Tuesday, 27 September 2011

Seindah Takdir (Part 6)


“Selamat Hari Raya Aidilfitri sahabatku!” jerit suara di hujung talian dengan penuh keceriaan. Bingit telinga dibuatnya.

“Selamat Hari Raya Aidilfitri sahabat. Kalau ya pun seronok, janganlah jerit-jerit cik adik. Terkejut, tahu?” bebel Aisyah.

Iman hanya ketawa. Dia memang gemar mengusik Aisyah.

“Alala..Jangan marah, gurau aje,” kata Iman seakan memujuk. “Aisyah, datanglah beraya rumah Iman. Iman tunggu ni,” pelawa Iman.

“InsyaAllah, petang esok Aisyah pergi beraya rumah Iman dengan keluarga Aisyah. Kebetulan nak ke rumah Pak Ngah di Jengka, jadi bolehlah ke rumah Iman selepas itu.”

“Betul ni? Tak sabar nak tunggu Aisyah datang.”

“Iman masakkan makanan special untuk Aisyah ya?” gurau Aisyah.

“Ok, nanti Iman minta tolong mak masakkan,” balas Iman sambil ketawa kecil.

“Orang suruh dia, dia nak suruh mak pula. Mana boleh macam tu.”

“Aisyah ni buat-buat tak faham pula. Iman kan terlalu ‘pandai’ memasak,” jawab Iman bersahaja. Dia sengaja menekankan perkataan pandai.

Aisyah gelak. Geli hati dengan pengakuan bersahaja Iman.

“Raya kelima kita pergi rumah Syafika bersama-sama ya,” kata Aisyah sebaik sahaja tawa mereka berkurang.

“Boleh, InsyaAllah. Iman pun baru sahaja terima kad undangan mereka.”

“Oh..”

Talian menjadi sunyi sepi.

Iman menjadi serba salah. Apa yang harus dia lakukan? Aisyah seakan sedang melayan perasaan kecewanya sekarang.

“Aisyah ok?” soal Iman lambat-lambat.

“Hmm..”

Iman angkat kening. Hmm sahaja? Ish, tak akan dia betul-betul kecewa. Bak kata orang putih frust sampai terbaring-baring.

“Janganlah macam ni Aisyah. Risau Iman, tahu?”

“Tak mengapalah Iman. Bukan jodoh Aisyah dengan dia, nak buat macam mana kan? Lagipula, orang macam Aisyah ni memang tak layak untuk dia.” Suara Aisyah tersekat-sekat. Menangiskah dia?

Iman mula tidak keruan. Ini bukan frust tahap terbaring ni, tapi dah hampir tahap tergolek-golek. Dia mula mati akal. Macam mana mahu memujuk orang yang sedang kecewa kerana cintanya tidak berbalas? Nanti, kalau tersalah cakap, lain pula yang jadi. Kalau tersilap susun ayat, mahu lebih parah pula. Sungguh, dia tidak tahu bagaimana!

“Aisyah..janganlah macam ni. Be strong ok? InsyaAllah, suatu hari nanti jodoh Aisyah akan sampai juga. Mungkin lebih baik dan sesuai untuk Aisyah,” tutur Iman lembut. Otaknya masih ligat menyusun kata-kata yang seterusnya.

“Ya, Aisyah tahu,” jawab Aisyah selamba. Terdengar dia sedang ketawa di hujung talian.

Aik? Dia ketawa pula? Iman makin tidak faham.

“Aisyah gurau aje. Tak sangka, Iman pandai juga memujukkan?” kata Aisyah. Tawanya masih bersisa.

“Oh..main-mainkan Iman ya? Tak apa, ada ubi ada batas..”

“Ish-ish..Iman, di hari raya yang mulia ni, tak baik berdendam tau.”

Iman turut ketawa mengenangkan dirinya yang mudah dikenakan oleh Aisyah. Tetapi, dia tidak mengambil hati, bahkan bersyukur kerana tanggapannya tadi meleset sama sekali. Aisyah nyata tidak patah hati dengan perkahwinan Syafika dan Afnan.


*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

“Selamat pengantin baharu. Semoga jodoh kalian berkekalan hingga ke syurga,” kata Iman sebaik sahaja kehadirannya dan Aisyah disambut oleh Syafika yang kelihatan sungguh berseri-seri. Seri pengantin baharulah katakan.

