Tuesday, 27 September 2011

Seindah Takdir (Part7)

“Apa mimpi kau ajak aku keluar ni? Siap belanja makan pula tu. Mesti ada apa-apa, kan?”

“Mana adalah. Kau ni, macamlah tak pernah keluar berdua dengan aku sebelum ni.” Hakimi memerah asam limau nipis ke atas mee goreng yang dipesannya tadi.

“Betul juga kan. Selama ini pun memang kau yang selalu belanja aku.” Taufiq menepuk dahi.

“Tahu pun. Ingatkan sudah lupa,” gurau Hakimi.

Berderai ketawa mereka berdua.

Hakimi sebenarnya tidak pernah berkira dengan sesiapa, lebih-lebih lagi sahabatnya sendiri. Bila ada kelapangan, memang dia gemar mengajak mereka keluar makan atau keluar bersiar-siar. Sekurang-kurangnya dia dapat bergaul mesra dan mengenali sahabatnya dengan lebih rapat.

Suasana di dalam kedai makan itu sedikit lenggang. Hanya beberapa buah meja sahaja berpenghuni manakala meja yang lain masih kosong. Pekerja-pekerja di kedai itu yang lengkap memakai pakaian seragam berwarna biru-putih kelihatan tenang melakukan kerja masing-masing. Keadaan itu mungkin kerana mereka datang di luar waktu puncak.

“Apa cerita terbaru kau sekarang?” Hakimi bermanis kata. Biarpun dia sudah tahu perkembangan terbaru sahabatnya itu, tetapi dia tetap mahu mendengarnya dari mulut Taufiq sendiri. Barulah dia boleh menyusun point atau kata-kata nasihat dengan baik.

Taufiq berhenti menyuap mee goreng ke mulutnya. Bibirnya yang sedikit berminyak itu dilap dengan menggunakan tisu. “Cerita terbaru?” Taufiq angkat kening. Dia menyedut jus tembikai sambil matanya tidak lari dari memandang Hakimi.

“Ya, cerita terbaru kau. Tentang pelajaran, tentang hobi, atau apa-apa sahaja yang terbaru. Kau sudah lama tak berkongsi dengan aku.”

Taufiq ketawa kecil. Dulu, dia memang suka berkongsi kisahnya dengan Hakimi. Jika ada sesuatu yang berlaku kepada dirinya, hal baik mahupun buruk, Hakimilah orang pertama yang akan diberitahu. Tawa dan sedihnya sentiasa dikongsi bersama Hakimi. Itu Hakimi, ini Hakimi. Tetapi, semenjak hadirnya seorang insan lain di hatinya, dia tidak pernah lagi berkongsi apa-apa dengan Hakimi. Berbual juga sudah jarang-jarang, inikan pula mahu bercerita itu ini. Mungkin ini yang dimaksudkan oleh kata-kata Hakimi tadi.

“Atau kau sudah ada orang lain, sebab itu kau dah tak sudi berkongsi cerita dengan aku.” Hakimi mula memainkan peranan. Pura-pura tidak tahu. Pura-pura terasa hati.

“Bukan macam tu. Cuma sekarang aku sibuk sikit, sebab tu tak sempat nak bercerita dan berbual panjang dengan kau.”

“Betulkah kau sibuk atau kau sebenarnya ada rahsiakan sesuatu daripada aku?” mata Hakimi mencerun ke arah Taufiq. Sengaja. Tapi taktiknya gagal kerana wajah Taufiq masih selamba seperti tidak ada apa-apa yang berlaku. Dia mengubah taktik yang lain pula. “Kelmarin aku ada ternampak kau dengan seseorang di library. Siapa dia?” Hakimi memasang perangkap. Mukanya serious, tetapi hatinya sudah tergelak.

Library?” Taufiq terkejut. Hampir sahaja dia terlompat dari kerusi. Hakimi sudah tahu? Alamak! Kantoi sudah…

“Ya, library.” Kata Hakimi bersahaja. Dia tergeletek melihat reaksi Taufiq. Bukan niatnya mahu mempermainkan Taufiq, tapi, itu sahaja cara yang bermain di fikirannya. Taufiq itu, buka jenis yang suka didesak. Jadi, perlu ‘permainkan’ dia sedikit, biar dia membuka mulut dengan rela hati.

“Oh..aku dengan Izzat.”

“Izzat?” Hakimi angkat kening.

“Ya, Izzat. Alah kau ni, Izzat budak tahun dua Sains Perubatan. Dia pernah datang rumah kita beberapa bulan lepas. Tak akan kau dah lupa?”

Hakimi mengerutkan dahinya. “Kau biar betul? Tak akan Izzat pakai tudung kot.” Hakimi mengusap janggutnya yang disimpan sejemput itu. Musykil dengan jawapan Taufiq tadi.

Taufiq tersedak. Mujur sahaja air di dalam mulutnya tidak tersembur keluar. Hakimi segera menepuk belakangnya. Dia berasa sidikit lega.

