“Lewat along balik. Pergi mana?”
Langkah kaki Ilham terhenti apabila ditegur satu suara dari ruang tamu yang gelap tanpa sejalur cahaya pun. Terasa seperti mahu luruh jantungnya, terkejut. Buang tenaga sahaja dia terhendap-hendap seperti pencuri tadi. Alih-alih ada juga yang sedar dia pulang lewat.
“Ikut sukalah,” jawab Ilham selamba. Kakinya terus diayun melangkah ke bilik tanpa mempedulikan empunya suara yang menegur.
“Ikut sukalah,” pemilik suara itu mengulangi apa yang diucapkan Ilham sebentar tadi seperti memerli. “ Ingat rumah ni hotel ke apa? Suka-suka dia je,” bebelnya lagi.
“Yang kau sibuk sangat ni kenapa? Bukannya aku suruh kau jaga aku. Sudah, pergi masuk bilik kau. Tidur!” Ilham naik angin. Matanya memandang tajam ke arah gadis di hadapannya. Pantang benar dia ditegur.
“Bukan sibuk, ambil berat. Salahkah?” gadis itu berlalu pergi. Tidak mahu bertengkar dengan Ilham lewat-lewat malam begini. Lagipun dia tidak mahu mengganggu emak yang sudah lama tidur.
Ilham mencebik. Ambil berat? Sudahlah. Dia kembali mengayun kaki menuju ke biliknya yang terletak berhampiran dapur. Katil dan bantal seperti sudah memanggil-manggil namanya. Beg yang digalas sejak tadi dicampak ke lantai. Badannya pula sudah sampai di atas katil. Matanya yang berat sejak tadi dipejam rapat.
Tidak sampai lima minit, dia sudah terlena.
Rasa geram masih belum hilang. Satu keluhan kecil dilepaskan. Bukan dia mahu sangat bergaduh dengan along. Apatah lagi mencari salah saudara kandungnya itu. Cuma, dia tidak gemar dengan perangai along yang suka membuang masa dengan budak-budak liar. Nama sahaja pelajar IPT, tapi perangai macam budak tak sekolah!
Iman beristighfar. Dia sedar, dia tidak patut menganggap along begitu. Mungkin ada sebab along berperangai sedemikian.
“Benci dosa, bukan benci pelaku dosa.” kata-kata itu terngiang-ngiang di telinganya.
“Jika kita melihat seseorang membuat maksiat atau dosa, contohnya, ada dalam kalangan sahabat kita sendiri, kita namakan dia A. Si A ni sangatlah gemar berdating, gemar mengganggu orang, gemar ponteng kelas atau seumpamanya. Adakah patut kita membenci A?” Ustaz Halim menyoal.
Kelihatan beberapa orang menggeleng-gelengkan kepala. Ada yang mengangguk-angguk. Ada juga yang tidak angguk mahupun geleng. Tidak pasti mungkin.
“Jawapannya tidak. Yang perlu kita benci adalah perbuatannya bukan pelakunya” Jawapan itu mengejutkan beberapa pelajar.
“Kenapa ustaz?” Hafiz bertanya, spontan.
“Sebab dia juga saudara kita. Sebagai saudara sesama muslim, kita tidak boleh membenci dia, apatah lagi menyisihkan dia. Sebaliknya, kita perlu mendekatinya. Jika kita menyisihkan kawan-kawan kita yang jauh daripada jalan hidup yang sebenar, maka mereka akan semakin jauh, jauh, dan terus akan jauh daripada agama Allah ini. Dan, tidak mustahil, kita yang diberi kesedaran agama ini akan dipersoalkan di akhirat kelak. Bukankah tugas menyebarkan agama Allah itu telah menjadi tanggungjawab kita sekarang? Tugas sebagai khalifah Allah,” terang Ustaz Halim. Semua yang hadir tekun mendengar.
“Benci dosa, bukan pelakunya,” ayat itu meniti di bibir Iman. Ceramah yang disampaikan Ustaz Halim tempoh hari masih berkesan di hatinya.