“Aminn. Terima kasih sebab datang hari ini. Bertambah meriah majlis Ika dengan kehadiran Iman dan Aisyah,” Syafika bukan sekadar bermanis kata. Dia sememangnya gembira dengan kehadiran dua sahabatnya itu.

“Ini hadiah daripada kami.” Aisyah menghulurkan hadiah yang mereka bawa untuk Syafika dan Afnan. Bibirnya menguntum senyuman manis.

“Terima kasih. Susah-susah aje bawakan hadiah. Aisyah dan Iman datang pun Ika sudah cukup seronok.”

“Tak ada yang susahlah Ika.”

“Eh, jomlah masuk. Takkan nak berbual di sini sahajakan?” ajak Syafika. Dia menarik tangan Iman yang kebetulan berada dekat dengannya. Tangannya yang satu lagi pula sedang memegang hadiah pemberian Aisyah sebentar tadi.

Syafika membawa mereka berdua ke khemah untuk menjamu selera. Daripada jauh kelihatan Afnan sedang sibuk melayan teman-temannya yang menghadiri majlis perkahwinan mereka. Syafika berlalu meninggalkan mereka sebentar dan menuju ke arah suami yang baru dinikahinya tidak sampai satu hari itu. Mungkin dia ingin memaklumkan kehadiran mereka berdua kepada Afnan barangkali. Aisyah senyum melihat pasangan itu yang sedang berbisik. Mereka sememangkan sepadan pada pandangan Aisyah.

Tekaannya ternyata tepat. Syafika memaklumkan kedatangan mereka kepada Afnan. Syafika dan Afnan kelihatan sedang berjalan beriringan menuju ke arah mereka berdua. Senyuman bahagia terlukis di wajah pasangan pengantin yang cukup ideal itu.

“Assalamualaikum.” Satu suara menegur mereka dari belakang, sekaligus mematikan pandangan Aisyah terhadap mempelai yang sedang berjalan menuju ke arah mereka.

“Waalaikumusalam,” jawab Aisyah dan Iman serentak. Mereka saling berpandangan apabila melihat wajah pemilik suara yang menegur mereka. Wajah yang amat dikenali. Iman tunduk. Aisyah hanya tersenyum. Ish..Apa pula dia buat di sini?

“Tak sangka dapat jumpa di sini.” Pemilik suara itu memulakan perbualan. Iman dan Aisyah angguk. Belum sempat mereka menjawab, perhatian mereka kembali tertumpah kepada Syafika dan Afnan yang baru tiba.

“Saling mengenali?” soal Afnan ringkas.

Basri angguk. Bibirnya mengukir senyuman lebar. Matanya mengerling ke arah dua orang gadis itu. “Rakan seperjuangan aku dalam Kelab Penyayang.”

Syafika memandang Aisyah dan Iman untuk meminta kepastian. Mereka berdua angguk, mengiakan.

“Kawan lama?” giliran Iman pula bertanya. Jari telunjuknya dihalakan ke arah Afnan dan Basri, menandakan soalan itu ditujukan kepada mereka berdua.

“Ya, kawan lama. Kami kenal sejak kecil dan membesar bersama-sama.” Afnan memaut bahu Basri. 

“Selain seorang kawan, dia juga merupakan sepupu yang paling rapat dengan saya.”

Basri sepupu Afnan?

Biar betul..

Iman terkejut. Aisyah lagilah tidak percaya.

“Kenapa diam pula? Terkejut?” tanya Basri. Bibirnya tidak lekang dengan senyuman. Afnan juga begitu. 

Mereka seakan menyedari perubahan pada wajah dan tingkahlaku Iman dan Aisyah.

“Terkejut juga,” jawab Aisyah jujur. Mereka ketawa kecil.

“Nampaknya tak perlulah saya perkenalkan lagi sebab semua sudah saling mengenali,” Syafika mencelah. 

Mereka berempat angguk. Dunia ini memang kecil. Tidak sangka, mereka mengenali orang yang sama juga. 

Memang satu kebetulan.

Afnan meminta diri kerana ada beberapa temannya baru tiba. Basri mengikut Afnan dari belakang. Iman dan Aisyah pula kembali menjamu selera. Mereka ditemani oleh Syafika yang ayu memakai jubah moden berwarna biru lembut. Warna kegemarannya.

“Apa perasaan Ika setelah bergelar isteri?” Aisyah mengusik. Bibirnya menguntum senyuman manis. Iman juga tersenyum mendengar soalan cepumas daripada Aisyah.