Lama Taufiq mendiamkan diri. Otaknya ligat mencari alasan. Nampaknya, dia sudah terperangkap. Dan dia tahu, dia tidak dapat lagi berselindung dengan Hakimi. Hakimi ini, tenang sahaja mukanya. Lembut sahaja bicaranya. Hikmah sahaja kelakuannya. Tetapi, tidak mustahil dia akan naik angin apabila mengetahui perkara sebenar. Tidak mustahil!

“Kau nak tahu tentang apa sebenarnya?” Taufiq memecah kesunyian yang tercipta antara mereka. Nada pertanyaanya sedikit serious. Jus tembikai yang hanya tinggal tidak sampai separuh itu disedut lagi. Matanya tidak beralih dari wajah tenang Hakimi.

Hakimi senyum. Dia cuba menimbulkan suasana yang sedikit ceria. Sememangnya, dia tidak gemar berbincang dalam suasana yang tegang.

“Aku hanya mahu tahu tentang ‘Izzat’ kau. Itupun kalau kau mahu bercerita. Aku tak paksa.” Hakimi mengangkat kedua-dua tangannya. Bibirnya masih setia mengukir senyuman.

“Kenapa mahu tahu tentang dia?”

“Sebab kau sahabat aku.”

“Hanya itu sebabnya?”

Hakimi angguk. “Sahabat, aku hanya mahu tahu siapa gerangan bidadari yang berjaya memikat hati kau,” kata Hakimi sambil meletakkan jari telunjuknya ke dada Taufiq. “Seperti yang aku kata tadi, terpulang pada kau sama ada mahu kongsikan kegembiraan kau dengan aku ataupun tidak.”

“Tapi, aku rasa kau seperti mahu pisahkan kami.”

“Kenapa pula kau rasa aku akan buat begitu?” tanya Hakimi hairan.

“Sebab itu yang selalu dilakukan oleh orang seperti kau!” tegas kata-kata Taufiq.

“Kau mahu samakan aku dengan orang lain?”

“Ya!”

Hakimi menghela nafas. Istighfar terus dialunkan di dalam hati. Dia harus bertindak bijak. Sedikit sahaja bicaranya tersasar, persahabatan mereka pasti akan retak. Jika hal sedemikian berlaku, makin sukarlah dia mahu menasihati Taufiq.

“Kalau aku kata aku tidak sama seperti orang lain, kau akan percaya?” duga Hakimi.

Taufiq diam.

“Selama kita bersahabat, pernahkah aku memaksa kau melakukan sesuatu yang kau tidak suka.” Hakimi menarik nafas dalam. “Atau..sepanjang kita bersahabat, pernahkah aku melakukan sesuatu yang menyakiti hati kau sehingga kau tidak mempercayai aku bahkan mula bersangka buruk padaku?”

Suasana masih sepi. Hanya deruan enjin kenderaan yang lalu lalang menjadi ‘muzik’ mengisi kesepian yang tercipta. Hakimi menyandarkan badannya ke kerusi. Dia menanti jawapan yang keluar dari bibir Taufiq. 

Apapun jawapnnya, dia harus bersabar. Harus!

Taufiq masih membisu. Dia terkesan dengan kata-kata Hakimi tadi. Ya, selama ini dia tidak pernah bersangka buruk kepada sesiapa, lebih-lebih lagi pada Hakimi yang sudah dianggap seperti keluarga sendiri. 

Tetapi, sejak akhir-akhir ini, Hakimilah antara orang yang dia cuba jauhi. Dia takut Hakimi dapat menghidu perhubungan cintanya dengan Izzati. Dia kenal Hakimi. Dia yakin Hakimi akan cuba memutuskan hubungan cintanya yang sedang mekar mewangi.

“Kau benar-benar tidak percayakan aku?” soal Hakimi dalam nada yang rendah. Wajahnya sedikit sugul. Taufiq serba salah. Hakimi terasa hati dengan diakah?

“Kau habiskan makanan tu dulu. Selepas ni aku nak bawa kau pergi ke satu tempat,” kata Hakimi bersahaja.

“Pergi mana?” tanya Taufiq. Riak wajah sugul Hakimi tadi sudah tiada dan mula dihiasi senyuman. Dia ni memang pelik. Sekejap sahaja moodnya boleh berubah.

“Adalah..” Hakimi hanya tersengih.

Taufiq bertambah pelik.

Suasana yang tegang sebentar tadi sudah hilang, terbang ditiup angin.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

“Cantikkan pemandangan di sini?” Hakimi mendepakan tangannya.

“Ya.” Jawab Taufiq ringkas. Dia terus membuntuti langkah Hakimi.

Sekarang, mereka sedang berada di atas bukit. Di hadapan mereka terhampar sebuah pemandangan yang indah. Pemandangan Bandar Kuala Lumpur di waktu malam. Terang-benderang disimbah cahaya.