Along, Iman sayangkan along. Iman tidak mahu along semakin jauh. Sebagai adik, Iman akan cuba sedayanya menyedarkan along.
Sesungguhnya Allah jua yang berhak membolak-balikkan hati manusia.
********
“Along tu dah lama ke cuti mak?” tanya Iman. Tangannya sibuk mengacau gulai lemak cili padi ikan keli di dalam periuk. Makanan kegemaran along.
“Baru seminggu kalau tak silap mak,” jawab Puan Maisarah tanpa memandang Iman. Dia asyik menyincang mempelam muda, nak dibuat sambal. Iman gemar benar sambal mempelam buatannya.
“Oh..Along cuti lamakah?”
“Dua bulan lebih katanya. Tapi dia kata nak balik awal ke sana. Nak buat projek tahun akhir ke apa entah. Macam tu lah lebih kurang,”
Iman mengangguk-anggukan kepala.
“Tak sama dengan Iman ke?” emak membalikkan soalan.
“Entah, sama kot,” jawab Iman tidak pasti. “Tapi selalunya pelajar tahun akhir macam along tu jarang yang balik. Mereka kena siapkan projek. Itu yang Iman hairan dia balik awal daripada Iman.”
“Dah tiga hari Iman balik, takkan tak berbual dengan along?” emak hairan. Dalam hati, Puan Maisarah risau melihat dua anaknya ini. Jarang benar mereka berbual. Kalau ada pun, mesti berakhir dengan pertengkaran.
Entah bila mereka akan mesra seperti adik-beradik keluarga lain.
“Bukannya Iman tak mahu berbual dengan dia, tapi mak faham-faham sajalah along tu macam mana,” Iman membela diri. Jika diberi pilihan, memang dia ingin berbual mesra dengan along. Mahu juga bergurau-senda dan bergelak-tawa dengan satu-satunya adik-beradik yang dimiliki. Tetapi, nasib seakan tidak menyebelahi dirinya. Along terus-terusan bersikap dingin. Entahlah..
“Mak..”
“Ya..”
Iman terdiam. Tidak tahu bagaimana mahu meneruskan pertanyaan yang ligat berlegar di mindanya sejak semalam. Mak berpaling memandang Iman. “Kenapa? Senyap pula dia.”
“Along masih tak berubah kan mak?” ayat itu meluncur perlahan dari mulutnya. Walaupun perlahan, dia yakin emak mendengarinya. Iman nampak emak tersenyum. Tapi, senyum kelat.
“Nampaknya macam itulah,” jawab mak lemah. “Mak pun tak tahu kenapa dengan along kamu tu. Sejak dulu sampai sekarang, macam tu je perangai dia. Ingatkan bila dah besar, dah belajar di universiti, adalah perubahannya. Paling tidak pun dah rajin solat ke, tak merayap entah ke mana ke. Tapi tidak, sama saja. Silap-silap, sampai emak tutup mata pun along kamu tetap tak berubah,” luah emak kecewa.
Iman tersentak. Ayat ‘silap-silap, sampai emak tutup mata pun along kamu tetap tak berubah’ bagai merobek hatinya. Dia dapat merasakan betapa kecewanya emak.
“Emak jangan cakap macam tu. InsyaAllah, suatu hari nanti tentu along akan berubah. Kita banyakkan berdoa ya mak, moga hidayah Allah itu ada untuk along,” Iman cuba memujuk. “Lagipun, doa seorang ibu kan mustajab,” tambah Iman. Dia menghadiahkan sekuntum senyuman buat emak. Emak hanya mengangguk-anggukan kepala.
InsyaAllah.
Tanpa disedari, sepasang telinga mendengar perbualan mereka. Jasad yang tadinya berselindung di sebalik langsir mula mengatur langkah menjauhi tempat dua beranak itu berbual.