Syafika kelihatan tersipu-sipu bila ditanya begitu. “Alhamdulillah..” sebuah senyuman manis dihadiahkan buat dua gadis di hadapannya. “Sejujurnya, Ika bersyukur sangat sebab dapat suami macam Afnan.” Matanya dialihkan sekilas ke arah Afnan yang sedang sibuk melayan temannya di khemah lelaki. “Ya, memang Ika gembira. Tapi..rasa takut pun ada.”

“Takut?” Iman mengerutkan dahi. Aisyah juga berasa hairan. Apa yang ditakutkan?

Syafika menghela nafas. Seakan sukar benar untuk meluahkan apa yang terpendam di lubuk hatinya saat ini. Cincin emas yang dihiasi enam batu permata kecil berbentuk bunga di jari manisnya dipandang sayu.

“Ika takut tidak dapat menjadi seorang isteri yang baik,” luah Syafika. Sememangnya, dia amat risau akan hal itu.

Iman dan Aisyah saling berpandangan lagi. Mengapa pula Syafika berfikiran sedemikian?

“Kenapa Ika cakap macam tu?” tanya Iman.

Syafika angkat bahu menandakan dia juga tidak pasti mengapa dia berfikiran begitu.

“Jangan risau, Iman percaya yang Ika boleh menjadi seorang isteri yang baik,” kata Iman jujur. Aisyah juga angguk, mengiakan kata-kata Iman.

“InsyaAllah..” Syafika senyum.

“Bukan setakat isteri yang solehah, Ika juga pasti dapat menjadi seorang ibu yang mithali suatu hari nanti.” Aisyah pula menyambung.

Syafika dan Iman ketawa kecil mendengar pandangan Aisyah.

Dalam hati, Iman juga mengiakan apa yang diucapkan oleh Aisyah.

Syafika memang mampu.

InsyaAllah.
*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

Cuaca mendung di luar. Awan hitam pekat seakan sudah bersedia memuntahkan titisan air yang sarat dikandung. Hembusan angin yang sedikit kuat menerbangkan daun-daun kering yang berselerakan di bahu jalan. Langsir bilik juga seakan melayang-layang dilanggar angin yang menerobos melalui tingkap yang terbuka. Sesekali terdengar bunyi guruh berdentum di langit, salah satu fanomena alam yang biasa berlaku di kala hujan membasahi  bumi.

Hakimi menanggalkan headphone yang menjadi penemannya sejak tadi. Dia bangkit daripada kerusi dan menapak menuju ke tingkap. Cermin tingkap ditutup untuk mengelak tempias hujan memasuki kamarnya yang kecil itu. Di ruang tamu, Fatah dan Ilham sedang bermalas-malasan di atas sofa yang disediakan oleh pemilik rumah bagi keselesaan mereka.

Dia lantas menghanyunkan langkah ke dapur. Perutnya seakan sudah mula mendendangkan lagu keroncong, minta diisi.

“Nak masak ke?” tegur Khawarizmi yang kebetulan masuk ke dapur. Dia juga berasa lapar sebenarnya.

Hakimi sengih. “A’ah. Aku nak masak jemput-jemput ikan bilis. Kau nak?”

“Boleh juga. Hujan-hujan macam ni dapat pekena jemput-jemput, sedap woo..” Khawarizmi menunjukkan ibu jari yang ditegakkan kepada Hakimi. Tanda best! “Kau masak, biar aku yang buat air.” Dia mempelawa dirinya. Hakimi angguk.

“Kalau kami jadi tukang makan aje, boleh tak?” kata Ilham sambil tersengih di muka pintu. Fatah disebelahnya turut tersenyum.

“Boleh..” jawab Hakimi tenang. Khawarizmi juga kelihatan tidak kisah. “Mana Taufiq?” soal Hakimi apabila kelibat Taufiq tidak kelihatan.

“Keluar.” Ringkas sahaja jawapan Fatah.

“Dengan siapa?” Khawarizmi pula bertanya. Setahunya Taufiq memang jarang keluar, lebih-lebih lagi dengan orang lain selain mereka.

Fatah angkat bahu. Bukan dia tidak tahu dengan siapa Taufiq keluar, tetapi dia terasa berat hati untuk memberitahu teman-teman yang lain. Takut dimarahi oleh Taufiq kerana mencampuri urusan peribadinya.

“Betul tidak tahu?” Ilham pula menyoal. Fatah angguk. Dia berasa serba-salah pula. Ahh..apa yang harus dilakukan?

“Taufiq seperti sudah lain sekarang ni.” Luah Khawarizmi. Ada nada kerisauan dalam kata-katanya tadi. 