Hakimi tersenyum ceria. Dia memang suka datang ke tempat ini. Tenang sahaja. Selain dapat menikmati keindahan bandar yang menjadi kebanggaan Malaysia, dia juga dapat menyaksikan keindahan alam semesta ciptaan Tuhan. Kepalanya didongak ke langit. Sang rembulan seakan tersenyum sambil memantulkan cahaya ke bumi. Jutaan bintang pula kelihatan seperti sedang ‘menari’ di dada langit menemani sang bulan yang hanya bersendiri. Subhanallah! Alam ini memang indah. Ciptaan Allah memang hebat!

“Kenapa bawa aku ke sini?”

“Tak ada apa-apa sebab.”

“Masakan tiada.”

“Aku hanya mahu berkongsi kesukaan aku dengan sahabatku sendiri. Tak ada sebab lain.” Hakimi merebahkan badannya ke atas tikar plastik yang baru dibentang. Pandangan matanya masih melekat di dada langit.

“Maksudnya kau suka berkelah atas bukit malam-malam begini? Kau buat lawak ke?”

“Berkelah?” Hakimi kurang faham.

“Yalah. Siap bawa tikar dan makanan sekali. Bukan berkelah ke tu?” Taufiq menunjukkan makanan ringan yang dibeli oleh Hakimi semasa mereka singgah di stesen minyak tadi. Dalam masa yang sama, dia menghenyak punggungnya di atas tikar.

Hakimi ketawa kecil. Ada-ada sahaja.

Taufiq memandang Hakimi. Eh, eh..dia boleh ketawa pula? Aku ada buat lawak ke?

“Kau selalu datang sini?”

“Selalu juga.”

“Kenapa?”

“Sebab aku suka.”

“Alasannya?”

“Aku suka tengok bintang. Aku juga suka memerhati alam. Kerana aku tahu, aku dapat belajar sesuatu daripada mereka.”

Taufiq tidak faham. Entah apa yang istimewa sangat berbaring di atas bukit malam-malam begini? Belajar apa? Dan, apa pula kaitannya dengan alam?

Hakimi menepuk ruang kosong di sebelahnya, mempelawa Taufiq berbaring sepertinya. Taufiq akur dan dia segera merebahkan diri seperti Hakimi.

Suasana menjadi senyap. Masing-masing sedang leka memerhati keindahan langit. Tidak berkelip langsung mata Taufiq. Ini kali pertama dia betul-betul memerhati dan meneliti jutaan bintang di angkasa raya. Ini juga kali pertama dia merasa…Ahh..dia tidak dapat meluahkan bagaimana perasaannya sekarang. Kagum. Sangat-sangat kagum!

“Subhanallah..Sangat indah!” pujian itu lahir ikhlas dari hati Taufiq. Mulutnya tersenyum lebar.

Hakimi berpaling ke arah Taufiq. Walaupun perlahan, tetapi Hakimi dapat mendengarnya. Bibirnya mengukir senyum. Dia yakin bahawa Taufiq sudah mula merasakan apa yang dia rasa.

“Lihat bintang di langit, mereka tetap berada di tempat mereka tanpa jemu. Begitu juga dengan bulan, tetap berdisplin bergerak di jalan yang telah ditetapkan tanpa tergelincir sedikit pun. Walaupun sudah berjuta tahun, mereka masih teguh melaksanakan tanggungjawab yang telah diamanahkan oleh Allah kepada mereka.”

“Dan Dia menundukkan malam dan siang, matahari dan bulan untukmu, dan bintang-bintang dikendalikan dengan perintahNya. Sungguh, pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang mengerti.” Laju sahaja maksud ayat ke dua belas Surah Al-Nahl meniti di bibir Hakimi.

Terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi orang yang mengerti. Taufiq mengulangi ayat itu di dalam hati. “Sekarang baru aku tahu kenapa kau suka datang ke sini.” Taufiq mencelah.

“Mengapa?” Hakimi sengaja menduga.

“Seperti yang kau kata tadi, kita dapat belajar banyak perkara daripada alam. Bagaimana mereka sangat patuh kepada perintah Allah. Kedisiplinan mereka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka. Bayangkan, jika matahari tidak melaksanakan tanggungjawabnya dengan baik atau tidak berada di tempat yang Allah tetapkan. Pasti bumi ini akan hancur. Alam yang luas inipun patuh kepada perintah Allah, inikan pula kita sebagai manusia yang kerdil ini. Tidak layak langsung untuk membantah.” Terang Taufiq panjang lebar.

“Tahniah!” ucap Hakimi sambil menepuk lengan Taufiq.

“Untuk apa?” Taufiq langsung tidak mengerti.

“Tahniah sebab sudah mula memahami aku dan faham betapa alam ini juga dapat menjadi ‘guru’ yang baik kepada manusia.” Hakimi bingkas bangun. “Sebenarnya, banyak sangat perkara yang kita boleh pelajari daripada alam ini. Cuma tinggal mahu atau tidak sahaja. Kadang-kadang, manusia itu sendiri yang terlalu sombong untuk mengambil iktibar daripada ciptaan Allah yang lain.”