Ilham menghenyak punggungnya di atas pangkin. Cuaca terik sekali hari ini. Langit berwarna biru tanpa longgokan putih awan menandakan sang mentari sedang gah memancarkan sinarnya tanpa halangan. Bahang panasnya bagai mencucuk-cucuk. Angin yang menghembus seakan tidak dirasai. Peluh yang mula merenik di dahi dilap dengan hujung baju yang dipakai. Ah, panas dunia.
‘Silap-silap, sampai emak tutup mata pun along kamu tetap tak berubah’. Ilham termengu. Kata-kata emak terngiang-ngiang di telinga.
‘InsyaAllah, suatu hari nanti tentu along akan berubah. Kita banyakkan berdoa ya mak, moga hidayah Allah itu ada untuk along.’ Kata-kata Iman pula bersilih ganti terdengar di pendengarannya.
Perbualan Iman dan emak sebentar tadi bagai menusuk-nusuk hatinya. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu. Ilham merebahkan pula badannya di atas pangkin yang dibuat oleh arwah abah. Dia memerhati helaian daun mempelam yang melambai-lambai.
Ada perasaan yang tidak enak mulai hadir.
Dia berasa tidak sedap hati. Jantungnya berdegup kencang.
Perasaan apakah sebenarnya ini?
* * * * * * * * * *
Masuk hari ini sudah hampir tiga minggu Iman berada di kampung. Cuti semester masih berbaki sebulan lebih. Kakinya yang hanya menyarung selipar jepun dikuis-kuis ke tanah. Cuaca mendung. Dia mendongak ke langit. Awan hitam pekat kelihatan berarak di dada langit. Hanya menunggu masa untuk meruntuhkan titisan air ke bumi. Menyuburkan tanah dan tumbuhan yang mungkin sudah kehausan kerana sudah hampir seminggu hujan tidak turun.
“Jangan lupa ambik aku malam ni,” suara Ilham di hadapan rumah menarik perhatian Iman. Dia memandang Ilham yang sedang melambai tangan ke arah temannya itu. Motor Honda EX5 berwarna putih yang dipecut laju itu mengeluarkan kepulan asap yang banyak. Bakal menjadi ‘makanan tambahan’ kenderaan yang berada di belakangnya. Iman hanya menggeleng-gelengkan kepala. Pencemaran udara!
“Kau tengok apa?” soal Ilham tidak puas hati. Dia perasan Iman asyik memandang gelagatnya sejak tadi.
“Err..tak ada apa-apa,” Iman terkejut disergah begitu. Iman bingkas bangun. Kakinya diatur untuk masuk ke dalam rumah.
Angin bertiup kencang. Titisan kasar air hujan yang turun menimpa atap zink menyebabkan bunyi bising kedengaran. Kakinya yang sedang menapak menuju ke bilik berhenti. Lantai basah. Sah, atap bocor! Iman segera mengambil beberapa besen kecil yang diisi kain buruk untuk menadah air di bawah tempat bocor.
“Banyaknya bocor,” desis hati Iman sambil matanya memandang deretan besen di hadapannya.
“Bila dah besar nanti along nak buat rumah banglo untuk mak dan abah,” kata Ilham bersemangat. Iman yang sedang sibuk bermain air hujan dengan tangan mengangguk-anggukkan kepala.
“Along nak buat empat tingkat tau!” Ilham berdiri sambil menunjukkan empat jari ke arah Iman.
“Wow..” Iman mengangkat kening. Tak percaya. “Nanti rumah kita tinggi macam sekolahlah kan? Tapi.. kalau tinggi sangat, Iman gayatlah,”
Ilham ketawa. “Alah, nanti Iman duduk je kat tingkat satu. Tak pun kat tingkat bawah sekali, mesti tak gayatlah,” Ilham memberi cadangan.
“Habis tu along, mak dan abah duduk di mana?”
“Kami mestilah duduk dekat atas. Tinggi. Baru best. Iman seorang je dekat bawah,” jawab Ilham selamba. “Duduk seorang-seorang, makan seorang-seorang..” sambungnya lagi, mengejek.