Mereka bertiga memandangnya serentak.

“Lain? Apa yang lain?” tanya Ilham. Sejujurnya dia tidak perasan apa-apa perubahan pun yang berlaku pada Taufiq. Rasanya Taufiq sama sahaja seperti sebelum ini.

“Dia sudah tidak macam dulu. Sekarang ini dia selalu sahaja keluar, kadang-kadang sampai lewat malam.” Terang Khawarizmi.

“Mungkin dia keluar dengan kawan-kawan lain,” kata Hakimi positif. Dia tidak mahu berburuk sangka kepada teman baiknya sendiri. Kalau boleh, dia juga tidak mahu teman-teman yang lain beranggapan buruk kepada Taufiq. Bukankah serendah-rendah ukhwah itu adalah berlapang dada?

“Aku bukannya nak serkap jarang ke, nak tuduh dia bukan-bukan ke. Tapi aku risau. Kalau kau perasan dia jarang benar berenggang dengan telefon bimbit dia tu. Berkepit sahaja 24 jam. Dulu dia tak macam ni.” Khawarizmi membela diri. Masakan teman-teman yang lain tidak perasan dengan perubahan Taufiq. Atau, dia sahaja yang tersalah sangka? Ishh..tidak mungkinlah!

“Kau tak tahu apa-apakah?” soal Hakimi kepada Fatah yang kelihatan membatukan diri apabila nama Taufiq disebut. Dia seakan dapat merasai bahawa Fatah sedang menyembunyikan sesuatu daripada mereka semua.

Fatah kelihatan gelisah apabila dirinya menjadi perhatian. Wajahnya ditundukkan. Tidak sanggup rasanya melawan tentangan tiga pasang mata yang mencerun ke arahnya. Hujan yang semakin lebat sambil diiringi dengan tiupan angin kencang seakan mengerti keadaan dirinya yang penuh kekalutan.

“Err..aku tak tahu. Betul.” Fatah berlagak selamba. Tangannya mengambil jemput-jemput yang sudah siap dimasak dan disuakan ke mulutnya. “Wah, sedaplah jemput-jemput kau. Boleh jadi chef ni,” puji Fatah jujur. Selebihnya, dia mahu lari daripada soalan Hakimi tadi.

“Nak tukar topiklah tu,” kata Ilham tidak puas hati. Dia menyambung, “Kita sibuk bercerita fasal Taufiq, tapi dia boleh sebut fasal jemput-jemput pula.”

Fatah hanya tersengih. Khawarizmi dan Hakimi pula tergelak kecil.

“Aku bukannya apa, aku cuma tak mahu menyibuk dalam hal peribadi dia.” Fatah menghela nafas.

“Kita bukan mahu menyibuk, cuma ambil berat. Sebagai kawan baik, aku rasa tak salah kita nak tahu apa yang dia buatkan? Kalau dia buat perkara elok, kira oklah. Tapi kalau sebaliknya macam mana? Bukankah itu menjadi tanggungjawab kita untuk menegur dan membetulkan kesilapannya?” kata Khawarizmi yang masih tidak berputus asa untuk mengorek cerita sebenar.

“Betul apa yang Mie cakap tu. Tapi, aku tak paksa kau bercerita kalau kau tak mahu, sebab aku yakin kau punya alasan tersendiri, kan?” Hakimi menepuk-nepuk belakang Fatah. Hakimi memberi isyarat mata kepada Khawarizmi supaya tidak memaksa Fatah membuka mulut. Biarlah, bila tiba masanya nanti dia akan beritahu juga. Khawarizmi angguk faham.

“Tak apalah kalau kau tak mahu beritahu. Aku tak paksa..” Khawarizmi mengalah.

Fatah semakin serba-salah. Dadanya terasa sempit, seakan sedang diimpit oleh bongkah batu yang besar.

Akhirnya dia menarik nafas panjang.

“Sebenarnya macam ni….”


*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *         

“Taufiq bercinta?” hampir tersembur makanan dari mulut Ilham. Terkejut. Setahunya, Taufiqlah orang yang paling menentang percintaan di alam pengajian. Katanya, waktu belajar, buat cara nak belajar. Tak payah nak bercinta-cinta. Kalau nak bercinta sangat, berhenti belajar, kahwin terus!

Tetapi, sebaliknya yang berlaku sekarang. Dia pula yang sudah mula bermain cinta. Mengapa pula? Kenapa boleh berlaku? Apa sebabnya?