Taufiq angguk faham. Dia mengatur langkah merapati Hakimi. Bahu Hakimi dipeluk erat. “Kimi..Aku minta maaf fasal tadi.” Terluah juga kata-kata itu. Dia tidak mahu terus menanggung rasa bersalah kepada sahabat sebaik Hakimi.

“Tak perlu minta maaf. Aku tak ambil hati pun,” kata Hakimi sambil tersenyum. Dia membalas pelukan Taufiq. Lega hati Taufiq bila mendengar Hakimi berkata begitu.

“Kau masih mahu tahu tentang ‘Izzat’?” tanya Taufiq sambil tersenyum sumbing. Tergeletek juga hatinya apabila menyebut nama ‘Izzat’. Kesian, tak fasal-fasal, nama itu yang menjadi mangsa.

“Apa salahnya kalau kau mahu bercerita,” jawab Hakimi bersahaja. Sebolehnya, dia tidak mahu kejadian seperti di kedai makan tadi berulang.

“Nama dia Izzati, Farah Izzati. Pelajar tahun dua Sains Bioteknologi. Dia berasal dari Johor dan tinggal di rumah pak ciknya di sini.” Taufiq tersenyum-senyum. Wajah manis Izzati sudah mula terbayang di ruang 
mata.

“Sudah lama kamu berdua berkenalan?” Hakimi sekadar ingin tahu.

“Hampir empat bulan. Tapi, hanya dua bulan kebelakangan ini kami rapat sedikit.”

“Bercinta?” tanya Hakimi tanpa berselindung.

Taufiq hanya menganggukan kepala sambil tersengih.

“Kau betul-betul serious dengan dia?”

“Ya. Aku betul-betul cintakan dia. Jujur aku katakan yang aku tak pernah rasa perasaan sebegini sebelum ini,” Taufiq berterus-terang.

“Kau mahu memperisterikan dia?”

Taufiq sedikit tersentak. Dia tidak pernah terfikir akan hal itu. Masih terlalu awal untuk merancang. Lagipula, dia baru sahaja mengenali Izzati.

“Kalau kau tidak pernah terfikir akan hal itu, maka aku nasihatkan kau fikir semula mengapa kau berpasangan dengan dia.”

“Maksud kau?” Taufiq seakan tidak puas hati.

“Taufiq, kau kata tadi kau betul-betul cintakan dia. Tetapi, kau tidak pernah fikir untuk memperisterikan dia. Jadi, apa maknanya kamu berdua berpasangan jika tujuannya bukan untuk berkahwin? Kamu berdua berpacaran hanya sekadar untuk suka-suka atau apa?”

“Bukan! Aku benar-benar mencintai dia,” Taufiq bertegas.

“Tapi, adakah tindakan kau selama ini menunjukkan kau benar-benar mencintainya? Keluar berdua, makan berdua. Adakah itu makna cinta pada kalian?” tanya Hakimi lembut. dia menyambung, “Sahabat, cinta itu suci dan penuh keindahan. Jadi, jangan kotorinya dengan perbuatan yang mencemarkan. Aku yakin kau faham maksud aku, bukan?”

Taufiq tunduk. Lidahnya kelu untuk berkata-kata. Kata-kata Hakimi itu ada benarnya.

“Hmm..Jadi, kau mahu aku putuskan hubungan aku dengan dia? Begitu?”

“Bukan itu maksud aku.”

“Habis tu?”

Hakimi senyum sambil menggeleng kepala. “Aku tidak meminta begitu. Cuma aku mahu kau berfikir sedalamnya. Kalau boleh, kau selidiki betul-betul latar belakangnya. Tanya diri kau, adakah dia orangnya yang kau mahu jadikan isteri kau, menantu kepada ibu bapa kau, kakak kepada adik-adik kau, dan ibu kepada bakal anak-anak kau. Jika kau benar-benar pasti dialah orangnya, maka kau memang patut memikirkan masa depan kamu berdua. Bukan sekadar membina hubungan di atas awan-awangan sahaja.”

“Macam terlalu rumit je..” Taufiq beralasan.

“Mahu dapatkan yang baik, jalannya memanglah berliku sedikit.” Selamba Hakimi membalas.

“Aku akan cuba, InsyaAllah.”

“Taufiq..Kau ada ilmu agama. Praktikkanlah. Kalau benar cinta, bimbing dia. Jangan biarkan diri kau terhanyut sama. Hanya satu nasihat aku, jangan sesekali kau korbankan cinta Allah hanya kerana cinta menusia.”

Taufiq memandang Hakimi. Kolam matanya seakan bergenang. Ya Allah..betapa selama ini aku terleka. Aku hampir lemas dalam lautan cinta selain cintaMu. Mujur kau kirimkan dia untuk menyelamatkanku.