“Mana boleh, tak aci!” bantah Iman tidak puas hati.
“Aci dekat India lah,” Ilham menjelirkan lidah. Iman yang masih tidak puas hati terus mengejar Ilham keliling rumah. Habis pakaian mereka lencun dek bermain dalam hujan.
“Hah! Main hujan ya?!” satu jerkahan dari pintu mengejutkan mereka berdua. Terus mereka berdiri tegak. Langsung tak bergerak macam patung dekat shopping complex.
Akibatnya, dua-dua kena sebat dengan abah. Mana tidaknya, mula-mula kata nak tengok hujan je dekat beranda, tapi alih-alih siap mandi hujan. Mahu abah tak mengamuk. Esoknya, dua-dua demam. Deman main hujan satu hal. Deman kena sebat satu hal.
Iman tersenyum.
“Abah..” tiba-tiba rindu pula pada abah. Wajah tua yang berkedut 1000 itu tidak pernah padam dalam ingatannya.
Bebelan abah yang kadang-kadang mengalahkan mak.
Kegarangan abah yang selalu mengalahkan cikgu disiplin sekolah.
Ketegasan abah yang tak ubah seperti sarjan askar.
Dia rindu semuanya.
Semuanya.
“Hoi, berangan!” sergah Ilham yang sejak tadi memerhatikan Iman.
Kus semangat. Iman menggosok-gosok dadanya. Terkejut.
“Along ni kenapa?”
“Tak ada apa-apa. Kau tu yang termenung daripada tadi kenapa? Ingat pak we?”
“Pak we? Tolong sikit.” Iman terus bergerak mahu masuk ke bilik. Malas berlama-lama di situ. Nanti boleh gaduh besar pula.
“Eleh, tak mengaku. Blah lah,” Ilham mencebik. Iman berpaling memandang Ilham.
“Iman cuma teringat kata-kata along masa kita kecil-kecil dulu. Along kata nak buat rumah banglo empat tingkat untuk mak dan abah,” kata-katanya terhenti di situ. Dia memandang atap yang bocor. “Tapi nampaknya, atap yang bocor tu pun belum tentu along nak ganti.” Kakinya terus dihayun ke bilik tanpa mempedulikan reaksi along.
Ilham terpana. Kepalanya seperti dihentak batu besar.
“Banglo empat tingkat?” dia bercakap sendiri. Matanya memerhati atap zink di atas kepalanya. Satu keluhan dilepaskan.
Kepala seperti dihentak batu yang sama dua kali.
* * * * * * * * *
“Sihat?” tanya suara yang berada di hujung talian.
“Alhamdulillah, sihat. Aisyah macam mana?” tanya Iman ceria. Sudah hampir sebulan tidak bertemu pemilik suara itu. Sungguh, dia rindu.
“Sihat juga, Alhamdulillah.” suasana menjadi sunyi sekejap. Iman mula kehairanan.
“Kenapa Aisyah? Diam je. Aisyah ada masalahkah?” tanya Iman mula risau.
“Iman ada dapat undangan walimah?” soal Aisyah tanpa menjawab soalan Iman padanya.
Iman cuba mengingat. “Tak ada rasanya. Walimah siapa?”
“Syafika. Syafika dengan Afnan,” jawab Aisyah perlahan. Lain nadanya. Iman perasaan itu.
“Syafika Syakirah dengan Afnan Basri?” tanya Iman sambil menyebut nama penuh pasangan tersebut. Mahu
kepastian kebenarnya. Tidak mahu tersalah orang.
“A’ah. Hmm, betul Iman tidak dapat undangan?” Aisyah mahu kepastian. Setahunya Afnan pernah sekelas dengan Iman semasa belajar di matrikulasi. Tak akan Afnan tidak mengundang Iman.
“Betul tak ada,” Iman memberi kepastian. “Syafika yang undang Aisyahkah? Bila walimahnya?”