Fatah angguk. “Aku sebolehnya tak mahu dedahkan rahsia dia. Aku harap dia akan sedar sendiri kesilapan dia dan cuba memperbaikinya. Tetapi, mungkin aku tersalah sangka. Perangainya semakin menjadi-jadi.”

“Maksud kau?” tanya Hakimi yang kelihatan risau.

“Semenjak dia kenal budak perempuan tu, dia seperti berada dalam dunianya sendiri. Kalau dulu dia selalu sibuk study, tapi sekarang dia banyak habiskan masa berbual di telefon ataupun berbalas SMS hingga lewat-lewat malam. Kadang-kadang solat subuh pun hampir terbarai. Itu yang aku paling risau.” Fatah memandang wajah temannya satu-persatu. Terpancar raut kerisauan di wajahnya. Ya, selaku teman sebilik Taufiq, dia memang tahu banyak perkara mengenai Taufiq. Dan, dia amat terkesan dengan perubahan Taufiq yang mendadak itu.

“Kau pernah menasihatinya?” Khawarizmi pula bertanya.

“Pernah. Tapi dia buat tak tahu aje. Aku tahu dia tak akan dengar nasihat aku yang tak setanding dengannya dalam ilmu agama. Aku sedar hal itu dan boleh terima lagi kalau dia nak bercinta, masalahnya aku tak dapat terima yang dia main-main dalam soal belajar. Main-main dalam hal tanggungjawab kepada Allah.” Luah Fatah jujur.

Khawarizmi dan Ilham angguk setuju.

Hakimi mengeluh perlahan mengenangkan temannya yang seorang itu. Perkara sebeginilah yang tidak sepatutnya berlaku. Sanggup mengorbankan cinta Allah hanya untuk cinta makhluk! Apapun, Hakimi sedar dia tidak patut menyalahkan Taufiq 100%. Sebagai teman, dia perlu sentiasa berlapang dada. Dia tidak boleh menaruh kebencian kepada Taufiq, bahkan, jika benar Taufiq telah tersasar, maka, dialah yang patut menarik Taufiq kembali. Bukan membiarkannya terus di jalan yang salah.

“Hakimi, dalam rumah ini aku rasa Taufiq paling hormati kau. Jadi, aku yakin, kaulah yang paling sesuai untuk bercakap dengannya.” Ilham menepuk bahu Hakimi. Pujian tadi lahir tulus dari hatinya. Sejujurnya, dia juga amat menghormati Hakimi. Bukan dia sahaja, dia yakin Khawarizmi dan Fatah juga begitu. Oleh sebab itu, dia mencadangkan Hakimi mewakili mereka untuk bercakap dengan Taufiq. Nak harapkan dia sendiri? Dia tidaklah setenang dan sesabar Hakimi. Bimbang kalau-kalau perkara lain pula yang terjadi nanti. Silap-silap boleh mencetuskan perang dunia ketiga.

“Aku setuju dengan Ilham. Antara kita, kau yang paling tenang dalam berbicara. InsyaAllah, dia akan dengar nasihat kau berbanding kami,” sokong Khawarizmi. Tangannya menggenggem kemas sebelah lagi bahu Hakimi.

Fatah angguk. Dia setuju dengan kata kedua temannya tadi. “Aku harap kau boleh nasihatkan dia,” kata Fatah penuh pengharapan.

“Aku akan cuba bercakap dengan dia nanti. InsyaAllah..Aku harap kita semua akan terus berdoa supaya Taufiq kembali seperti dulu.” Hakimi mendongak memandang teman-temannya. Sekuntum senyuman dilemparkan. “Hmm..kau tahu nama gadis yang berjaya menambat hati sahabat kita tu?” tanya Hakimi kepada Fatah.

“Izzati..Farah Izzati.”

“Kau pernah jumpa dia?”

“Pernah..sekali. Itupun secara tidak sengaja terserempak di library.”

“Cantik?” Ilham tersengih selepas melontar soalan cepumas itu. Alah, bukan salah pun bertanya. Sekadar mahu tahu. Itu sahaja.

Khawarizmi menggeleng. Ada-ada sahaja Ilham ni.

“Cantik juga.”

“Kau ni pun, kalau tak cantik, takkan pula sahabat kita tu boleh sangkut dengan dia.” Khawarizmi meramas-ramas rambut Ilham.

Ilham buat muka seposen. Ya tak ya juga. Aku ni pun.

No comments:

Post a Comment