“Terima kasih Kimi. Aku sedar kesilapan aku dan aku berjanji akan cuba memperbaikinya. Terima kasih!”

“Sama-sama. Sebagai sahabat, aku hanya mampu memberi nasihat.”

“Nasihat kau amat bermakna buat aku.” Taufiq senyum.

Malam sudah semakin larut. Mereka berdua segera mengemaskan tempat tersebut sebelum bergerak pulang. Walaupun esok cuti hujung minggu, namun mereka berdua masih punya kerja yang perlu diberi perhatian. Final year project!

“Kau sahabat aku, jadi aku mahu kau mendapat cinta yang suci. Bukan cinta yang dikotori.” Kata-kata Hakimi terngiang-ngiang di telinga Taufiq. Dia tersenyum sendirian.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *

Jam menunjukkan pukul 2.15 petang. Keadaan di luar blok penginapan Kolej Keenam UPM sunyi sepi. Mungkin ramai pelajar sedang berada di fakulti, menghadiri kuliah mahupun sedang berhempas-pulas menjalankan experiment dalam kelas amali.. Tidak kurang pula ramai yang lebih gemar mengurung diri di dalam bilik masing-masing. Cuaca yang dingin dan sejuk kerana hujan lebat sebentar tadi menambahkan lagi  keseronokkan untuk berehat dan bermalas-malasan di atas katil.

Aisyah memerhati teman sebiliknya, Hidayatul Husna yang sedang sibuk menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pensyarah. Pelajar jurusan sains bioteknologi itu memang cukup komited dengan setiap tugasannya. Gadis pintar yang sentiasa tersenarai sebagai penerima anugerah dekan setiap semester itu tidak pernah sesekali menangguh setiap pekerjaan yang patut dilakukan. Walaupun aktif di kolej dan fakulti, tetapi resultnya tidak pernah mengecewakan. Aisyah sangat bangga mempunyai teman seperti Husna.

“Aisyah ada kelas lagi ke?” soal Husna memecahkan kesunyian bilik kecil itu. Dia lantas memandang ke arah Aisyah yang sedang membetul-betulkan lipatan tudungnya.

“A’ah. Hari ini Aisyah habis kelas pukul 6.00 petang, insyaAllah,” jawab Aisyah ringkas.

“Petang nanti Aisyah tak payah beli makanan ya. Adik Husna nak datang, nanti kita pergi makan sama-sama,” pesan Husna sambil melemparkan sebuah senyuman buat Aisyah.

“Eh, seganlah Aisyah. Adik Husna kan tak kenal Aisyah, nanti apa pula dia kata,” Aisyah cuba menolak. Bukannya dia tidak mahu keluar makan bersama Husna, cuma dia memang segan untuk bertemu dengan adik kembar Husna, Hidayatul Karina.

“Apa yang nak disegankan, adik Husna tu perempuan juga. Boleh ya,” pujuk Husna. Dia memang sudah lama ingin memperkenalkan Karina dengan Aisyah, cuma masa sahaja yang tidak mengizinkan.

“InsyaAllah..” jawapan ringkas Aisyah itu sudah cukup bagi menggembirakan Husna. “Oklah, Aisyah pergi kelas dulu ya, assalamualaikum.”

“Waalaikumusalam..” Husna tersenyum gembira. Wajah Karina mulai menari-nari di matanya. Walaupun menuntut di universiti yang sama, tetapi mereka jarang berjumpa disebabkan kesibukkan masing-masing. Tambahan pula adiknya yang merupakan pelajar sains perubatan itu tinggal nun jauh di kolej 17. Walaupun adiknya memandu kereta sendiri, namun kekangan masa telah membataskan pertemuan mereka. Tidak sabar rasanya untuk bertemu Karina malam nanti untuk melerai rindu yang menjalar di dalam dada. Ingatannya mengimbas perbualan dengan Karina beberapa bulan lepas.

“Kakak mahu ke mana? Siap bertudung lagi. Ada orang meninggal ke?” soal Karina kehairanan. Dia hairan melihat Husna bertudung litup di hadapannya. Kebiasaannya, tudung itu hanya dipakai ketika ada kenduri tahlil atau ketika mahu menziarahi kubur. Tetapi, kali ini lain benar gelagat kakak kembarnya itu.

“Tak ada sesiapa yang meninggal dik. Akak mahu ke kedai buku, nak ikut?” jawab Husna lembut. Dia tahu Karina sedang kehairanan.

“Habis tudung tu?” Karina melontar soalan lagi sambil jari telunjuknya dihala ke arah kepala Husna.

“Nanti akak cerita. Akak pergi dulu, assalamualaikum,” Husna berlalu pergi. Dia meninggalkan Karina dengan 1001 persoalan dan tanda tanya. Kereta kelisa berwarna biru mula meluncur laju membelah jalan raya yang sunyi sepi.

