang ikhlas. Hanya menanti persetujuanku untuk menyambungkannya supaya yang haram dapat bertukar halal.
“Benarkah?” tiba-tiba soalan itu terkeluar dari mulutku. Mungkin kerana hatiku begitu melonjak kegembiraan disunting insan yang aku sudah menaruh hati padanya menyebabkan aku menjadi tidak keruan seperti ini.
Aku terdengar tawa Pak Su. “Betullah, takkan Pak Su nak main-main dalam hal macam ini. Jadi apa jawapan Mia?”
“Mia menurut sahaja keputusan abah dan umi. Kalau baik pada abah, umi dan Pak Su , maka baiklah juga untuk Mia. Tambahan pula, Pak Su lebih mengenali dia berbanding Mia kan?”
“Maknanya Mia setujulah ni?”
Aku hanya menganggukkan kepala tanda setuju. Aku dapat rasakan bahang di wajahku menahan rasa malu. Abah, umi dan Pak Su tersenyum gembira apabila aku bersetuju. Ya Allah, syukur padamu.
Abah dan umi sudah berlalu ke dapur. Aku mengambil kesempatan untuk mengorek cerita daripada Pak Su. Apa yang menyebabkan Rifqi tertarik untuk menyunting aku sedangkan kami tidak pernah berbual apatah lagi berhubungan.
Pak Su hanya ketawa. Kata Pak Su, kadang-kadang cinta itu tidak perlu sebab untuk hadir. Jika Allah menginginkan ia hadir dalam hati kita, maka ia akan hadir tanpa memerlukan alasan yang kukuh. Itulah beza cinta yang dilihat dengan mata kepala berbanding yang ditafsir melalui mata hati. Aku tersenyum. Walaupun jawapan yang Pak Su berikan tidak langsung menjawab soalanku,tetapi kata-kata itu mempunyai makna yang amat mendalam. Tafsiran mata hati suluhan nur Illahi.
‘Luangkan masamu hanya untuk Allah, nescaya Allah akan aturkan hidupmu sebaiknya. Berikan hatimu hanya untuk Allah, nescaya Allah temukan kamu dengan pemilik terbaik..InsyaAllah..’
bERsambung….^ _ ^

No comments:
Post a Comment