“Ya. Syafika datang rumah kelmarin. Katanya hujung minggu ini bertunang. Walimahnya berlangsung masa cuti mid-sem nanti. Hmm, Afnan tak beritahu apa-apakah?”
Iman tergelak. “Aisyah ni, Iman bukannya kenal rapat dengan Afnan. Memang kami pernah sekelas, tapi bertegur pun jarang. Bukan Aisyah tak kenal Afnan tu macam mana.” Aisyah yang berada di hujung talian juga tergelak kecil.
“Tapi, mungkin bila dah dekat dengan walimahnya, baru dia jemput kot,” Iman mengagak. “Kalau tidak dia, mesti Syafika sendiri.”
Iman termenung selepas mengakhiri perbualannya dengan Aisyah. Kenapa dengan Aisyah? Nada suara gadis yang berasal dari Seremban itu lain benar daripada biasa. Tidak ceria seperti selalu. Ada kaitan dengan walimah pasangan sahabat mereka ini atau masalah lain?
Seingat Iman, memang dahulu Aisyah pernah meminati Afnan. Bukan setakat Aisyah, ramai lagi sahabat-sahabatnya menaruh perasaan kepada Afnan. Dia sendiri barangkali tergolong dalam kategori itu juga. Tapi perasaan itu tidak pernah diluahkan kepada sesiapa. Hatta kepada Aisyah sendiri. Iman memang tidak terkejut langsung dengan situasi itu. Mana tidaknya, Afnan bukan sahaja cemerlang daripada segi akademik, malah sahsiah dan akhlaknya juga mantap.
‘Pakej lengkap sebagai calon suami ada pada Afnan.’ Itu kata-kata Lina yang memang admire tahap ‘giga’ pada Afnan. ‘Betul. Dia tu kan, boleh jadi ustaz dan merangkap doktor pada waktu yang sama.’
Safira yang dua kali lima tahap admire macam Lina pula galak menyokong.
Gara-gara terlalu ramai temannya meminati Afnan, dia lupakan sahaja perasaan sendiri. Ahh.. tidak betah dia mahu bermain emosi. Umurnya baru setahun jagung, masih mentah dalam menilai hati. Tapi, tak akan Aisyah masih menaruh perasaan pada Afnan. Lagipula, Aisyah tidak pernah mention nama Afnan selepas mereka menamatkan program matrikulasi lebih kurang dua tahun lepas. Iman makin pening. Silapnya juga kerana tidak bertanya terus tadi.
Ingatannya melayang pula pada Syafika. Gadis yang berasal dari Selangor itu merupakan rakan sekelas Aisyah di matrikulasi. Dia berkenalan dengan Syafika pun melalui Aisyah. Kalau tidak silap, mereka berkenalan semasa sambutan hari raya matrikulasi. Kemudian, mereka menjadi rapat kerana memiliki minat yang sama. Membaca novel.
Sejak di bangku sekolah lagi Iman memang gemar membaca novel, tapi dia tidak pernah membelinya. Justeru, teman-teman yang lain yang menjadi mangsa. Kadang-kadang, novel cikgu juga turut dipinjam. Minatnya itu dilupakan sebentar ketika melangkah ke matrikulasi kerana majoriti teman-temannya tidak minat membaca novel. Sehinggalah dia bertemu Syafika.
Saban bulan mereka akan keluar mencari novel-novel terbaru. Jitra, Alor setar, habis diredah gara-gara mahu memenuhi minat yang sama. Selalunya mereka akan membeli novel yang berlainan, dan kemudian bertukar-tukar giliran membaca. Begitulah seterusnya sehingga tamat matrikulasi. Iman tersenyum apabila mengingati kenangan itu.
Syafika..Afnan..
Bila mereka berkenalan? Iman senyum sendiri.
Perancangan Allah itu penuh rahsia. Kadang-kadang tak terjangka.
Tetapi indah dan bermakna.
No comments:
Post a Comment