“Waalaikumusalam,” Karina masih terpinga-pinga. Benarkah apa yang dia lihat sebentar tadi atau sekadar bermimpi? Dia mencubit pipinya. Auch, sakit! Maknanya bukan mimpi. Kenapa dengan Husna? Soalan itu hanya bermain di hatinya.

Husna tersenyum sendiri. Alhamdulillah dia masih disayangi sang Pancipta. Dirinya diambil semula daripada lembah penuh kelalaian. Dan kini dia ingin membawa saudara kandungnya bersama. Semoga Dia permudahkan!

Hujan masih turun renyai-renyai ketika Aisyah melangkah keluar untuk ke kelas. Tangannya pantas membuka payung berwarna merah jambu yang baru dibelinya semalam untuk melindungi diri daripada terkena manik-manik halus hujan yang masih bersisa. Dia berjalan pantas supaya tidak ditinggalkan bas yang bergerak setiap 20 minit sekali.

Dalam masa yang sama otaknya ligat berfikir mengapa Husna beria-ria mahu memperkenalkannya dengan Karina. ‘Mungkin dia hanya mahu aku mengenali adik kembarnya itu. Tidak salah kan? Lagipun, aku dah selalu dengar Husna bercerita tentang Karina sebelum ini, apa salahnya aku berkenalan dengn dia pula,’ dia bermonolog sendiri. Aisyah dapat rasakan Husna sangat menyayangi Karina. Mana tidaknya, Karina kan kembar Husna. Karina umpama jelmaan dirinya sendiri. Sebab itulah mereka tidak dapat dipisahkan langsung. Itulah seronoknya kalau mempunyai saudara kembar. Aisyah tersenyum sendiri.
*****

“Aisyah, inilah Karina, adik Husna,” Husna memperkenalkan Karina kepada Aisyah.

Aisyah tersenyum mesra ke arah gadis manis berbaju ungu di hadapannya. “Aisyah, roommate Husna,” Aisyah memperkenalkan diri sambil menghulur tangan bagi mengeratkan ukhwah. Tangannya di sambut dan digenggam erat oleh Karina, tanda ikatan ukhwah mulai dibaja di hati masing-masing. Mata Aisyah terpegun melihat Karina. Sungguh, wajah Karina saling tidak tumpah seperti Husna. Susah untuk membezakan saudara kembar ini. Kedua-duanya berkaca mata dan berlesung pipit. Cuma, Karina lebih gemar membiarkan rambutnya yang ikal dan berwarna hitam pekat itu menjadi tontonan umum. Tidak seperti 
Husna yang menyembunyikannya di sebalik sehelai kain tudung berwarna hijau pucuk pisang.Seingat Aisyah, penampilan Husna tidak ubah seperti Karina satu masa dahulu. Senang mendedahkan mahkotanya itu. 
Panas! Rimas! Itu jawapan yang selalu diberi apabila Aisyah menegur. Sungguh, cahaya hidayah itu milik mutlak Allah. Dia berhak memberikan kepada sesiapa yang dia kehendaki. Hampir satu semester dia berhempas-pulas memberi nasihat dan contoh kepada teman sebiliknya itu, akhirnya Allah hadiahkan juga hidayah buat Husna. Dan sekarang, Aisyah bagai mengerti mengapa Husna bersungguh-sungguh ingin memperkenalkan dia dengan Karina.

“Husna selalu cerita tentang Aisyah pada saya,” Karina memulakan perbualan, cuba memecahkan tembok kejanggalan antara mereka. Aisyah tersenyum. “Husna kata awak seorang gadis yang baik, lemah-lembut, bijak dan petah berkata-kata,” puji Karina. Dia bukan bermanis mulut semata-mata, tapi itu hakikat yang sering diceritakan oleh Husna yang menyebabkan dia teringin sekali bertemu dengan gadis itu. Husna disebelahnya hanya tersenyum.

“Husna terlalu memuji saya. Hakikatnya, saya hanya insan biasa yang penuh dengan kekurangan,” balas Aisyah. Karina senyum. Dia bertambah kagum dengan sikap Aisyah yang merendah diri. Benar kata Husna, Aisyah lebih gemar mengebut kekurangan dirinya berbanding kelebihan yang dimiliki.

“Pada saya, Husna yang memiliki sifat begitu. Begitu juga dengan Karina. Melalui cerita tentang Karina yang pernah saya dengar daripada Husna, saya dapat agak yang Karina juga memiliki sifat seperti Husna. Baik, lemah-lembut dan bijak,” Aisyah membalikkan pujian kepada pasangan kembar di hadapannya sambil bibirnya tidak lekang dengan senyuman.

“Alhamdulillah.. setiap orang mempunyai kelebihan dan kekurangan sendiri. Semuanya anugerah daripada Allah kan?” kata-kata Husna disambut dengan anggukkan daripada Aisyah dan Karina. Pertemuan mereka malam ini dipenuhi dengan perkongsian ilmu dan pelbagai cerita mengenai diri masing-masing. ‘Semoga ukhwah yang terjalin diberkati olehNya,’ Aisyah berdoa di dalam hati.

*          *          *          *          *          *          *          *          *          *          *
Cuaca agak terik hari ini. Sementara menanti waktu kuliah bagi mata pelajaran Biokimia Makanan, Iman dan Aisyah duduk sebentar di Laman Mahasiswa fakulti mereka. Kipas angin yang ligat berpusing, mengurangkan kepanasan yang melanda.

“Iman..” Aisyah memanggil Iman yang kelihatan sedang tekun membuat laporan amali bagi mata pelajaran Kimia Analisis. Dia juga sedang melakukan hal yang sama kerana laporan amali itu perlu dihantar sebelum penghujung minggu ini.

“Ya,” jawab Iman sambil mengangkat wajahnya ke arah Aisyah. “Kenapa?”

“Aisyah mahu ajak Husna menyertai usrah kita, boleh?”

“Husna yang mana satu?” Iman agak keliru. Mana tidaknya, ramai benar temannya bernama Husna.

“Hidayatul Husna, teman sebilik Aisyah.” Jelas Aisyah.

“Oh..boleh. Apa salahnya? Lagipun, Iman gembira sangat kalau dia benar-benar mahu mengikuti usrah kita. Alhamdulillah.”

“Dia sudah banyak berubah sekarang. Aisyah harap perubahan dia akan berkekalan.”

Iman memandang Aisyah sambil tersenyum. Dia mengerti maksud Aisyah. Ya, dia juga dapat melihat sendiri perubahan Husna. Husna yang dahulunya merupakan seorang gadis moden yang suka berpakaian seperti tidak cukup kain, sekarang sudah mula mengambil berat soal aurat. Sudah mula berjinak dengan ilmu agama. Bukan itu sahaja, dia juga telah mula menjadikan solat sebagai sahabat dan Al-Quran sebagai juadah wajib bagi rohaninya.

“InsyaAllah. Kita sama-sama berdoa ya?”

“Beberapa hari lepas Husna ada kenalkan Aisyah dengan adik kembarnya, Karina.” Aisyah mula berkongsi cerita. Dia mahu meminta pendapat Iman tentang apa yang harus dia lakukan untuk menarik Karina. Harapan Husna tinggi menggunung kepadanya.

“Baguslah, bertambah kenalan Aisyah.” Iman memandang wajah Aisyah. Dahinya berkerut. Aisyah kelihatan sugul. “Kenapa ni? Aisyah tak gembira berkenalan dengan Karina?”

“Bukan begitu. Aisyah gembira sangat. Tapi..”

“Tapi..?”

“Husna minta tolong Aisyah untuk nasihatkan Karina. Dia kelihatan menaruh harapan yang tinggi pada Aisyah,” luah Aisyah. Jemari tangannya memintal hujung tudung bawal bidang 60 yang dipakai.

“Jadi, mengapa Aisyah muram sahaja? Bukankah ini peluang yang baik?” kata Iman hairan. Dia menutup buku rujukan berkulit hijau yang menjadi tumpuannya sejak tadi. Badannya dipusing ke arah Aisyah yang kelihatan tunduk memandang lantai.

“Kalau tak berjaya bagaimana? Husna kata adiknya itu keras hati sikit.” Aisyah mengadu pada Iman.
Iman senyum. Tangannya menggenggam erat jari Aisyah. “Jangan terlalu berfikiran negatif. Sedangkan batu yang keras itupun boleh lekuk bila berterusan terkena titisan air, inikan pula hati manusia. Yang penting sekarang, kita perlu berusaha. Natijahnya serahkan sahaja kepada Allah. Hidayah itu milik mutlakNya, dan Dia berhak memberinya kepada sesiapa yang Dia kehendaki.”

“Tapi bagaimana? Aisyah baru sahaja kenal dia.” Aisyah memandang wajah sahabatnya itu. “Iman ada cadangan?”

“Ada nombor telefon Karina?”

“Ada.”

Iman memetik jari. “Hah..kalau macam tu, Aisyah hubungilah dia. Berkawan dahulu. Selepas itu, barulah teruskan perancangan yang lain.” Keningnya  diangkat dua kali. “Bagaimana?” Gadis itu tersenyum lagi.
Aisyah angguk. Dia membalas senyuman Iman. “Perancangan yang seterusnya, bagaimana?”

“Tawan hatinya betul-betul. Sentiasa bertanya khabar, hantar SMS yang berbentuk tazkirah juga boleh. Ingat hari penting bagi dia, misalnya hari ulangtahun. Hmm.. kalau ada masa, kita pergi ziarah dia di K17, bagi hadiah ke, atau ajak dia pergi jalan-jalan. Banyak caralah Aisyah.” Iman menyandarkan badannya ke kerusi. “Biar dia selesa berkawan dengan kita dahulu. Yang penting kita kena ikat dia dengan tali persahabatan yang ikhlas. Seterusnya kita akan bertindak mengikut keadaan.” Terang Iman sambil membuat gaya sebagai pengatur strategi yang profesional.

“Amboi..gaya tak mahu kalah.” Aisyah ketawa geli hati.

“Mestilah,” jawab Iman bersahaja. Aisyah melayangkan tangannya untuk mencubit pinggang Iman. Tetapi Iman sempat menghalang. Terkekeh mereka berdua ketawa.

“Setiap orang mempunyai sikap dan sifat yang berbeza. Ada yang dapat menerima nasihat dengan baik dan ada yang tidak. Ada yang akan sekadar senyap dan ada juga yang akan melenting marah. Sebab itu kita kena kenal betul-betul siapa yang kita ingin tegur. Bagaimana sikap mereka dan bagaimana pula sifat mereka supaya kita dapat menggunakan cara yang sesuai untuk menegur. Jika tersalah cara, tidak mustahil dia akan menjauhi kita dan bertukar menjadi lebih teruk. Itu yang kita bimbangkan,” kata Iman sebaik sahaja tawa mereka berdua berkurangan.

“Betul juga. Hmm..dulu Iman pernah sebut fasal ‘dakwah berstrategi’. Sekarang ini kita sedang berusaha ke arah perkara itukah?”

Iman angguk. “Jika para usahawan ada strategi untuk mengaut keuntungan dalam perniagaan, para panglima perang juga ada strategi untuk menang di medan pertempuran, jadi mengapa tidak kita, kan? Kita juga mesti ada strategi tersendiri. Untuk menjadi dai’e dan mengajak manusia ke arah kebaikan, bukanlah satu perkara yang mudah. Lebih-lebih lagi ‘musuh’ yang ingin kita tewaskan ini pula bukan calang-calang.”

‘Musuh’ yang dimaksudkan, siapa lagi kalau bukan syaitan laknatullah? Musuh ketat bagi mereka yang bergelar Muslim. Musuh yang tidak pernah tidur, tidak pernah letih, dan tidak akan pernah jemu dalam menggoda manusia untuk mengikut mereka ke neraka Jahannam. “Ia (iblis) berkata, “Tuhanku, oleh kerana Engkau telah memutuskan bahawa aku sesat, aku pasti akan menjadikan (kejahatan) terasa indah bagi mereka di bumi, dan aku akan menyesatkan mereka semuanya,” (Al-Hijr ; 39)

“Jadi, kita mesti mengatur strategi dan menjadi lebih kreatif daripada ‘mereka’ dalam usaha menarik manusia ke jalanNya. Betul tidak?” kata Aisyah penuh bersemangat.

“Sangat-sangat betul!” sokong Iman. “Kita memang perlu menjadi lebih kreatif daripada mereka.” Dia juga kelihatan sangat bersemangat.

Sememangnya terdapat banyak cara untuk berdakwah. Bukan hanya sekadar melalui lisan sahaja. Semuanya bergantung kepada kekretivitian dan kelebihan masing-masing. Iman teringat kata-kata seseorang kepadanya dahulu, “Dakwah, tidak semestinya perlu memberi berceramah, memberi tazkirah atau memberi nasihat sahaja. Banyak caranya lagi. Jangan bataskan diri dengan hanya melakukan sesuatu yang sudah biasa dilakukan oleh orang lain. Setiap orang punya kelebihan dan minat tersendiri. Jadi, apa salahnya gunakan kelebihan dan minat itu untuk berdakwah? Kalau pandai melukis, berdakwahlah melalui lukisan. Kalau minat tangkap gambar, boleh juga berdakwah melaluinya. Berdakwah melalui penulisan juga tidak kurang hebatnya. Ramai yang melakukannya hari ini. Tidak kira apa juga cara yang dilakukan, yang penting, mesej itu sampai ke hati dan memberi kesan kepada orang lain.”

Hidup memang perlu kreatif,” suara ketiga tiba-tiba muncul. Iman dan Aisyah tersenyum sambil memandang pemilik suara tersebut.

“Kamu berdua tak ada kelaskah?”

“Ada, lima belas minit lagi Prof.” balas Iman.

“Oh..saya minta diri dulu ya. Assalamualaikum.” Prof. Dr. Kamil Badlishah atau lebih mesra dengan gelaran Prof. Badli mengatur langkah meninggalkan mereka. Mereka menjawab salam itu perlahan. Mata mereka berdua masih terkebil-kebil sehinggalah susuk tubuh Prof. Badli hilang daripada pandangan.

“Agak-agak dia dengar ke apa yang kita bincangkan tadi?”

“Tak pasti, mungkin ya dan mungkin tak.” Iman memandang Aisyah. Dia tidak kisah kalau Prof. Badli terdengar perbualan mereka sekalipun. “Tak apalah, kita bukannya bincang fasal rahsia kerajaan,” Iman berseloroh. Tangannya sudah mula mengemas meja. “Jom masuk kelas.”

Aisyah angguk sambil tersengih. Mereka berjalan beriringan ke DKTM1.

No comments:

Post a Comment